Having trouble viewing this email? View it in your browser.
set9-image23
set9-image25
CYBERSECURITY MALAYSIA - “CYBERNEWS”
ISU 19 | SUKU KE-EMPAT - 2017
Bahasa | English
OKTOBER 2017
image
Seminar Capacity-Building for Compliance with Cross-Border Privacy Rules (CBPR) System in APEC, Taipei
2 Oktober 2017

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Seminar Capacity-Building for Compliance with Cross-Border Privacy Rules (CBPR) System in APEC pada 2 Oktober 2017 di Taipei. Seminar anjuran Chinese Taipei Ministry of Economic Affairs ini telah disertai oleh lebih kurang 100 peserta dari Chinese Taipei dan Ahli-ahli Ekonomi APEC, antaranya Indonesia, New Zealand, Phillipines, Vietnam, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

 

Seminar Sistem Peraturan Privasi Sempadan (CBPR) APEC ini diadakan bagi mempromosi penyertaan Sistem CBPR dari Ahli Ekonomi APEC, berbincang dan berkongsi pengalaman dalam mematuhi dan melaksanakan sistem CBPR. Ini akan membolehkan Ahli Ekonomi APEC memahami mengenai kemungkinan menjadi Agen Akauntabiliti dan faedah-faedah menyertai Sistem CBPR.

 

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada seminar ini merupakan kesinambungan dari Mesyuarat Kumpulan Pemandu E-Dagang (ECSG) di bawah APEC yang dihadiri sebagai wakil World Trustmark Alliance (WTA) pada tahun 2014 dan 2015. Ianya bagi mengukuhkan prinsip pengesahan Malaysia Trustmark di bawah Domain Privasi melalui Sistem CBPR yang merupakan kaedah pengesahan untuk mengukur perlindungan data peribadi yang digunakan dalam industri komersil. Melalui Sistem CBPR, CyberSecurity Malaysia boleh bertindak sebagai Agen Akauntabiliti bagi menilai syarikat swasta yang dikawal selia di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

 

Seminar ini juga memberi gambaran tentang manfaat kepada syarikat-syarikat yang telah diberi pensijilan di bawah Sistem CBPR; serta berkongsi informasi tentang keperluan umum, cabaran dari segi proses atau sumber yang terlibat untuk Ahli Ekonomi APEC menjadi Agen Akauntabiliti; dan pendekatan yang berbeza oleh Ahli Ekonomi lain yang sedang dalam proses menyertai Sistem CBPR APEC.

 

Berdasarkan seminar ini, CyberSecurity Malaysia perlu melaksanakan kajian kebolehlaksanaan berdasarkan skim Trustmark tempatan serta tanggungjawab yang diperlukan dari organisasi-organisasi berkaitan sebelum menyerahkan hasrat bagi menyertai Sistem CBPR APEC. Penyertaan Sistem CBPR APEC juga memerlukan sokongan daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi sebagai Pihak Berkuasa Penguatkuasaan Privasi di Malaysia. Dengan kajian kebolehupayaan ini, CyberSecurity Malaysia akan dapat melaksanakan perkhidmatan Trustmark.
divider-shadow
image
Pelancaran Bulan Kesedaran Keselamatan Siber Sektor Awam, Putrajaya
3 Oktober 2017

Pada 3 Oktober 2017 berlangsung Majlis Pelancaran Program Kesedaran Keselamatan Siber Sektor Awam 2017 di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Majlis tersebut telah dihadiri lebih 300 penjawat awam dan disempurnakan perasmiannya oleh YBhg. Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa, Ketua Setiausaha Negara.

 

Program Kesedaran Keselamatan Siber Sektor Awam merupakan program di bawah kelolaan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dengan sokongan dan kerjasama CyberSecurity Malaysia. Ia dibangunkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penjawat awam mengenai keselamatan siber, menegaskan mengenai kepentingan menjaga maklumat, data atau rahsia kerajaan dalam menangani isu kebocoran maklumat dalam kalangan penjawat awam.

 

Pada majis tersebut, buku panduan 10 Langkah Mudah Amalan Terbaik Kesedaran Keselamatan Siber turut dilancarkan. Manakala, bulan Oktober 2017 pula diisytiharkan sebagai Bulan Kesedaran Keselamatan Siber. Di sepanjang bulan Oktober, agensi serta jabatan kerajaan disarankan untuk melaksanakan program-program berkaitan kesedaran keselamatan siber dalam usaha untuk menyokong inisiatif tersebut.

 

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada program ini sejajar dengan matlamat bagi memupuk kesedaran keselamatan siber menerusi Program CyberSAFE, selain menyokong usaha murni NACSA dalam memperluaskan inisiatif meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber khususnya di sektor awam.

.

divider-shadow
image
Majlis Pelancaran Infrastruktur Siber Malaysian Research And Education Network (MYREN-X), Kuala Lumpur
4 Oktober 2017

Majlis Pelancaran Infrasturktur Siber Malaysian Research and Education Network (MYREN-X) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah berlangsung pada 4 Oktober 2017 di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Majlis dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan telah melibatkan pelbagai organisasi terdiri dari Institut Pengajian Tinggi (IPT), agensi Kerajaan, Telekom Malaysia serta pelajar-pelajar IPT.

 

Majlis bertujuan untuk membentangkan mengenai transformasi pendidikan tanpa sempadan, membolehkan pelaksanaan pendidikan global dan penyelidikan daripada  pelbagai sudut, portfolio komprehensif berkeupayaan untuk rangkaian “end-to-end”, cloud dan kepercayaan yang membolehkan komuniti bekerja dengan kaedah baharu serta dalam yang sama mempercepatkan penemuan penyelidikan dan memajukan bidang pendidikan di peringkat negara dan juga global.

 

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada program ini akan membolehkan agensi ini menguji Infrastruktur MYREN-X dari aspek keselamatan untuk aplikasi, jaringan dan sistem. Selain itu, MYREN-X yang mempunyai perkhidmatan awan yang berupaya menjadi projek perintis CyberSecurity Malaysia di bawah inisiatif RMK-11.

divider-shadow
image
Persidangan Cyber Security Malaysia – Awards, Conference & Exhibition (CSM-ACE) 2017, Kuala Lumpur
9 – 12 Oktober 2017

Pada 9 hingga 12 Oktober 2017 telah berlangsung Persidangan Cyber Security Malaysia – Awards, Conference & Exhibition atau ringkasnya CSM-ACE 2017. Persidangan yang merupakan acara tahunan CyberSecurity Malaysia dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah berlangsung selama empat hari di Royale Chulan Kuala Lumpur.
 
CSM-ACE yang menjangkau tahun ke sembilan penganjurannya telah menjadi platform utama para professional bidang keselamatan siber untuk berkumpul, bertukar pandangan dan berkongsi ideologi berkenaan teknologi serta isu-isu semasa bidang keselamatan siber. Ia juga menjadi platfom untuk memperluaskan jaringan perniagaan serta peluang kolaborasi terutamanya kepada pemain industri keselamatan siber tempatan dan luar negara.

 

Terdapat beberapa komponen utama di dalam penganjuran CSM-ACE 2017, antaranya:-

 

1. Majlis Perasmian dan Ucaptama CSM-ACE 2017

Majlis Perasmian dan Ucaptama CSM-ACE 2017 telah diadakan pada 10 Oktober 2017 dan disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi. Pada majlis tersebut, ucapan pembukaan telah disampaikan oleh YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ (Dr.) Hj. Zulkiefli Mohd Zin (Bersara), Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN). Lebih 500 peserta terdiri dari sektor awam dan swasta, institusi pengajian tinggi serta pemain industri keselamatan siber hadir pada majlis tersebut.

 

2. Persidangan CSM-ACE 2017

Persidangan CSM-ACE 2017 telah berlangsung pada 10 Oktober 2017. Sesi persidangan bermula dengan ucapan YABhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi bin Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia. Persidangan selama sehari ini merangkumi empat sesi panel perbincangan yang melibatkan 19 sesi pembentangan meliputi topik-topik teknikal dan juga pengurusan. Persidangan CSM-ACE 2017 telah dihadiri seramai 220 peserta dari dalam dan juga luar negara.
 

3. Program Latihan CSM-ACE 2017

Pada tahun 2017, CSM-ACE meneruskan legasi sebagai platfom program-program latihan keselamatan siber. Program yang bermula pada 9 Oktober 2017 ini meliputi 11 sesi latihan, di mana pengisian program latihan tersebut telah direka khusus untuk meningkatkan kebolehan dan kecekapan dalam bidang keselamatan siber bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu menangani ancaman siber. Seramai 350 peserta hadiri pada program latihan tersebut.
 

4. Pameran Keselamatan Maklumat CSM-ACE 2017

Sebanyak 42 organisasi dari dalam dan luar negara telah mengambil bahagian pada Pameran Keselamatan Maklumat sempena CSM-ACE 2017 bagi mempromsi perkhidmatan dan produk mereka. Pada sesi pameran ini, CyberSecurity Malaysia telah melancarkan perkhidmatan “Data Hapus” yang merupakan produk yang dibangunkan oleh Jabatan Digital Forensik, CyberSecurity Malaysia menggunakan kepakaran dan kemahiran dalaman.

 

5. Anugerah Keselamatan Siber Malaysia (MCSA) 2017

Acara ini telah diadakan pada 12 Oktober 2017 dan dihadiri oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi. Sebanyak enam kategori anugerah disampaikan kepada para penerima termasuk satu anugerah sepanjang tahun bagi menghargai sumbangan mereka yang terlibat di dalam pembangunan industri keselamatan siber di Malaysia. Pada majis makan malan ini juga sebanyak tiga Memorandum Persefahaman dimeterai oleh CyberSecurity Malaysia bagi membangunkan bidang keselamatan siber.

 

Selain komponen utama di atas, CSM-ACE 2017 turut melibatkan beberapa acara satelit, antaranya:-

 

1. CIO Breakfast Session

Program ini telah diadakan pada 11 Oktober 2017 dengan kerjasama Firmus Technologies Sdn Bhd dan FireEye. Program diterajui oleh Pengarah Teknikal Kanan Asia FireEye iaitu Steve Ledzian dan dihadiri lebih 30 Ketua Pegawai Informasi (CIO) daripada pelbagai organisasi di Malaysia.

 

2. Seminar Forensic Readiness

Seminar Forensic Readiness dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada 11 Oktober 2017. Pada seminar ini, Makmal Forensik Digital Kerajaan Malaysia (MyDFLab) telah melakukan demonstrasi bagi menunjukan keadaan semasa MyDFLab melalui penggunaan teknologi terkini serta alatan forensik digital. Lebih 40 peserta hadir pada seminar ini.

 

3. Pelancaran Cybersecurity Collaboration Program (CCP)

Program ini berlangsung pada 12 Oktober 2017 dan disempurnakan oleh YABhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi bin Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia. CCP merupakan program kelolaan CyberSecurity Malaysia bagi mewujudkan kolaborasi antara pihak Kerajaan, pemain industri keselamatan siber dan juga pihak akademi bagi memgukuhkan ekosistem keselamatan siber di Malaysia.

 

4. National ICT Security Discourse (NICTSeD)

NICTSeD 2017 merupakan pertandingan berbentuk wacana yang dianjurkan oleh CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pedidikan Malaysia (MOE) melalui Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP). Acara tahunan ini turut mendapat sokongan pihak industry seperti BAE Systems, EC-Council dan juga DiGi Telecommunications. Pertandingan akhir telah diadakan pada 13 Oktober 2017 bertempat di Asia Pacific University (APU), Taman Teknologi Malaysia dan dirasmikan oleh YB Datuk Wira Dr. Abu Bakar bin Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

 

Penganjuran CSM-ACE 2017 telah menyediakan platfom kepada pihak Kerajaan, pemain industri bidang keselamatan siber termasuk organisasi swasta dan juga para akademi untuk berkumpul, berkongsi maklumat dan idelogi berkaitan teknologi serta isu-isu keselamatan siber terkini. Selain itu, CSM-ACE 2017 turut membuka peluang perniagaan kepada industri keselamatan siber tempatan dan luar negara untuk memperluaskan jaringan perniagaan. Melalui CSM-ACE, CyberSecurity Malaysia dapat mengukuhkan lagi posisi sebagai peneraju bidang keselamatan siber di Malaysia dan juga peringkat global.

divider-shadow
image
Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2017, Kuala Lumpur
12 Oktober 2017

Pada tahun 2017, sebanyak enam kategori anugerah termasuk dua anugerah khas sepanjang zaman diberi berdasarkan penglibatan aktif, daya pemikiran inovatif, komitmen, dedikasi, kepimpinan dan strategi perniagaan yang berjaya di dalam bidang keselamatan siber.

 

Senarai penerima Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2017 adalah seperti berikut:-

 

Cyber Security Professional Of The Year

  1. Dr Suresh Ramasamy, Head, Group IT Security, Hong Leong Bank
  2. Irwan Kurnawan, Head, Information Security & Platform Management, POS Malaysia Berhad
  3. Clement Arul, Chief Executive Officer, Kaapagam Technologies Sdn Bhd
  4. Alan See, Co-Founder / Chief Executive Officer, Firmus Sdn Bhd

Cyber Security Company Of The Year

  1. DNSVAULT Sdn Bhd
  2. LE Global Services Sdn Bhd

Cyber Security Outreach Provider Of The Year

  1. Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah
  2. Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia

Cyber Security Project Of The Year

  1. Evault Technologies Sdn Bhd (SecureMI Data Leakage Prevention Solution)
  2. SecureMetric Technology Sdn Bhd (CENTAGATE Box)

Cybersafe Professional Of The Year

  1. Tan Wan Ying
  2. Malek Baseri
  3. Mohd Fadzril Azhar Md. Fatin

Cyber Security Innovation Of The Year

  1. MSSGard by Tecforte Sdn Bhd (Product)
  2. Cyber Range Lab by Cyber Range Academy, Politeknik Mersing (Education)
  3. Securelytics New-Innovative Methodology (SNIM) for Quality Common Criteria and Security Testing by Securelytics Sdn Bhd (Service)

Cyber Security Lifetime Achievement Award

  1. YBrs. Dr. Mohamed Awang Lah
  2. YM Dato' Dr. Raja Malik Mohamed

 Majlis penyampaian anugerah kepada para penerima telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

divider-shadow
image
Pertandingan Akhir Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan – Piala Cabaran CyberSAFE (NICTSeD) 2017, Kuala Lumpur
13 Oktober 2017

CyberSecurity Malaysia dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI) serta kerjasama dari Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menganjurkan Pertandingan Akhir Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan atau National ICT Security Discourse (NICTSeD) bagi tahun 2017 pada 13 Oktober di Asia Pacific University di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil.

 

NICTSeD merupakan salah satu inisiatif di bawah program ‘CyberSAFE™ In School’ berperanan meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan keselamatan siber dan maklumat dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia. Pertandingan berbentuk perbincangan dan pembentangan cadangan ini memperlihatkan tahap persaingan yang tinggi, di mana para peserta perlu membuat analisa perbandingan dan pemahaman mengenai isu-isu keselamatan siber seperti buli siber, etika penggunaan media sosial dan sebagainya.

 

Dua sekolah telah berentap pada pertandingan akhir, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki dari Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cyberjaya dari Selangor. Tajuk wacana pada tahun 2017 ialah “25.51% of parents were responsible for teaching students on how to use the Internet (National Baseline Study on Cyber Security Awareness 2016). In a hypothetical situation, the parents of your schoolmates are lackadaisical towards computer security. Propose a programme to acculturate these parents to be responsible Digital Citizens”.

 

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, YBhg. Tuan Haji Zaidi bin Yazid serta YBhg. Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia.

 

Sekolah Menengah Kebangsaan Cyberjaya telah berjaya merangkul juara NICTSeD 2017 dan membawa pulang Piala Pusingan CyberSAFE serta wang tunai berjumlah RM5,000.

 

NICTSeD yang merupakan acara tahunan CyberSecurity Malaysia turut mendapat sokongan dari pihak industry, antaranya DiGi Telecommunications, BAE Systems dan juga EC Council.

divider-shadow
image
Persidangan Government–University Industry Forum and Round Table (GUIFR), Bandar Seri Iskandar, Perak
14 Oktober 2017

Pada 14 Oktober 2017 telah berlangsung Persidangan Government-University-Industry Forum And Round Table (GUIFR) anjuran Universiti Teknologi PETRONAS di CETaL, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Perak Darul Ridzuan. Persidangan ini dirasmikan oleh YBhg. Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Hashim, Naib Canselor, UTP.

 

GUIFR diadakan bagi membincangkan kesan serta impak hasil dari kerjasama “Triple Helix” bukan sahaja kepada Kerajaan malah kepada IPT dan industri. Ia bertujuan untuk merapatkan jurang di antara sektor Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan juga industri, terutamanya dalam bidang penyelidikan. Melalui program ini, peserta dapat berbincang pelbagai resolusi melalui inovasi sosial yang mampu memberi impak kepada komuniti.

 

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Niroshini a/p Madi Palan dari Jabatan MySEF sebagai ahli panel pada sesi meja bulat bertajuk “Impacting communities through social innovations”.

divider-shadow
image
Seminar Memelihara Keselamatan Wanita dan Kanak-kanak di Alam Siber, Kuala Lumpur
22 Oktober 2017

Seminar Memelihara Keselamatan Wanita dan Kanak-kanak di Alam Siber anjuran National Council of Women's Organisations Malaysia (NCWO) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia telah berlangsung pada 22 Oktober 2017 di Royale Chulan Kuala Lumpur.

 

Seminar sehari ini telah dihadiri oleh 1,200 peserta terdiri dari kaum wanita, ibubapa, golongan remaja serta pelajar IPTA. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Isteri YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Penaung Program PERMATA.

 

Tujuan utama seminar ini diadakan adalah bagi menyemai serta memupuk kesedaran keselamatan siber dalam kalangan wanita dan kanak-kanak mengenai penggunaan ICT, cabaran dan ancaman di alam siber. Seminar ini juga turut memperkenalkan kaedah bagi mengurangkan impak ancaman siber yang berpunca dari pelbagai aspek seperti jenayah siber, buli siber, penggunaan media sosial dan ketagihan internet.

 

Penganjuran seminar ini telah memperkenalkan Program CyberSAFE di peringkat nasional di mana program ini telah berjaya mengetengahkan kepentingan kesedaran keselamatan siber kepada pengguna-pengguna Internet di Malaysia.

divider-shadow
image
MARA Luncheon Talk - "Control Your Technology. Don’t Let It Control You", Kuala Lumpur
25 Oktober 2017

CyberSecurity Malaysia telah dijemput oleh pihak Majlis Amanah Rakyat atau MARA untuk menyampaikan ceramah pada program “MARA Luncheon Talk” yang diadakan pada 25 Oktober 2017 bertempat di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur.

 

Dr. Zahri Bin Hj Yunus, Ketua Pegawai Operasi telah mewakili CyberSecurity Malaysia dengan menyampaikan ceramah bertajuk "Control Your Technology. Don’t Let It Control You".

 

Program diadakan bagi meningkatkan pemahaman terhadap isu serta cabaran media digital dan hubungannya dengan psikologi manusia selain mendidik peserta untuk lebih beretika semasa menggunakan media digital. Lebih 100 peserta terdiri daripada kakitangan MARA serta beberapa organisasi lain seperti KEJORA, Persatuan Orang Pekak Malaysia dan Bank Simpanan Malaysia hadir pada program tersebut.

 

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada program ini merupakan satu pengiktirafan oleh MARA terhadap kepakaran agensi ini dalam bidang keselamatan siber. Peluang turut diambil untuk mengeratkan lagi kerjasama dan hubungan baik dengan MARA dalam usaha meningkatkan kesedaran berkenaan penggunaan media digital.

divider-shadow
image
Seminar Adoption of Cryptography Innovation: Opportunities & Challenges, Putrajaya
26 Oktober 2017

Pada 26 Oktober 2017, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Seminar Adoption of Cryptography Innovation: Opportunities & Challenges di Putrajaya.

 

Seramai 81 orang peserta hadir pada seminar yang melibatkan pakar kriptologi antaranya Prof. Dr. Abderrahmane Nitaj, Professor Department of Mathematics, University De Caen, Perancis; Prof. Dr. Xinyi Huang, Professor School of Mathematics and Computer Science, Fujian Normal University, China; Prof. Dr. Kamaruzzaman Seman, Dean Faculty of Engineering and Built Environment, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dr. Suriyani Ariffin, Head of Academic Management The Academic Affairs, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Malaysia.

 

Seminar diadakan bagi membolehkan pakar-pakar kriptografi dari luar negara dan tempatan berkongsi penyelidikan dan penemuan terkini bidang kriptografi, mewujudkan kesedaran, perkongsian maklumat dan perbincangan mengenai isi-isu terkini yang melibatkan kriptografi dan untuk membincangkan halatuju stategik dan cabaran yang dihadapi dalam bidang ini.

 

Penganjuran seminar ini telah mengukuhkan peranan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi peneraju bidang kriptologi di Malaysia.

divider-shadow
image
Standard Malaysia Forum with Conformity Assessment Bodies (CAB), Bangi, Selangor
31 Oktober – 1 November 2017

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian pada forum bertajuk “Standard Malaysia Forum with Conformity Assessment Bodies (CAB)” yang berlangsung pada 31 Oktober  dan 1 November 2017 di Bangi, Selangor. 

 

Forum dua hari anjuran Jabatan Standard Malaysia dan Persatuan Makmal Akreditasi Malaysia (PMAM) ini diadakan bagi memberi pendedahan dan kesedaran mengenai standard ISO 17025:2017 yang telah dikemaskini dan akan digunapakai secara menyeluruh pada tahun 2018.

 

Forum telah dihadiri oleh pelbagai organisasi yang mempunyai makmal akreditasi dari seluruh Malaysia. Selain itu, forum ini juga menjadi platfom bagi memupuk kerjasama antara makmal akreditasi di Malaysia dalam usaha menjadikan satu masyarakat kebangsaan, memberi latihan dan pembelajaran kepada kakitangan makmal serta menjadi wakil rasmi bagi semua makmal akreditasi di Malaysia.

 

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada forum ini telah dapat meningkatkan pengetahuan mengenai standard ISO /IEC 17025:2017 yang telah dikemas kini, di mana ia dapat membantu dalam menyediakan perkhidmatan keselamatan siber dengan lebih berkesan dan berkualiti.

divider-shadow
image
Mesyuarat Common Criteria Recognition Arrangement (CCRA), Berlin, German
24 - 27 Oktober 2017

Pada 24 sehingga 27 Oktober 2017 telah berlangsung Mesyuarat Common Criteria Recognition Arrangement (CCRA) di Berlin, German. Mesyuarat dihadiri oleh 28 negara ahli CCRA bagi membincangkan isu berkaitan pengujian dan pensijilan keselamatan IT.

 

Mesyuarat anjuran German Common Criteria Scheme (BSI) pada kali ini turut memberi penumpuan kepada kaedah mempromosi kumpulan kerja teknikal bagi membolehkan penubuhan Collaboration Protection Profiles (CPPS) yang berguna, realistik dan diiktiraf oleh komuniti antarabangsa. Kehadiran setiap negara merupakan satu komitmen yang penting bagi mengetahui pendirian masing-masing mengenai halatuju CCRA. Selain itu, ia turut membincangkan kepentingan untuk meneruskan pembangunan Protection Profile yang baharu dan sedang dilakukan oleh kebanyakan negara ahli CCRA bagi melaksanakan pengujian berdasarkan Protection Profile berbanding Security Target (ST).

 

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini adalah bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara Negara yang aktif dan prihatin dalam pensijilan produk-produk ICT yang mempunyai ciri-ciri keselamatan. Sementara itu, mengikut urutan pegangan kerusi Pengerusi CCRA, Malaysia dijangka memegang jawatan sebagai Pengerusi CCRA pada tahun 2021.

divider-shadow
divider-shadow
Pautan
set5-image2
Lawatan ke CyberSecurity Malaysia

set5-image2
Program Kesedaran Keselamatan Siber - CyberSAFE
Untuk Lapor Ancaman atau Insiden Keselamatan Siber, Sila Klik di Sini
set3-image4
image