PPada 20 dan 21 April 2017 telah berlangsung Mesyuarat Lembaga Pengarah Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC-CERT) di Mashhad, Iran. Mesyuarat kali pertama tahun 2017 ini telah dihadiri oleh 13 ahli dari tujuh negara, antaranya Oman, Malaysia, Azerbaijan, Indonesia, Iran, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Mesyuarat Lembaga Pengarah OIC-CERT diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan operasi seperti keahlian, kemajuan kumpulan kerja dan rangka kerja pentadbiran. Selain itu, mesyuarat juga turut membincangkan isu-isu berkenaan perancangan penganjuran persidangan tahunan yang akan berlangsung di Baku, Azerbaijan pada suku ke-tiga 2017.
Penganjuran mesyuarat ini telah menonjolkan sumbangan penting serta peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam bidang keselamatan siber khususnya kepada negara-negara anggota OIC. Ini terbukti apabila CyberSecurity Malaysia telah dilantik sebagai Sekretariat Tetap OIC-CERT pada tahun 2013.
Ia juga meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menghadapi ancaman siber menerusi perkongsian maklumat, kepakaran, hasil penyelidikan dan amalan terbaik dengan pasukan tindak balas kecemasan komputer negara-negara anggota OIC-CERT. Selain itu, ia merupakan satu pengiktirafan terhadap kepakaran Malaysia dalam bidang keselamatan siber di mana wujudnya peningkatan terhadapa permintaan oleh negara-negara anggota OIC-CERT untuk Malaysia memberi latihan kepakaran dalam bidang keselamatan siber kepada agensi dari Pakistan, Indonesia, Brunei Darussalam, Nigeria, Arab Saudi dan Mesir.