CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
Bahasa | English Isu 10 | Suku Ketiga - 2015


3rd International Conference Recent Treads in Engineering and Technology (ICRET'2015), Istanbul, Turkey
  2-3 September 2015
 

Pada 2 dan 3 September 2015, CyberSecurity Malaysia telah menyertai persidangan 3rd International Conference Recent Treads in Engineering and Technology (ICREST'2015) di Istanbul, Turki.

Persidangan ini dianjurkan oleh International Institute of Engineers (IIE) dan dihadiri oleh pakar-pakar IT dan ilmuan akademik. Persidangan ini merupakan satu medan, di mana para ilmuan akademik, penyelidik dan sarjana saling bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman serta hasil penyelidikan mengenai pelbagai aspek berkaitan inovasi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, di samping berbincang mengenai cabaran yang dihadapi dan penyelesaiannya.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Wira Zanoramy Ansiry bin Zakaria, Juruanalisa Kanan, Jabatan MyCERT. Beliau telah menyampaikan kertas penyelidikan bertajuk "Application of Case Based Reasoning in IT Security Incident Response". Kertas Penyelidikan beliau telah dipilih sebagai kertas penyelidikan terbaik di persidangan tersebut. Pengiktirafan tersebut telah mengharumkan nama CyberSecurity Malaysia di persada antarabangsa.

 
 
Lawatan Kerja Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) ke CyberSecurity Malaysia
  4 September 2015
 

Pada 4 September 2015, CyberSecurity Malaysia menerima lawatan kerja dari Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang diketuai oleh YBhg. Dato' Seri Zainal Rahim bin Seman, Ketua Pengarah bersama 13 orang delegasi dari MAMPU.

Lawatan tersebut diadakan bagi membincangkan isu-isu keselamatan siber terkini, mendalami serta memahami perkhidmatan keselamatan siber yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia serta meninjau tindak balas aktiviti-aktiviti keselamatan siber negara yang dijalankan oleh makmal-makmal forensik digital, tindak balas kecemasan komputer dan jaminan keselamatan.

Lawatan tersebut telah mengeratkan lagi hubungan strategik di antara MAMPU dan CyberSecurity Malaysia dalam usaha memperkasakan bidang keselamatan siber di Malaysia.

 
 
Mesyuarat Agung dan Persidangan Tahunan 2015 bagi Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC-CERT) dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT), Kuala Lumpur
  6-10 September 2015
 

Pada 6 hingga 10 September 2015 telah berlangsung Mesyuarat Agung dan Persidangan Tahunan 2015 Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC-CERT) dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) di Kuala Lumpur.

Program utama Mesyuarat Agung dan Persidangan Tahunan 2015 OIC-CERT dan APCERT yang berlangsung selama 5 hari ini merangkumi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu, Bengkel Teknikal dan Desktop Exercise, Mesyuarat Agung Tahunan; dan Persidangan Tahunan OIC-CERT dan APCERT.

Ini merupakan kali pertama Persidangan Tahunan OIC-CERT dan APCERT dianjur bersama Persidangan Cyber Security Malaysia – Awards, Conference and Exhibition (CSM-ACE) 2015 yang merupakan acara tahunan CyberSecurity Malaysia. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 10 September 2015.

Seramai 726 peserta dari 36 buah Negara hadir ke persidangan ini manakala 16 penceramah dari 9 buah Negara telah terlibat dalam pembentangan kertas kerja dan hasil penyelidikan mereka.

Pada Persidangan APCERT, CyberSecurity Malaysia telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi APCERT. Pelantikan ini merupakan satu lagi pengiktirafan dan keyakinan ahli-ahli APCERT terhadap peranan CyberSecurity Malaysia dalam melaksanakan agenda keselamatan siber.

Acara ini telah berjaya mengeratkan hubungan kerjasama di antara Malaysia dengan negara-negara di peringkat antarabangsa, mempertingkatkan kerjasama dalam menghadapi ancaman siber menerusi perkongsian maklumat serta menonjolkan sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam bidang keselamatan siber di peringkat antarabangsa khususnya kepada negara-negara anggota OIC dan Asia Pasifik.

 
 
Advanced Computer and Network Intrusion Course (ACNIC)
  7-11 September 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Kursus Advanced Computer and Network Intrusion (ACNIC) anjuran International Law Enforcement Academy, Bangkok, Thailand dengan kerjasama International Narcotic Law Enforcement (INL) di Bangkok, Thailand dari 7 hingga 11 September 2015.

Kursus ACNIC merupakan kursus peringkat lanjutan mengenai analisis bahan bukti serangan siber yang berlaku di pelbagai rangkaian (networks) dan pangkalan data (database). Pengumpulan bukti-bukti serangan siber turut melibatkan perisian-perisian yang sedia ada seperti Wireshark, Pivot Table, regular expression dan lain-lain lagi.

Seramai 30 pegawai penguatkuasa dari Negara-negara anggota ASEAN seperti Thailand, Cambodia, Laos dan Malaysia telah mengikuti kursus ini. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Mohamad Nizam Kassim dari Jabatan Penyelidikan Strategik dan Advisory serta Tajul Josalmin Tajul Ariffin dan Muhammad Zahid Ismail dari Jabatan Forensik Digital.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di dalam kursus ini telah menjalin hubungan erat dengan organisasi penguatkuasaan dalam kalangan Negara anggota ASEAN.

 
 
Pertandingan Akhir Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan : Piala Cabaran CyberSAFE (NICTSeD) 2015 – Peringkat Akhir, Kuala Lumpur
  8 September 2015
 

Pada 8 September 2015 telah berlangsung Pertandingan Akhir Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan : Piala Cabaran CyberSAFE 2015 atau ringkasnya NICTSED 2015. Pertandingan peringkat akhir ini disertai oleh dua buah sekolah, iaitu SMK Iskandar Shah, Jasin, Melaka dan SMK Sultan Ismail, Johor Bahru, Johor.

NICTSED 2015 merupakan satu pertandingan berbentuk perbincangan dan pembentangan kertas cadangan (wacana) bertujuan memupuk kesedaran serta menggalakkan pemikiran kreatif dan kritikal dalam kalangan murid-murid sekolah menengah serta para guru mengenai isu-isu semasa berkaitan ICT, keselamatan siber dan penggunaan Internet secara positif.

NICTSED dianjurkan oleh CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) serta disokong oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pada pertandingan akhir ini, SMK Iskandar Shah, Jasin, Melaka telah dinobatkan sebagai Juara manakala SMK Sultan Ismail, Johor Bahru, Johor pula sebagai Naib Juara. Juara pertandingan membawa pulang Piala Cabaran CyberSAFE, wang tunai berjumlah RM5,000 serta Sijil Penyertaan.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh YB. Tuan P. Kamalanathan s/o P.Panchanathan, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Turut hadir pada acara tersebut ialah YB. Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

 
 
Persidangan dan Pameran CLOUD EXPO KOREA 2015, Korea
  18-12 September 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan dan Pameran Cloud Expo Korea 2015 yang diadakan di Busan, Korea pada 8 hingga 12 September 2015. Persidangan dihoskan oleh Kementerian Sains, ICT dan Perancangan Masa Depan, Korea dan dianjurkan oleh NIPA (National Industri IT Agensi Promosi), Korea.

Cloud Expo Korea 2015 diadakan untuk menerokai pelbagai bidang pengkomputeraan awam dan berkongsi maklumat mengenai teknologi terkini serta trend pasaran bagi membolehkan pembeli dan penjual meluaskan peluang perniagaan mereka di Korea. Selain itu, terdapat juga program "Business matching" bertujuan untuk menyediakan peluang bagi mengukuhkan rangkaian Perniagaan berkaitan teknologi Cloud.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Ismamuradi Dato' Hj Abdul Kadir, Ketua Jabatan Perancangan Strategik.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada program ini telah membantu untuk membina pengetahuan dan kefahaman dalam bidang Cloud secara khusus terutama dalam bahagian keselamatan siber. Selain itu, ia turut membuka peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk melaksanakan perkongsian strategik bagi membolehkan CyberSecurity Malaysia menerokai bidang Cloud.

 
 
Majlis Makan Malam Gala Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2015, Kuala Lumpur
  9 September 2015
 

Pada 9 September 2015 telah berlangsung Majlis Makan Malam Gala sempena Anugerah Keselamatan Siber 2015. Majlis berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur dan disempurnakan oleh YB. Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Anugerah Keselamatan Siber diperkenalkan oleh CyberSecurity Malaysia bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan yang diberikan oleh pemain industri keselamatan siber di Malaysia di atas komitmen, kepimpinan, penyediaan program serta inisitiaf pendidikan, dan menggalakkan inovasi. Anugerah ini juga mencetuskan pakatan strategik dalam kalangan industri keselamatan ICT tempatan, dan sekali gus menekankan pentingnya pertumbuhan keselamatan siber dalam landskap ICT negara yang begitu dinamik dan berdaya saing. Senarai penerima anugerah, sila klik DI SINI

 
 
Majlis Perasmian Persidangan CSM-ACE 2015 serta Persidangan APCERT dan Persidangan OIC-CERT, Kuala Lumpur
  10 September 2015
 

Majlis Perasmian Persidangan Cyber Security Malaysia – Awards, Conference and Exhibition (CSM-ACE) 2015 serta Persidangan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) dan Persidangan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC-CERT) telah diadakan pada 10 September 2015 dan disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Tahun 2015 merupakan penganjuran CSM-ACE kali ke-enam oleh CyberSecurity Malaysia, di mana acara ini diadakan sebagai salah satu inisiatif dalam memenuhi mandat serta tanggungjawab yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia bagi menwujudkan prasarana serta persekitaran siber yang selamat lagi kondusif. CSM-ACE 2015 merupakan satu-satunya acara keselamatan siber yang merangkumi tiga (3) komponen iaitu Anugerah Keselamatan Siber Malaysia, Persidangan dan Pameran keselamatan siber di bawah satu bumbung di rantau Asia Tenggara.

Bertemakan "Bridging The World, Go Cyber Green", penganjuran CSM-ACE pada tahun 2015 turut dianjurkan buat kali pertama bersama dua (2) persidangan antarabangsa, iaitu Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) serta Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC-CERT). Sebanyak 36 buah negara dari rantau Asia Pacific dan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hadir di persidangan ini.

CSM-ACE 2015 juga menawarkan pelbagai program latihan dan pembangunan modal insan bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja pegawai-pegawai serta kakitangan IT dari organisasi awam mahupun swasta agar mereka dapat memainkan peranan serta menyumbang kepada pembinaan eko-sistem keselamatan siber di Malaysia. Melalui program latihan ini, lebih ramai tenaga kerja yang berpengetahuan dan mempunyai skill dapat dihasilkan serta mampu mempertahankan organisasi daripada serangan dan ancaman siber. Seramai 210 peserta yang terdiri dari kalangan kakitangan serta pegawai pelbagai industri hadir ke program latihan sempena CSM-ACE 2015 yang bermula dari 6 hingga 10 September 2015.

Sementara itu, pameran Teknologi Keselamatan Siber telah menyaksikan penyertaan sebanyak 40 buah organisasi sebagai pempamer. Dua (2) organisasi turut mengambil peluang melancarkan produk dan perkhidmatan mereka yang terbaru di mana pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

Selain itu, CSM-ACE 2015 turut berkerjasama dengan Fortinet Malaysia dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk menganjurkan acara satelit iaitu Security 361 Symposium dan UTP-HAX 2015.

Penganjuran CSM-ACE telah berjaya meletakkan nama serta reputasi CyberSecurity Malaysia sebagai agensi peneraju bidang keselamatan siber bukan sahaja di Malaysia malah di persada antarabangsa.

 
 
Pelancaran Buku Kisah Benar Keselamatan Cyber999, Kuala Lumpur
  10 September 2015
 

Pada 10 September 2015, CyberSecurity Malaysia telah melancarkan satu penerbitan ulung berbentuk kompilasi cerita pendek (cerpen) berdasarkan insiden-insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet di Malaysia melalui Pusat Bantuan Cyber999.

Buku "Kisah Benar Cyber999" memaparkan 27 insiden atau kisah benar keselamatan siber dalam bentuk penulisan kreatif. Ianya diterbitkan dengan kerjasama Grup Buku Kumpulan Media Karangkraf. Buku ini diterbitkan sebagai salah satu inisiatif dalam usaha menyebarluas, meningkatkan pemahaman dan memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan siber. Buku ini turut mengutarakan tips serta nasihat mengenai isu-isu keselamatan siber agar pengguna Internet tahu tatacara serta etika sewaktu mereka berada di alam siber dan menggunakan Internet serta aplikasinya.

Pelancaran telah disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sewaktu majlis perasmian persidangan CSM-ACE 2015 di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.

 
 

Bengkel Taklimat Pembangunan Rangka Kerja Keselamatan Siber untuk Sektor Awam (RAKKSSA) 2016 - 2020 bersama Industri, Kuala Lumpur
  11 September 2015
 

Pada 11 September 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan Bengkel Pembangunan Rangka Kerja Keselamatan Siber untuk Sektor Awam (RAKKSSA) 2016 - 2020 bersama Industri buat kali kedua.

CyberSecurity Malaysia telah dilantik oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk melaksanakan satu rangka kerja keselamatan siber bagi sektor awam. RAKKSSA yang akan dibangunkan ini akan menjadi panduan kepada sektor awam dalam mengurus perlindungan keselamatan siber serta aset-aset ICT kerajaan. Selain itu, RAKKSSA dijangka dapat memperkukuhkan lagi halatuju keselamatan ICT selaras dengan perubahan semasa dan sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-11.

Selain MAMPU dan CyberSecurity Malaysia, turut terlibat dalam pembangunan projek ini adalah Pejabat Ketua Keselamatan Negara (CGSO) dan juga MIMOS Berhad.

 
 
China-ASEAN Information Harbor Forum, Quangzi, China
  13-14 September 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Forum China-ASEAN Information Harbor yang diadakan di Daerah Naning, Quangzi, China pada 13 dan 14 September 2015. Forum selama dua hari tersebut telah dirasmikan oleh Mr. Lu Wei, Menteri Chinese Cyberspace Administration (CAC).

Selain menghadiri Forum, CyberSecurity Malaysia turut terlibat di dalam mesyuarat tertutup mengenai Keselamatan Siber di antara Negara China dan keanggotaan ASEAN. CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Sharifah Roziah Bt Mohd Kassim dari Jabatan MyCERT dan Sarah Khadijah Taylor dari Jabatan Forensik Digital.

 
 
Lawatan Kerja Strategik dan Persidangan Tahunan Antarabangsa Common Criteria, United Kingdom
  16-25 September 2015
 

Pada 16 hingga 25 September 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan lawatan kerja strategik berkenaan "Internet of Things (IoT)" dan dalam masa yang sama menghadiri Persidangan Tahunan Antarabangsa Common Criteria (International Common Criteria Conference, ICCC) 2015 di United Kingdom.

Antara lokasi lawatan kerja adalah di Pusat Inovasi IBM (IBM Innovation Centre), Galileo Centre, University of Surrey dan Intel Corporation (UK) Ltd. Lawatan kerja ini bertujuan untuk mengumpul maklumat berkenaan Internet of Things (IoT) yang mampu membantu di dalam pembangunan makmal penyelidikan dan penilaian di CyberSecurity Malaysia.

Lawatan strategik IoT telah dihadiri oleh Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi, Maslina Daud, Naib Presiden Perkhidmatan Proaktif Keselamatan Siber dan juga Ahmad Dahari Jarno, Juruanalisa Kanan, Jabatan Jaminan Keselamatan, CyberSecurity Malaysia.

Sementara itu, Persidangan Tahunan Antarabangsa Common Criteria pula diadakan di Beaumont Estate, United Kingdom. Persidangan Tahunan Common Criteria ini merupakan satu platform untuk mencari peluang kolaborasi dengan organisasi yang berpotensi dalam perkhidmatan Common Criteria (CC) serta mengumpul maklumat baru mengenai peralatan di dalam pembangunan CC dan teknik–teknik baru dari perspektif penilaian dan pensijilan produk ICT.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia dalam lawatan serta persidangan telah dapat mewujudkan satu keperluan asas dan fokus penyelidikan di dalam pembangunan Makmal Pengujian IOT dan Makmal Penyelidikan IOT.

 
 
Bengkel Asas Keselamatan Server Daripada Ancaman Penggodam
  21 September 2015
 

Pada 21 September 2015, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Bengkel Asas Keselamatan Server Daripada Ancaman Penggodam anjuran Information Assurance & Security Research Group (AISRG), Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Open Web Application Security Project (OWASP) Malaysia.

Bengkel ini bertujuan untuk berkongsi ilmu berkenaan penggodaman server, teknik-teknik penggodaman laman web dan kaedah asas Server Forensic. Bengkel ini juga mendedahkan para peserta dengan langkah-langkah yang perlu diambil bagi membendung masalah penggodaman, mengekang serangan penggodam serta menerangkan impak serangan-serangan tersebut kepada server.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia dalam bengkel ini dapat menambahkan lagi pengetahuan mengenai teknik-teknik penggodaman server serta langkah-langkah yang perlu diambil jika berlaku aktiviti pengodaman di samping dapat mewujudkan kesedaran tentang ancaman web aplikasi yang wujud dan ilmu berkenaan Server Forensic.

 
 
4th International Industrial Security Seminar, Pulau Pinang
  28-29 September 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai Seminar 4th International Industry Security anjuran Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bertempat di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 28 dan 29 September 2015.

Seminar ini diadakan untuk mengkaji semula risiko-risiko keselamatan di Asia berhubung dengan ancaman keganasan dan telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Lee Lam Thye, Naib Presiden, Malaysia Crime Prevention Foundation.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Perancangan Strategik. Beliau telah menyampaikan ceramah bertajuk "Illicit Use of Internet for Terrorist and Criminal Activities"