Bahasa | English CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
  Isu 9 | Suku kedua - 2015
   
 
APRIL 2015
Ops Jelajah Cyber – Zon 3, Terengganu
  2 - 8 APRIL 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah melaksanakan program “Ops Jelajah Cyber” ke Zon 3 di Negeri Terengganu bermula dari 2 hingga 8 April 2015.

Ops Jelajah Cyber adalah inisiatif di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) CyberSecurity Malaysia yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), disokong oleh Kerajaan Negeri yang terlibat serta penyertaan dari industri keselamatan siber di Malaysia, seperti Myung Inovasi Terkini, Huawei dan Prisma Khas Sdn Bhd.

Ia merupakan satu siri penjelajahan yang diadakan khusus bagi membantu penduduk terjejas banjir. Antara daerah yang dikunjungi Ops Jelajah Cyber di Negeri Terengganu ialah Kemaman dan Dungun.

Bantuan berupa perkhidmatan pemulihan data telah berjaya membantu mangsa banjir mendapatkan kembali maklumat (data atau imej) yang disimpan di dalam gajet ICT seperti komputer riba, CPU, external hard disc, cakera keras serta kad memori yang telah musnah atau rosak akibat bencana banjir.

Selain perkhidmatan pemulihan data, Ops Jelajah Cyber turut mengadakan khidmat runding cara mengenai penyaringan data, berkongsi maklumat mengenai amalan terbaik pengurusan data serta membuat penerangan mengenai jenis-jenis insiden dan ancaman keselamatan siber serta cara pelaporan dan pengendalian insiden keselamatan siber melalui Pusat Bantuan Cyber999, CyberSecurity Malaysia.

 
Lawatan Kerja Pengarah Eksekutif, Market & Corporate Supervision dan Delegasi Suruhanjaya Sekuriti ke CyberSecurity Malaysia
  6 APRIL 2015
 

Pada 6 April 2015, CyberSecurity Malaysia menerima kunjungan dari delegasi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang diketuai oleh Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengarah Eksekutif, Bahagian Market & Corporate Supervision. Tujuan lawatan tersebut diadakan adalah bagi membincangkan kerjasama dan perkhidmatan berkaitan keselamatan siber yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia, antaranya program latihan kepakaran dalam bidang forensik digital, tindakbalas kecemasan siber dan juga jaminan keselamatan maklumat serta pensijilan keselamatan siber.

Lawatan ini telah mengukuhkan jalinan kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dengan Suruhanjaya Sekuriti dalam bidang keselamatan siber di Malaysia.

 
Mesyuarat serta Lawatan Kerja ke CNCERT, Beijing, China
  14 – 17 APRIL 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengadakan lawatan kerja ke CNCERT (The National Computer Network Emergency Response Technical Team/Coordination Center of China) pada 14 hingga 17 April 2015.

Lawatan tersebut adalah hasil dari perjanjian persefahaman yang dimeterai antara CyberSecurity Malaysia dan CNCERT pada tahun 2011, di mana kedua-dua pihak perlu secara berterusan mengukuhkan kerjasama dalam bidang keselamatan rangkaian dan tindakbalas kecemasan siber.

Semasa lawatan ini, CyberSecurity Malaysia telah mengambil peluang mengadakan beberapa siri perbincangan bagi mengenalpasti bidang-bidang yang bakal diterokai oleh kedua-dua agensi, antaranya isu-isu berkaitan keselamatan siber, kaedah bagi meningkatkan lagi kecekapan teknikal anggota dalam menangani insiden siber, di samping membincangkan hala tuju strategik dan cabaran masa depan.

Lawatan telah disertai oleh Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi, Dr. Aswami Fadillah Mohd Ariffin, Naib Presiden, Perkhidmatan Tindakbalas Keselamatan Siber dan Megat Muazzam Abdul Mutalib, Ketua Jabatan MyCERT dari CyberSecurity Malaysia.

 
Karnival Khazanah ICT Day 2015, Kuala Lumpur
  16 APRIL 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai Karnival Khazanah ICT Day 2015 yang berlangsung pada 16 April 2015 di Khazanah Nasional Berhad, Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Karnival sehari ini dianjurkan oleh Khazanah Nasional Berhad bagi memberi pendedahan serta memupuk kesedaran dalam kalangan kakitangannya mengenai ICT masa kini dan juga kepentingan keselamatan siber.

CyberSecurity Malaysia telah mempamerkan perkhidmatan Pemulihan Data, Penyaringan Data, Cyber999 dan juga MyCyberSecurityClinic. Selain pameran, CyberSecurity Malaysia turut terlibat di dalam beberapa sesi ceramah, antaranya “ADAB of Digital Citizens” yang telah disampaikan oleh Aaron Mokhtar dari Jabatan Outreach & Komunikasi Korporat, serta sesi penerangan teknikal oleh Tajul Josalmin Tajul Ariffin dari Jabatan Digital Forensik dan Md. Shahrom Abu daripda Jabatan MyCERT.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di dalam karnival ini telah berjaya menarik minat Khazanah Nasional Berhad untuk menyertai program latihan yang ditawarkan sempena acara CSM-ACE 2015 yang akan berlangsung dari 6 hingga 10 September 2015 anjuran CyberSecurity Malaysia di Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur.

 
Karnival Science 4U – Zon Tengah – Kiblat Walk, Putrajaya
  16 – 18 APRIL 2015
 

Pada 16 hingga 18 April 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam acara Karnival Science 4U peringkat Zon Tengah di Putrajaya.

Karnival anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai bidang Sains dan Teknologi. Selain menyokong program anjuran MOSTI, penglibatan CyberSecurity Malaysia pada karnival ini telah dapat menghebahkan kepada orang ramai mengenai kepentingan keselamatan siber serta bidang teknologi maklumat, agar masyarakat sedar akan kepentingan keselamatan ICT di era globalisasi masa kini.

 
Cyber Intelligence Asia Conference 2015, Manila, Philippines
  22 - 23 APRIL 2015
 

Pada 22 dan 23 April 2015 telah berlangsung Persidangan Cyber Intelligence Asia 2015 di Manila, Filipina. Persidangan selama dua hari ini telah disertai seramai 150 delegasi dari pelbagai negara di rantau Asia Pasifik dan juga Eropah. Cyber Intelligence Asia 2015 merupakan satu persidangan yang memberi tumpuan kepada keselamatan dan jenayah siber di rantau Asia.

Dr. Zahri Hj Yunos, Ketua Pegawai Operasi, telah mewakili CyberSecurity Malaysia ke persidangan ini, di mana beliau telah membuat pembentangan bertajuk “Understanding The Element of Cyber Terrorism”. CyberSecurity Malaysia turut diwakili oleh Dr. Aswami Fadillah Mohd Ariffin, Naib Presiden Perkhidmatan Tindakbalas Keselamatan Siber.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di dalam persidangan ini telah memberi peluang Kkepada CyberSecurity Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan maklumat berkaitan keganasan siber dan keselamatan siber, di samping ia juga merupakan satu pengiktirafan kepada CyberSecurity Malaysia di peringkat antarabangsa.

 
Mesyuarat serta Lawatan Kerja ke Trendmicro, Manila, Philipines
  24 APRIL 2015
 

Satu lawatan kerja telah dibuat ke Pejabat Penyelidikan Trendmicro yang merupakan pusat peneraju penyelidikan malware global di Manila, Filipina pada 24 April 2015.

Lawatan delegasi CyberSecurity Malaysia telah dimanafaatkan sepenuhnya dengan mempelajari teknik penyelidikan malware, bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dan inisiatif dalam penyelidikan malware. Lawatan ini telah mengukuhkan hubungan kerja di antara CyberSecurity Malaysia dan Trendmicro dalam bidang keselamatan siber.

Selain itu, lawatan ini juga menyediakan platform mengenai visi dan arah tuju teknologi keselamatan siber semasa, di samping merapatkan lagi kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dengan pertubuhan-pertubuhan lain di dunia dalam menangani isu-isu keselamatan siber.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Dr. Zahri Hj Yunos, Ketua Pegawai Operasi dan Dr. Aswami Fadillah Mohd Ariffin, Naib Presiden Perkhidmatan Tindakbalas Keselamatan Siber.

 
Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Celik CyberSAFE – ASUH, Kuala Lumpur
  25 APRIL 2015
 

Pada 25 April 2015 telah berlangsung satu Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Celik CyberSAFE – ASUH bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sempena Pesta Buku Antarabangsa Malaysia Kali ke-34.

Kuiz Celik CyberSAFE – ASUH telah dianjurkan oleh CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Majalah ASUH bermula pada bulan April 2014 dan berakhir pada bulan Mac 2015. Sepanjang berlangsungnya Kuiz tersebut, para pemenang bulanan telah pun dikenalpasti, manakala majlis penyampaian hadiah yang diadakan ini adalah bagi meraikan para pemenang kategori soalan terkumpul. Antara tiga pemenang utama kategori soalan terkumpul adalah:-

  1. Adik Hadieja Sofea bt Saidin dari Terengganu
  2. Adik Shifa’a bt Saufi dari Kelantan,
  3. Adik Luqman bin Kassim Lim dari Selangor.

Kuiz ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program CyberSAFE bagi memupuk kesedaran serta kefahaman para pelajar sekolah rendah mengenai kepentingan keselamatan siber serta amalan positif penggunaan komputer.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Lt. Kol. Mustaffa Ahmad (Bersara), Naib Presiden, Bahagian Outreach dan Pembangunan Kapasiti.

 
Sesi Taklimat Peralihan ISMS, Putrajaya
  29 APRIL 2015
 

Satu sesi taklimat mengenai Peralihan ISMS kepada standard atau versi terkini iaitu ISO/IEC 27001:2013 telah diadakan pada 29 April 2015 kepada organisasi yang berjaya memperolehi pensijilan di bawah skim CSM27001.

Taklimat ini diadakan dengan tujuan:-

  1. membantu organisasi dalam melaksanakan proses peralihan kepada standard terkini;
  2. mengenal pasti isu dan masalah dalam proses peralihan; dan
  3. memberi panduan serta hala tuju kepada organisasi dalam pelaksanaan ISMS versi terkini.

Seramai 39 orang peserta yang mewakili pelbagai organisasi dari sektor awam dan swasta.

Sesi taklimat ini telah memberi peluang kepada organisasi yang mempunyai isu dan masalah mengenai pelaksanaan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) untuk berbincang dengan lebih mendalam bersama CyberSecurity Malaysia bagi memastikan kelicinan pelaksanaan ISMS di organisasi masing-masing

 
Karnival Science 4U – Zon Sabah, Penampang
  29 APRIL – 1 MAY 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai Karnival Science 4U bagi Zon Sabah selama tiga hari bermula dari 29 April hingga 1 Mei 2015 di Penampang, Sabah.

Karnival Science 4U anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diadakan di seluruh negara ini merupakan platform kepada CyberSecurity Malaysia untuk berkongsi maklumat dan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai keselamatan siber, di samping mempromosikan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia.