Having trouble viewing this email? View it in your browser.
set9-image23
set9-image25
CYBERSECURITY MALAYSIA - “CYBERNEWS”
ISU 16 | SUKU PERTAMA - 2017
Bahasa | English
FEBRUARI 2017
image
Bengkel ICT Product Security Assessment (IPSA) Kali Ke-dua, Putrajaya
1-2 Februari 2017

CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan bengkel ICT Product Security Assessment buat kali ke-dua di Purtajaya pada 1 dan 2 Februari 2017.

 

Sebagai penyedia perkhidmatan ujian ICT Product Security Assessment (IPSA) dan Independent Verification Assessment (IVA), CyberSecurity Malaysia mengadakan bengkel ini bagi membincangkan persediaan pelaksanaan perkhidmatan tersebut. Melalui bengkel ini maklumat turut diperolehi dari pihak konsultan bagi membangunkan developer dan tester untuk pelaksanaan pengujian produk selain merekabentuk dan menyelaraskansenarai semak yang merangkumi perkhidmatan ujian yang terdiri dari kumpulan teknologi telefon pintar, perangkaian, dan laman sesawang.

 

Bengkel ini juga mengenalpasti skop pengujian untuk firmware, perkakasan dan perisian yang bakal digunakan dalam skim ujian yang baharu serta mengenalpasti senarai semakyang akan membantu mempercepatkan proses pengujian dan penilaian.

 

Hasil dari bengkel ini, satu garis panduan telah dibangunkan bagi mengesyorkan perkhidmatan ujian yang dapat memenuhi keperluan pelanggan dan juga agensi.
divider-shadow
image
Majlis Perasmian Sambutan Safer Internet Day 2017 Edisi Malaysia, Kuala Lumpur
7 Februari 2017

Sambutan Safer Internet Day 2017 Edisi Malaysia telah diadakan pada 7 Februari 2017 bertempat di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Perasmian sambutan telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Turut hadir ialah YB Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Encik Kua Abun, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pengkormesilan), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia serta lebih 250 jemputan terdiri dari Ketua-Ketua Agensi/Jabatan di bawah MOSTI, rakan-rakan strategic, warga RTM serta para pelajar sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan juga Petaling Jaya.

 

Safer Internet Day merupakan satu acara tahunan yang disambut oleh lebih 100 buah negara di seluruh dunia bagi mempromosi, memupuk serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penggunaan internet secara positif dan beretika. Di Malaysia, CyberSecurity Malaysia mengambil inisiatif murni ini untuk menerajui sambutan ‘Safer Internet Day’ sejak tahun 2010.

 

Tema sambutan pada tahun 2017 ialah “Be The Change: Unite For A Better Internet”. Sempena sambutan Safer Internet Day 2017, CyberSecurity Malaysia telah memperkenalkan kempen ‘#myviralvow’. Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna internet tentang perlunya tanggungjawab dan etika ketika berkongsi sesuatu maklumat, visual serta berita yang dilakukan secara dalam talian melalui aktiviti tular atau ‘online viral’. 

 

Pada majlis tersebut, YB Menteri juga turut bersiaran secara langsung menerusi program ‘Selamat Pagi Malaysia’ di TV1 dan melalui program ‘Perspektif’ di Nasional FM.

 

Melalui sambutan serta kempen yang diadakan ini, para pengguna internet diharap dapat menjadi netizen yang bijak dalam menilai kesahihan dan ketulenan sesuatu maklumat, visual serta berita yang diperolehi sebelum menularkannya melalui laman-laman media sosial. 
divider-shadow
image
Global Mobile Computing Conference 2017, Chennai, India
9 - 10 Februari 2017

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam persidangan Global Mobile Computing Conference 2017 di Chennai, India pada 9 dan 10 Februari 2017. Persidangan anjuran SSM College of Engineering, India ini diadakan sebagai sebahagian dari usaha membangun serta mempromosi kemudahan pembelajaran melalui telefon mudahalih, aplikasi serta peranti selain menumpu kepada pendekatan baharu serta kebaikan pembelajaran digital kepada orang ramai.

 

Persidangan ini dihadiri oleh pakar–pakar IT, pengendali telekomunikasi, penyelidik serta pengeluar peranti dalam pembangunan dan teknologi wayar lebar dan “mobile” untuk berkongsi idea idea baharu dalam konteks “mobile learning”.

 

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi, di mana beliau telah menjadi ahli panel pada sesi perbincangan yang bertajuk “Adaptive Cyber Security - Addressing Security Challenges of Hyper Connected World”.

 

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini memberi peluang untuk mengukuhkan lagi kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi peneraju bidang keselamatan siber di dalam Malaysia dan juga luar negara.

divider-shadow
image
CSM-HPCCC Universiti Teknologi Petronas (UTP) Collaboration Workshop, Bangi, Selangor
9 – 10 Februari 2017

Pada 9 dan 10 Februari 2017 telah berlangsung satu bengkel kolaborasi di antara CyberSecurity Malaysia dan HPCCC Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Bangi, Selangor.

 

Bengkel ini diadakan bagi berkongsi pengalaman, pengetahuan, maklumat serta berbincang dan mengenalpasti skop serta bidang teknologi cloud yang membolehkan CyberSecurity Malaysia dan UTP bekerjasama dalam memajukan teknologi cloud. 

 

Melalui bengkel ini, para telah diberi pendedahan mengenai teknologi cloud terkini dalam usaha menyediakan perkhidmatan berkaitan aplikasi teknologi cloud sama ada untuk organisasi yang terlibat dan juga negara.

divider-shadow
image
Majlis Perasmian dan Serah Milik Pusat MyCyber Komuniti@Sabah, Pameran Interaktif dan Program CyberSAFE, Tamparuli Point, Sabah
10 – 11 Februari 2017

Pada 10 dan 11 Februari 2017 telah berlangsung satu program CyberSAFE antaranya bengkel Cyberparenting dan juga CyberQuest serta pameran interaktif sempena Majlis Perasmian dan Serah Milik Pusat MyCyber Komuniti@Sabah di Tamparuli, Sabah.

 

Bengkel Cyberparenting yang diadakan pada 10 Februari 2017 telah dihadiri oleh 30 peserta terdiri dari kalangan ibubapa di sekitar daerah Tamparuli. Pengisian bengkel termasuk ceramah dan aktiviti ‘hands-on’ telah dikendalikan oleh Lt. Kol. Mustaffa Ahmad (Bersara), Naib Presiden Kanan, Outreach & Pembangunan Kapasiti bersama Jazannul Azriq Aripin, Eksekutif Kanan, Jabatan Outreach dan Komunikasi Korporat, CyberSecurity Malaysia serta rakan strategik program CyberSAFE iaitu, Peopelogy.

 

Turut berlangsung ialah program CyberSAFE Quest yang diadakan di sekitar pekan Tamparuli melibatkan seramai 50 pelajar dari empat buah sekolah di daerah Tamparuli.

 

Pada 11 Februari 2017 pula berlangsung pameran interaktif di perkarangan Pusat MyCyber Komuniti@Sabah yang turut melibatkan Met Malaysia, Jabatan Kimia serta Koperasi Tokou Sabah Berhad.

 

Majlis Perasmian dan Serah Milik Pusat MyCyber Komuniti@Sabah telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Hadir sama pada majlis tersebut ialah YB Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Hj Yahaya, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia serta Felix Joseph Saang, Pengerusi Koperasi Tokou Sabah Berhad.

 

Pusat MyCyber Komuniti dibangunkan oleh CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Koperasi Tokou Sabah Berhad. Ia merupakan pusat sehenti bagi penyebaran ilmu dan maklumat mengenai penggunaan komputer dan internet secara positif di samping merapatkan jurang digital di antara penduduk. Pusat ini dibina di bawah pembiayaan dana Program Inovasi Sosial MOSTI atau MOSTI Social Innovation Program (MSI).

Selain meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat agar dapat menikmati kemudahan perkhidmatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT), pusat ini juga akan digunakan oleh agensi serta jabatan dari pelbagai Kementerian bagi penganjuran pelbagai program serta aktiviti berkaitan ICT dan keselamatan siber yang melibatkan masyarakat di daerah Tamparuli.

 

Pusat MyCyber Komuniti dilengkapi kemudahan ICT dengan peralatan komputer serta akses internet, percetakan digital dan mesin pengimbas. Prasarana ICT yang terdapat di pusat ini akan memudahkan masyarakat melakukan aktiviti dalam talian seperti perbankan online serta transaksi online seperti pembelian dalam talian, pembayaran bil serta utiliti.

divider-shadow
image
Taklimat dan Demonstrasi Sistem Biometrik ‘Automatic Speaker Identification System’ (ASIS), Seri Kembangan
13 Februari 2017

Pada 13 Februari 2017, satu sesi taklimat serta demonstrasi mengenai Sistem Biometrik ‘Automatic Speaker Identification System’ (ASIS) telah diadakan di Cyber Forensic X Lab, CyberSecurity Malaysia. Taklimat serta demonstrasi dilakukan oleh Miliserv Technologies dari Sepanyol.

 

Ia diadakan bagi memberi pendedahan mengenai sistem pengecaman dan pengenalan suara biometrik secara otomatik yang menggunakan pangkalan data berpusat, di mana ianya boleh diakses dari rangkaian sedia ada. Pengunaan sistem ini amat bersesuaian bagi CyberSecurity Malaysia dalam memperkemaskan lagi perkhidmatan forensik digital di Malaysia.

 

Melalui program ini, ia telah mengeratkan hubungan baik di antara CyberSecurity Malaysia dengan pihak Miliserv Technologies dan Nuance (Sepanyol) dalam mewujudkan usaha sama Sistem Biomerik yang khusus kepada pengecaman suara.

divider-shadow
image
Kursus CPF – Taklimat First Responder Pegawai Penguatkuasa Farmasi, Kedah
14 – 16 Februari 2017

Pada 14 hingga 16 Februari 2017, satu taklimat dan latihan First Responder telah dilaksanakan kepada Pegawai Penguatkuasaan farmasi di Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Kedah. Latihan yang dijalankan ini adalah hasil kerjasama antara CyberSecurity Malaysia dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.​ Pegawai CyberSecurity Malaysia yang terlibat adalah Puan Nur Aishah binti Mohamad dan Encik Muhammad Zahid bin Ismail dari Jabatan Forensik Digital. 

 

Tujuan latihan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan tentang kaedah profiling terhadap kes-kes produk ubat tidak berdaftar dan SOP terhadap rampasan bahan bukti digital. Latihan selama tiga hari ini telah disertai seramai 25 orang peserta dari pegawai-pegawai Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Kedah.

 

Hasil daripada latihan ini, ke semua peserta telah diterapkan dengan pengetahuan dan pendedahan dalam membuat profiling serta rampasan bahan bukti digital. Selain itu, mereka juga lebih yakin dalam mengendalikan bahan bukti digital hasil daripada simulasi yang telah dijalankan.

divider-shadow
image
Digital Citizenship Dialogue 2017, Putrajaya
16 Februari 2017

Pada 16 Februari 2017, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Digital Citizenship Dialogue 2017 anjuran Netflix (Singapura) di Putrajaya. Program sehari ini diadakan sempena sambutan Safer Internet Day 2017.

 

Bertemakan “Unite for a Better Internet: Empowering parents to guide connected kids”, dialog ini diadakan bagi meningkatkan pemahaman mengenai amalan terbaik dalam polisi kerakyatan digital, penyelidikan dan juga sokongan keibubapaan.

 

Sesi dialog telah dipengerusikan oleh Encik K. Juslly Elis dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) manakala ahli panel terdiri dari Stephen Balkam dari Family Online Safety Institute, Amerika Syarikat, Laurent Duvillier dari UNICEF Malaysia dan Dr. Moniza Waheed dari Universiti Putra Malaysia (UPM). CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Lt. Kol. Mustaffa Bin Ahmad (Bersara), Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach dan Pembangunan Kapasiti. Lebih 100 peserta hadir pada sesi dialog ini. 

 

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada sesi dialog ini telah berjaya meletakkan agensi ini sebagai peneraju keselamatan siber di Malaysia,  di samping mengeratkan lagi jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi yang turut sama terlibat dalam menjayakan bengkel ini.

divider-shadow
image
Taklimat Sistem E-Lelong Mahkamah Tinggi Malaysia, Putrajaya
16 Februari 2017

Pada 16 ​Februari 2017, satu sesi taklimat berkenaan Sistem E-Lelong telah diadakan di Putrajaya. Wakil CyberSecurity Malaysia yang terlibat adalah Encik Mohd Zabri Adil bin Talib dan Abdul Wafi bin Abdul Rahman dari Jabatan Forensik Digital. Sesi taklimat ini diadakan bagi CyberSecurity Malaysia berkongsi senarai lima elemen utama yang penting bagi Sistem E-Lelong, antaranya ialah penyediaan elemen “Forensic Readiness”, pengujian “stress test” terhadap sistem, keupayaan sistem menyimpan data log untuk setiap proses lelongan, keupayaan sistem menangkis jangkitan perisian jahat (malware) serta penyediaan masa (timestamp) terhadap masa bidaan yang sedang dijalankan.

 

Hasil daripada taklimat yang diadakan ini, ke semua elemen yang disenaraikan oleh CyberSecurity Malaysia melalui perkhidmatan forensik digital telah diterima baik oleh pihak Mahkamah Tinggi Malaysia.

 

Sesi taklimat yang diadakan ini telah membuktikan keyakinan pihak mahkamah terhadap kepakaran dan keupayaan CyberSecurity Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan forensik digital. Ia turut mengeratkan hubungan baik di antara CyberSecurity Malaysia dengan pihak Mahkamah Tinggi Malaysia terhadap kesiapsiagaan keselamatan siber.
divider-shadow
image
Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bilangan 2/2017 Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Asia Pasifik (APCERT), Ho Chi Minh, Vietnam
25 Februari 2017

CyberSecurity Malaysia telah menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bilangan 2/2017 Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Asia Pasifik (APCERT) pada 25 Februari 2017 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.

 

Mesyuarat anjuran Jawatankuasa Pemandu APCERT/Japan Computer Emergency Response Team/Coordination Center (JPCERT/CC) ini diadakan bagi melaksanakan tanggungjawab CyberSecurity Malaysia sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu dan Timbalan Pengerusi, menonjolkan sumbangan penting serta peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam bidang keselamatan siber kepada negara-negara anggota Asia Pasifik serta menyediakan platform untuk negara-negara anggota membincangkan halatuju strategik dan cabaran yang dihadapi dalam meningkatkan kerjasama bidang keselamatan siber dalam kalangan negara-negara anggota.

 

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu APCERT ini adalah mesyuarat kali ke-2 bagi tahun 2017 dan merupakan mesyuarat kali pertama yang dijalankan secara bersemuka. Ia dihadiri oleh 10 ahli dari enam buah negara.

 

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini telah meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menghadapi ancaman siber menerusi perkongsian maklumat, kepakaran, hasil penyelidikan dan amalan terbaik antara CyberSecurity Malaysia dan pasukan tindak balas kecemasan komputer negara-negara anggota APCERT, selain mengeratkan hubungan kerjasama di antara Malaysia dengan negara-negara ahli APCERT.

divider-shadow
image
CEO’s TALK - "The Reality of Cyber Threats Today", UTeM, Melaka
27 Februari 2017

Pada 27 Februari 2017, CyberSecurity Malaysia telah menyertai program CEO’s TALK - "The Reality of Cyber Threats Today" anjuran Center for Teaching and Learning, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Dewan Seminar Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi UteM, Melaka.

 

Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi, CyberSecurity Malaysia telah hadir ke program ini dan berkongsi maklumat mengenai prasarana keselamatan siber semasa di Malaysia. Program ini diadakan bagi memberi kesedaran kepada para peserta mengenai ancaman siber pada masa kini. Ia dihadiri oleh seramai 150 peserta terdiri daripada pensyarah dan juga pelajar UTeM.

 

Program ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk memperkenalkan perkhidmatan serta mempromosi CyberSecurity Malaysia sebagai agensi pakar dalam bidang keselamatan siber selain turut mengeratkan kerjasama dan hubungan baik dengan UteM dalam inisiatif keselamatan siber di Malaysia.
divider-shadow
image
Test Framework Workshop, Putrajaya
27 – 28 Februari 2017

CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan bengkel Test Framework pada 27 dan 28 Februari 2017 di Putrjaya.

 

Bengkel ini diadakan bagi merekabentuk dan menyelaras testing framework yang merangkumi perkhidmatan ujian yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia, mengenalpasti skop pengujian untuk firmware, perkakasan dan perisian, mengenal pasti piawaian yang sesuai untuk testing framework seperti ISO9126, COBIT dan mengenalpasti keperluan penting untuk dimasukkan ke dalam testing framework seperti test flow, test impact, test audience dan lain-lain.

 

Ia melibatkan pelbagai jabatan di dalam CyberSecurity Malaysia, di mana hasil dari bengkel yang diadakan ini telah terbina satu garis panduan untuk pelanggan dan juga jabatan dalam menyediakan perkhidmatan ujian keselamatan siber yang lebih berkualiti serta dapat memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan.

divider-shadow
image
Data Collection 2 Techno Fund, Kuala Lumpur
27 Februari 2017 – 17 Mac 2017

CyberSecurity Malaysia telah mengadakan aktiviti pengumpulan data bertempat di UniKL MIIT, Kuala Lumpur pada 27 Februari 2017 sehingga 17 Mac 2017.

 

Aktiviti ini bertujuan untuk mengumpul imej 2D dan 3D wajah pelajar dan staf UniKL MIIT bagi memenuhi pencapaian projek TechnoFund yang bertajuk “GPU Enhanced Robust Multi-Dimensional Facial Identification System for CCTV Evidence in Video Forensics Analysis”. Ia dilaksanakan di bawah seliaan dan pembiayaan dana Techno Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

 

Aktiviti ini melibatkan proses pendaftaran wajah di dalam studio 2D3D Forensic Face Recognition yang difabrikasi oleh CyberSecurity Malaysia melalui perkhidmatan forensik digital. Ia turut meliputi pengambilan data menggunakan kamera CCTV sebagai data ujian untuk proses pengecaman dan perbandingan.

 

Data yang diambil akan digunakan bagi tujuan menguji prestasi analisa data wajah menggunakan perisian biometrik wajah yang dibangunkan melalui projek ini.

 

Antara pegawai CyberSecurity Malaysia yang terlibat ialah Nur Afifah binti Mohd Saupi dan Wafa binti Mohd Kharudin dari Jabatan Forensik Digital.  Aktiviti ini merupakan projek kolaborasi sulung di antara CyberSecurity Malaysia dan UniKL MIIT.

divider-shadow
Pautan
set5-image2
Lawatan ke CyberSecurity Malaysia

set5-image2
Program Kesedaran Keselamatan Siber - CyberSAFE
Untuk Lapor Ancaman atau Insiden Keselamatan Siber, Sila Klik di Sini
set3-image4
image