ISU 38, SUKU KETIGA - 2022

JULAI

Pada 1 Julai 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Webinar Etika & Keselamatan Siber melalui platform Webex anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Jengka, Pahang.

Webinar ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang keselamatan siber mengikut pandangan pakar industri bagi memenuhi silibus pengajaran dan pembelajaran di UiTM.

Zafreida Zahrullayali, Pengurus Jabatan Pembangunan Profesional Keselamatan Siber   telah mewakili CyberSecurity Malaysia pada webinar tersebut. Beliau mengupas isu-isu berkaitan keselamatan siber serta langkah-langkah menangani isu tersebut mengikut perspektif industri terkini.

Melalui webinar ini CyberSecurity Malaysia telah dapat memberi pendedahan dan pemahaman tentang kepentingan keselamatan siber kepada para pelajar serta pensyarah yang hadir.

Pada 1 hingga 3 Julai 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai pameran sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat Negeri Perak. Program berlangsung selama tiga di Litar Dato’ Sagor, Pasir Salak, Pasir Salak telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.

JAKM diadakan di seluruh Malaysia dan merupakan program bagi memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat secara terus mengenai bantuan serta perancangan yang ditawarkan kerajaan.

Pada JAKM Perak, CyberSecurity Malaysia telah mempamerkan informasi mengenai fungsi dan peranan serta mempromosi perkhidmatan MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) yang merupakan perkhidmatan Pemulihan Data, Sanitasi Data serta pengenalan program CyberSAFETM dan khidmat nasihat mengenai isu-isu semasa berkaitan keselamatan siber serta Internet. Risalah korporat CyberSecurity Malaysia turut diedarkan kepada para pelawat yang mengunjungi reruai K-KOMM.

Melalui penyertaan di program JAKM ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat membuat hebahan kepada rakyat Negeri Perak khususnya warga Pasir Salak tentang perkhidmatan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia.

Pada 5 Julai 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Latihan Pemeriksaan dan Analisis Bukti Elektronik secara dalam talian melalui platform Webex anjuran Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP).

Program latihan ini diadakan bertujuan untuk menilai tahap pengetahuan peserta tentang pelbagai aspek bukti elektronik serta meningkatkan kemahiran mereka dalam mengendalikan kes yang berkaitan dengan bukti elektronik.

Ts. Mohd Zabri Adil Talib, Ketua Jabatan Forensik Digital (DF) telah mewakili CyberSecurity Malaysia pada webinar tersebut dan membuat pembentangan bertajuk ”Electronic Evidence: Examination and Analysis”.

Melalui penyertaan pada program ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik memproses, menganalisis serta menguji bukti elektronik dan digital.

Pada 22 hingga 24 Julai 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai pameran sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat Negeri Kelantan. Program berlangsung selama tiga bertempat di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.

JAKM merupakan satu program bagi memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan serta perancangan yang ditawarkan kerajaan.

Pada JAKM Kelantan, CyberSecurity Malaysia telah mempromosikan perkhidmatan serta membuat pengedaran risalah selain menganjurkan aktiviti CyberSAFE Quest dan juga Cyber Spontan.

Melalui penyertaan di program JAKM ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat membuat hebahan kepada rakyat Negeri Kelantan khususnya warga Kota Bharu mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia.

Pada 25 Julai 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Forum  Kesedaran Keselamatan Jenayah Siber yang diadakan di Sky Hotel Kota Kinabalu, Sabah.

Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi Sabah (KSTI) ini telah dihadiri oleh lebih 70 peserta dari pelbagai agensi di bawah KSTI antaranya Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKN), Sabah Net, Sabah Skills and Technology Centre, Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan Sabah Creative Economy and Inovation Centre.

Jazannul Azriq bin Aripin, Eksekutif Kanan, Jabatan Outreach dan Komunikasi Korporat telah mewakili CyberSecurity Malaysia selaku ahli panel dalam forum tersebut.

Penyertaan pada forum ini telah membuka peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk membuat mempromosi perkhidmatan yang ditawarkan selain meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan penjawat awam di Negeri Sabah.

OGOS

Pada 3 Ogos 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Kursus Pendakwaan Jenayah Siber anjuran Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Cyberjaya, Selangor

Kursus ini memberi pendedahan kepada peserta tentang pendakwaan kes jenayah siber di Malaysia, di samping meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka mengenai teknik penyiasatan dan pendakwaan kes jenayah siber.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Ts. Mohd Zabri Adil Talib, Ketua Jabatan Forensik Digital sebagai tenaga pengajar kursus yang telah disertai oleh 32 orang pegawai kerajaan dari pelbagai agensi.

Melalui penganjuran kursus ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat memberi pendedahan menyeluruh mengenai pemeriksaan dan analisa forensik digital dalam pendakwaan kes jenayah siber serta penggunaan keterangan elektronik dalam pendakwaan kes jenayah siber.

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam program RIUH Melaka anjuran MyCreative Venture dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) pada 6 hingga 9 Ogos 2022 bertempat di Dataran Pahlawan, Melaka.

Tujuan RIUH diadakan adalah untuk menyahut usaha kerajaan yang prihatin dan komited bagi memulihkan negara daripada cabaran dan kesan pandemik COVID-19. Pada program ini, penggiat seni dan industri kreatif berpeluang untuk mempromosikan hasil karya dan kerja tangan selain merancakkan lagi pembangunan sosio-ekonomi setempat. Pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program seperti gerai pop-up, makanan, bengkel kreatif, persembahan music, tarian kebudayaan serta pameran dari agensi-agensi di bawah K-KOMM.

Pada program ini, CyberSecurity Malaysia telah membuat pameran produk dan perkhidmatan, melaksanakan aktiviti seperti Cyber Spontan serta permainan interaktif bertujuan untuk memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan siber.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin MD Ali, Ketua Menteri Melaka serta YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM).

Pada 9 Ogos 2022, CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) telah menandatangani Piagam Projek Program Organisasi Rintis Pembangunan Polisi, Prosedur dan Pensijilan ISO 27001 ISMS dan ISO 27701 PIMS bagi tempoh 2022-2023.

Kerjasama ini merupakan inisiatif bagi menjayakan pembangunan, implementasi Polisi, Prosedur dan Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat (ISO 27001 ISMS) dan Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat Peribadi (ISO 27701 PIMS) mengikut piawaian antarabangsa.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ts. Dr. Haji Amiruddin Abdul Wahab FASc manakala RTM diwakili oleh Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Dato’ Haji Che Roslan bin Che Daud.

Melalui erjasama ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat memulakan program rintis selaras dengan visi Dasar Keselamatan Siber Nasional (NCSP) bagi mengukuhkan keselamatan dan privasi maklumat peribadi.

Pada 12 hingga 23 Ogos 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Karnival Merdeka Keluarga Malaysia @ Padang Besar bertempat di Kampus Uniciti Alam, Sg. Chuchuh, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Padang Besar, Perlis.

Karnival anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) ini diadakan bagi mendukung aspirasi Keluarga Malaysia untuk komuniti Padang Besar, menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan 2022 serta menjadi platform penyampaian maklumat dan informasi terkini mengenai K-KOMM kepada masyarakat setempat. Pada karnival ini, CyberSecurity Malaysia telah membuat pameran bagi menghebahkan perkhidmatan serta program khususnya CyberSAFETM kepada orang ramai. Aktiviti Cyber Spontan dan permainan interaktif dilaksanakan di reruai CyberSecurity Malaysia berpotensi untuk menyumbang kepada usaha memupuk kesedaran keselamatan siber dan kesejahteraan masyarakat.

YB Datuk Zahidi Zainul Abidin, Timbalan Menteri Komunikasi & Multimedia telah merasmikan karnival ini yang turut disertai oleh pelbagai agensi K-KOMM, antaranya Jabatan Penerangan (JaPen), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), MDEC, MyNIC, FINAS, RTM dan BERNAMA.

Pada 19 hingga 21 Ogos 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai pameran sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat Negeri Selangor. Program yang berlangsung selama tiga ini diadakan di Dataran Karnival, Pekarangan Satdium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.

JAKM yang diadakan di seluruh Malaysia merupakan program bagi memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan serta perancangan yang ditawarkan kerajaan. Selain itu, JAKM juga merupakan platform bagi menguar-uarkan manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat secara turun padang ke seluruh negara.

Pada JAKM Selangor, CyberSecurity Malaysia telah mempamerkan informasi mengenai fungsi dan peranan serta mempromosi perkhidmatan MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) yang merupakan perkhidmatan meliputi Pemulihan Data, Sanitasi Data dan juga khidmat nasihat mengenai isu yang berkaitan keselamatan siber serta Internet.

Melalui penyertaan di program JAKM ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat memberi panduan tentang penggunaan dan pelaksanaan teknologi yang selamat dikalangan orang awam selaras dengan usaha memerangi ancaman siber yang semakin meningkat di Malaysia.

Pada 19 Ogos 2022 telah berlangsung Majlis Doa Selamat, Kesyukuran dan Tahlil serta Forum "Warga Cemerlang, CyberSecurity Malaysia Terbilang” yang diadakan sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun CyberSecurity Malaysia.

Program di ambang sambutan jubli perak ini diadakan khusus bagi menzahirkan rasa kesyukuran terhadap pencapaian dan pengiktirafan yang dikecapi sepanjang 25 tahun penubuhan CyberSecurity Malaysia dalam usaha mengukuhkan ekosistem keselamatan siber negara. Selain itu, ia turut menjadi wadah santapan rohani melalui sesi forum bersama ahli-ahli panel yang berkaliber untuk warga CyberSecurity Malaysia terus cemerlang, bersemangat dan lebih yakin ke arah mencapai matlamat mempertingkatkan prasarana serta kesejahteraan ruang siber negara.

Antara ahli panel forum ialah Prof Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Bin Mohd Kashim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dari Universiti Malaya (UM) manakala moderator adalah Saudara Shahril Bin Sarapuddin dari RTM.

Majlis telah dihadiri oleh Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Haji Zulkifeli Bin Mohd. Zin (Bersara), Pengerusi Lembaga Pengarah, Dato’ Ts. Dr Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia, ahli-ahli Lembaga pengarah, pengurusan kanan serta warga CyberSecurity Malaysia.

Pada 25 Ogos 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai bengkel Penyitaan Mata Wang Kripto di Menara Seri Wilayah Putrajaya.

Bengkel anjuran Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) ini diadakan bertujuan untuk membentang dan menyemak deraf Polisi dan Tatacara Penyitaan Matawang Kriptodalam dalam usaha membangunkan polisi berkaitan Blockchain.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Ts. Mohd Zabri Adil Talib, Ketua Jabatan Forensik Digital yang disertai oleh 30 orang wakil dari pelbagai agensi Penguatkuasaan Undang-undang. Beliau telah membuat pembentangan deraf Polisi dan Tatacara Penyitaan Matawang Kripto yang dibangunkan oleh CyberSecurity Malaysia.

Melalui penyertaan bengkel ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat bekerjasamadengan semua agensi penguatkuasaan undang-undang dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran teknologi Blockchain.

Pada 25 Ogos 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Kursus Tatacara Pengendalian Bukti Digital Dan Kriptowang bertempat di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK) Sungai Petani, Kedah.

Kursus anjuran Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik/Siasatan Jenayah Cryptocurrency, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman ini merupakan inisiatif bagi memberi pendedahan kepada pelatih mengenai pengendalian bukit Digital dan kirptowang.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Muhammad Muzammil Bin Abdul Rashid dan Muhammad Iskandar Shah Bin Abdul Aziz, Juruanalisa Forensik Digital yang bertindak sebagai pelatih kursus yang disertai oleh 29 orang anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Melalui penyertaan kursus ini CyberSecurity Malaysia telah berupaya memberi pendedahan mengenai Tatacara Pengendalian Bukti Digital Dan Kriptowang kepada pihak polis sekali gus mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak.

SEPTEMBER

Pada 11 September 2022, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Majlis Konvokesyen Politeknik Mersing Kali Ke-10 di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing Johor. Majlis dirasmikan oleh YB Norlizah Binti Noh, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor mewakili YAB Menteri Besar Johor.

Dato. Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif telah mewakili CyberSecurity Malaysia dan menyampaikan Anugerah Khas Industri kepada pelajar cemerlang di bawah program Pensijilan Global ACE bernilai RM5,000.00.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada program ini telah memberi peluang untuk mengukuhkan hubungan kerjasama dengan pihak IPTA serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di samping memperkasa komuniti setempat menerusi agenda TVET sekali gus menyokong usaha Kerajaan dalam membantu meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia.

Pada 13 September 2022, CyberSecurity Malaysia dan MX Global Sdn Bhd telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU). Kerjasama yang dijalinkan ini merangkumi inisiatif meningkatkan teknologi mata wang kripto dan Pertukaran Aset Digital (DAXes).

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ts. Dr. Haji Amiruddin Abdul Wahab manakala MX Global Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Fadzli Shah Anuar.

MoU yang dimeterai ini akan membantu meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang jaminan, penilaian risiko siber dan pengurusan ancaman risiko siber selain memudahkan daya tahan siber dari aspek pertukaran aset digital di Malaysia.

Pada 15 dan 16 September 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai “4th Cybersecurity Innovation Summit 2022” di Repulik Tunisia.

Persidangan anjuran Agence Nationale de la Sécurité Informatique en Tunisie (ANSI) ini merupakan platform untuk memberi kesedaran tentang kepentingan keselamatan 5G, membangunkan rangka kerja keselamatan 5G untuk penilaian dan pengurusan risiko serta membangunkan standard bagi negara anggota Organisation of Islamic Cooperation (OIC).

Ts. Mohd Shamir Hashim, Naib Presiden Kanan, Bahagian Libat Urus Antarabangsa dan Kerajaan telah mewakili CyberSecurity  Malaysia di mana beliau telah membuat pembentangan bertajuk “OIC-CERT 5G Security Framework’ serta menjadi Moderator dalam perbincangan panel.

Penyertaan pada program ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk meluaskan jalinan hubungan dengan pelbagai negara selain mempromosi CyberSecurity Malaysia  di peringkat antarabangsa.

CyberSecurity Malaysia telah menyertai program RIUH SOKMO! Bersama Celcom anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) disokong oleh MyCreative Venture pada 16 hingga 18 Ogos 2022 bertempat di Stadium Mini, Majlis Daerah Ketereh, Kelantan.

Program RIUH SOKMO! diadakan khusus kepada rakyat Kelantan bagi menyahut usaha kerajaan yang prihatin dan komited untuk memulihkan negara daripada cabaran dan kesan pandemik COVID-19. Penggiat seni dan industri kreatif diberi peluang untuk mempromosi hasil karya dan kerja tangan mereka di mana melalui program ini ianya dapat merancakkan lagi pembangunan sosio-ekonomi setempat. Pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program seperti gerai pop-up, makanan, bengkel kreatif, permainan tradisional Kelantan, persembahan musik serta pameran dari agensi-agensi di bawah K-KOMM.

Pada program ini, CyberSecurity Malaysia telah membuat pameran produk dan perkhidmatan, melaksanakan aktiviti CyberSAFETM Quest melibatkan 40 murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kadok dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kg. Cengal di daerah Ketereh serta permainan interaktif bertujuan untuk memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan siber.

RIUH SOKMO! Bersama Celcom telah dirasmikan oleh YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM).

Untuk Lapor Ancaman atau Insiden Keselamatan Siber, Sila Klik di Sini