Assalamualaikum WBT and Salam Sejahtera.

Bersua kembali di penerbitan CyberNEWS edisi kedua tahun 2022. Sekali lagi, CyberSecurity Malaysia ingin berkongsi maklumat mengenai penglibatan di dalam pelbagai program dan acara sepanjang suku kedua 2022.

Sebagai pusat pakar teknikal keselamatan siber, CyberSecurity Malaysia terus komited dalam melestari insiatif keselamatan siber demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Pada suku kedua tahun 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai beberapa acara antaranya Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM), RIUH, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Konvensyen Keselamatan Perlindungan, Hari Kerjaya CyberSecurity Malaysia 2022 dan juga Festival Guru Malaysia 2022 sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan 2022.

Antara pengisian yang dilaksanakan ialah aktiviti bagi memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan siber melalui Cyber Quest, Cyber Spontan serta ruang pameran yang mempromosikan perkhidmatan pemulihan data.

Pada suku kedua juga CyberSecurity Malaysia turut memeterai beberapa memorandum persefahaman dengan organisasi antaranya Pahang Skills Development Centre, Solaris Symphony Sdn Bhd, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta Jabatan Penyiaran Malaysia dalam pelbagai bidang berkaitan pembangunan tenaga profesional keselamatan siber, pembangunan sains forensik kenderaan, pembangunan, implementasi polisi, prosedur dan Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat (ISMS) serta Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat Peribad (PIMS).

Di peringkat antarabangsa pula, CyberSecurity Malaysia menghadiri program Latihan Kerja Penyiasatan dan Forensik Matawang Kripto di Canberra dan Melbourne, Australia serta menghadiri Mesyuarat Common Criteria Recognition Development Board - Executive Subcommittee (CCDB/ES) – Q2/2022.

Turut diadakan ialah sesi taklimat dan seminar kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah inisiatif Program Galakan Pemerkasaan Keselematan Siber (PGPKS), Pra Pelancaran Pertandingan Wacana ICT Kebangsaan Piala Cabaran CyberSAFETM 2022 (NICTSeD 2022) yang merupakan acara tahunan CyberSecurity Malaysia.

CyberSecurity Malaysia turut menerima lawatan kerja daripada YB Datuk Seri Rina binti Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan delegasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Delegasi KPWKM telah diberi taklimat mengenai fungsi dan peranan CyberSecurity Malaysia dalam melaksanakan pembangunan bidang keselamatan siber di Malaysia serta membuat lawatan ke makmal forensik digial dan juga MyCERT.

CyberSecurity Malaysia beriltizam untuk terus aktif dalam penglibatan dan penganjuran pelbagai program serta inisiatif keselamatan siber bagi meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber, pembangunan tenaga pakar professional serta pengukuhan tahap kesiapsiagan keselamatan siber negara.

Kepada pembaca setia CyberNEWS, saya menyeru anda untuk sentiasa menjaga sikap dan tingkah laku warga digital Keluarga Malaysia ketika menggunakan teknologi digital di alam siber.

Bersama-sama Ke Arah Internet Yang Lebih Baik.

Terima kasih atas sokongan anda.

Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc
Ketua Pegawai Eksekutif