ISU 37, SUKU KEDUA - 2022

APRIL

Pada 24 April 2022 telah berlangsung satu program Kembara Amal CyberSAFETM bersama Anak-Anak Yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim Bait Al Amin bertempat di AEON Station 18 Ipoh, Perak.

Program ini merupakan salah satu platform bagi CyberSecurity Malaysia berkongsi maklumat dan memberi pendedahan kepada anak-anak Bait Al-Amin, ibu bapa serta penjaga mengenai etika keselamatan siber serta memupuk kesedaran mereka mengenai kepentingan keselamatan siber dalam kehidupan seharian.

Seramai 52 anak-anak yatim bersama penjaga, pengurusan Rumah Bait Al Amin serta pelajar Universiti Petronas Malaysia (UTP) yang bertindak sebagai Mentor di bawah Program CyberSAFETM telah menyertai program sehari ini. Melalui program ini, CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Universiti Petronas Malaysia telah dapat menyemai ilmu serta memupuk kesedaran keselamatan siber kepada golongan remaja.

MEI

Pada 12 hingga 16 Mei 2022, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam acara Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Bachok, Kelantan Darul Naim. Festival Guru Malaysia atau FGM 2022 diadakan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Festival ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

FGM 2022 telah dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Radzi Jidin. Antara pengisian yang dilakukan oleh CyberSecurity Malaysia pada program ialah ialah pameran keselamatan siber, permainan dalam talian (online games) dan permainan papan (board games). Selain itu, CyberSAFETM Quest telah turut diadakan melibatkan 60 orang murid dari Sekolah Menengah Maahad Tahfiz Bachok, Kelantan, manakala pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pula bertindak sebagai Urusetia program.

Melalui program ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat mempromosi perkhidmatan yang ditawarkan serta memberi kesedaran kepada para pengunjung mengenai kepentingan keselamatan siber.

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Common Criteria Recognition Development Board - Executive Subcommittee (CCDB/ES) – Q2/2022 yang diadakan secara dalam talian pada 17 hingga 19 Mei 2022.

Mesyuarat anjuran Common Criteria Recognition Development Board - Executive Subcommittee ini merupakan platform bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan pensijilan, standard Common Criteria dan operasi ahli CCRA serta sebagai persediaan untuk Mesyuarat Tahunan CCRA 2022 yang akan diadakan pada bulan November 2022.

Wan Shafiuddin Bin Zainudin, Ketua Jabatan dan Hasnida Zainuddin, Juruanalisa kanan dari Jabatan Pensijilan Keselamatan Maklumat telah mewakili CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat yang berlangsung selama empat hari ini.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia sebagai Common Criteria Authorising Country serta wakil negara membuktikan keupayaan serta komitmen dalam mempersiagakan kepentingan standard keselamatan antarabangsa terhadap produk ICT selain menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu produk yang dibangunkan oleh syarikat tempatan mendapat pengiktirafan di luar negara seterusnya meningkatkan peluang pemasaran.

Pada 18 Mei 2022, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Bengkel “KSA Descriptor Review” secara dalam talian menggunakan platform Microsoft Teams.

Bengkel ini diadakan bagi menyemak dan mengemaskini pembangunan Cryptocurrency Seizing Officer KSA descriptor di bawah Global ACE Certification.

Bengkel anjuran Jabatan Pembangunan Profesional Keselamatan Siber ini telah disertai oleh tenaga pakar dari sektor akademik, industri dan organisasi kerajaan.

Melalui penganjuran bengkel ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat meningkatkan kualiti pembangunan KSA Descriptor, Global ACE Certification dapat dipertingkatkan selaras dengan keperluan industri.

Pada 19 Mei 2022, telah berlangsung pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) CyberSecurity Malaysia 2021-2023 bertempat di Menara Cyber Axis, Cyberjaya.

Majlis diadakan sebagai tanda komitmen CyberSecurity Malaysia dalam menyokong usaha kerajaan menangani permasalahan dan kelemahan dari aspek governans, integriti dan rasuah dalam organisasi sejajar dengan inisiatif mandatori dalam Arahan YAB PM No. 1 Tahun 2018, Siri 2 No. 1 Tahun 2019 – Perkara 6.1.2 - Strategi 6: Memupuk Tadbir Urus Baik Dalam Entiti Korporat Di Dalam NACP, iaitu National Anti-Corruption Plan.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia dan dihadiri oleh seramai 230 warga kerja CyberSecurity Malaysia di mana mereka turut melafaz ikrar anti rasuah pada acara ini.

Dengan pelaksanaan majlis pelancaran ini, CyberSecurity Malaysia telah secara rasmi menjadi agensi peneraju bidang keselamatan siber dengan warga kerja berintegriti dan bebas rasuah.

CyberSecurity Malaysia telah menyertai pameran sempena program “Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia” (JAKM) peringkat Negeri Sabah. Program tiga hari tersebut berlangsung di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu dan telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri.

JAKM diadakan di seluruh Malaysia dan merupakan satu program bagi memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan serta perancangan yang ditawarkan kerajaan. Selain itu, JAKM juga merupakan platform bagi menguar-uarkan manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat secara turun padang ke seluruh negara.

Pada JAKM Sabah, CyberSecurity Malaysia telah mempamerkan informasi mengenai fungsi dan peranan serta mempromosi perkhidmatan MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) yang merupakan perkhidmatan meliputi Pemulihan Data, Sanitasi Data dan juga khidmat nasihat mengenai isu yang berkaitan keselamatan siber serta Internet.

CyberSecurity Malaysia turut mengedarkan risalah korporat kepada pelawat-pelawat yang mengunjungi reruai K-KOMM selain dari pemberian “goodies” korporat sebagai tarikan ke kaunter CyberSecurity Malaysia.

Melalui penyertaan di program JAKM ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat membuat hebahan kepada rakyat Sabah khususnya warga Kota Kinabalu mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia.

Pada 23 Mei 2022, CyberSecurity Malaysia telah menerima kunjungan dari delegasi Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Haji Che Roslan Che Daud Ketua Pengarah, Jabatan Penyiaran Malaysia. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (Strategik), YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan.

Kunjungan ini merupakan salah satu inisiatif di bawah pelancaran dan juga Mesyuarat Kick Off Program Organisasi Rintis Pembangunan Polisi, Prosedur dan Pensijilan ISO 27001 ISMS dan ISO 27701 PIMS CyberSecurity Malaysia 2022-2023 bersama pihak SAICT (Seksyen Aplikasi ICT), Jabatan Penyiaran Malaysia.

Ketibaan delegasi telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc yang menzahirkan rasa besar hati dengan kunjungan delegasi RTM.

Melalui kunjungan ini, CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Penyiaran Malaysia telah berjaya mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama bagi pembangunan, implementasi Polisi, Prosedur dan Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat (ISO 27001 ISMS) dan Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat Peribadi (ISO 27701 PIMS) mengikut piawaian antarabangsa.

Pada 24 Mei 2022, CyberSecurity Malaysia dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS telah memeterai Memorandum Kerjasama (MoC). Majlis berlangsung di MIROS PC3 Crash Lab, Ayer Molek, Melaka. Memorandum yang ditandatangani merupakan kerjasama antara kedua pihak agar dapat memanfaatkan pengetahuan, pengalaman, kemampuan dan perkhimatan masing-masing yang berkaitan dengan penyediaan penyelesaian keselamatan jalan raya dan sains forensik kenderaan dalam menjalankan penyiasatan dan rekonstruksi kemalangan jalan raya di Malaysia.

YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abd Wahab FASc, Ketua Pegawai Eksekutif mewakili CyberSecurity Malaysia manakala Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) oleh YBhg. Dato' Dr. Khairil Anwar bin Abu Kassim, Ketua Pengarah MIROS. Majlis menandatangani MoC ini telah disaksikan oleh YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong Menteri Pengangkutan Malaysia.

Pelaksanaan MoC ini bukan sahaja memanfaatkan kedua-dua pihak malah ia turut menggabungkan kepakaran agensi terlibat bagi menyelesaikan keselamatan jalan raya dan sains forensik kenderaan dalam menjalankan penyiasatan dan rekonstruksi kemalangan jalan raya di Malaysia.

Pada 25 Mei 2022, CyberSecurity Malaysia telah melaksanakan satu sesi taklimat serta Seminar Program Galakan Pemerkasaan Keselematan Siber (PGPKS) kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui platform ZOOM.

Program anjuran CyberSecurity Malaysia ini diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman kepada PKS berkenaan lanskap keselamatan siber di Malaysia serta memberi pengenalan dan pendedahan secara total kepada para PKS mengenai program PGPKS yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia.

Mohamed Anwer Mohamed Yusoff, Ketua Jabatan Perhubungan Industri & Kerjasama Keselamatan Siber telah menyampaikan ucapan aluan pada sesi taklimat dan seminar yang dihadiri oleh 30 PKS daripada pelbagai industri.

Melalui program ini, CyberSecurity Malaysia telah berjaya memberi pendedahan berkenaan perkembangan industri keselamatan siber negara dan global serta memberi kesedaran kepada peserta untuk menilai tahap kesegian terhadap ancaman siber kepada operasi perniagaan mereka melalui program PGPKS ini.

Pada 27 Mei 2022, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Rina binti Mohd Harun telah mengadakan lawatan kerja ke CyberSecurity Malaysia.

Lawatan ulung yang diadakan ini bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih terperinci kepada YB Menteri serta delegasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengenai peranan serta fungsi CyberSecurity Malaysia dalam melaksanakan pembangunan bidang keselamatan siber di Malaysia. Selain itu, YB Menteri dan delegasi turut diberi penerangan mengenai perkhidmatan dan pencapaian CyberSecurity Malaysia selama 25 tahun penubuhan CyberSecurity Malaysia.

Pada lawatan tersebut, YB Menteri serta delegasi telah dibawa melawat makmal-makmal keselamatan siber serta beramah mesra dengan warga CyberSecurity Malaysia pada akhir lawatan.

JUN

Pada 2 hingga 4 Jun 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai pameran sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat Negeri Terengganu. Program yang berlangsung selama tiga ini diadakan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus dan telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri.

JAKM diadakan di seluruh Malaysia dan merupakan satu program bagi memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan serta perancangan yang ditawarkan kerajaan. Selain itu, JAKM juga merupakan platform bagi menguar-uarkan manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat secara turun padang ke seluruh negara.

Pada JAKM Terengganu, CyberSecurity Malaysia telah mempamerkan informasi mengenai fungsi dan peranan serta mempromosi perkhidmatan MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) yang merupakan perkhidmatan meliputi Pemulihan Data, Sanitasi Data dan juga khidmat nasihat mengenai isu yang berkaitan keselamatan siber serta Internet.

Untuk maklumat awam, risalah korporat CyberSecurity Malaysia juga diedarkan kepada pelawat-pelawat yang mengunjungi reruai K-KOMM selain dari pemberian “goodies” korporat CyberSecurity Malaysia sebagai tarikan ke ruang pameran.

Melalui penyertaan di program JAKM ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat membuat hebahan kepada rakyat Terengganu khususnya warga Kuala Terengganu mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia.

Pada 3 hingga 5 Jun 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai pameran sempena Program Riuh Bah! Bersama Hotlink. Program tiga hari tersebut berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu, Sabah dan telah dirasmikan oleh YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Program RIUH atau Kembara RIUH Keluarga Malaysia diadakan di seluruh Malaysia dan merupakan satu program bagi menghimpun dan mengenengahkan pengiat-pengiat seni dan kreatif tempatan melalui aktiviti-aktiviti seperti gerai-gerai pop-up, makanan, bengkel-bengkel kreatif, persembahan musik serta tarian kebudayaan bertujuan untuk merancakkan lagi pembangunan sosio-ekonomi setempat.

Pada program ini, CyberSecurity Malaysia telah mempamerkan informasi mengenai fungsi dan peranan serta mempromosi program CyberSAFETM serta perkhidmatan MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) yang merangkumi perkhidmatan Pemulihan Data, Sanitasi Data dan juga khidmat nasihat mengenai isu yang berkaitan keselamatan siber serta Internet.

Melalui penyertaan ini juga, CyberSecurity Malaysia telah dapat memperkenal perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia kepada masyakat umum.

Pada 3 hingga 12 Jun 2022, CyberSecurity Malaysia telah terlibat dalam Latihan Kerja Penyiasatan dan Forensik matawang kripto bertempat di Canberra dan Melbourne, Australia.

Program anjuran Australia Federal Police (AFP) ini merupakan satu platform untuk memberi pendedahan kepada pegawai yang terlibat tentang proses penyiasatan dan forensik cryptocurrency. Selain itu, program ini juga diadakan bagi memberi pendedahan tentang proses perundangan yang bersabit dengan teknologi ini.

Sarah Khadijah Taylor, Pengurus Jabatan Forensik Digital mewakili CyberSecurity Malaysia bersama Pegawai Bahagian Perakaunan Forensik dan Siasatan Jenayah Cryptocurrency, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Kuala Lumpur.

Penyertaan pada program ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk membuat pendedahan tentang proses cryptotracing, penyediaan Controlled Wallet, proses pemeliharaan keterangan digital di lokasi insiden serta perkara berkaitan undang-undang, di mana ia telah menyumbang kepada pembangunan polisi dan prosidur pemeliharaan cryptocurrency di lokasi kejadian, prosidur pengurusan harta rampasan serta prosidur penyediaan Controlled Wallet bagi CyberSecurity Malaysia.

Pada 6 hingga 12 Jun 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

PBAKL 2022 dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) merupakan platform bagi penerbit buku membuat promosi, jualan serta melancarkan terbitan mereka sekaligus memupuk budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Pesta buku ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri. Antara pengisian program oleh CyberSecurity Malaysia ialah mempromosikan Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan atau National ICT Security Discourse (NICTSeD) 2022 serta NICTSeD Alumni Talk yang melibatkan alumni NICTSeD seperti Farhan Syahmi (Alumni NICTSeD 2017) dan Tan Wan Han (Alumni NICTSeD 2018).

Melalui program ini, CyberSecurity Malaysia telah berpeluang untuk membuat promosi penganjuran NICTSeD 2022 kepada para pengunjung yang terdiri dari golongan ibu bapa, murid sekolah, pelajar insititusi pengajian tinggi, para pendidik dan orang awam.

Pada 7 Jun 2022, CyberSecurity Malaysia telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang Skills) dan Solaris Symphony Sdn Bhd (Solaris). Majlis berlangsung di Menara Cyber Axis, Cyberjaya.

Memorandum yang ditandatangani ini merangkumi program latihan profesional keselamatan siber melibatkan tiga pihak serta aktiviti mempromosi kursus latihan kompetensi di bawah program Global ACE Certification dan CyberGURU di kawasan Pantai Timur.

Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc, Ketua Pegawai Eksekutif telah mewakili CyberSecurity Malaysia manakala Pahang Skills diwakili oleh Encik Mohd Yusri bin Mohd Nor Pengarah Eksekutif manakala Solaris Symphony diwakili oleh Encik Mahadzir Bakar, Managing Consultant.

Melalui MoU yang dimeterai ini, CyberSecurity Malaysia dapat menjalin kerjasama Dua Hala Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Keselamatan Siber yang berupaya menyumbang kepada penambahan tenaga kerja profesional keselamatan siber di Malaysia.

Pada 9 Jun 2022, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Konvensyen Keselamatan Perlindungan Peringkat Kebangsaan tahun 2022 bertempat di Dewan Damar Sari, Putrajaya.

Konvensyen Keselamatan Perlindungan Peringkat Kebangsaan tahun 2022 merupakan inisiatif pihak kerajaan dalam memberi kesedaran terhadap kepentingan keselamatan dan kesejahteraan lam Aiber kepada penjawat-penjawat awam dalam revolusi digital terkini.

Konvensyen telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali Ketua, Setiausaha Negara oleh Ketua Setiausaha Negara. Antara pengisian program ialah membuat promosi program-program latihan keselamatan siber yang ditawarkan selain mempamerkan informasi korporat mengenai CyberSecurity Malaysia.

Melalui program ini, CyberSecurity Malaysia dapat memperkasakan kepentingan keselamatan siber yang berpotensi mengancam orang ramai serta memupuk kesedaran tentang penggunaan teknologi secara positif, beretika dan bertanggungjawab khususnya dalam kalangan penjawat awam.

Pada 17 Jun 2022 telah berlangsung Pelancaran Pertandingan Wacana ICT Kebangsaan Piala Cabaran CyberSAFETM 2022 atau NICTSeD 2022 (Wacana Maya).

Pada tahun ini, pertandingan NICTSeD 2022 diadakan secara maya melalui platform ZOOM dan dipancarkan secara meluas menerusi portal rasmi pertandingan www.nictsed.my.

Program pelancaran ini diadakan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai penganjuran NICTSeD 2022 serta memberi pendedahan yang lebih terperinci kepada pihak yang terlibat mengenai format baharu yang akan digunapakai pada hari pertandingan kelak.

Seramai 282 peserta terdiri daripada Jurulatih Utama (JU) di setiap negeri hadir pada program ini. Pelancaran telah dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sektor Pengintegrasian Teknologi Pendidikan (BSTP), Tuan Haji Paridon bin Sahid dan turut disertai oleh Lt Kol Mustaffa Ahmad (Bersara), Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach dan Komunikasi Korporat bagi pihak CyberSecurity Malaysia.

Penganjuran pertandingan ini merupakan kesinambungan dari pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di bawah program CyberSAFETM bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan keselamatan diri di alam siber.

Pada 24 dan 25 Jun 2022, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan program Hari Kerjaya bertempat di Dewan Menara Cyber Axis, Cyberjaya.

Program kerjaya ini diadakan bagi mengisi kekosongan perjawatan yang terdapat di CyberSecurity Malaysia serta menambahkan jumlah pangkalan data (resume) CyberSecurity Malaysia bagi tujuan rujukan dan kegunaan di masa yang akan datang.

Seramai 300 pemohon telah hadir ke hari kerjaya yang berlangsung selama dua hari ini. Para pemohon telah ditemubual oleh jabatan-jabatan yang terlibat serta diberi pendedehan dan penerangan mengenai perkhidmatan CyberSecurity Malaysia.

Melalui penganjuran program ini, CyberSecurity Malaysia telah membuka peluang kerja kepada para graduan serta rakyat tempatan sekaligus dapat membantu meningkatkan jumlah tenaga pakar dalam bidang keselamatan siber.

Untuk Lapor Ancaman atau Insiden Keselamatan Siber, Sila Klik di Sini