CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
Bahasa | English Isu 10 | Suku Ketiga - 2015


Majlis Penyerahan MyCSC Premium Licensing kepada KPerak, Ipoh, Perak
  1 Julai 2015
 

Satu Majlis Penyerahan MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) Premium License kepada KPerak Implementation & Coordination Corporation (KPerak) telah diadakan di Pejabat Menteri Besar Perak pada 1 Julai 2015. Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Dr. Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia dan Encik Nazaruddin Mohd Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif KPerak dengan disaksikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir.

MyCSC Premium License merupakan satu program K-keusahawanan di kalangan usahawan tempatan dalam bidang teknikal pemulihan data (data recovery) dan data sanitization melalui program latihan, rangkaian perniagaan (business networking), bantuan pemasaran dan bantuan teknikal. MyCSC Premium License dijangka dapat menggalakkan pertumbuhan rangkaian MyCyberSecurity Clinic di seluruh Malaysia. Program di bawah MyCSC Premium License ini akan melahirkan lebih ramai usahawan berkemahiran, berdaya saing serta mempunyai ilmu pengetahuan (Knowledge Entreprenuers) dalam bidang Sains dan Teknologi, khususnya bidang keselamatan siber.

KPerak merupakan agensi kerajaan pertama di Malaysia yang dianugerahkan dengan MyCSC Premium License. Dengan adanya pegangan MyCSC Premium License ini, KPerak akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan anak-anak muda tempatan melalui penggunaan teknologi, di samping turut mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. Secara tidak langsung, program ini akan dapat memberi impak kepada perkembangan ekonomi Negeri Perak, perkembangan K-ekonomi, menaikkan daya saing, dan meningkatkan peluang pekerjaan.

 
 
Majlis Pra Pelancaran Persidangan CSM-ACE 2015 serta Persidangan APCERT dan OIC-CERT (Soft Launch), Kuala Lumpur
  2 Julai 2015
 

Pada 2 Julai 2015 telah berlangsung satu Majlis Pra Pelancaran Persidangan CSM-ACE 2015 yang merupakan acara tahunan anjuran CyberSecurity Malaysia. Majlis pra-pelancaran acara yang merangkumi tiga elemen utama, iaitu persidangan, pameran dan juga anugerah keselamatan siber ini telah disempurnakan oleh YB. Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Bertemakan "Bridging The World – Go Cyber Green", CSM-ACE 2015 turut dianjur bersama dua persidangan antarabangsa iaitu Persidangan APCERT (Asia Pacific Computer Emergency Response Team) dan juga Persidangan OIC-CERT (Organization of The Islamic Cooperation - Computer Emergency Response Team). Pengabungan tiga acara serentak ini telah menjadikan CSM-ACE 2015 sebagai satu acara bertaraf antarabangsa.

Dijangka seramai 900 peserta dari dalam dan luar negara akan hadir ke acara yang akan berlangsung selama lima hari bermula dari 6 hingga 10 September 2015 di Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur.

 
 
Mesyuarat Seminar Keselamatan Siber dan Latihamal Desktop anjuran Kementerian Pertahanan Thailand dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia dan UBM Asia, Bangkok, Thailand
  2 Julai 2015
 

Pada 2 Julai 2015, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri satu mesyuarat bagi membincangkan penganjuran Seminar Keselamatan Siber dan Latihamal Desktop bersama Kementerian Pertahanan Thailand dan UBM Malaysia. Mesyuarat diadakan di Pejabat Setiausaha Tetap Pertahanan Thailand di Bangkok.

Seminar Keselamatan Siber dan Latihamal Desktop ini akan diadakan pada bulan November 2015 di Bangkok, Thailand. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pengarah Defence Information and Space Technology Department (DISTD), Kementerian Pertahanan Thailand dan dihadiri oleh wakil dari CyberSecurity Malaysia, iaitu Dr. Zahri Hj. Yunos, Ketua Pegawai Operasi dan Ooi Seong Hoe, Ketua Jabatan Strategic Research & Advisory.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam penganjuran Seminar Keselamatan Siber dan Latihamal Desktop ini dilihat sebagai satu pengiktirafan oleh Kerajaan Thailand ke atas kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber. Selain itu, ianya turut mengeratkan hubungan kerjasama strategik di antara CyberSecurity Malaysia dan Kementerian Pertahanan Thailand dalam dalam bidang keselamatan siber.

 
 
PETRONAS Security Awareness Program 2015 - KLCC
  9 Julai 2015
 

Pada 9 Julai 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian dalam program PETRONAS Security Awareness 2015. Program anjuran PETRONAS ini telah diadakan di perkarangan Dewan Filharmonik Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

CyberSecurity Malaysia telah memperkenal dan mempromosi perkhidmatan Pemulihan Data (Data Recovery), MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) dan juga program CyberSAFE.

Pembentangan mengenai MyCSC telah disampaikan oleh Muhammad Anis Farhan Bin Yahya dan Mohammad Hazim Bin Zahri, manakala Aaron Ikram Mokhtar membuat pembentangan mengenai CyberSAFE.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia di program PETRONAS Security Awareness 2015 ini telah berjaya menarik minat ramai kakitangan PETRONAS terhadap perkhidmatan-perkhidmatan yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia.

 
 
Program "Shopping Raya" bersama Anak-anak Bait Al Amin, Perak
  11 Julai 2015
 

Pada 11 Julai 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan program "Shopping Raya bersama Anak-anak Bait Al Amin". Program telah diadakan di Pusat Membeli Belah AEON Taiping, Perak.

Program "Shopping Raya" ini merupakan sebahagian daripada aktiviti dan juga pengisian bagi memenuhi keperluan tanggungjawab sosial korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR) CyberSecurity Malaysia. Program yang bermula pada tahun 2008 kini telah menjadi satu tradisi bagi CyberSecurity Malaysia setiap kali tiba bulan Ramadhan.

Seramai 83 anak-anak yatim dan asnaf dari rumah Bait Al Amin diraikan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Program ini telah mendapat kerjasama dari Universiti Teknologi Petronas (UTP), di mana para pelajar UTP telah terlibat sebagai Mentor kepada anak-anak ini di bawah program CyberSAFE.

 
 
Dialog Intelektual Belia "Belia dan Pengaruh Media Sosial" - Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur
  11 Julai 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Dialog Intelektual Belia "Belia dan Pengaruh Media Sosial" pada 11 Julai 2015 anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.

Seminar ini diadakan dengan tujuan memberi penerangan serta pendedahan tentang kepentingan keselamatan siber, pengaruh media sosial serta kesan dari penyalahgunaan media sosial di alam siber yang boleh memberi impak negatif terhadap para belia. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Penyelidikan Strategik, di mana beliau telah menyampaikan ucaptama di seminar tersebut.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada seminar tersebut telah berjaya memperkenalkan CyberSecurity Malaysia kepada golongan belia sebagai sebuah agensi pakar dalam bidang keselamatan siber serta pusat rujukan utama orang ramai mengenai isu keselamatan siber.

 
 
Lawatan Kerja ke Ibu Pejabat HUAWEI di Shenzen, China dan Lawatan ke "SOC" Automated Systems Holdings Limited, Hongkong
  26-29 Julai 2015
 

Pada 26 hingga 29 Julai 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat HUAWEI yang terletak di Shenzen, China dan juga membuat kunjungan ke "SOC" Automated (ASL) Systems Holdings Limited di Hong Kong.

Lawatan kerja ke Ibu Pejabat HUAWEI adalah susulan dari perjanjian persefahaman yang dimeterai CyberSecurity Malaysia bersama HUAWEI pada tahun 2014.

Manakala kunjungan ke "SOC" Automated (ASL) Systems Holdings Limited yang terletak di Hong Kong pula bagi tujuan mendapatkan pendedahan mengenai perkhidmatan "SOC" yang ditawarkan oleh organisasi tersebut.

 
 
Digital Forensic for First Responder, Seri Kembangan
  27-30 Julai 2015
 

Pada 27 hingga 30 Julai 2015, satu program yang dikenali sebagai Digital Forensic for First Responder telah diadakan di Pusat Latihan CyberSecurity Malaysia. Program anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Bank Negara Malaysia ini telah dihadiri oleh seramai 21 orang peserta yang terdiri dari pelbagai agensi kerajaan, seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Bank Negara Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Program latihan ini dijalankan dengan tujuan berikut:

  1. Memberi pendedahan kepada para peserta mengenai bertanggungjawab, kaedah, terma serta proses forensik digital;
  2. Memahami cara untuk bertindak balas sewaktu berada di tempat kejadian dan penyiasatan bahan bukti digital;
  3. Mengendali, menyita dan mengekalkan kesahihan bahan bukti digital;
  4. Memahami undang-undang yang merangkumi bahan digital, rantaian custodi dan pengendalian saksi pakar.
 
 
Technical Colloquium 2015, Seri Kembangan
  28 Julai 2015
 

Pada 28 Julai 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan satu bengkel Technical Colloquium 2015, di mana bengkel ini memberi pendedahan dan penerangan kepada kakitangan CyberSecurity Malaysia dalam menghasilkan karya-karya penulisan teknikal berkaitan bidang utama mereka.

Antara objektif bengkel ini adalah:

  1. untuk memperbaiki dan meningkatkan qualiti penulisan ilmiah;
  2. sebagai platform perkongsian maklumat dan ilmu teknikal dimana hasil daripada perkongsian ilmu ini diharap dapat menjana ilmu yang baru;
  3. meningkatkan skil dalam penulisan teknikal dan persembahan;
  4. memberi motivasi kepada kakitangan dan memberi ganjaran kepada penghasilan penulisan yang berkualiti
  5. memperkaya aset ilmu CyberSecurity Malaysia.

Sebanyak 12 kertas kerja telah dibentangkan. Artikel yang berjudul "Terrorist Use of the Internet" telah dipilih sebagai penulisan terbaik bagi kategori 'Published' dan artikel "Morphology Based Rules Application Order Stemming Approach and Stemming Error Reducer to Solve Affixation Stemming Errors" pula dipilih bagi kategori 'Unpublished'.

Melalui bengkel ini, mutu penulisan teknikal kakitangan dapat dipertingkatkan serta diperkayakan terutamanya dalam bidang yang berkaitan keselamatan siber demi untuk melahirkan pekerja atau pakar yang berpengetahuan luas.

 
 
ASEAN Regional Forum (ARF) – Bengkel Pembangunan Kapasiti Keselamatan Siber, Beijing, China
  28-30 Julai 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam ASEAN Regional Forum (ARF) yang berlangsung di Beijing, China pada 28 hingga 30 Julai 2015. Pada forum tersebut, CyberSecurity Malaysia telah terlibat dalam sesi perbincangan, menjadi moderator serta membuat pembentangan kertas kerja pada Bengkel ARF yang bertajuk "Cyber Security Capacity Building".

Bengkel yang dipengerusi bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Luar Negeri China merupakan kesinambungan dari Rangka Kerja ARF untuk Counter Terrorism and Transnational Crime (CTTC) di bawah Priority Area No.3: Security of and in the use of Information and Communications Technologies (ICTs) yang diterajui oleh Malaysia, Rusia dan juga Australia.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Dr. Zahri Hj. Yunos, Ketua Pegawai Operasi dan Megat Muazzam Abdul Mutalib, Ketua Jabatan MyCERT. Pada Bengkel tersebut, CyberSecurity Malaysia telah terlibat dalam Sesi II: "Approaches to and dimensions of Enhancing Capacity Building dan Sesi III: Role of governmental and Non-Governmental Actors on Capacity Building". CyberSecurity Malaysia juga telah membentangkan kertas kerja di Sesi II bertajuk "Approaches to and dimensions of Enhancing Capacity Building – Malaysia Experience" dan menjadi moderator untuk Sesi III.

 
 
5th Annual Cyber Security For Government Summit - Putrajaya
  29-30 Julai 2015
 

Pada 29 dan 30 Julai 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian dengan menyokong penganjuran Sidang Kemuncak Annual Cyber Security For Government Summit kali ke-5 anjuran IQPC Asia.

Sidang Kemuncak yang diadakan ini telah membincangkan isu-isu mengenai keselamatan siber yang kini menjadi semakin penting dalam perkembangan teknologi sesebuah organisasi. Sebagai organisasi yang menyokong sidang kemuncak ini, CyberSecurity Malaysia turut terlibat dalam pembentangan dan perbincangan panel. Wakil dari CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. Sazali bin Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Penyelidikan Strategik telah menyampaikan dua pembentangan bertajuk "APT Detection" dan "Safeguarding Your Critical Government Infrastructure Against Modern APTs".

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam Sidang Kemuncak ini telah mengukuhkan lagi kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai peneraju bidang keselamatan siber bukan sahaja di peringkat tempatan malah di peringkat global. Selain itu, ia merupakan satu pengiktirafan kepada CyberSecurity Malaysia dari aspek kepimpinan serta komitment dalam bidang keselamatan siber.