Lawatan dari Qatar University ke CyberSecurity Malaysia

 

CyberSecurity Malaysia telah menerima lawatan dari Dr. Khalifa N. Al-Khalifa, Dekan College of Engineering, Qatar University pada 2 Februari 2018.

Tujuan lawatan diadakan adalah bagi mendapatkan kepakaran dan kemahiran CyberSecurity Malaysia berdasarkan pengalaman dalam bidang keselamatan siber terutama mengenai pembangunan kapasiti serta mengetahui perkhidmatan yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia, selain meningkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan siber di antara Malaysia dan Qatar.

Pada lawatan ini, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani bagi menggalak dan memupuk kerjasama dalam bidang keselamatan siber antara kedua-dua organisasi.

Hasil lawatan ini telah meluaskan lagi jangkauan perkhidmatan CyberSecurity Malaysia kepada negar-negara lain. Ia turut memperkukuhkan kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi pakar Keselamatan siber di peringkat antarabangsa.

Sambutan Safer Internet Day (SID) 2018 – Edisi Malaysia, Kuala Lumpur

 

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) telah meraikan sambutan Hari Keselamatan Internet 2018 atau Safer Internet Day (SID) 2018 Edisi Malaysia pada 6 Februari 2018.

SID merupakan inisiatif InSAFE European Union (EU) Belgium yang disambut secara global oleh lebih 100 buah Negara pada bulan Februari setiap tahun bagi mempromosi keselamatan Internet, memupuk serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan Internet agar mereka menjadi lebih bertanggungjawab sewaktu menggunakan teknologi serta aplikasi Internet melalui gajet-gajet digital.

Berdasarkan tema SID 2018 peringkat global iaitu "Create, connect and share respect: A better internet starts with you”, tema sambutan di Malaysia iaitu “Keibubapaan Siber - Keluarga Bingkas Siber Bermula Dengan Anda” (Cyber Parenting - Cyber Resilient Families Begin With You) dipilih bertepatan dengan usaha pelbagai pihak untuk memperkasa pengguna Internet terutama dalam kalangan ibu bapa, wanita dan kanak-kanak.

Bagi melestari sambutan SID 2018 Edisi Malaysia, beberapa program dan inisiatif telah disusun, antaranya:-

      1. Kempen #DealWithIT : kempen ini memperkenalkan Lima (5) Ikrar Keibubapaan Siber untuk ibu bapa atau penjaga membuat ikrar bagi menyatakan sokongan dan sikap bertanggungjawab. Kaedah pelaksanaan ikrar boleh diperolehi melalui laman sesawang https://www.cybersafe.my/saferinternetday/
      2. Kajian Impak Ancaman Kesihatan Siber Di Kalangan Remaja : kajian dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan juga pakar Jabatan Kriminologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengkaji beban dan kesan ketagihan Internet ke atas kesihatan fizikal remaja dan kanak-kanak.
      3. Buku Panduan Keibubapaan Siber : buku ini diterbitkan khusus bagi memberi maklumat kepada ibubapa mengenai tatacara menjadi ibu bapa atau penjaga yang bijak dalam mengasuh dan mendidik anak-anak di alam siber. Buku ini diterbitkan dengan kerjasama DiGi Telecommunications.
      4. Seminar “Keluarga Bingkas Siber Bermula Dengan Anda” : seminar ini diadakan 24 Februari 2018 (Sabtu) bertempat di Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur. Ia diadakan dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). Lebih 700 peserta hadir di seminar ini manakala perasmian penutupan rasmi seminar serta sambutan “Safer Internet Day 2018” disempurnakan oleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosman Mansor, Isteri kepada YAB Perdana Menteri merangkap Penaung Program PERMATA.

SID 2018 Edisi Malaysia telah mendapat sokongan pelbagai pihak, antaranya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Bahagian PERMATA, PUSPANITA, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Limkokwing University of Creative Technology, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Cyber Intelligence Sdn Bhd, Royale Chulan Kuala Lumpur, Radio Televisyen Malaysia (RTM), IKIM FM dan juga TV Alhijrah.

Persidangan Digital ICT dan Undang-undang, Qatar

 

CyberSecurity Malaysia telah dijemput menghadiri Persidangan Digital ICT dan Undang-undang anjuran Universiti Qatar dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan & Komunikasi Qatar di Doha pada 19 dan 20 Mac 2018.

Jemputan tersebut adalah hasil dari memorandum persefahaman yang dimeterai oleh CyberSecurity Malaysia bersama Universiti Qatar dalam usaha mengukuh kerjasama di bidang keselamatan siber. CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Mohd Shamir Hashim, Naib Presiden Kanan, Bahagian Perhubungan Antarabangsa dan Kerajaan, di mana beliau telah membuat pembentangan bertajuk “Cyber Security Capabilities – The Malaysian Perspective”.

Persidangan tersebut turut dihadiri oleh pelbagai institusi pengajian tinggi antaranya Qatar University, Sultan Qaboos University, Muscat, Oman, The Chinese University of Hong Kong, International Islamic University Malaysia (IIUM), Northumbria University, The Australian National University (Australia) Police College, Qatar, Purdue University (USA), University Yahia Fares Medea, École normale supérieure (France), Indian Society of International Law, New Delhi, University of New South Wales.

Persidangan ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk memperkenalkan perkhidmatan keselamatan siber selain menjalin hubungan dengan pelbagai pihak yang hadir.

Sesi Knowledge Sharing Projek Simulation Tesbed Bagi Keselamatan Sistem SCADA Electrical Power Grid dan Kursus Latihan Teknikal bagi RTAP dan SLOI, Cyberjaya

 

Pada 21 Februari 2018 telah berlangsung satu sesi Knowledge Sharing perlaksanaan Projek Simulation Tesbed bagi Keselamatan Sistem SCADA berdasarkan Sistem Penghantaran Tenaga Elektrik Negara. Program ini diadakan bertujuan memberi penerangan mengenai objektif serta hala tuju projek Simulation Tesbed, bertukar maklumat mengenai serangan siber ke atas simulasi testbed SCADA dan impak serangan tersebut ke atas sistem bekalan elektrik.

Seramai 36 peserta terdiri dari pegawai Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), UNITEN dan CyberSecurity Malaysia hadir pada sesi ini.

Manakala pada 22 dan 23 Februari 2018 berlangsung Kursus Latihan Teknikal bagi Real Time Application Platform (RTAP) dan Station Level Operator Interface (SLOI), di mana sistem tersebut digunakan dalam pembangunan Simulation Testbed. Kursus ini diadakan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam pengendalian simulation testbed SCADA berdasarkan sistem penghantaran tenaga elektrik negara untuk tujuan pengujian dan latihan. Selain itu, ia turut memberi pendedahan kepada pengguna sistem mengenai prosidur dan keadah sistem RTAP dan SLOI. Seramai 16 orang peserta hadir pada kursus selama tiga hari ini.

<

Lawatan Turun Padang KSU MOSTI Ke CyberSecurity Malaysia, Seri Kembangan

 

Pada 20 Februari 2018, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Haji Yahaya telah mengadakan lawatan ‘turun padang’ ke CyberSecurity Malaysia.

Lawatan diadakan bagi meninjau prestasi serta memantau kemajuan projek-projek pembangunan di bawah RMK11 oleh CyberSecurity Malaysia. Pada lawatan ini, projek RMK-11 berkaitan pengukuhan ketahanan negara terhadap ancaman siber, keupayaan forensik siber serta perkhidmatan jaminan keselamatan bagi teknologi termaju telah turut dibentangkan.

Delegasi MOSTI turut diberi penerangan mengenai prestasi kewangan, perkembangan fizikal dan pencapaian bagi tahun 2016 hingga 2017. Di akhir lawatan, delegasi MOSTI juga dibawa untuk melawat makmal-makmal yang telah dibangunkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Asia Pasifik (APCERT), Internet Network Operators Summit on Operational Technologies (APRICOT) dan Forum of Incident Response and Security Teams Technical Colloqium, Kathmandu, Nepal

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Asia Pasifik (APCERT), Internet Network Operators Summit on Operational Technologies Forum of Incident Response and Security Teams Technical Colloqium di Kathmandu, Nepal.

Program dengan kerjasama Asia Pacific Network Information Centre (APNIC) diadakan sempena Internet Network Operators Summit on Operational Technologies (APRICOT) 2018 dan Asia Pacific Network Information Centre (APNIC) kali ke-45.

CyberSecurity Malaysia telah menyertai Teknikal Colloqium diwakili oleh Nurul Husna Mohd Nor Hazalin, di mana beliau telah membuat pembentangan bertajuk “Detection, Eradication & Forensic: Cyber Threats Intelligence for CNII Organisations”. Sebanyak 11 kertas dibentangkan oleh perwakilan daripada pelbagai negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Bangladesh, Jepun, Malaysia, China dan juga Sepanyol pada program yang dihadiri oleh lebih 50 peserta.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada program ini adalah bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu dan Timbalan Pengerusi APCERT. Ia juga merupakan salah satu inisiatif dalam mengeratkan hubungan kerjasama dengan negara-negara anggota APCERT. Program ini turut mengukuhkan nama Malaysia sebagai negara penyumbang kepada perkembangan bidang keselamatan siber global khususnya di rantau Asia Pasifik dan merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran Malaysia dalam bidang keselamatan siber.

Lawatan dari Ministry of Interior, Bahrain ke CyberSecurity Malaysia

 

Pada 23 Februari 2018, CyberSecurity Malaysia telah menerima lawatan dari Ministry of Interior, Bahrain.

Lawatan tersebut diadakan bagi mendapatkan kepakaran dan pengalaman CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber terutama dari segi pembangunan kapasiti serta pembentukan polisi dan rangka kerja pengurusan keselamatan siber. Delegasi turut mempelajari pengalaman CyberSecurity Malaysia membangun dan melaksanakan Dasar Keselamatan Siber Nasional (NCSP) serta diberi penerangan mengenai perkhidmatan keselamatan siber yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia.

Pada lawatan ini, delegasi telah dibawa melawat kemudahan makmal yang terdapat di CyberSecurity Malaysia. Lawatan ini telah berjaya mengukuhkan lagi kerjasama CyberSecurity Malaysia dengan Ministry of Interior Bahrian dalam bidang keselamatan siber serta mengeratkan hubungan dua hala kedua negara.

Seminar Keibubapaan Siber “Keluarga Bingkas Siber Bermula Dengan Anda” dan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Safer Internet Day 2018 Edisi Malaysia, Kuala Lumpur

 

Sempena sambutan Hari Keselamatan Internet atau Safer Internet Day (SID) 2018 Edisi Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) telah menganjurkan Seminar Keibubapaan Siber bertajuk “Keluarga Bingkas Siber Bermula Dengan Anda” (Cyber Resilient Families Begin With You).

Seminar diadakan bagi memperkasa ibu bapa atau penjaga mengenai ilmu keselamatan siber, memberi pendedahan mengenai isu-isu keselamatan siber yang mengancam institusi keluarga seperti buli siber, ketagihan Internet, jenayah siber dan juga ancaman media sosial. Seminar ini juga bertujuan memupuk serta menyemai kesedaran ibu bapa atau penjaga mengenai kepentingan penggunaan teknologi termasuk gajet digital serta Internet secara positif dan beretika.

Pelbagai topik menarik dibentangkan pada sesi pertama forum bertajuk Eksploitasi Siber: Pencegahan di Sekolah (Cybervictimization: Prevention in Schools), antaranya Landskap Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian: Undang-Undang dan Perundangan di Malaysia, Keselamatan Alam Siber Dalam Pendidikan: Membina Daya Tahan Digital Bagi Keselamatan Internet dan Penjenayah Di Dalam Telefon.

Manakala pada sesi kedua forum bertajuk Ancaman Kesihatan Siber (Cyber Parenting and Cyber Medical Threats) beberapa hasil kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah dibentangkan. Lebih 600 peserta terdiri dari ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak-anak pra-sekolah, anak-anak di sekolah rendah dan anak-anak remaja hadir pada seminar ini.

Turut berlangsung ialah Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Safer Internet Day (SID) 2018 Edisi Malaysia yang disempurnakan oleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Isteri kepada YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Penaung Program PERMATA.

Pada majlis ini juga sebuah buku bertajuk ‘Panduan Keibubapaan Siber’ telah dilancarkan oleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. Buku ini diterbitkan khusus bagi menyampaikan mesej dan maklumat mengenai kaedah serta tatacara pengasuhan dan pendidikan anak-anak di alam siber. Ia mengandungi maklumat serta infografik yang boleh dijadikan rujukan oleh ibu bapa dan penjaga bagi mengawal selia aktiviti anak-anak di dalam talian mengikut kumpulan umur.

Pertukaran Memorandum Perjanjian Antara CyberSecurity Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah

 

Pada 25 Februari 2018 telah berlangsung acara pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) di antara CyberSecurity Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Ia berlangsung pada Majlis Temu Mesra Media Sabah bersama YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Kota Kinabalu, Sabah.

Memorandum perjanjian tersebut dimeterai bagi merealisasikan kolaborasi pembangunan Klinik Keselamatan Siber atau MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) di negeri Sabah. Dengan wujudnya klinik tersebut, perkhidmatan berkaitan keselamatan siber seperti pemulihan data, sanitasi data dan perkhidmatan konsultansi boleh dinikmati oleh semua pihak seperti agensi kerajaan, syarikat swasta dan orang awam.

Pembangunan Klinik Keselamatan Siber merupakan inisiatif yang dilaksanakan di bawah program Pembangunan Usahawan MyCyberSecurity Clinic (MyCSC). Ia merupakan program perkembangan cawangan MyCSC oleh CyberSecurity Malaysia bagi menyemarak pembangunan keusahawanan khusus dalam bidang keselamatan siber di seluruh Malaysia.

Majlis pertukaran MoA tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab serta disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Program Negaraku Berinovasi, Tuaran, Sabah

 

Pada 26 hingga 28 Februari 2018, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Program Negaraku Berinovasi anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertempat di Tuaran, Sabah.

Program yang berlangsung selama tiga hari ini mempamerkan pelbagai aktiviti interaktif oleh pelbagai Jabatan dan Agensi di bawah MOSTI bertujuan menarik minat, memupuk kefahaman serta kesedaran masyarakat mengenai bidang sains, teknologi dan inovasi. Pada program ini, Kempen #DealwithIT turut diperkenalkan kepada masyarakat Sabah bagi menghebahkan konsep keibubapaan siber yang diadakan sempena sambutan Hari Keselamatan Internet atau Safer Internet Day (SID) 2018 Edisi Malaysia bertemakan “Keluarga Bingkas Siber Bermula Dengan Anda”.

Perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Haji Yahaya, Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada program ini telah berjaya memberi pendedahan mengenai bidang keselamatan siber kepada pengunjung serta dapat mempromosi perkhidmatan ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia seperti Cyber999, forensik digital, Malaysia Trustmark, MyCyberSecurity Clinic dan juga program CyberSAFE.

Program Latihan Teknikal dan Bengkel Strategik May Siber Teknoloji (MST) dan CyberSecurity Malaysia (CSM), Ankara, Turki

 

CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama May Siber Teknoloji telah mengadakan satu program latihan teknikal dan bengkel strategik keselamatan siber di Ankara, Turki.

Program diadakan sempena Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai pada tahun 2017 bagi merealisasi pemindahan teknologi bertujuan meningkatkan kemahiran dan kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam teknologi Network Access Control (NAC) pada tahap optimum. Kemahiran ini penting kerana teknologi NAC digunakan secara meluas dalam operasi sistem keselamatan siber.

Manakala bengkel strategik pula diadakan bagi merangka perancangan untuk melaksanakan kerjasama penyelidikan dan pembangunan. Dalam hal ini, kedua-dua organisasi akan berganding bahu berkongsi kepakaran, sumber dan pengalaman dalam projek penyelidikan berkaitan keselamatan siber. Program ini diketuai oleh Dr. Aswami Fadillah Mohd Ariffin, Naib Presiden Kanan, Bahagian Perkhidmatan Tindak Balas Keselamatan Siber, CyberSecurity Malaysia.

Melalui program ini, skil serta kompetensi pegawai yang terlibat dapat dipertingkatkan. Selain itu, ia turut mengukuhkan kerjasama strategik dalam bidang keselamatan siber serta membuka peluang untuk jalinan kerjasama antarabangsa khususnya perkongsian maklumat antara CyberSecurity Malaysia dengan pemain industri keselamatan siber di Turki.

Transition to ISO/IEC 17025:2017 Training, Cyberjaya

 

Pada 28 Februari 2018, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri latihan Transition to ISO/IEC 17025:2017 di Cyberjaya. Kursus anjuran Persatuan Makmal Akrediatasi Malaysia dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia ini diadakan bagi memberi pendedahan berkaitan dengan perubahan di dalam ISO / IEC 17025:2017. Kursus ini berlangsung selama satu hari dengan dihadiri oleh pelbagai organisasi yang telah atau belum memperolehi Akreditasi ISO/IEC 17025.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada kursus ini adalah amat signifikan kerana Jabatan MySEF terlibat secara langsung dalam proses peralihan daripada ISO17025:2005 kepada ISO17025:2017. Maklumat yang diperolehi dari kursus ini memberi impak besar kepada pengurusan makmal yang terdapat di Jabatan MySEF.