Bahasa | English CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
  Isu 9 | Suku kedua - 2015
   
 
MEI 2015
Mesyuarat Plenari Kali Ke-20 ISO/IEC JTC 1/SC 27 IT Security Techniques Working Group, Kuching, Sarawak
  4 - 12 MEI 2015
 

CyberSecurity Malaysia terlibat secara aktif pada Mesyuarat Plenari Kali Ke-20 ISO/IEC JTC 1/SC 27 IT Security Techniques Working Group yang diadakan di Kuching, Sarawak dari 4 hingga 12 Mei 2015.

Dalam bidang teknologi maklumat, ISO (International Organization for Standardization) dan IEC (International Electrotechnical Commission) telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Bersama iaitu ISO/IEC JTC 1, di mana ISO/IEC JTC 1 SC 27 adalah merupakan jawatankuasa kecil teknikal yang merangkumi penyeragaman kaedah generik dan teknik untuk Keselamatan IT.

Mesyuarat kumpulan kerja ISO/IEC JTC 1 SC 27 diadakan sebanyak dua kali setahun. Dengan menghadiri mesyuarat ini, CyberSecurity Malaysia mendapat manfaat di mana ia memberi pendedahan bagi membolehkan penambahbaikan dan peningkatan modul latihan ISMS, pelaksanaan ISMS dan badan Pensijilan ISMS, meningkatkan Penilaian Kerentanan dan Ujian Penusukan (VAPT) perkhidmatan dan menyediakan maklumat yang relevan dalam meningkatkan pelan pelaksanaan projek-projek RMK11.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Puan Nor’Azuwa Muhamad Pahri, Ketua Jabatan Security Assurance dan Puan Sabariah Ahmad, Ketua Jabatan Security Management and Best Practices. Kedua-dua mereka telah menghadiri mesyuarat kumpulan kerja WG1: Information Security Management System dan WG4: Keselamatan Kawalan dan Perkhidmatan. Mereka adalah antara ahli-ahli kumpulan kerja di bawah Jawatankuasa Teknikal Keselamatan Maklumat (TC5), diketuai oleh Standard Malaysia sebagai badan kebangsaan bagi pembangunan standard.

 
Persidangan Global Offset and Countertrade Associate (GOCA)
  10-13 MEI 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di Persidangan Global Offset and Countertrade Associate (GOCA) yang berlangsung di California, Amerika Syarikat pada 10 hingga 13 Mei 2015.

Global Offset and Countertrade Association (GOCA) merupakan entiti NGO yang menguruskan program offset di peringkat global. Persidangan yang diadakan ini bertujuan untuk mempromosikan perdagangan dan pengkomersial di antara syarikat dan pelanggan luar negara melalui program timbal balas dan ofset.

Seramai 250 orang peserta dari pelbagai organisasi kerajaan dan industri dari 20 buah Negara hadir di persidangan ini, antaranya Australia, Brazil, Kanada, Denmark, Finland, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Netherlands, Oman, Peru dan Arab Saudi.

Maslina Daud, Naib Presiden, Bahagian Perkhidmatan Proaktif telah mewakili CyberSecurity Malaysia dan membuat pembentangan bertajuk “Emerging Requirements and Opportunities in Cyber Security”.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di persidangan ini telah dapat memperkenalkan organisasi ini sebagai pusat teknikal bagi menangani isu keselamatan siber, mempromosikan perkhidmatan kepakaran dalam bidang keselamatan maklumat dan siber di samping dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan terhadap perlunya program keselamatan siber sebagai sebahagian dari keseluruhan projek ofset.

 
Kerjasama Strategik CyberSecurity Malaysia (CSM) – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka
  12 MEI 2015
 

Mesyuarat kumpulan kerja di antara CyberSecurity Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diadakan di UTeM, Melaka pada 12 Mei 2015. Perbincangan tersebut diadakan bagi membincangkan cadangan projek yang boleh dilaksanakan secara bersama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) di antara CyberSecurity Malaysia dan UTeM.

Terdahulu, MoU tersebut telah dimeterai pada November 2014 bagi mewujudkan kerangka kerjasama dalam bidang keselamatan siber melalui penyelidikan bersama dan pembangunan, program latihan, seminar, bengkel dan kolokium.

Mesyuarat kumpulan kerja ini dipengerusikan oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib, Naib Canselor UTeM. Delegasi CyberSecurity Malaysia diketuai oleh Dr. Zahri Hj Yunos, Ketua Pegawai Operasi.

 

 
Safe Cities Asia 2015, Singapore
  12-14 MEI 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian sebagai pembentang dalam Persidangan Safe Cities Asia 2015 anjuran WBR Singapore Pte. Ltd. di Singapura dari 12 hingga 14 Mei 2015.

Seramai 200 orang peserta dari seluruh dunia dan 50 pembentang dari pelbagai industri dan portfolio, antaranya Interpol, Europol, US, UK, Holland, India, Hong Kong, Australia, Japan, Singapore, Philippines, Indonesia, Malaysia and New Zealand hadir ke persidangan ini. Selain persidangan, terdapat juga pameran yang disertai oleh pelbagai organisasi seperti Alcatel-Lucent, Hitachi Data Systems, IBM, NICE Systems, Simudyne, CityNet, Verint and A*Star’s Institute for Infocomm Research.

Puan Rohani Mohamad, Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia dan juga Mdm Carrine Teoh, Ketua Jabatan Pembangunan Produk dan Pemasaran telah mewakili CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini. Carrine juga terlibat sebagai ahli panel di dalam sesi perbincangan dan turut membuat pembentangan pada persidangan tersebut.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di dalam persidangan ini sebagai salah sebuah agensi penyokong merupakan satu pengiktirafan terhadap kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam industri keselamatan siber di rantau ini. Selain dapat mengukuhkan kedudukan CyberSecurity Malaysia, persidangan ini juga membuka peluang untuk CyberSecurity Malaysia menjalin kerjasama dengan organisasi antarabangsa dalam bidang keselamatan siber.

 
Seminar Pengurusan Risiko dan Pengendalian Insiden, Kuala Lumpur
  13 – 15 MEI 2015
 

Pada 13 hingga 15 Mei 2015, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan seminar bagi pengurusan risiko dan pengendalian insiden yang memenuhi keperluan standard ISO/IEC 270012013.

Seminar selama tiga hari ini dihadiri seramai 23 orang peserta dari pelbagai organisasi, antaranya Malaysia Airlines (MAS), Diaspora Sdn. Bhd, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sunway University, MARA dan juga Teknologi Tenaga Perlis Consortium Sdn Bhd (TTPC).

Seminar ini diadakan bagi membincangkan perkara-perkara seperti:-

  1. Pengenalan kepada risiko dan kaedah pengurusan risiko berdasarkan standard ISO 31000 dan ISO/IEC 27001;
  2. Pengenalan kepada insiden keselamatan maklumat dan kaedah pengendalian insiden berdasarkan standard ISO/IEC 27035;
  3. Isu-isu berkaitan risiko pengoperasian dan ketahanan siber.

Seminar ini mendapat maklumbalas positif dari para peserta dengan kehadiran Prof. Edward Humphreys, pakar bidang keselamatan maklumat. Ini merupakan satu komitment berterusan dari CyberSecurity Malaysia kepada organisasi yang telah berjaya mendapat persijilan ISO/IEC 27001.

 
Persidangan dan Pameran Inovasi Kebangsaan - NICE 2015, Kuala Lumpur
  21-23 MEI 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di Persidangan dan Pameran Inovasi Kebangsaan (NICE) 2015 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Mei 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Antara aktiviti CyberSecurity Malaysia di persidangan ini adalah mengadakan pameran produk dan perkhidmatan seperti CyberDEF, MyTRUSTSEAL, Perkhidmatan Pemulihan Data, Cyber999 serta MyCyberSecurityClinic.

NICE 2015 merupakan persidangan berteraskan inovasi dan pengkomersilan serta pameran produk-produk komersil anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Ianya dilaksanakan berdasarkan Tahun Pengkomersilan MOSTI (MCY) pada 2014 dengan tujuan merancakkan pengkomersilan hasil inovasi dan R&D negara terutamanya produk yang dibiayai oleh dana Kerajaan.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada acara NICE 2015 telah membantu dalam usaha mengukuh kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai Agensi peneraju keselamatan siber di Malaysia, di samping berpeluang mempromosikan produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia. .

 
Pelancaran CyberDEF sempena Persidangan dan Pameran Inovasi Kebangsaan (NICE) 2015, Kuala Lumpur
  22 MEI 2015
 

Pada 22 Mei 2015, CyberSecurity Malaysia telah melancarkan perkhidmatan terbaru yang dikenali sebagai CyberDEF. Pelancaran diadakan sempena Persidangan dan Pameran Inovasi Kebangsaan (NICE) 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan telah disempurnakan oleh YB Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada satu sesi khas yang dikenali sebagai ‘Power Breakfast’.

CyberDEF merupakan satu penyelesaian menyeluruh untuk keselamatan data dan maklumat melalui pengesanan, penghapusan dan forensik dalam menangani ancaman siber. Ia merupakan satu perkhidmatan baru dalam bidang keselamatan siber di Malaysia yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Seramai 100 tetamu terdiri dari pegawai atasan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta jemputan khas telah hadir di majlis tersebut.

Pelancaran CyberDEF pada acara NICE 2015 merupakan perkhidmatan terbaru dari CyberSecurity Malaysia kepada industri dan sektor awam.

 
Forum ASEAN ICT for Sustainable Rural Development and Knowledge Cross-Fertilization, Kuala Lumpur
  25-26 MEI 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Forum ASEAN ICT for Sustainable Rural Development and Knowledge Cross-Fertilization yang berlangsung selama dua hari di Kuala Lumpur.

Forum anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini diadakan untuk membincangkan isu penggunaan ICT di wilayah luar bandar, serta berkongsi amalan terbaik mengenai penggunaan ICT bagi tujuan memupuk pembangunan mampan luar bandar.

Selain Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, terdapat beberapa organisasi lain yang turut terlibat di dalam forum ini, antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan International Rural Research and Planning Group (iRRPG).

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di dalam forum ini telah mengukuhkan lagi kedudukan organisasi ini sebagai sebuah pusat pakar dalam memberi perkhidmatan keselamatan ICT dan keselamatan maklumat di Malaysia dan juga kepada negara-negara ASEAN.

 
Seminar Cyber Security and Live Simulation, Kuala Lumpur
  26 MEI 2015
 

Pada 26 Mei 2015, Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) telah menganjurkan Seminar Cyber Security and Live Simulation. Seminar yang diadakan selama sehari ini telah disokong oleh CyberSecurity Malaysia dan dirasmikan oleh YB Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia.

Seminar ini diadakan bagi mengenalpasti cara serta kaedah bagi mengatasi jenayah siber. Selain sesi pembentangan, para peserta seminar turut didedahkan dengan simulasi serangan siber secara langsung ke atas akaun peribadi mereka.

Dr. Amarudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia telah menjadi panel pada sesi kedua seminar, di mana beliau telah menyampaikan syarahan bertajuk Coherent Response to Cyber Crisis.

Manakala, Dr. Zahri Hj. Yunos, Ketua Pegawai Operasi CyberSecurity Malaysia pula menjadi panel di dalam simulasi secara langsung yang telah diketuai oleh Dr. Marco Gercke, Pengarah Cybercrime Research Institute.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam seminar ini merupakan satu pengiktirafan sebagai agensi peneraju bidang keselamatan siber.

 
Simposium Electronic Crime Research (eCrime 2015), Barcelona, Sepanyol
  26-29 MEI 2015
 

Simposium Electronic Crime Research (eCrime) 2015 anjuran APWG.EU (Antiphishing Working Group European Union Foundation) telah diadakan pada 26 hingga 29 Mei 2015 di Barcelona, Spain.

Simposium pada tahun ini memberi tumpuan kepada perubahan suasana dan kekangan yang dihadapi dalam mengendali ancaman jenayah siber. Ia juga merupakan platform bagi para peserta bertukar maklumat mengenai tindakbalas terhadap sesuatu insiden keselamatan siber, berkongsi isu semasa berkaitan ancaman siber di samping berbincang mengenai pembentukan modul bagi membentuk kerjasama dalam kalangan penyelidik dan pengendali operasi keselamatan siber.

Seramai 200 peserta dari pelbagai Negara di seluruh dunia hadir ke simposium ini, manakala CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Faiszatulnasro Bt Mohd Maksom, Juruanalisa MyCERT. Beliau turut membuat pembentangan bertajuk “Lottery Scam and Mobile Threat in Malaysia” pada simposium tersebut.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini telah memberi banyak kelebihan antaranya memperoleh ilmu serta maklumat mengenai cara pengendalian insiden, mempelajari strategi keselamatan terkini dalam insiden pengurusan, meningkatkan pengetahuan dan wawasan teknikal mengenai masalah keselamatan dan penyelesaian siber serta dapat mengukuhkan lagi kedudukan CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber di persada antarabangsa.