Bahasa | English CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
  Isu 7 | Suku keempat - 2014
   
 
DISEMBER 2014
SEMINAR DAN PERTANDINGAN "CYBER CRIME ARTS"
  1 DISEMBER 2014
 

Seminar dan Pertandingan "Cyber Crime Arts" anjuran Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya telah diadakan pada 1 Disember 2014. Seminar bertemakan "Jenayah Siber" ini bertujuan memupuk kesedaran keselamatan maklumat para peserta seminar.

Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Penyelidikan Strategik, CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk "Trend dan Landskap Ancaman Baru". Beliau telah menerangkan situasi keselamatan siber terkini serta isu dan cabaran yang dihadapi di Malaysia. Beliau juga telah menyenaraikan jenis-jenis serangan dan jenayah siber, modus operandi jenayah siber dan juga langkah-langkah dalam menangani ancaman siber. Lt. Kol. Sazali Sukardi juga telah menjadi juri dalam pertandingan poster dan video berhubung jenayah siber.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam program ini adalah satu pengiktirafan oleh Komuniti akademik di atas komitmen dan sumbangan CyberSecurity Malaysia ke arah persekitaran siber yang selamat. Program ini dilihat sebagai satu peluang bagi CyberSecurity Malaysia mengukuhkan lagi hubungan baik dengan pemain global yang lain dalam arena keselamatan siber.

 
MESYUARAT PERSEDIAAN ANTARA AGENSI BAGI ASEAN REGIONAL FORUM INTER-SESSIONAL SUPPORT GROUP ON CONFIDENCE BUILDING MEASURES AND PREVENTIVE DIPLOMACY (ARF ISG ON CBMS AND PD)
  1 – 4 DISEMBER 2014
 

Mesyuarat Persediaan Antara Agensi bagi Kumpulan Sokongan Antara-Sesi Forum Serantau ASEAN mengenai Langkah-langkah Membina Keyakinan dan Diplomasi Pencegahan (ARF ISG on CBMs and PD) telah dianjurkan bersama oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Jepun dari 1 hingga 4 Disember 2014 di Melaka. Malaysia dan Jepun telah dilantik sebagai Pengerusi Bersama untuk ARF ISG on CBMs and PD bagi tahun antara sesi (Ogos 2014 hingga Julai 2015). Tema mesyuarat pada tahun ini ialah "Langkah-langkah Membina Keyakinan dan Diplomasi Pencegahan".

Mesyuarat ARF ISG memberi tumpuan kepada empat bidang utama, iaitu, Memerangi Keganasan dan Jenayah Merentas Sempadan, Bantuan Bencana, Pengawalan dan Pelucutan Senjata, dan Keselamatan Maritim. Tujuan mesyuarat ini adalah untuk mendapatkan maklumbalas tentang status terkini bagi inisiatif-inisiatif serta aktiviti-aktiviti yang dirancang atau sedang dilaksanakan di bawah program ARF. Selain itu, mesyuarat juga bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan ulasan ahli-ahli mesyuarat serta membuat keputusan tentang tindakan-tindakan susulan bagi inisiatif-inisiatif dan juga aktiviti-aktiviti yang dirancang atau dilaksanakan.

CyberSecurity Malaysia berpeluang membincangkan input berkaitan bidang keselamatan siber supaya hasil perancangan yang dibuat dapat memberi manfaat kepada Malaysia. Pelan Kerja mengenai keselamatan dan penggunaan ICT diharap akan meningkatkan keyakinan serta kepercayaan di antara ahli-ahli ARF dengan mewujudkan alam siber yang selamat dan terbuka serta mengurangkan konflik di antara negara. Program pembangunan kapasiti akan dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran serta mengukuhkan kepakaran dan kerjasama dalam bidang keselamatan siber.

 
SIDANG KEMUNCAK DAN ANUGERAH 10TH ASEAN CIO | CSO 2014
  2 DISEMBER 2014
 

10th ASEAN CIO/CSO Summit & Awards 2014 telah dianjurkan oleh International Data Group (IDG) dengan kerjasama dan diperakui oleh Vietnam Government Information Security Committee, Ministry of National Defense, Ministry of Information and Communications (MIC), Ministry of Public Security, Ministry of Science and Technology, and the People's Committee of Ho Chi Minh City. Acara ini juga disokong oleh Vietnam Computer Emergency Response Team (VNCERT), (ISC)2 (International Information Systems Security Certification Consortium), ISPA.my (Information Security Professional Association of Malaysia) dan Hack in the Box (HITB) Malaysia.

Ia merupakan acara tahunan yang diadakan di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam pada setiap hujung tahun. Pada tahun ini, panel hakim telah bersetuju untuk mengurniakan anugerah Outstanding Chief Information/Security Officer Award ("CSO Award") for 2014 kepada Dr. Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia.

Dr. Amirudin dipilih atas sumbangan, komitemen serta kesungguhan berterusan beliau dalam mengukuhkan lagi prasarana industri keselamatan siber di Malaysia, di mana pelbagai inisiatif serta program diperkenalkan beliau semenjak dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia pada awal tahun 2013.

Sementara itu, penglibatan dan kehadiran CyberSecurity Malaysia pada sidang kemuncak ini menunjukkan sokongan dan penampilan berterusan CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber di persada antarabangsa, mengambil bahagian dalam aktiviti publisiti pada segmen penganugerahan, di samping menjalin hubungan baik serta mengukuhkan hubungan sedia ada dengan pelbagai pihak dalam indusri keselamatan siber.

 
MAJLIS PERTUKARAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) DI ANTARA UNIVERSITI TEKNIKAL MELAKA MALAYSIA (UTEM) DAN CYBERSECURITY MALAYSIA (CSM)
  8 DISEMBER 2014
 

Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) dan CyberSecurity Malaysia telah berlangsung pada 8 Disember 2014 di Hotel Equatorial Melaka. Tujuan MoU diadakan adalah untuk menggalakkan kerjasama menerusi penyelidikan dan pendidikan dalam bidang keselamatan siber bagi memenuhi keperluan industri.

Majlis Pertukaran MoU ini telah disaksikan oleh YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi selepas perasmian World Congress on Information and Communication Technologies (WICT) 2014. UTeM telah diwakili oleh Naib Canselor, YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin bin Sahib manakala CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Lt. Kol. Sazali bin Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Penyelidikan Strategik.

Berdasarkan MoU tersebut, kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pendidikan keselamatan siber di antara UTeM dan CSM akan dipertingkatkan melalui pembangunan sumber manusia dan kemajuan kerjaya dengan menjalankan program akademik bersama melalui pengajian pasca-siswazah peringkat sarjana dan kedoktoran serta program sabatikal dan penempatan industri. Selain itu, persefahaman ini membolehkan perkongsian data, maklumat, pengetahuan, kepakaran dan produk melalui latihan, seminar, bengkel dan kolokium serta penyelidikan usahasama bagi pengeluaran penerbitan seperti jurnal, buku, monograf, laporan dan artikel dalam bidang keselamatan siber.

 
PENETRATION TEST TRAINING FOR HARDWARE SECURITY MODULE (HSM) PRODUCT
  22 – 26 DISEMBER 2014
 

CyberSecurity Malaysia telah menghantar beberapa kakitangan untuk mengikuti Latihan Ujian Penembusan untuk Produk Modul Perkakasan Keselamatan (HSM), yang berlangsung dari 22 hingga 26 Disember 2014 di Tubitak Bilgem Gebze, Turkey. Latihan selama lima hari ini merangkumi skop pembelajaran dan latihan praktikal ujian penembusan perkakasan.

Program latihan telah mendedahkan para peserta mengenai algoritma kriptografi, sistem dan protokol dalam produk HSM. Penjelasan kaedah ujian sewaktu ujian kelemahan khususnya ke arah algoritma dan modul kriptografi telah dimasukkan di dalam modul latihan. Dalam konteks ini, analisis kesalahan, analisis saluran sampingan dan serangan skop fizikal ujian telah ditunjukkan oleh jurulatih sebagai sebahagian daripada modul latihan. Pada akhir latihan, logik kaedah ujian serangan yang digunakan oleh PKCS#11 telah diterangkan dan ditunjukkan oleh jurulatih.

Pengalaman yang diperolehi dari program latihan dan memerhatikan penilaian HSM AVA adalah inisiatif pemindahan teknologi yang akan mengisi jurang untuk CyberSecurity Malaysia dalam mencapai Pusat Kecemerlangan (COE) bagi teknologi kad pintar. Di samping itu, kakitangan CyberSecurity Malaysia juga akan menjadi cekap dan mempunyai pengetahuan dalam melaksanakan ujian penembusan pada produk HSM untuk projek masa depan.

 
MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA MAMPU & CYBERSECURITY MALAYSIA
  30 DISEMBER 2014
 

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan CyberSecurity Malaysia telah berlangsung pada 30 Disember 2014. Memorandum Persefahaman (MoU) ini dapat mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang keselamatan siber di antara Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan CyberSecurity Malaysia.

Secara umumnya, MoU ini mengukuhkan lagi hubungan kerja dalam bidang keselamatan siber dan pembangunan kepakaran untuk kepentingan pembangunan negara. Tambahan pula, MoU ini berhasrat untuk mewujudkan kerjasama pintar yang mengukuhkan lagi keupayaan keselamatan siber kerajaan. Sebagai rakan kongsi operasi strategik, pelaksanaan projek merangkumi kerjasama dalam pengurusan insiden keselamatan siber, forensik digital, pembangunan kompetensi dalam bidang keselamatan siber, program kesedaran dan pembudayaan keselamatan siber, jaminan keselamatan, tadbir urus, risiko dan pematuhan keselamatan maklumat dan pensijilan produk keselamatan siber.