CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
Bahasa | English Isu 10 | Suku Ketiga - 2015


Latihan Simulasi Krisis, Seri Kembangan
  1 Ogos 2015
 

Pada 1 Ogos 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan Latihan Simulasi Krisis. Latihan ini merupakan simulasi penuh yang pertama pernah diadakan oleh CyberSecurity Malaysia.

Latihan Simulasi Krisis ini adalah amat penting and juga perlu untuk menguiji prosidur Kesinambungan Pengurusan Perniagaan (BCM) CyberSecurity Malaysia.

Prosidur BCM mesti melalui beberapa pengujian atau latihan dan simulasi untuk memastikan prosidur BCM tersebut boleh digunapakai.

Latihan simulasi BCM berjaya mempersiapkan staf CyberSecurity Malaysia, yang kini lebih yakin tentang langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku krisis.

Tambahan pula, latihan simulasi krisis ini berjaya meningkatkan tahap kesedaran serta kefahaman kakitangan mengenai prosidur BCM yang merangkumi aspek maklumbalas dan pemulihan.

 
 
Bengkel dan Sesi Perbincangan CyberSecurity Malaysia (CSM) Technology Roadmap, Putrajaya
  6-7 Ogos 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Bengkel dan Sesi Perbincangan CyberSecurity Malaysia (CSM) Technology Roadmap pada 6 dan 7 Ogos 2015.

Program ini diadakan bagi mendapatkan maklumbalas serta input mengenai inisiatif serta program-program berkaitan keselamatan siber sebagai persediaan menghasilkan CSM Technology Roadmap yang akan dilaksanakan sepanjang lima tahun akan datang (sehingga tahun 2020).

Dengan adanya bengkel ini, inisiatif serta program yang bakal dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia dapat dikemaskini manakala pelaksanaannya nanti akan lebih berkesan dan efektif.

 
 
NICTSeD 2015 – Peringkat Kelayakan, Suku Akhir dan Separuh Akhir, Johor Bahru
  8-13 Ogos 2015
 

CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) serta sokongan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan : Piala Cabaran CyberSAFE 2015 atau ringkasnya NICTSED 2015 di Johor Bahru.

Pertandingan peringkat kelayakan dan suku akhir telah berlangsung di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Negeri Johor manakala peringkat separuh akhir pula diadakan di Jabatan Pendidikan Negeri Johor dari 8 hingga 13 Ogos 2015.

Sebanyak 15 buah sekolah menengah dari seluruh negara telah mengambil bahagian dalam NICTSeD 2015 bagi menentukan kelayakan ke peringkat akhir yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 8 September 2015 sempena penganjuran Cyber Security Malaysia – Awards, Conference and Exhibition (CSM-ACE) 2015 anjuran CyberSecurity Malaysia.

Ini merupakan tahun ketiga NICTSeD 2015 dianjurkan dan pada tahun ini NICTSeD turut disokong oleh rakan-rakan kerjasama strategik seperti BAE Systems, CIMB Bank dan DiGi Telecommunications.

 
 
Latihan Teknikal Keselamatan Siber Dalam Kalangan Negara-negara ASEAN, Selangor
  17-26 Ogos 2015
 

Sempena perlantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015, satu program latihan teknikal berkaitan keselamatan siber telah diadakan bermula 17 hingga 26 Ogos 2015 di RHR Hotel @ UNITEN, Kajang. Program latihan ini di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), Kementerian Luar Negeri dan disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Majlis majlis penutup telah berlangsung pada 25 Ogos 2015 dan disempurnkan oleh YB. Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Antara objektif program latihan ini diadakan adalah:

  1. Memupuk kesedaran dan keupayaan dalam mewujudkan ruang siber yang lebih selamat;
  2. Memberi pengetahuan penting dalam melaksanakan ISO / IEC 27001: 2013 - Keselamatan Maklumat Sistem Pengurusan, pengendalian insiden keselamatan dan penilaian;
  3. Menyediakan pengalaman praktikal dalam analisis kelemahan rangkaian dan penyelarasan dalam menguruskan kelemahan ini.

Seramai 17 orang peserta dari kalangan profesional IT daripada lapan buah negara ASEAN telah menghadiri program latihan ini, manakala tenaga pengajar adalah dari CyberSecurity Malaysia.

Program latihan teknikal ini telah meningkatkan kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2015 dalam bidang keselamatan siber. Ia juga telah mengukuhkan hubungan Malaysia dan negara-negara membangun yang lain terutamanya negara-negara anggota ASEAN di dalam bidang keselamatan siber.

 
 
Bengkel Keselamatan Oracle 2015, Kuala Lumpur
  18 Ogos 2015
 

Pada 18 Ogos 2015, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Bengkel Keselamatan Oracle 2015 anjuran Oracle Enterprise Security.

Bengkel ini dianjurkan bagi membincangkan isu-isu berkaitan keselamatan siber masa kini termasuk jenis-jenis ancaman siber, sebab ianya berlaku, impak serangan siber ke atas sektor yang terlibat serta strategi menangani serangan tersebut.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi yang membuat pembentangan bertajuk "The New Realities of Cyber Crime".

Penglibatan aktif CyberSecurity Malaysia dalam bengkel ini telah menyumbang kepada aspek pembangunan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang keselamatan siber.

 
 
Cyber Security Readiness Workshop, Cyberjaya
  18 & 27 Ogos 2015
 

Pada 18 Ogos dan 27 Ogos 2015, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Cyber Security Readiness Workshop kepada pegawai-pegawai teknikal Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Bengkel ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta berkenaan langkah-langkah serta tindakan proaktif yang perlu diambil dalam menghadapi dan menangani serangan siber.

Sebanyak 14 buah agensi MOSTI telah hadir ke bengkel pertama manakala 21 buah agensi hadir pada sesi kepada yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr. Amirudin Abdul Wahab.

Bengkel ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk berkongsi pengalaman di samping mendapatkan input serta maklumbalas mengenai keselamatan siber.

 
 
Taklimat Persediaan Pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISO/IEC 27001:2013), Kuala Lumpur
  25 Ogos 2015
 

Satu Taklimat Persediaan Pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISO/IEC 27001:2013) telah diadakan pada 25 Ogos 2015 di Kuala Lumpur.

Taklimat ini diadakan dengan tujuan memberi penerangan mengenai pensijilan ISO/IEC 27001:2013 kepada organisasi-organisasi yang telah bersedia untuk mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat. Sebanyak 28 buah organisasi infrasrtuktur maklumat kritikal negara (CNII – Critical National Information Infrastructure) dan juga agensi kerajaan hadir di program ini.

Selaku Badan Pensijilan yang telah mendapat Akreditasi MS ISO/IEC 17021, CyberSecurity Malaysia telah membuat pencerahan mengenai pensijilan selama tiga (3) tahun di bawah Skim CyberSecurity Malaysia Information Security Management System Audit and Certification (CSM27001).

 
 
MyIoT Week 2015, Kuala Lumpur
  25-26 Ogos 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam MyIoT Week 2015 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan MIMOS Berhad yang diadakan pada 25 dan 26 Ogos 2015 di Hotel Istana Kuala Lumpur.

CyberSecurity Malaysia telah terlibat di dalam pameran, di mana maklumat korporat serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia telah dipamerkan termasuk demostrasi perkhidmatan pemulihan data.

Sementara itu, Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia turut terlibat sebagai Moderator pada sesi forum bertajuk "Security & Privacy Principles Versus the Reality of IoT".

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam MyIoT Week 2015 telah membuka peluang untuk mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan selain ianya turut meningkatkan peranan CyberSecurity Malaysia dalam bidang IoT.

 
 
Seminar Enhancing Port Security Against Terrorism Course, Pulau Pinang
  25-27 Ogos 2015
 

Pada 25 hingga 27 Ogos 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian dalam Seminar Enhancing Port Security Against Terrorism anjuran Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Sekreteriat Polis Bantuan Pelabuhan Malaysia dan Penang Port Sdn Bhd.

Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Penyelidikan Strategik telah mewakili CyberSecurity Malaysia dan membuat pembentangan bertajuk "Cyber Terrorism: Current Trend and Its Challenges to Maritime and Port Security".

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam Seminar ini merupakan satu penghargaan kepada CyberSecurity Malaysia sebagai pusat pakar keselamatan siber Negara, di samping dapat membuktikan bahawa CyberSecurity Malaysia adalah sumber rujukan utama dalam bidang keselamatan siber.

 
 
Bengkel Pembangunan Rangka Kerja Keselamatan Siber untuk Sektor Awam (RAKKSSA) 2016 - 2020 bersama Industri, Kuala Lumpur
  26 Ogos 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah dilantik oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk melaksanakan satu rangka kerja keselamatan siber bagi sektor awam. Justeru, pada 26 Ogos 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan Bengkel Pembangunan Rangka Kerja Keselamatan Siber untuk Sektor Awam (RAKKSSA) 2016 - 2020 bersama Industri bagi membincangkan persediaan projek ini.

RAKKSSA akan dibangunkan sebagai panduan sektor awam dalam mengurus perlindungan keselamatan siber serta aset-aset ICT kerajaan. Selain itu, RAKKSSA dijangka dapat memperkukuhkan lagi halatuju keselamatan ICT selaras dengan perubahan semasa dan sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-11.

Selain MAMPU dan CyberSecurity Malaysia, turut terlibat dalam pembangunan projek ini adalah Pejabat Ketua Keselamatan Negara (CGSO) dan juga MIMOS Berhad.

 
 
Global Payment Summit 2015, Singapore
  26-27 Ogos 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menyokong penganjuran Sidang Kemuncak Global Payment 2015 yang berlangsung di Singapura dari 26 hingga 27 Ogos 2015.

Cyber Security Malaysia telah dijemput untuk berkongsi maklumat serta pengalaman dalam menangani jenayah siber. Wakil CyberSecurity Malaysia, Carrine Teoh, Ketua Jabatan Pembangunan Produk dan Pemasaran telah membuat pembentangan bertajuk "Data Protection - Trends and Strategies".

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam Global Payment Summit 2015 merupakan satu lagi pengiktirafan di atas kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber. Ia turut meletakkan nama CyberSecurity Malaysia di persada antarabangsa.

 
 
KL Converge 2015, Kuala Lumpur
  27-29 Ogos 2015
 

Pada 27 hingga 29 Ogos 2015 telah berlangsung satu acara antarabangsa anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang dikenali sebagai KL Converge 2015.

CyberSecurity Malaysia menyertai pameran KL Converge 2015 selama tiga hari bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, KLCC. Penyertaan CyberSecurity Malaysia adalah di bawah Astaka Malaysia (Malaysia Pavilion). Antara perkhidmatan yang dipamerkan adalah Pemulihan Data serta perkhidmatan - perkhidmatan yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia seperti Cyber999 Help Centre, CyberCSI, MyCERT, CyberSAFE dan MyCC.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia adalah bertepatan dengan objektif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap keselamatan teknologi maklumat.

 
 
Sidang Kemuncak CIO Malaysia 2015, Kuala Lumpur
  27 Ogos 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menyokong penganjuran Sidang Kemuncak CIO Malaysia 2015 anjuran Executive Networks Media dan IDC Asia/Pacific. Acara yang diadakan pada 27 Ogos 2015 ini telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Informasi (CIO) serta Pegawai-pegawai Eksekutif Kanan IT dari pelbagai organisasi.

CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk membuat pembentangan, di mana Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi telah menyampaikan ceramah bertajuk "Digital Transformation: Cyber Security Issues and Challenges".

 
 
Asia-Pacific Economic Cooperation Electric Commerce Steering Group-Data Privacy Subgroup (APEC ECSG-DPS) & World Trustmark Alliance (WTA) Task Force Meeting, Manila, Philippines
  28-30 Ogos 2015
 

Pada 28 hingga 30 Ogos 2015, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Task Force APEC ECSG-DPS dan Mesyuarat Task Force WTA anjuran Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) dan World Trustmark Alliance (WTA) dengan kerjasama Kerajaan Philippines bertempat di Manila, Philippines. Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini adalah di atas kapasiti sebagai Pengerusi WTA (World Trustmark Alliance).

Dengan menghadiri mesyuarat APEC ECSG-DPS, CyberSecurity Malaysia telah mendapat maklumat serta pendedahan mengenai perkembangan ekonomi di rantau Asia Pasifik terutama dalam pembangunan data privasi perdagangan elektronik (electronic commerce data privacy development).

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Wan Shafiuddin Zainudin, Ketua Jabatan dan Hasnida Zainuddin, Juruanalisa Kanan, Badan Pensijilan Keselamatan Maklumat.

 
 
Syarahan Peperangan Siber di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) 35/2-15, Kuala Lumpur
  27 Ogos 2015
 

Pada 27 Ogos 2015, CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk menyampaikan syarahan bertajuk "The Cyber Warfare" kepada peserta kursus yang terdiri dari pegawai tentera, polis dan tadbir diplomatik berpangkat Leftenan Kolonel dan Kolonel setaraf. Peserta kursus adalah dari negara ASEAN kecuali negara Jordan dan Amerika Syarikat.

Seramai 40 peserta di bawah modul kursus Pengajian Ketenteraan berkaitan Kajian Krisis, Konflik dan Peperangan telah mengikuti syarahan yang disampaikan oleh Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Penyelidikan Strategik.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia dalam program ini telah menyediakan platform kepada peserta kursus pertahanan mengenai cabaran keselamatan di peringkat strategik dalam dimensi siber yang menjadi fokus oleh sektor ketenteraan dalam trend peperangan moden berasaskan teknologi digital.

Selain itu, CyberSecurity Malaysia turut dapat menjalin hubungan kerjasama dengan Kementerian Pertahanan khususnya MPAT dan ini akan meningkatkan kerjasama serta mempromosi perkhidmatan di kalangan pihak pertahanan.