Bahasa | English CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
  Isu 5 | Suku kedua - 2014
   
 
JUN 2014
KARNIVAL PANDU PUTERI KEBANGSAAN 2014 & TURUN PADANG PPM CAWANGAN PUTRAJAYA
  6 – 8 JUN 2014
 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai pameran sempena Festival Pandu Puteri Malaysia 2014 yang diadakan di Putrajaya bagi menyebar maklumat mengenai bidang keselamatan siber kepada golongan muda yang bertindak sebagai Duta CyberSAFE.

Karnival Pandu Puteri Kebangsaan 2014 merupakan acara tahunan anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPM) dan telah dirasmikan oleh YABhg. Datin Seri Paduka Rosmah Mansor selaku Yang DiPertua PPM, yang juga merupakan isteri YAB Perdana Menteri Malaysia. Seramai 2,000 peserta dari seluruh Negara telah mengambil bahagian di dalam Karnival yang berlangsung selama 3 hari ini.

Karnival PPM memberi fokus kepada Program CyberSAFE, di mana CyberSecurity Malaysia telah bekerjasama dengan PPM Cawangan Putrajaya bagi melatih Duta CyberSAFE dalam kalangan ahli PPM seramai hampir 200 orang. Kolaborasi bersama PPM di dalam acara ini membolehkan CyberSecurity Malaysia memainkan peranan dalam memberi maklumat dan pendedahan kepada individu dan organisasi mengenai keselamatan siber serta berpeluang mempromosi perkhidmatan yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia dalam Karnival ini bagi memberi kesedaran tentang kepentingan keselamatan ketika berada di alam siber di samping memantau tahap keberkesanan Duta CyberSAFE ketika menjalankan peranan mereka sebagai penceramah kesedaran keselamatan siber. Acara sebegini perlu diteruskan bagi menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan masyarakat Malaysia berilmu terutamanya dalam bidang keselamatan siber.

 
MAJLIS PERASMIAN OUTLET MyCSC & PROGRAM PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN
  17 JUN 2014
 

CyberSecurity Malaysia telah mengadakan Majlis Perasmian Outlet MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) dan Pelancaran Program Pembangunan Keusahawanan (Enterpreneur Development Program - EDP) pada 17 Jun 2014 dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI). Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri, Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dan dihadiri lebih 150 orang tetamu.

Pada majlis yang sama, satu sesi pertukaran perjanjian “Industry Collaboration Program - Teaming Agreement” di antara CyberSecurity Malaysia dan Yayasan Teknologi Resources, anak syarikat Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Digital Network Enterprise turut diadakan. Selain melancarkan perkhidmatan terbaru CyberSecurity Malaysia iaitu Outlet MyCSC & Program Pembangunan Usahawan (EDP), kewujudan MyCSC turut memberi saingan sihat kepada industri keselamatan siber serta memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada.

Sementara itu, Program Pembangunan Keusahawanan MyCSC yang dilancarkan oleh YB Menteri dijangka dapat melahirkan lebih ramai usahawan baharu dalam bidang Sains dan Teknologi, khususnya dalam sektor ICT, di samping membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai rakyat Malaysia di seluruh pelusuk Negara. Ia juga merupakan satu proses perpindahan kepakaran teknologi yang memberi manafaat kepada rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung dalam program tersebut.

 
KUNJUNGAN ULUNG YBRS. DR. ZULKIFLI BIN MOHAMED HASHIM TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (SAINS) KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI & INOVASI MALAYSIA.
  20 JUN 2014
 

Pada 20 Jun 2014, CyberSecurity Malaysia telah menerima kunjungan yang julung kalinya dari YBrs. Dr. Zulkifli Bin Mohamed Hashim, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi Malaysia (MOSTI).

Rombongan Dr. Zulkifli dan rombongan dari MOSTI telah disambut oleh pengurusan tertinggi CyberSecurity Malaysia. Pada sesi tersebut, rombongan telah diberi taklimat mengenai fungsi dan peranan CyberSecurity Malaysia serta dipersembahkan dengan tayangan video korporat CyberSecurity Malaysia. Manakala di akhir lawatan, rombongan telah dibawa melawat makmal-makmal jabatan CyberSecurity Malaysia dan diberi penerangan mengenai operasi jabatan-jabatan berkenaan.

Kunjungan Dr. Zulkifli serta rombongan melambangkan keprihatinan serta sokongan beliau terhadap CyberSecurity Malaysia.

 
PAMERAN SEMPENA KARNIVAL KEUSAHAWANAN NEGERI PERAK SEMPENA MINGGU PKS 2014 DAN PERTANDINGAN “YOUNG ENTREPRENEUR KNOWLEDGE HUNT”
  20 - 22 JUN 2014
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam pameran sempena Karnival Keusahawanan Negeri Perak bagi memperkenal dan mempromosi perkhidmatan Malaysia Trustmark kepada usahawan-usahawan di negeri Perak.

Karnival tersebut telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Drs. Mohd. Nizar Bin Haji Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak. Turut hadir ialah YBrs. Puan Suraya Kulop Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat SME Corp Malaysia.

Pada Karnival tersebut, CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Universiti Teknologi PETRONAS dan SME Corp Malaysia Perak telah mengadakan pertandingan “Young Entrepreneur Knowledge Hunt” untuk para pelajar institusi pengajian tinggi di negeri Perak. Pertandingan ini telah membuka minda para pelajar mengenai kepentingan keselamatan siber.

Seramai 85 peserta dari enam institusi pengajian tinggi di negeri Perak telah mengambil bahagian, antaranya:

  1. Universiti Teknologi PETRONAS (UTP)
  2. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
  3. Quest International Universiti Perak (QUIP)
  4. Kolej Matrikulasi Perak
  5. Kolej Komuniti RTC Gopeng
  6. Kolej Komuniti Batu Gajah

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di pameran ini adalah untuk menyokong aspirasi dan perancangan kerajaan dalam pembudayaan dan pembentukan usahawan atas talian dalam kalangan belia Malaysia. Di samping itu, ia juga djadikan platform untuk CyberSecurity Malaysia memberi dan berkongsi ilmu pengetahuan, informasi serta inisiatif terkini yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia. 

 
TECHNOLOGY ACCELERATION PROGRAMME (TAP) – BIG DATA ANALYTICS BOOTCAMP BY REVOLUTION ANALYTICS WORKSHOP
  23 – 27 JUN 2014
 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai Big Data Analytics Bootcamp anjuran MDeC dengan kerjasama Revolution Analytics (Revo). Penyertaan CyberSecurity Malaysia yang diwakili oleh En Mohamad Nizam bin Kassim dan Cik Noor Azwa Azreen binti Abd. Aziz adalah bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam teknik-teknik menganalisis data yang besar bagi menangani jenayah siber.

Ia juga dapat membantu pegawai CyberSecurity Malaysia menghasilkan laporan tahunan mengenai Landskap Kajian Jenayah Siber di Malaysia yang menyediakan maklumat terperinci mengenai jenayah siber. Laporan ini akan dikongsikan bersama agensi-agensi penguatkuasa undang-undang tempatan bagi mengubal dasar dan keputusan dalam strategi pencegahan jenayah siber di Malaysia.

 
MESYUARAT TAHUNAN KE-9 CSIRT DAN LAWATAN KERJA KE FIREEYE, AKAMAI DAN RIVERSING LAB, AMERIKA SYARIKAT
  23 – 30 JUN 2014
 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Tahunan CSIRT kali ke- 9 atau 9th Annual Meeting for CSIRT with National Responsibility (NatCSIRT 2014) di Boston, Amerika Syarikat. Ini merupakan mesyuarat peringkat antarabangsa yang disertai oleh penganalisis keselamatan siber dari seluruh dunia.

Mesyuarat tahunan ini diadakan bagi membincangkan isu-isu terkini yang dihadapi oleh Pasukan Tindakan Insiden Keselamatan Komputer (CSIRTs) dalam menyediakan mekanisme kerjasama di kalangan organisasi keselamatan siber. Wakil CyberSecurity Malaysia telah membuat pembentangan di mesyuarat ini.

Selain itu, wakil CyberSecurity Malaysia juga turut menghadiri mesyuarat strategik dan lawatan kerja ke Pusat Operasi Keselamatan (SOC) / R&D Center Syarikat FireEye, Akamai dan ReversingLab. Lawatan kerja ini dibuat untuk menimba ilmu dari pakar keselamatan antarabangsa, di mana maklumat yang diperolehi telah memberi manfaat kepada CyberSecurity Malaysia bagi menangani isu-isu ancaman siber serta meningkatkan operasi keselamatan dan perkhidmatan CyberSecurity Malaysia dalam jangka masa panjang.

 
MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN CRYPTOLOGY2014
  24 JUN 2014
 

CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Persatuan Penyelidikan Kriptologi Malaysia (MSCR) serta sokongan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) telah mengadakan Majlis Perasmian Persidangan Cryptology2014 dan Pelancaran D.E.C.I.M.A.L. pada 24 Jun 2014 di Putrajaya.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri, Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dan dihadiri lebih dari 100 orang tetamu yang terdiri dari para penyelidik dan penceramah di dalam bidang Kriptologi. Ini merupakan kali ke-4 CyberSecurity Malaysia bekerjasama dengan MCSR dalam menjayakan persidangan dwi-tahunan ini semenjak tahun 2008. Persidangan ini merupakan forum terbuka yang meliputi ruang lingkup penyelidikan dalam asas teori, aplikasi dan sebarang isu berkaitan Kriptologi, keselamatan maklumat dan teknologi asasi berkaitan.

Pada tahun ini, persidangan ini telah berjaya menarik penyertaan dari Jepun, China, Hong Kong, India, Afghanistan, Iran, Iraq, Yaman, Libya, Nigeria, Peranchis dan Malaysia. Persidangan ini kini menjadi platform untuk meningkatkan dan merealisasikan penyelidikan serta aplikasi Kriptologi di Malaysia melalui kerjasama penyelidikan dan perbincangan dengan rakan penyelidik dari komuniti penyeilidikan Kriptografi antarabangsa.

Sebanyak 27 kertas kerja telah dibentangkan di sepanjang persidangan yang merangkumi bidang Kriptologi seperti asas teori, aplikasi, keselamatan rangkaian dan lain-lain teknologi dalam bidang yang meliputi matematik, sains komputer dan kejuruteraan.

 
PROGRAM OUTREACH STI (KARNIVAL KREATIVITI & SCIENCE 4U), BATU PAHAT, JOHOR
  24 – 26 JUN 2014
 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai pameran sempena program Jelajah Karnival Kreativiti & Science 4U 2014 yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan tujuan memberi pendedahan, khususnya dalam bidang teknologi keselamatan siber agar masyarakat sedar akan kepentingan keselamatan ketika di alam siber; Pada acara ini, CyberSecurity Malaysia telah mempromosikan perkhidmatan seperti Cyber999, Forensik Digital, Malaysia Trustmark, CyberSAFE serta MyCyberSecurity Clinic.

Karnival Kreativiti & Science 4U merupakan program yang dikendalikan oleh Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Beberapa siri jelajah telah dijalankan dan pada kali ini ianya telah diadakan di SM Batu Pahat, Johor.

Karnival selama TIGA (3) hari ini disasarkan kepada lebih kurang 3,000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, guru, ibubapa dan penduduk setempat. Antara Agensi MOSTI yang terlibat adalah CyberSecurity Malaysia, Yayasan Angkasawan Malaysia, Planetrium Negara, Pusat Sains Negara, Pusat Nukleur Negara, Metereologi dan Yayasan Inovsi Malaysia (YIM).

CyberSecurity Malaysia telah membawa aktiviti yang berbentuk Permainan Akademia iaitu CyberSAFE Treasure Hunt terbuka kepada pelajar-pelajar sekolah di sekitar Batu Pahat. Aktiviti ini berjaya membuktikan bahawa sekolah di luar Bandar mampu bersaing dengan tahap kesedaran siber yang tinggi, apabila berjaya mendapat tempat pertama dengan pencapaian 100% di setiap check point.