Bahasa | English CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
  Isu 9 | Suku kedua - 2015
   
 
JUN 2015
Lawatan Kerja Strategik ke AlliaCERT, Paris, Perancis
  1 – 2 JUN 2015
 

Pada 1 dan 2 Jun 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan lawatan kerja ke AlliaCERT (Alliacom Computer Emergency Response Team) yang beribupejabat di Paris, Perancis. AlliaCERT telah memohon CyberSecurity Malaysia sebagai penaja utama untuk mereka menjadi ahli Forum for Incident Response and Security Teams (FIRST) dan lawatan kerja ini merupakan salah satu aktiviti yang perlu dilaksanakan. CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Dr. Zahri Hj Yunos, Ketua Pegawai Operasi dan Megat Muazzam Abdul Mutalib, Ketua Jabatan MyCERT.

Semasa lawatan, mereka telah meninjau aktiviti, operasi dan prosedur AlliaCERT. Sementara itu, beberapa siri perbincangan turut diadakan bagi memupuk jalinan kerjasama strategik di antara CyberSecurity Malaysia dan Alliacom mengenai pelbagai perkara termasuk isu-isu berkaitan insiden keselamatan siber.

Hasil dari perbincangan tersebut telah membantu CyberSecurity Malaysia untuk melaksanakan projek-projek di bawah inisiatif Pusat Kecemerlangan (COE). Kedua-dua organisasi juga bersetuju untuk saling berkongsi pengalaman, kepakaran teknikal serta menjalin kerjasama dalam melaksanakan projek-projek penyelidikan “Honeynet” dan ancaman malware, serta program keselamatan siber bagi Security Operation Center yang berpangkalan di Perancis. Satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan dimeterai di antara Alliacom dan CyberSecurity Malaysia bagi merealisasikan jalinan kerjasama strategik ini.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam penilaian AlliaCERT sebagai ahli FIRST merupakan satu pengiktirafan kepada CyberSecurity Malaysia di peringkat antarabangsa. Ini menunjukkan bahawa, kepakaran serta kredibiliti CyberSecurity Malaysia sebagai Agensi peneraju bidang keselamatan siber diperakui bukan sahaja di dalam Negara, malah di peringkat global.

 
Lawatan Kerja Duta Besar dan Delegasi Industri ICT Republik Czech
  2 JUN 2015
 

Pada 2 Jun 2015, CyberSecurity Malaysia telah menerima kunjungan hormat dari Duta Besar Besar Republik Czech ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Rudolf Hykl bersama delegasi dari industri ICT republik tersebut. Para delegasi telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr. Amirudin bin Abdul Wahab.

Pada lawatan tersebut, delegasi telah diberi taklimat mengenai fungsi serta peranan CyberSecurity Malaysia sebagai sebuah agensi yang diberi mandat oleh Kerajaan untuk meneraju bidang berkaitan keselamatan siber di Malaysia serta peranan CyberSecurity Malaysia sebagai Sekretariat Tetap Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer bagi Pertubuhan Kerjasama OIC atau OIC-CERT.

Turut dibincangkan adalah peluang-peluang bagi memperluaskan lagi kerjasama dua hala di antara kedua Negara dari aspek ICT terutamanya dalam bidang keselamatan siber termasuk program latihan kepakaran keselamatan siber.

 
Seminar Teknikal Colloquium FIRST 2015, Amsterdam, Belanda
  4-6 JUN 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Seminar Teknikal Colloquium FIRST 2015 dari 4 hingga 6 Jun 2015 di Amsterdam, Belanda. Seminar anjuran CISCO System Amsterdam ini telah dihadiri lebih 100 orang peserta dari pelbagai negara di seluruh dunia.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Norlinda Jaafar dan Ahmad Aizuddin Aizat Tajul Arif dari Jabatan MyCERT. Pada seminar yang bertemakan “Memory Forensic For Incident Responders” tersebut, satu pembentangan kertas kerja telah dilakukan oleh Norlinda bertajuk “Mobile Threats – MyCERT Case Study”

Seminar ini merupakan platform untuk ahli FIRST serantau berbincang dan berkongsi maklumat mengenai pendedahan, insiden serta isu-isu yang memberi kesan kepada operasi pasukan tindak balas keselamatan.

Pada Seminar ini, penyelidikan kajian kes yang dilakukan oleh MyCERT mengenai “Mobile Threats” telah diterima oleh pihak penganjur sebagai topik perbincangan. Ini merupakan satu pengiktirafan kepada CyberSecurity Malaysia dipersada antarabangsa.

 
Hari Keselamatan Siber, Kuala Lumpur
  8 JUN 2015
 

Pada 8 Jun 2015, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan satu seminar Cyber Security Day 2015 bagi memperkenal dan mempromosikan perkhidmatan CyberSecurity Malaysia kepada organisasi-organisasi CNII sama ada agensi kerajaan mahu pun sektor swasta.

Seminar ini telah memberi peluang kepada para pelanggan yang berpotensi untuk berinteraksi secara langsung bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai fokus, perspektif dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia. Pada seminar ini juga, landskap keselamatan siber semasa turut dibentangkan, selain ianya turut membuka peluang bagi jalinan kerjasama diwujudkan antara CyberSecurity Malaysia dengan pelbagai agensi CNII.

Seminar sehari ini telah dihadiri oleh pelbagai organsasi CNII dan telah dirasmikan oleh Dr. Amirudin bin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia. Beberapa pembentangan turut diadakan oleh pegawai CyberSecurity Malaysia, antaranya Lt. Kol. Sazali bin Sukardi (Bersara) dengan tajuk “2015 Cyber Security Trends and Threats”, Carrine Teoh Chooi Shi – “Our Solutions to your Cyber Security Needs” dan Sharifah Roziah bt Mohd Kassim – “Cyber Security Landscape in Malaysia”.

Seminar ini telah berjaya memperkenalkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia kepada agensi CNII, agensi kerajaan dan sektor swasta serta mewujudkan kesedaran dalam kalangan agensi-agensi tersebut tentang produk/perkhidmatan CyberSecurity Malaysia.

The seminar was successfully introduce services offered by CyberSecurity Malaysia to CNII agencies, government agencies and the private sector as well as creating awareness among these agencies about the product / service CyberSecurity Malaysia.

 
Seminar ICT Peringkat Kebangsaan - MyGOV Tech 2015
  9 JUN 2015
 

Pada 9 Jun 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Seminar ICT Kebangsaan – MyGOV Tech 2015. Acara berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Seminar dan Pameran sehari anjuran Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Antara penglibatan CyberSecurity Malaysia pada acara ini adalah sebagai pempamer, di mana CyberSecurity Malaysia telah mempamerkan perkhidmatan berkaitan keselamatan siber seperti pemulihan data, penyaringan data, MyCyberSecurity Clinic, perkhidmatan Cyber999 serta perkhidmatan pensijilan.

CyberSecurity Malaysia juga turut terlibat sebagai pembentang, di mana Sharifah Roziah Mohd Kassim, Specialist dari Jabatan MyCERT telah membuat pembentangan bertajuk “Current Security Threats‎ in Malaysia”.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada acara MyGov-Tech 2015 telah berjaya menarik minat ramai pihak terutama dari kakitangan Kementerian serta Jabatan Kerajaan, di mana ianya telah membuka peluang kepada mereka secara individu untuk menghantar peralatan ICT penyimpanan data mereka untuk dibuat pemulihan data.

 
Persidangan Asia PKI 2015
  9-10 JUN 2015
 

Pada 9 dan 10 Jun 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Persidangan ASIA Public Key Infrastructure (PKI) 2015 yang diadakan di Kuala Lumpur. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamed Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Persidangan yang dianjurkan oleh SecureMetric Technology Sdn Bhd dan Asia PKI Consortium ini diadakan bagi memberi peluang kepada pakar-pakar keselamatan siber berkongsi maklumat, pengalaman serta kepakaran mereka dalam bidang kriptografi dan keselamatan digital mengenai isu–isu yang dihadapi berkaitan pelaksanaan Public Key Infrastructure (PKI) di negara Asia.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan satu platform rangkaian yang berkesan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam kalangan pemain industri PKI di seluruh dunia. Seramai 300 orang peserta telah menyertai program ini.

 
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara CyberSecurity Malaysia dan Moroccan National Defense through the General Direction of Information System Security (DGSSI), Kuala Lumpur
  10 JUN 2015
 

Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara CyberSecurity Malaysia dan Moroccan National Defense through the General Direction of Information System Security (DGSSI) telah diadakan pada 10 Jun 2015. Upacara tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr. Amirudin Abdul Wahab dengan disaksikan oleh Duta Besar Maghribi ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ahmed Faouzi. Terdahulu, dokumen berkenaan telah ditandatangani oleh wakil Kerajaan Magribi yang bertanggungjawab dalam hal pentadbiran pertahanan, Mr Abdeltif Loudyi.

Selaras dengan peranan CyberSecurity Malaysia sebagai sebuah agensi pakar dan teknikal keselamatan siber, usaha berterusan perlu diadakan bagi memperluaskan lagi capaian perkhidmatan yang ditawarkan CyberSecurity Malaysia sama ada di dalam mahupun luar negara.

Menerusi platfom OIC-CERT (Pasukan Tindakbalas Keselamatan Komputer – Pertubuhan Kerjasama Negara Islam), kedua-dua agensi iaitu CyberSecurity Malaysia dan Morocco Computer Emergency Response Team (maCERT) - sebuah entiti di bawah Moroccan National Defense through the General Direction of Information System Security (DGSSI) telah bersetuju untuk menjalin kerjasama dalam memperkasakan industri keselamatan siber di kedua-dua negara.

Melalui MoU ini, kepakaran teknikal dan perkhidmatan sokongan berkaitan isu menangani ancaman siber dapat dilaksanakan. Selain itu, ianya turut meningkatkan peluang untuk saling bertukar pendangan, berkongsi pengetahuan dan pengalaman, meningkatkan pembangunan kepakaran serta penyelidikan sistem maklumat keselamatan dan program pembangunan bagi menerajui usaha pelaksanaan keselamatan siber yang merentasi industri dan sektor ekonomi.

 
Sesi Perjumpaan Suku kedua (Q2) OWASP Malaysia 2015
  12 JUN 2015
 

Pada 12 Jun 2015, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan satu sesi perjumpaan tahunan Pertubuhan OWASP Cawangan Malaysia. OWASP atau Open Web Application Security Project merupakan satu pertubuhan yang diadakan khusus bagi komuniti online untuk aplikasi keselamatan laman sesawang.

Perjumpaan tahunan Q2 ini diadakan untuk berbincang dan berkongsi maklumat mengenai keselamatan laman sesawang. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia. Lebih 60 orang peserta yang terdiri dari para professional, pakar-pakar bidang keselamatan aplikasi laman sesawang, pelajar universiti, syarikat-syarikat keselamatan komputer, pengaturcara aplikasi laman sesawang dan ahli OWASP Malaysia telah menghadiri sesi ini.

CyberSecurity Malaysia telah mengambil peluang untuk memberi penerangan tentang fungsi serta peranan CyberSecurity Malaysia kepada ahli OWASP selain memperkenalkan perkhidmatan serta program yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia.

 
Signing Ceremony of Memorandum of Agreement (MoA) between International College of Yayasan Melaka (ICYM) and CyberSecurity Malaysia
  12 JUN 2015
 

Pada 12 Jun 2015, telah berlangsung satu Majlis Menandatangani Perjanjian (Reseller & Licensing Agreement) di antara CyberSecurity Malaysia dengan International College of Yayasan Melaka (iCYM) atau Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka. Majlis diadakan susulan dari perbincangan bagi mewujudkan kerjasama antara organisasi di bawah Skim Reseller dan Licensing.

Dengan termeterainya perjanjian ini, kedua-dua organisasi kini komited dalam memastikan pembangunan modal insan yang berterusan melalui program-program latihan kemahiran yang menggunakan tenaga pakar kedua-dua organisasi.

Pada majlis ini, MoA telah ditandatangani oleh Dr. Amirudin Abdul Wahab Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, manakala iCYM pula diwakili oleh Datuk Saroni Judi, CEO iCYM.

 
Bengkel Pensijilan Professional Keselamatan Siber, Port Dickson
  12 – 13 JUN 2015
 

Pada 12 dan 13 Jun 2015, CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan bengkel pensijilan profesional keselamatan siber dengan tujuan mewujudkan skim persijilan profesional keselamatan siber untuk Malaysia, negara-negara OIC dan negara-negara serantau.

Bengkel selama dua hari ini telah membincangkan isu-isu berkaitan struktur tadbir urus pensijilan professional, mengemaskini struktur sedia ada sebagai struktur skim, membincangkan kriteria sijil professional, kemahiran dan sub-kemahiran yang akan diguna pakai untuk skim ini serta strategi pemasaran dan keahlian professional bagi skim ini.

Seramai 19 orang peserta telah mengambil bahagian dalam bengkel ini.

 
Persidangan dan Mesyuarat Tahunan FIRST (Forum for Incident Response and Security Teams) 2015, Berlin, Jerman
  14 – 19 JUN 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan dan Mesyuarat Tahunan FIRST 2015 pada 14 hingga 19 Jun 2015 di Berlin, Jerman. Ini merupakan penglibatan tahunan CyberSecurity Malaysia sebagai ahli FIRST.

Seramai lebih 700 orang peserta dari seluruh dunia telah menghadiri persidangan ini dan CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Sharifah Roziah Mohd Kassim dan Muhammad Nasim Abdul Aziz dari Jabatan MyCERT. Pada persidangan ini, satu pembentangan kajian kes telah buat oleh Sharifah Roziah bertajuk “Unifying Incident Response Teams Via Multi Lateral Cyber Exercise for Mitigating Cross Border Incidents: Malaysia CERT Case Study”.

Penglibatan aktif CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini telah berjaya mengukuhkan nama serta kedudukan CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber di arena antarabangsa.

 
Mesyuarat Strategik dan Kolaborasi Penyelidikan Forensik Biometrik serta Lawatan Kerja ke Pusat Penyelidikan Mobotix AG, Langmeil, Jerman
  16 JUN 2015
 

Pada 16 Jun 2015, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Strategik dan Kolaborasi Penyelidikan Forensik Biometrik dan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Mobotix AG di Langmeil, Jerman.

Tujuan mesyuarat diadakan adalah untuk meninjau peluang bagi satu bentuk kerjasama dan kolaborasi penyelidikan forensik biometrik serta sistem pemantauan keselamatan fizikal (sistem CCTV dan sistem kawalan pintu) dengan pihak Mobotix AG diwujudkan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjalin hubungan professional dengan pakar multimedia Jerman dalam bidang keselamatan fizikal dan forensic readiness / evidence readiness.

Delegasi CyberSecurity Malaysia diketuai oleh Dr. Aswami Fadillah Mohd Ariffin, Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Tindakbalas Keselamatan Siber dan disertai oleh Mohd Zabri Adil Talib, Ketua Jabatan Forensik Digital dan Zaharudin Ahmad Darus, Penyelidik Kanan, Jabatan Forensik Digital.

Kedua organisasi telah saling bertukar pandangan, pengalaman dan berkongsi idea serta kepakaran dalam bidang penghasilan lensa sistem CCTV oleh Mobotix dan pengurusan keterangan video di mahkamah oleh CyberSecurity Malaysia. Adalah diharapkan melalui kerjasama yang bakal diwujudkan nanti, ianya dapat menyahut hasrat MOSTI untuk menghasilkan produk inovasi daripada penyelidikan yang dijalankan di CyberSecurity Malaysia.

 
Program Persada Transformasi Perkhidmatan Awam 2015, PICC
  17 JUN 2015
 

Program Persada Transformasi Perkhidmatan Awam 2015 telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 17 Jun 2015 sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPA) kali ke 14.

Dengan tema “Mendepani Realiti Baharu Negara: Memperkukuh Solidariti, Memperkasa Integriti”, program ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri.

Program Persada Transformasi Negara telah disertai oleh pelbagai kementerian dan agensi yang tersenarai sebagai inisiatif transformasi berimpak tinggi. Penglibatan CyberSecurity Malaysia di dalam program ini memberi peluang untuk mempromosikan MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) sebagai salah satu inisiatif berimpak tinggi.

 
Mesyuarat Strategik, Kolaborasi Penyelidikan Forensik Biometrik serta Lawatan Kerja ke Pusat Penyelidikan Open Technology Real Services (OTRS), Straubing, Jerman
  18 JUN 2015
 

Pada 18 Jun 2015, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Strategik dan Kolaborasi Penyelidikan Forensik Biometrik serta lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Open Technology Real Services (OTRS) di Straubing, Jerman.

Tujuan mesyuarat diadakan adalah untuk mengadakan kolaborasi penyelidikan mengenai sistem pemantauan keselamatan fizikal (sistem CCTV dan sistem kawalan pintu), di samping mempertingkatkan sistem pengurusan perkhidmatan forensik digital melalui aplikasi OTRS berasaskan tiket. Perbincangan berkisarkan kepada aspek inovasi yang diterapkan oleh OTRS AG dalam produk keluaran mereka.

Peluang tersebut juga turut diambil delegasi CyberSecurity Malaysia yang dianggotai oleh Dr. Aswami Fadillah Mohd Ariffin, Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Tindakbalas Keselamatan Siber, dan disertai oleh Mohd Zabri Adil Talib, Ketua Jabatan Forensik Digital dan Zaharudin Ahmad Darus, Penyelidik Kanan, Jabatan Forensik Digital untuk mempelajari teknologi yang digunakan di samping memahami amalan baik budaya kerja orang Jerman.

 
Mesyuarat NatCSIRT 2015, Berlin, Jerman
  20 – 21 JUN 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat NatCSIRT 2015 pada 20 dan 21 Jun 2015 di Berlin, Jerman. Mesyuarat anjuran Carnegie Mellon University, Amerika Syarikat ini telah dihadiri oleh 200 peserta pelbagai negara dari seluruh dunia.

Pada mesyuarat ini, CyberSecurity Malaysia yang telah diwakili oleh Sharifah Roziah Mohd Kassim, Specialist dari Jabatan MyCERT telah membuat pembentangan kertas kerja bertajuk “Coordinated Malware Eradication in Malaysia” dan turut menyertai forum bertajuk “CyberSecurity Attitude in a Government Culture” sebagai ahli panel.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada acara ini telah mengukuhkan lagi kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi pakar keselamatan siber di peringkat antarabangsa.

 
Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Thailand Computer Emergency Response Team (ThaiCERT, Electronic Transactions Development Agency (ETDA) dan CyberSecurity Malaysia, Bangkok, Thailand
  26 JUN 2015
 

Satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Thailand Computer Emergency Response Team (ThaiCERT), Electronic Transactions Development Agency (ETDA) (dirujuk sebagai ThaiCERT/ETDA) dan CyberSecurity Malaysia telah diadakan pada 26 Jun 2015 di Bangkok, Thailand.

Majlis telah diadakan di Pejabat ThaiCERT/ETDA, di mana delegasi CyberSecurity Malaysia diketuai oleh Dr. Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia.

MoU tersebut dimeterai bagi meneruskan kerjasama dalam bidang keselamatan siber khususnya dalam tindak balas insiden keselamatan siber, forensik digital serta program latihan kepakaran, pertukaran tenaga kerja, bidang penyelidikan berkaitan perisian perosak serta pensijilan produk keselamatan siber.

 
Mesyuarat Strategik dan Kolaborasi Penyelidikan serta Lawatan Kerja ke Pusat Operasi Makmal Forensik Komputer Royal Thai Police, Bangkok, Thailand
  26 JUN 2015
 

Pada 26 Jun 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan satu mesyuarat strategik dan kolaborasi penyelidikan serta lawatan kerja ke pusat operasi makmal forensik komputer Royal Thai Police. Tujuan mesyuarat dan lawatan tersebut diadakan adalah untuk mengukuhkan jalinan persahabatan dengan pasukan makmal forensik komputer Royal Thai Police serta menguatkan lagi kerjasama membanteras jenayah berkaitan siber di antara kedua negara.

Delegasi CyberSecurity Malaysia terdiri daripada Dr. Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Aswami Fadillah Mohd Ariffin, Naib Presiden, Bahagian Perkhidmatan Tindak balas Keselamatan Siber dan Mohd Zabri Adil Talib, Ketua Jabatan Forensik Digital.

Melalui kunjungan tersebut, kedua negara dapat berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam menyelesaikan kes jenayah yang melibatkan bahan keterangan digital dengan lebih efisien, memahami masalah dan cabaran yang dihadapi oleh pihak penguatkuasa kedua negara serta kaedah penyelesaian dan mengeratkan lagi hubungan diplomatik dan strategik yang telah terjalin sebagai negara yang berjiran.