Bahasa | English CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
  Isu 7 | Suku keempat - 2014
   
 
NOVEMBER 2014
LAWATAN KERJA DARI STATE TECHNICAL SERVICE REPUBLICAN ENTERPRISE, KAZAKHSTAN
  10 NOVEMBER 2014
 

Pada 10 November 2014, CyberSecurity Malaysia menerima lawatan kerja dari State Technical Service Republican Enterprise, Kazakhstan. Ahli rombongan terdiri dari tiga wakil State Technical Services Republican Enterprise, Kazakhstan yang diketuai oleh Encik Yerlan Kozhabergenovich Yesmambetov, Pengarah State Technical Services Republican Enterprise, Kazakhstan.

Mesyuarat telah membincangkan peluang untuk memperluaskan hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia – Kazakhstan dalam aspek ICT terutamanya dalam program latihan. Delegasi juga turut dibawa melawat kemudahan makmal yang terdapat di CyberSecurity Malaysia.

Pada 12 November 2014, State Technical Service Republican Enterprise, Kazakhstan telah menandatangani memorandum persefahaman dengan CyberSecurity Malaysia pada acara Cyber Security Malaysia - Awards Conference & Exhibition 2014 (CSM-ACE), di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, Perak.

 
ANUGERAH, PERSIDANGAN DAN PAMERAN – KESELAMATAN SIBER MALAYSIA (CSM-ACE) 2014
  10 - 14 NOVEMBER 2014
 

CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan serta sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan acara Anugerah, Persidangan dan Pameran – Keselamatan Siber Malaysia (CSM-ACE) 2014 pada 10 hingga 14 November 2014 bertempat di Casuarina@Meru Ipoh, Perak.

Bertemakan "Ekosistem Yang Diyakini Dan Dijamin Selamat, CSM-ACE 2014 telah dihadiri seramai 797 peserta, 9 panel pembentang dari dalam dan luar Negara telah membuat pembentangan dan berkongsi pengalaman mereka di sepanjang sesi persidangan, manakala sebanyak 31 buah organisasi pula telah mengambil bahagian di dalam sesi pameran.

CSM-ACE 2014 telah dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, turut hadir ialah YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pada acara tersebut, turut diadakan ialah Majlis Penyampaian Anugerah Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Awards) 2014 di mana pada majlis ini, CyberSecurity Malaysia telah menyampaikan tujuh kategori anugerah keselamatan siber bagi menghargai sumbangan organisasi serta individu dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) amnya, dan keselamatan siber khususnya. Majlis diadakan pada satu Santapan Malam Gala yang diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah.

 
PERSIDANGAN MERIDIAN DAN SEMINAR PERLINDUNGAN INFRASTRUKTUR MAKLUMAT KRITIKAL (CIIP) 2014
  11 - 14 NOVEMBER 2014
 

Berlangung di Shinjuku, Tokyo, Jepun Seminar CIIP dan Persidangan Meridian telah diadakan pada 11 hingga 14 November 2014 anjuran bersama National Information Security Center of Japan (NISC) dan METI (Ministry of Economy, Trade and Industry of Japan).

Persidangan tahunan ini merupakan forum tertutup bagi para perwakilan kerajaan berbincang secara terbuka, bertukar fikiran dan mengambil tindakan bersama dalam kerjasama badan-badan kerajaan di peringkat global mengenai isu Perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal (CIIP/ Critical Information Infrastructure Protection).

Persidangan Meridian yang bertemakan "Meridian – The Next Decade – Developing Our Capacity Together" telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk mempromosi Malaysia sebagai sebuah negara yang aktif dalam bidang keselamatan siber. Ia juga mengetengahkan fungsi CyberSecurity Malaysia di persada dunia serta jalinan hubungan kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dengan organisasi antarabangsa dalam usaha menangani isu-isu keselamatan siber, di samping membolehkan perkembangan pengetahuan semasa dan teknologi bidang keselamatan siber.

Lebih 90 peserta dari 33 buah negara telah mengambil bahagian dalam persidangan ini. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Encik Fazlan Abdullah, Ketua Jabatan Perhubungan Kerajaan yang telah juga membuat pembentangan kertas kerja mengenai implementasi NCSP (National Cyber Security Policy).

Antara hasil serta impak dari penyertaan ini adalah:-

  1. memberi tahap kesedaran keselamatan siber sedunia serta keadaan keselamatan siber semasa negara lain kepada para peserta;
  2. menjalin hubungan kerjasama dengan negara-negara peserta Persidangan Meridian untuk penglibatan keselamatan siber strategik; dan
  3. meneroka peluang kerjasama yang berpotensi dengan negara-negara lain; serta
  4. mempelajari kaedah-kaedah terbaik dalam penggubalan dan implementasi dasar keselamatan siber negara-negara lain.

 
SIDANG KEMUNCAK TAHUNAN DUNIA TRUSTMARK ALLIANCE 2014
  12 - 13 NOVEMBER 2014
 

Dianjurkan oleh CyberSecurity Malaysia, Sidang Kemuncak Tahunan World Trustmark Alliance 2014 telah berlangsung pada 12 dan 13 November 2014 di Casuarina@Meru Hotel Ipoh, Perak.

World Trustmark Alliance (WTA) mempunyai matlamat untuk mengharmonikan piawaian dan garis panduan operasi dalam kalangan pelbagai jenama daripada Trustmark yang diuruskan oleh ahli-ahlinya. Melalui Sidang Kemuncak Tahunan WTA 2014, ia adalah peluang untuk meningkatkan penjenamaan organisasi Trustmark di peringkat global, membina dan mengharmonikan piawaian antarabangsa, kisah-kisah kejayaan dan garis panduan operasi untuk setiap kawasan, menggalakkan industri baru yang terdiri daripada organisasi yang menyediakan perkhidmatan digital dan perniagaan merentas sempadan dan akhir sekali bersedia untuk menghadapi cabaran yang baru muncul seperti peraturan privasi dan perlindungan data merentasi sempadan.

Sidang Kemuncak Tahunan WTA 2014 telah memberi pemahaman kepada ahli-ahli mengenai arah-tuju WTA dalam pelaksanaan e-dagang. Pada akhir mesyuarat, ahli-ahli WTA telah sekali lagi melantik CyberSecurity Malaysia untuk menjadi Pengerusi WTA bagi tahun 2015.

CyberSecurity Malaysia telah memperkenalkan perkhidmatan baru yang dikenali sebagai MyTrustSEAL. Perkhidmatan ini bertujuan menampung permintaan industri dan mempromosikan reputasi Malaysia kepada dunia melalui persekitaran e-dagang yang boleh dipercayai. Melalui keahlian WTA ini, CyberSecurity Malaysia dapat memahami isu-isu antarabangsa dan keperluan e-dagang di samping menyediakan kepakaran kepada negara dan pengguna.

 
PERTANDINGAN WACANA KESELAMATAN ICT KEBANGSAAN PIALA CABARAN CYBERSAFE™
  13 NOVEMBER 2014
 

Seramai 500 pelajar sekolah menengah berkumpul dan menyaksikan acara kemuncak Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan - Piala Cabaran CyberSAFE™ atau National ICT Security Discourse - CyberSAFETM Challenge Trophy atau ringkasnya #NICTSED14 pada 13 November 2014 yang berlangsung Ipoh, Perak sempena penganjuran acara Anugerah, Persidangan dan Pameran – Keselamatan Siber Malaysia (CSM-ACE) 2014.

Lebih 80 peserta dari 16 pasukan telah mengambil bahagian dalam wacana #NICTSeD, yang merupakan suatu pertandingan perbahasan antara sekolah yang menampilkan tahap persaingan yang tinggi dan juga 'sentuhan siber' yang membolehkan peserta menggunakan Internet dan peralatan telefon pintar, tablet, komputer dan sebagainya dalam persediaan, persembahan dan pembelaan. #NICTSeD14 memerlukan analisis perbandingan dan pemahaman isu-isu keselamatan ICT seperti pembulian siber, pro & kontra penggunaan media sosial, dan plagiarisme.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah telah merasmikan upacara penutupan #NICTSeD14 dan seterusnya menyampaikan hadiah serta sijil penyertaan kepada para peserta dan pemenang wacana #NICTSeD14. #NICTSeD14 dianjurkan oleh CyberSecurity Malaysia, dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan dan disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

 
PERSIDANGAN DAN PAMERAN CYBERJAYA INFRA 2014
  18 NOVEMBER 2014
 

Dianjurkan oleh Setia Haruman Technology Sdn Bhd, Cyberjaya Infra Persidangan dan Pameran 2014 telah berlangsung pada 18 November 2014 di Cyberview Resort & SPA, Cyberjaya

Pada persidangan ini Dr Zahri Hj. Yunos, Ketua Pegawai Operasi, CyberSecurity Malaysia telah bentangkan kertas kerja bertajuk " Cyber Terrorism: The New Facet of Cyber Threats". Persidangan telah dirasmikan oleh YBhg Dato' Yasmin Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif MDeC dan dihadiri lebih daripada 100 peserta dalam negara.

Di samping merangsangkan pertumbuhan bakat-bakat terbaik dalam kelas masing-masing, persidangan ini membolehkan perkongsian maklumat berkenaan trend ancaman siber masa kini, mempromosi CyberSecurity Malaysia sebagai agensi pakar dalam bidang keselamatan siber dan mengeratkan kerjasama dan hubungan baik dengan pihak industri dalam inisiatif keselamatan siber di Malaysia.

 
SESI PERANCANGAN STRATEGI UNTUK KESELAMATAN SIBER DAN PROMOSI ICT DI NEGARA ANGGOTA OIC
  21 - 22 NOVEMBER 2014
 

Dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap OIC mengenai Kerjasama Sains dan Teknologi (COMSTECH), Strategi Sesi Perancangan untuk Keselamatan Siber dan Promosi ICT di negara anggota OIC telah diadakan pada 21-22 November 2014 di Islamabad, Pakistan.

Pembentangan bertajuk "Cyber Security Capacity Building Program for OIC Member Countries" telah dibuat oleh Dr Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia manakala "Malaysia's National Cyber Security Policy" dan "Cyber Security for OIC Countries"pula dilakukan oleh Dr Zahri Hj Yunos, Ketua Pegawai Operasi, CyberSecurity Malaysia.

Satu mesyuarat telah diadakan untuk mendapatkan maklumbalas sebagai persediaan Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara OIC yang akan diadakan di Pakistan pada bulan April 2015. Pakar-pakar isu berkenaan dari Pakistan, Malaysia, Nigeria, Amerika Syarikat dan Oman telah dijemput untuk mesyuarat perundingan ini.

Mesyuarat itu dapat mengukuhkan sektor Sains dan Teknologi bagi negara-negara anggota OIC, terutamanya dalam bidang ICT dan keselamatan siber. Ia juga membantu untuk menggalakkan inisiatif strategik Malaysia dalam bidang keselamatan siber melalui landasan OIC-CERT dan jambatan kerjasama antara CyberSecurity Malaysia dan badan-badan antarabangsa yang lain dalam menangani isu-isu keselamatan siber.

 
 
PROGRAM KESEDARAN KESELAMATAN SIBER - TREND DAN ANCAMAN SIBER MASA KINI
  28 NOVEMBER 2014
 

En Zahri Hj. Yunos, Ketua Pegawai Operasi, CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk memberi ceramah pada dua program kesedaran keselamatan siber yang dianjurkan Fakulti Kejuruteraan Jawatankuasa Rangkaian Industri, Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya pada 28 November 2014 dan Pusat Komputer, Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah 2 Disember 2014.

Program tersebut telah dihadiri seramai 150 orang kakitangan serta pelajar kedua-dua Universiti berkenaan. Pada sesi ceramah tersebut, En Zahri telah membentangkan dua kertas bertajuk "Issues and Challenges in Today's Cyberspace Environment" dan "The New Facet of Cyber Threats and the Implications for the Global Security". Penganjuran program seumpama ini dapat merealisasikan iltizam dalam memperkayakan ilmu mengenai keselamatan siber dalam kalangan akademia. Di samping itu, perkongsian pengalaman En Zahri mengenai trend serta ancaman siber masa kini telah dapat meningkatkan kesedaran para pelajar dan kakitangan berkenaan isu dan cabaran di alam siber masa kini.