Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.

Bersua kembali di CyberNEWS Edisi Pertama tahun 2022.

Setelah dua tahun berhadapan dengan pandemik COVID -19 akhirnya negara telah mula memasuki ke fasa peralihan ke endemik. Kini, Keluarga Malaysia mula bebas menjalankan aktiviti harian seperti sebelumnya namun dengan pematuhan amalan norma baharu. Ke semua sektor perkhidmatan, pendidikan dan ekonomi juga telah mula dibuka secara berperingkat malah ada beroperasi 24 jam.

Pada suku pertama tahun 2022, CyberSecurity Malaysia memulakan inisiatif keselamatan siber dengan memeterai Memorandum Persefahaman dengan EclectiqIQ dan Syntx Sdn. Bhd. Kerjasama ini adalah satu langkah untuk melindungi dan mengukuhkan keselamatan siber Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) di Malaysia.

CyberSecurity Malaysia telah berjaya meneraju sambutan Hari Keselamatan Internet (Safer Internet Day) atau SID 2022 - Edisi Malaysia. Bertemakan. Sambutan pada tahun ini mendapat sokongan YAB Perdana Menteri, Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia. Sambutan ini juga menjadi satu kempen peringkat nasional dalam usaha membentuk sikap kawal kendiri serta kebertanggungjawaban individu dan masyarakat bagi membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia yang sejahtera lagi progresif.

Sebagai inisiatif SID 2022, CyberSecurity Malaysia dengan bekerjasama agensi keselamatan siber dari tiga negara ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Singapura dan Republik Indonesia telah menjayakan Webinar KITA SIBER Serumpun. 

Webinar ini telah menjadi pentas perkongsian maklumat mengenai isu-isu keselamatan siber semasa serta kaedah negara serantau mengatasi dan menangani ancaman siber di negara masing-masing.

Bagi memastikan industri keselamatan siber di Malaysia terus kekal rancak dan berdaya saing, CyberSecurity Malaysia Collaboration Program (CCP) telah menganjurkan Dialog Keselamatan Siber serta webinar Cyber Security for Smart Cities. Selain itu CyberSecurity Malaysia juga menerima lawatan kerja dari agensi kerajaan negeri Sabah serta Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

CyberSecurity Malaysia akan terus aktif sebagai peneraju bidang keselamatan siber yang diiktiraf dan disegani di Malaysia dan juga di arena antarabangsa melalui penyertaan di beberapa persidangan peringkat antarabangsa seperti Sidang Kemuncak World Police Summit dan INTERPOL Young Global Police Leaders Programme (YGPL).

Walaupun negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik, saya ingin mengingatkan Keluarga Malaysia untuk terus kekal mematuhi SOP, mengamalkan norma baharu serta menjaga kesihatan diri bagi menjalankan aktiviti harian sepanjang tahun ini.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan ramadhan bagi umat Islam di Malaysia.

Sebagai agensi pakar teknikal keselamatan siber, CyberSecurity Malaysia akan terus komited dalam melestarikan insiatif keselamatan siber demi kesejahteraan rakyat Malaysia. 

Kepada pembaca setia CyberNEWS, terima kasih atas sokongan anda.

Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc
Ketua Pegawai Eksekutif