Bahasa | English CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
  Isu 5 | Suku kedua - 2014
   
 
MEI 2014
FORUM “CLICK, UPLOAD & POST DENGAN BIJAK: SEJAUH MANA KEBEBASAN HAK ASASI MANUSIA DI ALAM SIBER DAPAT DISUARAKAN?”
  7 MEI 2014
 

Pada 7 Mei 2014, Dr. Aswami Fadillah Mohd Ariffin, Naib Presiden, Cyber Security Responsive Services, CyberSecurity Malaysia telah dijemput sebagai panel bagi Forum “Click, Upload & Post Dengan Bijak: Sejauh Mana Kebebasan Hak Asasi Manusia Di Alam Siber Dapat Disuarakan?” anjuran Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) yang diadakan di Bangi, Selangor.

Forum yang disertai oleh golongan intelek dalam bidang teknologi, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta wakil perundangan ini diadakan untuk memberi pendedahan dan berkongsi maklumat dengan pakar–pakar teknologi maklumat serta penguatkuasa undang–undang serantau mengenai jenayah siber di Malaysia dan juga strategi yang diguna pakai untuk menanganinya.

Forum ini menjadi peneraju kecemerlangan pembangunan modal insan dalam bidang kehakiman dan perundangan yang bertaraf dunia menjelang 2015. Di samping meningkatkan kompetensi, keberkesanan dan profesionalisme pegawai kehakiman, perundangan dan penguatkuasaan undang-undang dengan menyediakan latihan yang sistematik, relevan dan progresif, forum ini juga turut memberi pemahaman tentang kebaikan serta keburukan berkaitan kebebasan hak asasi manusia di alam siber.

 
SEMINAR: "SECURED ONLINE BUSINESS”
  8 MEI 2014
 

Pada 8 Mei 2014, CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia (CFM) dan SME Corp. Malaysia Perak telah menganjurkan Seminar “Secure Online Business” di Casuarina@Meru, Ipoh.

Seminar ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengusaha dan bakal pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengenai potensi perniagaan atas talian (online business) dan kaedah terbaik untuk mengoptimumkan peluang perniagaan yang ada secara maya.

Seminar ini juga merupakan inisatif bersama untuk memberi pengetahuan tentang kepentingan keselamatan maklumat dan bagaimana Malaysia Trustmark boleh meningkatkan kepercayaan terhadap e-business bagi golongan pengusaha dan peniaga, di samping memperkenalkan peranan dan perkhidmatan CyberSecurity Malaysia. Selain itu, Seminar ini turut memberi pendedahan mengenai kesan atau impak ancaman siber terhadap perniagaan atas talian.

Melalui Seminar ini, CyberSecurity Malaysia telah memperkenalkan perkhidmatan Malaysia Trustmark kepada para peserta. Ianya juga dapat meningkat dan mengukuhkan kedudukan CyberSecurity Malaysia dalam kalangan masyarakat setempat.

 
“INTERNATIONAL CYBER SHIELD EXERCISE 2014” (ICSE 2014)
  15 - 16 MEI 2014
 

Pada 15 dan 16 Mei 2014, Kementerian Pengangkutan, Maritim dan Komunikasi Turki telah menganjurkan “International Cyber Shield Exercise 2014” atau ICSE 2014 di Istanbul, Turki.

Program selama 2 hari ini diadakan untuk menyumbang kepada aktiviti global secara berterusan berkaitan inisiatif membina keyakinan dan keselamatan dalam penggunaan komunikasi dan teknologi maklumat (WSIS Tindakan Line C5), ITU Cybersecurity Agenda Global (GCA) serta Program Pelan Tindakan 2 Hyderabad (Keselamatan Siber, ICT aplikasi dan isu-isu yang berkaitan dengan rangkaian berasaskan IP).

ICSE 2014 merupakan platform untuk berkongsi maklumat mengenai pelbagai aspek penting mengenai keselamatan siber dengan memberi penumpuan khusus kepada pengendalian insiden oleh CSIRT / CIRT / CERT. Forum yang dihadiri oleh pakar keselamatan siber serta golongan intelek dalam bidang teknologi ini dijangka dapat mengukuhkan jalinan kerjasama di antara pengamal CIRT, pegawai kanan kerajaan, pakar-pakar keselamatan siber, peserta industri berkaitan dan pihak berkepentingan dari sektor ICT dan keselamatan dalam mengukuhkan operasi CIRT di negara masing-masing.

Melalui penyertaan ISCE 2014, CyberSecurity Malaysia berpeluang menjadi pusat rujukan antarabangsa dalam bidang keselamatan siber. Ianya juga memberi pendedahan teknikal kepada pegawai CyberSecurity Malaysia mengenai pengendalian latihan siber serantau yang boleh diguna pakai untuk pembangunan Latih Amal Krisis Siber Negara atau X-MAYA. Selain itu, CyberSecurity Malaysia juga berpeluang mewujudkan hubungan dan jalinan rangkaian dengan para peserta dari pelbagai negara lain selaras dengan misi dan visi untuk menjadi CyberSecurity Malaysia sebuah organisasi yang dikenali di peringkat global.

 

 
BENGKEL KAD PINTAR / SMART CARD COE WORKSHOP
  19 MEI 2014
 

Pada 19 Mei 2014, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan Bengkel Kad Pintar bagi pelanggan berpotensi dengan tujuan berkongsi pengetahuan mereka mengenai isu semasa berkaitan Kad Pintar, khususnya MyKad dan pelaksanaannya di masa akan datang dalam sektor ICT di Malaysia.

Bengkel ini merupakan satu inisiatif di bawah program pelaksanaan Pusat Kecemerlangan CyberSecurity Malaysia bagi membentuk satu platform untuk pembangunan dan perkembangan maklumat serta idea mengenai pembangunan Kad Pintar dan MyKad di Malaysia. Bengkel ini telah berupaya meningkatkan potensi usaha sama di antara CyberSecurity Malaysia dengan pelbagai organisasi dalam aspek penyelidikan dan pembangunan Kad Pintar.

Antara jabatan yang menyertai bengkel ini ialah:

  1. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
  2. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
  3. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
  4. Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)
  5. Datasonic Sdn. Bhd. 

Hasil maklum balas dari para peserta yang menggunakan dan mengendalikan kad pintar, MyKad serta beberapa pembaca kad pintar yang berada di pasaran didapati tidak mematuhi sebarang piawaian atau diuji mengikut standard pelaksanaan MyKad. Penemuan daripada bengkel ini akan digunakan sebagai input untuk pembangunan Pusat Kecemerlangan CyberSecurity Malaysia dalam bidang Kad Pintar.

 
FESTIVAL BELIA PUTRAJAYA 2014
  23 – 25 MEI 2014
 

Kementerian Belia & Sukan (KBS) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah menganjurkan FESTIVAL BELIA PUTRAJAYA 2014 bertempat di Menara Prisma Persiaran Perdana , Presint 3 selama 3 hari bermula dari 23 hingga 25 Mei 2014.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia adalah bagi menyokong inisiatif serta penglibatan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam festival ini. Ia telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk menyebar luas maklumat serta memberi pendedahan mengenai kepentingan keselamatan siber, di samping mempromosi perkhidmatan yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia.

Melalui Festival ini, para pengunjung berpeluang untuk mendapatkan maklumbalas secara bersemuka mengenai perkhidmatan CyberSecurity Malaysia termasuk MyCyberSecurity Clinic. Selain itu, ‘Interaktif Game’ turut diadakan di ruang pameran CyberSecurity Malaysia sebagai sebahagian dari pengisian program CyberSAFE.

Peluang menyertai Festival Belia ini dimanafat sepenuhnya oleh CyberSecurity Malaysia bagi menyahut seruan kerajaan dalam usaha melahirkan masyarakat berilmu terutamanya dalam bidang keselamatan siber.

 
PAMERAN CYBERSECURITY MALAYSIA DI KARNIVAL KREATIVITI & SCIENCE 4U
  27 MEI 2014
 

Pada 27 Mei 2014, Bahagian Inovasi Dan Pengkomersialan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menganjurkan program Jelajah Karnival Kreativiti & Science 4U bertempat di Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang, Melaka.

Selain menyokong program Science 4U, penyertaan CyberSecurity Malaysia di dalam acara ini adalah sebagai platform untuk memperkenalkan CyberSecurity Malaysia serta perkhidmatan seperti Cyber999, Digital Forensics, Malaysia Trustmark, MyCyberSecurity Clinic kepada rakyat Malaysia. Di samping itu, peluang ini juga diambil untuk mempromosi kepentingan keselamatan siber kepada para pengunjung pameran.

Penyertaan seumpama ini perlu diteruskan untuk mengukuhkan lagi kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai pemacu bidang keselamatan siber di Malaysia, di samping menyokong program anjuran Kementerian.