Assalamualaikum WBT and Salam Sejahtera.

Bersua kembali pada penerbitan CyberNEWS edisi ketiga tahun 2022.

Pada suku ketiga tahun 2022, CyberSecurity Malaysia telah menyertai beberapa acara antaranya Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat Negeri Perak, Selangor, Kelantan dan Perlis, manakala program RIUH peringkat Negeri Melaka dan Kelantan. Antara pengisian yang dilaksanakan ialah aktiviti bagi memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan siber melalui Cyber Quest, Cyber Spontan serta ruang pameran yang mempromosikan perkhidmatan pemulihan data.

Pada suku ketiga CyberSecurity Malaysia turut memeterai beberapa memorandum persefahaman dengan organisasi antaranya Jabatan Penyiaran Malaysia bagi Piagam Projek Program Organisasi Rintis Pembangunan Polisi, Prosedur dan Pensijilan ISO 27001 ISMS dan ISO 27701 PIMS bagi tempoh 2022-2023 dan MX Global Sdn Bhd bagi inisiatif meningkatkan teknologi mata wang kripto dan Pertukaran Aset Digital (DAXes).

CyberSecurity Malaysia juga terlibat pada beberapa siri latihan dan kursus bersama pihak Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Polis Diraja Malaysia yang melibatkan bidang forensik digital.

Di peringkat antarabangsa pula, CyberSecurity Malaysia telah menyertai “4th Cybersecurity Innovation Summit 2022” anjuran Agence Nationale de la Sécurité Informatique en Tunisie (ANSI) di Republik Tunisia.

Selain Itu, CyberSecurity Malaysia turut menyampaikan Anugerah Khas Industri di bawah program Pensijilan Global ACE bernilai RM5,000.00 padai Majlis Konvokesyen Politeknik Mersing Kali Ke-10 di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing, Johor sebagai tanda penghargaan kepada pelajar cemerlang.

Untuk makluman semua, tahun 2022 merupakan tahun sambutan Jubli Perak penubuhan CyberSecurity Malaysia. Beberapa aktiviti telah diadakan bagi meraikan sambutan 25 Tahun, antaranya Majlis Doa Selamat, Kesyukuran dan Tahlil, Forum "Warga Cemerlang, CyberSecurity Malaysia Terbilang” serta Majlis Makan Malam Gala.

CyberSecurity Malaysia akan terus komited dalam melestarikan  inisiatif keselamatan siber bagi memastikan kedaulatan keselamatan siber negara terus kekal terjamin.

Kepada pembaca setia CyberNEWS, teruskan menyokong kami dan sentiasa menjaga sikap dan tingkah laku warga digital ketika menggunakan teknologi digital di alam siber.

Sentiasa Bijak Sentiasa Selamat. Bersama Ke Arah Kesejahteraan Siber.

Terima Kasih.

Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc
Ketua Pegawai Eksekutif