Pada 6 hingga 9 Mei 2017 telah berlangsung satu perbincangan strategik mengenai penubuhan Global ACE Scheme UAE Chapter di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Global ACE Scheme merupakan satu rangka kerja holistik pensijilan profesional keselamatan siber yang menggariskan pendekatan menyeluruh merangkumi penilaian, kesaksamaan peperiksaan, kecekapan dan keperluan tenaga pengajar, pengkelasan domain keselamatan siber serta pelan tindakan pembangunan profesional. Ia selaras dengan piawaian antarabangsa seperti ISO/IEC9000, ISO/IEC17024 dan ISO/IEC27001. Kewujudan Global ACE Scheme akan membolehkan program profesional latihan, jurulatih, tenaga kerja profesional, produk keselamatan siber dan perkhidmatan dikongsi merentasi sempadan.
Global ACE Scheme akan mewujudkan satu program pensijilan profesional yang diiktiraf di peringkat global, menyediakan profesional keselamatan siber dengan pengetahuan yang tepat, berkemahiran, berkebolehan dan pengalaman, menggalakkan pembangunan program profesional keselamatan siber di peringkat global serta memastikan kakitangan yang diiktiraf dinilai secara bersama dan komited mencapai konsisten serta mencapai tahap perkhidmatan berkualiti tinggi.
CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi, Lt Kol Mustaffa Ahmad (Bersara), Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach dan Pembangunan Kapasiti serta Lee Hwee Hsiung, Ketua Jabatan Pembangunan Professional Keselamatan Siber.