Cybersecurity Awareness and Knowledge Systemic High-level Application (YAKSHA), Porto, Portugal

 

Pada 8 hingga 12 Januari 2018, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan Awam YAKSHA - Aplikasi Tahap Tinggi Sistem Pengetahuan dan Kesedaran Keselamatan Siber di Porto, Portugal.

Persidangan anjuran Sociedade Portuguesa de Inovação (SPI) Portugal dengan kerjasama 12 organisasi Eropah dan Asia Tenggara ini dibiayai oleh Suruhanjaya Eropah bertujuan memperkukuhkan kerjasama EU-ASEAN serta perkongsian pembangunan domain keselamatan siber dan aplikasi platform yang disesuaikan dengan keperluan pengguna dan negara khususnya dalam memanfaatkan kepakaran EU Know-How dan kepakaran tempatan.

Persidangan ini telah dihadiri oleh Duta Besar Negara-negara ASEAN, wakil dari Suruhanjaya Eropah, panelis dan wakil-wakil dari organisasi rakan kongsi yang membincangkan Penyelidikan Keselamatan Siber dalam EU-ASEAN.

CyberSecurity Malaysia yang diwakili oleh Ismamuradi bin Dato’ Abdul Kadir dari Jabatan Pengurusan Strategik. Beliau dijemput sebagai perwakilan dalam usaha mengukuhkan penglibatan pelbagai hala serta sumbangan kepada hasil projek melalui Bengkel Co-Creation. Pada bengkel tersebut, semua rakan dan konsortium projek telah bersetuju untuk hadir pada acara tahunan CSM-ACE 2018 yang akan diadakan pada bulan September.

Jemputan terhadap CyberSecurity Malaysia merupakan satu pengiktirafan antarabangsa sebagai sebuah organisasi pakar dalam hal-ehwal keselamatan siber di Asia Tenggara.

Persidangan International Bhurban On Applied Sciences & Technology (IBCAST) 2018, Islamabad, Pakistan

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri persidangan International Bhurban Conference on Applied Sciences & Technology (IBCAST) 2018 di Islamabad, Pakistan pada 9 hingga 13 Januari 2018.

Persidangan anjuran Centres of Excellence in Science & Applied Technologies (CESAT) bertemakan “Cyber Security & Assurance Technologies” ini merupakan persidangan penyelidikan teknikal bagi membincangkan isu-isu terkini bidang sains dan teknologi, termasuk keselamatan siber.

Seramai 1,200 peserta dari pelbagai negara termasuk Malaysia hadir pada persidangan ini. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Dr Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi yang membuat pembentangan bertajuk “People Certification: The Need for Cyber Security Experts”. Manakala, Dr Aswami Fadillah Mohd Ariffin dan Nur Mohammad Kamil pula dijemput sebagai tenaga pengajar pada bengkel teknikal “Incident Handling and Management: Tools, Technique, Responses and Procedure.”

Pada persidangan ini, CyberSecurity Malaysia telah berpeluang mempromosi Malaysia sebagai sebuah negara yang aktif dan menyokong inisiatif keselamatan siber secara global. Selain itu, ia turut membuka peluang untuk mengikuti perkembangan pengetahuan teknologi semasa khususnya dalam bidang keselamatan siber serta merapatkan kerjasama dengan pelbagai agensi di peringkat antarabangsa dalam usaha menangani isu-isu keselamatan siber.

Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama antara CyberSecurity Malaysia dan University Malaysia of Computer Science and Engineering (UNIMy), Putrajaya

 

Pada 18 Januari 2018 telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dan University Malaysia of Computer Science and Engineering (UNIMY) di Putrajaya.

Kerjasama yang dimeterai adalah bertujuan untuk mengukuh, menggalak dan mempertingkatkan kerjasama di antara kedua-dua organisasi dalam bidang pembangunan, penyelidikan dan pendidikan berkaitan keselamatan siber di Malaysia.

Memorandum telah ditandatangai oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia dan YBhg. Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab Hamid, Naib Canselor UNIMy.

Melalui kerjasama ini CyberSecurity Malaysia akan bertindak sebagai panel penasihat industri kepada UNIMy, melaksanakan program akademik-industri yang memberi manafaat kepada kedua-dua pihak, berkongsi maklumat dengan UNIMy mengenai trend, isu-isu dan teknologi terkini serta menyumbang kepada penambahbaikan modul akademik dan kurikulum pengajian berkaitan keselamatan siber di UNIMy.

Perhimpunan Staff CyberSecurity Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur

 

Pada 19 Januari 2018 telah berlangsung Perhimpunan Staff CyberSecurity Malaysia yang pertama bagi tahun 2018. Program ini merupakan salah satu aktiviti di bawah inisiatif perhubungan pekerja (employee relations) yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Modal Insan.

Perhimpunan ini juga diadakan bagi mengerat hubungan silaturrahim antara kakitangan CyberSecurity Malaysia serta menjadi platfom untuk memaklumkan hala tuju organisasi bagi tahun 2018 dan perkembangan terkini CyberSecurity Malaysia.

Seramai 232 kakitangan CyberSecurity Malaysia hadir pada perhimpunan yang dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Amirudin bin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif.

Selain amanat Ketua Pegawai Eksekutif, turut diadakan ialah penyampaian penghargaan kepada kakitangan yang telah berjaya memperolehi sijil professional dalam bidang kepakaran di sepanjang tahun 2017, anugerah kakitangan yang lama berkhidmat serta anugerah pencapaian akademik anak-anak kakitangan yang cemerlang dalam bidang pelajaran.

The 10th International Cybersecurity Forum (FIC), Perancis

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri 10th International Cybersecurity Forum (FIC) anjuran Gendarmerie Nationale, CEIS & Euratechnoloogies di Lille and Paris, Perancis. FIC 2018 merupakan program di bawah naungan Presiden Republik Perancis dan merupakan acara keselamatan siber terbesar di Eropah yang merangkumi perbincangan panel, forum, bengkel serta pameran.

CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk membuat pembentangan kajian kes, di mana Dr Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi membuat pembentangan bertajuk “CTI: What is the Real Added Value” manakala Dr Aswami Fadillah Mohd Ariffin, Naib Presiden Kanan, Perkhidmatan Tindak Balas Keselamatan Siber membuat pembentangan bertajuk “CTI: How Do We Make it Operational”. Malaysia merupakan satu-satunya negara dari rantau ASEAN dan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dijemput hadir sebagai pembentang di persidangan FIC 2018.

Seramai 8,600 peserta, 300 pembentang dan 350 pempamer dari pelbagai sektor awam dan swasta hadir ke persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini.

Selain menghadiri persidangan, wakil CyberSecurity Malaysia turut mengadakan perbincangan teknikal dengan beberapa organisasi, antaranya Thales, Textplained, Cyber Test Systems dan Alliacom bagi mengenalpasti peluang kolaborasi dalam bidang keselamatan siber.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini merupakan satu pengiktirafan antarabangsa terhadap kepakaran, kemahiran dan kebolehupayaan CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber di peringkat global.

MTDC Expert Talk Program 2018, Serdang, Selangor

 

Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd (MTDC) telah menjemput CyberSecurity Malaysia untuk menyampaikan ceramah berkaitan keselamatan siber dan serangan-serangan siber di Malaysia kepada kakitangan MTDC pada program MTDC Expert Talk Program 2018 di Serdang, Selangor.

Program yang dihadiri oleh seramai 80 warga kerja MTDC ini diadakan bagi memupuk kesedaran mengenai keselamatan siber.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Megat Muazzam Abdul Mutalib dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer (MyCERT) yang telah menyampaikan ceramah keselamatan siber dan lanskap ancaman siber dalam di Malaysia.

Program ini juga telah membolehkan CyberSecurity Malaysia memperkenalkan fungsi serta perkhidmatan yang disediakan selain berkongsi maklumat mengenai isu-isu keselamatan siber semasa.

Bengkel Permurnian Undang-undang dan Peraturan Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan (NICTSeD) 2018 – Piala Cabaran CyberSAFE, Putrajaya

 

Pada 26 hingga 28 Januari 2018 telah berlangsung Bengkel Permurnian Undang-undang dan Peraturan bagi Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan (NICTSeD) 2018 – Piala Cabaran CyberSAFE di Putrajaya.

NICTSeD merupakan salah satu acara tahunan CyberSecurity Malaysia di bawah Program ‘CyberSAFE In School’ yang diadakan dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia sejajar dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Pertandingan berbentuk wacana ini memperlihatkan kebolehan para peserta yang terdiri dari murid-murid sekolah menengah seluruh Malaysia membuat pembentangan kertas cadangan mengenai isu-isu keselamatan siber dengan menggunakan bahan-bahan multimedia bagi mengemukakan fakta serta hujah berdasarkan tajuk yang diberikan.

Pada bengkel ini, peraturan dan undang-undang pertandingan distruktur dan dikaji kembali untuk penambahbaikan selain mengenalpasti tajuk-tajuk yang akan dipertandingkan pada tahun 2018.

Sebanyak 16 buah sekolah mewakili 16 zon di seluruh Malaysia akan bertanding pada pertandingan ini. Ia bermula dengan peringkat kelayakan, suku akhir dan separuh akhir yang akan diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan. Manakala, pertandingan akhir peringkat kebangsaaan pula akan diadakan pada bulan September 2018 sempena Cyber Security Malaysia - Awards, Conference, and Exhibition 2018 (CSM-ACE 2018).

The HORIZON 2020 (H2020) Information & Training Event, Kuala Lumpur

 

Pada 29 Januari 2018, CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk membuat pembentangan pada program The HORIZON 2020 (H2020) Information & Training anjuran European Commission di Kuala Lumpur.

HORIZON 2020 (H2020) adalah program penyelidikan dan inovasi Kesatuan Eropah terbesar dan merupakan salah satu inisiatif Eropah 2020 bagi mendorong pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Pada program ini, CyberSecurity Malaysia telah diwakili Dr Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi di mana beliau telah membuat pembentangan bertajuk “Cybersecurity Awareness and Knowledge Systemic High-Level Application (YAKSHA).” Seramai 100 peserta terdiri dari wakil-wakil institusi pengajian tinggi di Malaysia hadir pada program ini.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada program ini telah mengukuhkan lagi kedudukan sebagai pusat pakar teknikal keselamatan siber di Malaysia selain mendapat pengiktirafan mengenai kemahiran dan kebolehupayaan CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber.