Bahasa | English CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
  Isu 7 | Suku keempat - 2014
   
 
OKTOBER 2014
SEMINAR KESELAMATAN PELABUHAN SERANTAU
  13 - 18 OKTOBER 2014
 

Seminar Regional Port Security telah dianjurkan oleh Southeast Asia Regional Centre For Counter Terrorism (SEARCCT) bertujuan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mengenai ancaman keganasan terhadap komuniti global. Seminar ini menyediakan forum bagi para peserta berkongsi maklumat dan pengalaman untuk mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan, mengesan dan mencegah serangan keganasan yang boleh berlaku ke atas kemudahan pelabuhan di sesebuah negara.

Lt. Kol Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Penyelidikan Strategik, CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk "Cyber Terrorism: Current Trend and its Challenges to Maritime and Port Security". Beliau membentangkan maklumat mengenai situasi dan insiden terkini keselamatan siber di Malaysia serta beberapa pendekatan holistik keselamatan siber yang terdapat di agensi kerajaan, industri dan masyarakat bagi memastikan persekitaran siber yang selamat dan boleh dipercayai.

Jemputan oleh pihak SEARCCT kepada CyberSecurity Malaysia merupakan satu penghargaan dan pengikitirafan ke atas fungsi CyberSecurity Malaysia. Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam seminar ini telah mempamerkan komitmen dan kesungguhan CyberSecurity Malaysia di peringkat negara dan antarabangsa, terutamanya dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan peserta terhadap ancaman siber semasa.

 
HACK IN THE BOX CONFERENCE (HITB)
  15 - 16 OKTOBER 2014
 

Persidangan Hack In The Box or HITBSecConf merupakan satu persidangan tahunan keselamatan yang dihadiri oleh para penyelidik keselamatan dan ahli-ahli profesional keselamatan siber dari seluruh dunia.

HITBSecConf menyediakan platform perbincangan dan penyebaran maklumat mengenai isu keselamatan siber bagi generasi yang akan datang. Di samping itu, ia juga meningkatkan keupayaan strategik, pengetahuan teknikal serta kecekapan operasi para peserta dalam menangani isu keselamatan siber. Penyertaan CyberSecurity Malaysia dalam persidangan ini telah dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran analisis dan kecekapan kakitangan dalam menjalankan proses penilaian sesuatu sistem rangkaian komputer.

 
PERSIDANGAN TAHUNAN OIC-CERT 2014 SERTA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN YANG KE-6
  19 – 22 OKTOBER 2014
 

Dianjurkan bersama oleh Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) dan CyberSecurity Malaysia, Persidangan Tahunan OIC-CERT 2014 serta Mesyuarat Agung Tahunan yang ke-6 telah berlangsung pada 19 hingga 22 Oktober 2014 di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. Selain Persidangan Tahunan OIC-CERT 2014, terdapat beberapa acara lain yang berlangsung, antaranya:

  • Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu OIC-CERT
  • Bengkel Teknikal dan Perbincangan Interaktif Desktop
  • Mesyuarat Agung Tahunan OIC-CERT Kali Ke-6
  • Pameran oleh penaja dan rakan komersial OIC-CERT

Persidangan OIC-CERT 2014 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Negara Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang juga selaku Pemangku Pengerusi Majlis Keselamatan Negara Brunei Darussalam.

Dengan tema "Emerging Risks Versus Opportunities", persidangan ini bertujuan menangani isu-isu terkini dalam keselamatan siber seperti Cloud Computing dan Data Besar. Persidangan tahunan ini merupakan acara tahunan OIC-CERT untuk meningkatkan kemampuan teknikal dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam kalangan ahli-ahli dan organisasi-organisasi keselamatan maklumat.

Persidangan ini telah dihadiri oleh 116 orang peserta dari 16 buah negara. 16 penceramah telah membentangkan kertas kerja dan berkongsi idea mengenai isu-isu ancaman siber yang terkini. Sebagai Sekretariat Tetap OIC-CERT, CyberSecurity Malaysia akan terus mengekalkan kepimpinan dan komitmen bagi memastikan koordinasi dan pelaksanaan aktiviti OIC-CERT.

 
KURSUS INTERNAL AUDITING ISO/IEC 17025:2005
  20 – 21 OKTOBER 2014
 

Kursus Internal Auditing ISO/IEC 17025:2005 telah dianjurkan oleh Sirim Training Services Sdn Bhd pada 20 dan 21 Oktober 2014 di Shah Alam. Kursus ini memberi latihan yang komprehensif dan praktikal berkaitan aktiviti audit dalaman seperti perancangan, prestasi dan penyediaan laporan serta laporan susulan.

Objektif kursus adalah untuk memahami prinsip dan konsep audit dalaman serta mengenal pasti keperluan ISO 9001:2008 dan ISO/IEC 17025:2008. Para peserta kursus mempelajari langkah-langkah menguruskan proses audit, merancang dan melaksanakan audit. Kursus ini juga menyentuh cara penulisan laporan audit dan melaksanakan tindakan pembetulan dan susulan.

16 orang peserta telah menghadiri kursus ini, manakala CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Cik Madihah Md Jalal Fahmey dan Cik Noor Asyikin Zulkifli.

 
LAWATAN TREND MICRO CSIRT DAN LAWATAN KE TAIWAN CERT
  21 – 25 OKTOBER 2014
 

Lawatan ke Trend Micro CSIRT dan Taiwan CERT telah diadakan dari 21 hingga 25 Oktober 2014 oleh Trend Micro CSIRT. Lawatan ini bertujuan menjalankan audit terhadap Trend Micro CSIRT bagi memastikan syarat-syarat wajib untuk menjadi ahli FIRST dipenuhi sepenuhnya oleh Trend Micro CSIRT.

CyberSecurity Malaysia telah melakukan audit terhadap polisi dan prosedur, rangkaian dan sistem infrastruktur serta skop kerja tindak balas insiden Trend Micro CSIRT. Wakil CyberSecurity Malaysia turut mengadakan lawatan ke TWNCERT dan membincangkan insiden terkini mengenai sekuriti, Honeynet, berita sekuriti dan juga Phishing, di samping membincangkan kerjasama dari segi penyelidikan.

 
PROGRAM MDEC TECHNOLOGY ACCELERATION 2014
  27 OCTOBER 2014
 

Dianjurkan oleh Multimedia Development Corporation (MDEC), Program MDeC Technology Accelaration 2014 telah berlangsung pada 27 Oktober 2014 di Auditorium Bunga Raya, Pejabat MDeC, Cyberjaya.

Antara aktiviti adalah kursus yang dijalankan oleh saintis data dari Revolution Analytics, sesi mentorship bagi membantu menyelesaikan masalah Big Data berdasarkan keperluan organisasi, membentangkan hasil produk awalan (proof-of-concept) kepada 20 organisasi terpilih untuk menilai kemajuan organisasi yang terlibat di bawah program MDeC TAP 2014.

CyberSecurity Malaysia telah membentangkan projek Big Data untuk mengesan laman web penipuan pelaburan yang telah menyebabkan implikasi negatif seperti kehilangan wang ringgit dan percubaan bunuh diri dalam kalangan mangsa.

 
2014 PERSIDANGAN ANTARABANGSA "PREVENTION AND SUPPRESSION OF HI-TECH CRIME"
  29 – 30 OKTOBER 2014
 

Persidangan Antarabangsa Prevention and Suppression of Hi-Tech Crime 2014 telah diadakan pada 29 dan 30 Oktober 2014 di Hanoi, Vietnam anjuran Kementerian Keselamatan Awam Vietnam.

Objektif persidangan ini adalah untuk menjalankan forum bersama pegawai-pegawai penyiasat jenayah siber bagi berkongsi maklumat, masalah dan halangan dalam menangani masalah jenayah siber.

CyberSecurity Malaysia telah membuat pembentangan bertajuk "Malaysia Perspective in Handling High Technology Crimes: Case Study On Sharing The Experiences In Handling High-Tech Crimes That Focus On APT Attack And Banker Malware".

Persidangan ini membolehkan pertukaran maklumat dalam memahami kepentingan membanteras jenayah siber dan memperluaskan kerjasama antarabangsa.

 
PELANCARAN PRODUK MYTRUSTSEAL
  31 OKTOBER – 2 NOV 2014
 

Pelancaran produk MyTrustSEAL telah diadakan sempena Persidangan dan Pameran Inovasi Kebangsaan (NICE2014) yang berlansung dari 31 Oktober hingga 2 November 2014 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Perkhidmatan ini menyediakan aktiviti pengauditan dan pengesahan keselamatan transaksi dalam talian dan maklumat dalam laman sesawang. Tujuan perkhidmatan ni diperkenalkan adalah untuk meningkatkan tahap kepercayaan pengguna kepada laman sesawang terutamanya yang melibatkan pembelian atau penjualan produk dalam talian.

Majlis Pelancaran MyTrustSEAL telah disempurnakan pada 31 Oktober 2014 oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Dr. Ewon Ebin. YB Menteri turut meluangkan masa melawat ruang pameran CyberSecurity Malaysia dan mendengar taklimat mengenai MyTrustSEAL yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr. Amirudin Abdul Wahab. Sepanjang tempoh persidangan dan pameran, seramai 250 orang telah mengunjungi tapak pameran CyberSecurity Malaysia dan mendengar penjelasan mengenai MyTrustSEAL.

Diharapkan agar perkhidmatan MyTrustSEAL akan lebih dikenali oleh pihak syarikat terutamanya organisasi yang menjalankan perniagaan dalam talian dan juga orang awam. Perkhidmatan MyTrustSEAL diharap dapat meningkatkan keselamatan transaksi elektronik dan juga meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap e-dagang di Malaysia.