Having trouble viewing this email? View it in your browser.
set9-image23
set9-image25
CYBERSECURITY MALAYSIA - “CYBERNEWS”
ISU 13 | SUKU KEDUA - 2016
Bahasa | English
JUN 2016
image
5th International Cryptology and Information Security Conference (Cryptology2016), Kota Kinabalu, Sabah
31 Mei – 2 Jun 2016

Pada 31 Mei hingga 2 Jun 2016 telah berlangsung 5th International Cryptology and Information Security Conference atau Cryptology 2016 di Kota Kinabalu, Sabah.

Persidangan selama tiga hari ini dianjurkan oleh Persatuan Penyelidikan Kriptologi Malaysia (MSCR) bersama CyberSecurity Malaysia, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Persidangan dwi-tahunan ini dianjurkan sejak tahun 2008 dan persidangan kali ini merupakan yang ke-lima diadakan.

Tujuan persidangan ini diadakan adalah bagi menyediakan peluang meningkatkan pengetahuan mengenai perkembangan terkini bidang kriptologi selain menjadi platform mempromosi perkhidmatan serta kepakaran CyberSecurity Malaysia dan memperkukuhkan kerjasama di antara institut pengajian tinggi, agensi kerajaan dan persatuan penyelidikan.

Seramai 80 peserta terdiri dari ahli akademik serta pegawai dari agensi kerajaan hadir pada persidangan ini. Sebanyak 30 kertas kajian berkaitan kriptografi diterima. Perasmian persidangan telah disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam persidangan ini menunjukkan komitmen serta kesungguhan CyberSecurity Malaysia dalam bidang kriptografi keselamatan maklumat di Malaysia.

divider-shadow
image
Mesyuarat Bersama Huawei and Hong Kong Police
2 - 3 Jun 2016

CyberSecurity Malaysia menghadiri mesyuarat bersama Huawei dan Polis Hong Kong dari 1 hingga 4 Jun 2016 di Hong Kong. Mesyuarat anjuran POLYCB ini diadakan sebagai salah satu inisiatif bagi memerangi jenayah siber global serta menjalin kerjasama strategik dengan peneraju industri dan agensi penguatkuasa undang-undang di peringkat antarabangsa.

Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden, Bahagian Penyelidikan Strategik telah mewakili CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini telah mengukuhkan lagi kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi pakar keselamatan siber menerusi pembangunan program kesedaran, perkongsian teknikal serta pembangunan program berkaitan keselamatan siber. Ia turut membuktikan pengiktirafan antarabangsa ke atas kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam tindakan menangani pelbagai isu jenayah siber.

divider-shadow
image
Kursus Master Controller Siri 13/2016, Kuantan, Pahang
10 Jun 2016

Pada 10 Jun 2016 telah berlangsung Master Controller Course Siri 13/2016 anjuran Pusat Pengurusan Ruang Angkasa (INSPRA) bertempat di INSPRA, Kuantan.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden, Bahagian Penyelidikan Strategik, di mana beliau telah menyampaikan ceramah mengenai Peperangan Siber.

Ceramah yang disampaikan telah memberi pendedahan kepada peserta kursus mengenai trend dan peperangan siber yang mampu memberi impak kepada ruang siber negara. Peluang ini turut diambil untuk memperkenalkan peranan serta fungsi CyberSecurity Malaysia sebagai pusat rujukan pakar keselamatan siber di Malaysia kepada pegawai pelbagai peringkat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mengikuti kursus tersebut.

Jemputan INSPRA kepada CyberSecurity Malaysia merupakan satu pengiktirafan TUDM mengenai kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber negara.

divider-shadow
image
28th Annual FIRST Conference, Seoul, Korea
12 – 17 Jun 2016

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri persidangan tahunan FIRST kali ke-28 di Seoul, Korea dari 12 hingga 17 Jun 2016. Persidangan antarabangsa tahunan anjuran FIRST.Org, Inc ini menghimpunkan pakar, organisasi, CSIRT serta CERT yang terlibat dalam bidang keselamatan siber. Seramai lebih 600 delegasi dari pelbagai negara di seluruh dunia hadir di persidangan ini.

Selain menghadiri persidangan, CyberSecurity Malaysia turut terlibat di dalam beberapa aktiviti seperti Latihan CSIRT, Mesyuarat Agung Tahunan FIRST serta menghadiri Mesyuarat NatCSIRT Peringkat Antarabangsa.

CyberSecurity Malaysia turut membuat pembentangan hasil kajian bertajuk “CSIRT Management Workflow: Practical Guide For Critical Infrastructure Organization” pada persidangan FIRST. Pembentangan dilakukan oleh Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi dan Nurul Husna Mohd Nor Hazalin, dari Jabatan Perkhidmatan Teknologi Terjamin.

Wakil CyberSecurity Malaysia, Puan Sharifah Roziah Mohd Kassim dari Jabatan MyCERT turut menjadi Session Chair bagi dua tajuk pembentangan yang dibentangkan oleh Kate Gagnon dari United Nation bertajuk “Building an Information Sharing Nation” dan Victor Ivanovsky dari CERT-GIB, Rusia bertajuk “The Evolution of Russian Android Banking Trojan”.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia dalam pelbagai aktiviti di persidangan FIRST telah meningkatkan skil serta kepakaran dalam bidang keselamatan siber, di samping dapat berkongsi maklumat melalui peluang kerjasama dengan pasukan CSIRT dari negara lain. Ia turut meningkatkan visibiliti CyberSecurity Malaysia di arena antarabangsa dalam bidang keselamatan siber.

divider-shadow
image
Lawatan Kerja Strategik Bagi Projek Sempadan Malaysia – Thailand, Bukit Kayu Hitam, Perlis
14 - 15 Jun 2016

Pada 14 dan 15 Jun 2016, CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk menyertai lawatan kerja strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke sempadan Malaysia – Thailand bagi menjalankan kerja-kerja pengumpulan data untuk melaksanakan pematuhan sistem pengawalan sempadan dengan lebih efisien. Lawatan tersebut telah mengenalpasti penambahbaikan ke atas sistem sedia ada dan juga pematuhan kesiapsiagaan forensik (Forensic Readiness Compliance).

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ketua Jabatan Forensik Digital, Mohd Zabri Adil Bin Talib dibantu oleh Juruanalisa Forensik Digital iaitu Mohammad Zaharudin Bin Ahmad Darus dan Fakhrul Afiq Bin Abd Aziz.

Data yang diperolehi akan membantu CyberSecurity Malaysia membuat kajian pembangunan forensik digital bagi memperkemaskan lagi pelaksanaan pematuhan sistem pengawalan sempadan. Ianya juga membantu pihak penguatkuasa meningkatkan kawalan sempadan dengan menguji sistem teknikal penghantaran data. Selain itu, kualiti video sistem CCTV turut diuji bagi meningkatkan kawalan sempadan negara dari dicerobohi serta membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

divider-shadow
image
International Security Cyber Experts Workshop, Geneva, Switzerland
15 - 17 Jun 2016

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri International Security Cyber Experts Workshop anjuran United Nations Institute for Disarmament Research (UNIDIR) dan Center for Strategic and International Studies (CSIS) selama tiga hari di Geneva bermula dari 15 hingga 17 Jun 2016.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada acara ini adalah di atas jemputan Kementerian Luar Negara. Selain CyberSecurity Malaysia, turut menyertai negara adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bengkel ini merupakan inisiatif Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha membangun dan mengawal pengedaran cyber tools yang boleh disalahgunakan bagi tujuan ancaman keselamatan siber global. Pelbagai isu dibincangkan sepanjang bengkel seperti penggunaan pelbagai cyber tools dalam usaha melancarkan serangan siber termasuk pengintipan dan pengawasan, kod jahat dan juga botnet.

CyberSecurity Malaysia telah berkongsi maklumat dan menyuarakan pandangan dalam isu pengawalan cyber tools yang dianggap boleh mengancam keselamatan siber global. Ia juga bertujuan untuk memastikan kepentingan negara tidak terabai, malah sentiasa dilindungi dalam setiap inisiatif yang dibangunkan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pemilihan CyberSecurity Malaysia mewakili negara membuktikan pengiktirafan Kerajaan terhadap peranan serta kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber. Ia juga membuktikan ketersediaan, komitmen dan kepimpinan CyberSecurity Malaysia dalam menyumbang kepada memperkasa aspek keselamatan siber global.

divider-shadow
image
Majlis Pra-Pelancaran CSM-ACE 2016 & Berbuka Puasa Bersama Media, Kuala Lumpur
16 Jun 2016

Pada 16 Jun 2016 telah berlangsung Majlis Pra Pelancaran CSM-ACE 2016. Ianya diadakan serentak dengan Majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan telah dirasmikan oleh YB. Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pra-Pelancaran CSM-ACE 2016 ini diadakan bagi memperkenal dan mengumumkan penganjuran CSM-ACE 2016 serta acara-acara yang akan diadakan di sepanjang program tersebut berlangsung dari 17 – 20 Oktober 2016.

Manakala Majlis Berbuka Puasa Bersama Media pula diadakan sebagai tanda terima kasih kepada pihak media yang sentiasa memberi sokongan terhadap CyberSecurity Malaysia. Seramai lebih 100 tetamu hadir terdiri dari rakan strategik CSM-ACE 2016 termasuk rakan kerjasama media yang menyokong penganjuran CSM-ACE 2016 anjuran CyberSecurity Malaysia ini.

Pada majlis ini, turut dilancarkan ialah tema CSM-ACE 2016 iaitu Cyber Resilience. Penganjuran majlis pra pelancaran ini memberikan impak kepada CyberSecurity Malaysia terutamanya dalam usaha menghebahkan mengenai penganjuran CSM-ACE 2016 kepada orang awam serta memaklumkan kepada pihak industri mengenai peluang kerjasama dalam melestarikan industri keselamatan siber di Malaysia.

divider-shadow
image
Bengkel Jurulatih Pembangunan Modul Kesedaran Keselamatan Siber, Kuala Lumpur
20 - 21 Jun 2016

Pada 20 dan 21 Jun 2016 telah berlangsung Bengkel Jurulatih Pembangunan Modul Kesedaran Keselamatan Siber bagi melatih 20 pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia dari seluruh negara.

Bengkel dua hari ini mendedahkan para pegawai BTP yang akan bertindak sebagai Jurulatih Utama mengenai mekanisma kaji selidik yang bakal dijalankan bagi tujuan pengumpulan data untuk pembangunan modul kesedaran keselamatan siber yang akan digunapakai di sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.

Melalui bengkel ini para pegawai BTP juga dimaklumkan mengenai sasaran sebanyak 256 buah sekolah rendah dan 267 buah sekolah menengah meliputi seramai 6,500 pelajar di seluruh negara.

Pembangunan modul kesedaran keselamatan siber merupakan satu kerjasama strategik di antara CyberSecurity Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah penyeliaan Bahagian Teknologi Pendidikan. Kaji selidik akan bermula dari 27 Jun sehingga 29 Julai 2016.

Modul kesedaran keselamatan siber adalah salah satu inisiatif CyberSecurity Malaysia dalam usaha memupuk budaya penggunaan serta amalan positif Internet serta komputer dalam kalangan pelajar sekolah. Ianya dibangun bagi memastikan para pengguna Internet mempunyai sikap penggunaan Internet beretika dan berhemah.

divider-shadow
image
1st Digital Forensics Expert Group Meeting and Workshop, Madrid, Sepanyol
21 - 24 Jun 2016

CyberSecurity Malaysia telah menyertai 1st Digital Forensics Expert Group Meeting and Workshop di Madrid, Sepanyol dari 21 hingga 24 Jun 2016.

Mesyuarat anjuran INTERPOL Digital Crime Centre (IDCC) diadakan bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama antarabangsa pakar-pakar bidang forensik digital dengan badan penguatkuasa, sektor awam serta para akademia dalam mengenalpasti ancaman semasa serta mencari penyelesaian dalam mengatasi ancaman siber.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Dr. Aswami Fadillah Mohd Ariffin, Naib Presiden, Bahagian Perkhidmatan Tindak Balas Keselamatan Siber dan Mohd Zabri Adil Talib, Ketua Jabatan Forensik Digital, CyberSecurity Malaysia.

Penyertaan pada acara ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk mengukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju industri bidang forensik digital di rantau ASEAN, di samping membuka peluang untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan pembangunan makmal forensik digital dan sistem kualiti. Peluang turut diambil untuk CyberSecurity Malaysia bertukar pandangan serta inisiatif penyelidikan bidang forensik digital.

divider-shadow
image
QMS Consultancy Service to Information Technology Authority (ITA), Oman
21 - 30 Jun 2016

CyberSecurity Malaysia telah melaksanakan khidmat pengauditan Quality Management System (QMS) terhadap makmal forensik digital National Digital Forensics Laboratory, Information Technology Authority, Oman pada 21 hingga 30 Jun 2016.

Perkhidmatan penguaditan tersebut dilakukan oleh pegawai CyberSecurity Malaysia terdiri dari Abdul Rouf Bin Sayuti selaku Ketua Audit dibantu oleh Fauzi Bin Mohd Darus yang menjalankan pengauditan teknikal manakala Alifa Ilyana Chong Binti Abdullah yang melakukan audit pengurusan.

Perkhidmatan pengauditan yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia ini membukti pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan tenaga pakar forensik digital CyberSecurity Malaysia. Ia telah mengukuhkan lagi kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai pusat rujukan keselamatan siber bukan sahaja di peringkat tempatan malah di arena antarabangsa.

divider-shadow
image
International Conference on Data Mining and Big Data, Bali, Indonesia
24 - 30 Jun 2016

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri International Conference on Data Mining and Big Data atau IC-DMBD’2016 di Bali, Indonesia dari 24 hingga 30 Jun 2016.

Persidangan ini dianjurkan oleh Peking University, Xi’an Jiaotong-Liverpool University, IEEE Computational Intelligence Society, Computational Intelligence Laboratory of Peking University dan Beijing Xinghui High-Tech Corporation.

IC-DMBD’2016 menyaksikan pelbagai pembentangan kertas kerja oleh komuniti saintifik antarabangsa dalam penyelidikan terkini data mining dan big data analytics. Lebih 200 kertas kerja penyelidikan dihantar kepada jawatankuasa panel semakan dan hanya 57 kertas penyelidikan telah diterima dan dibentangkan di persidangan ini.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Mohamad Nizam Kassim, Penganalisa Kanan, Jabatan Penyelidikan Strategik di mana beliau telah membuat pembentangan hasil kajian mengenai algorithma pemprosesan teks bagi Bahasa Melayu di dalam media sosial bertajuk “Malay Word Stemmer To Stem Standard and Slang Words in Social Media.”

divider-shadow
image
Program ‘CyberSecurity Malaysia Shopping Raya’ dan Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-Anak Yatim Bait Al-Amin, Parit, Perak
26 Jun 2016

Pada 26 Jun 2016 telah berlangsung program “Shopping Raya” dan Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-Anak Yatim Bait Al-Amin, Parit, Perak.

Program ini menjadi tradisi CyberSecurity Malaysia setiap kali tiba bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidil Fitri. Tahun 2016, merupakan kali ke-enam program ini diadakan oleh CyberSecurity Malaysia sebagai sebahagian dari keperluan memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR). Ia turut diadakan bagi meraikan anak-anak yatim Bait Al-Amin membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Seramai 45 anak-anak yatim berumur di antara lima sehingga 17 tahun diraikan pada majlis berbuka puasa dan ‘shopping raya’. Hadir pada majlis berbuka puasa ialah YABhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia. Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan pemberian duit raya kepada anak-anak yatim termasuk lapan guru dan kakitangan Rumah Anak-Anak Yatim Bait Al Amin.

Manakala pada program ‘shopping raya’ pula, anak-anak yatim ini telah diraikan oleh Dr. Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia di Pusat Membeli Belah AEON, Seksyen 18, Ipoh.

Penganjuran program ini telah memberi impak kepada CyberSecurity Malaysia dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju bidang Keselamatan siber di Malaysia. Ia turut membuktikan keprihatinan CyberSecurity Malaysia dalam memenuhi tanggungjawab sebagai sebuah agensi Kerajaan.

divider-shadow
image
Lawatan Kerja Timbalan Ketua Setiausaha (Sains), Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) ke CyberSecurity Malaysia.
27 Jun 2016

Pada 27 Jun 2016, CyberSecurity Malaysia menerima lawatan kerja YBrs. Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama empat pegawai MOSTI dari Bahagian Dasar ICT.

Tujuan lawatan kerja TKSU (Sains) MOSTI ini adalah bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi CyberSecurity Malaysia serta isu-isu terkini berkaitan keselamatan siber.

Delegasi MOSTI telah disambut oleh Dr. Solahuddin Bin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi, CyberSecurity Malaysia. Delegasi telah diberi taklimat korporat mengenai CyberSecurity Malaysia dan dipertontonkan dengan tayangan video korporat selain mengadakan lawatan ke beberapa makmal CyberSecurity Malaysia.

Lawatan ini telah mengukuhkan jalinan bersama TKSU (Sains) MOSTI dan para pegawai dari Dasar ICT MOSTI.

divider-shadow
image
Bengkel Pemurnian Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan (NICTSED) 2016, Putrajaya
28 - 29 Jun 2016

Pada 28 dan 29 Jun 2016 telah berlangsung satu Bengkel Permurnian Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan (NICTSeD) 2016 telah diadakan di Putrajaya, Kuala Lumpur.

Bengkel ini diadakan bagi memilih sekolah-sekolah yang akan mewakili negeri/zon ke Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan: Piala Cabaran CyberSAFE™ 2016.

Pertandingan suku akhir dan separuh akhir NICTSeD 2016 akan diadakan pada 6 hingga 11 Ogos 2016 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu. Dua sekolah akan dipilih ke pertandingan akhir yang akan diadakan pada bulan Oktober 2016 di Kuala Lumpur nanti.

Sebanyak 123 penyertaan dari 16 buah negeri/zon seluruh negara telah diterima menerusi penyertaan yang dibuka secara dalam talian bermula pada 14 Jun 2016. 16 buah sekolah telah dipilih mewakili negeri/zon masing-masing.

Pada bengkel tersebut juga, sebanyak 24 tajuk mengenai isu keselamatan siber semasa telah dipilih untuk dipertandingkan pada NICTSeD 2016.

divider-shadow
Pautan
set5-image2
Lawatan ke CyberSecurity Malaysia

set5-image2
Program Kesedaran Keselamatan Siber - CyberSAFE
Untuk Lapor Ancaman atau Insiden Keselamatan Siber, Sila Klik di Sini
set3-image4
image