4th Annual Coordination Meeting of OIC Institutions (ACMOI), Jeddah, Arab Saudi

 

Pada 3 dan 4 Disember 2018 telah berlangsung Annual Coordination Meeting of OIC Institutions (ACMOI) kali ke-4 di Jeddah, Arab Saudi. Mesyuarat anjuran Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ini turut dihadiri oleh CyberSecurity Malaysia yang mewakili Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer-OIC (OIC-CERT).

Mesyuarat ACMOI diadakan bertujuan untuk memudahkan penyelarasan dalam melaksanakan penyataan, resolusi dan keputusan yang dibuat oleh OIC bagi mengenalpasti strategi perlaksanaan dan cadangan rangka kerja “OIC STI Agenda 2026”.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia, selaku Setiausaha Tetap OIC-CERT pada mesyuarat ini telah dapat menaikkan reputasi CyberSecurity Malaysia dalam kalangan ahli mesyuarat yang terdiri dari pelbagai institusi antarabangsa di samping dapat merangka perancangan OIC-CERT agar selari dengan OIC STI Agenda 2026.

Forum Interpol Shipborne, Singapura

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Forum Interpol Shipborne anjuran Interpol pada 9 hingga 14 Disember 2018 di Singapura. Forum ini diadakan bertujuan untuk membincangkan kaedah siasatan, analisa dan cabaran bagi analisa “shipborne equipment”, di samping mempertingkatkan keupayaan dalam penyiasatan kes jenayah maritime.

CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk membuat pembentangan kajian kes, di mana Mohd Sharizuan Mohd Omar dan Nooraiman Noorashid dari Jabatan Forensik Digital telah mewakili CyberSecurity Malaysia. Mereka telah membuat pembentangan kajian kes bertajuk “Shipborne Equipment Forensic (GPS Device)” di Malaysia.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan telah dapat mempertingkatkan keupayaan CyberSecurity Malaysia dalam penyiasatan kes maritim dan menjalankan analisa “Shipborne equipment” untuk perkhidmatan dan operasi forensik digital CyberCSI.

Lawatan Kerja Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia ke CyberSecurity Malaysia, Seri Kembangan

 

Pada 17 Disember 2018, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Tuan Gobind Singh Deo telah mengadakan lawatan kerja ke CyberSecurity Malaysia.

Lawatan diadakan bagi memberi pendedahan yang lebih terperinci kepada YB Menteri serta delegasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengenai peranan serta fungsi CyberSecurity Malaysia dalam melaksanakan pembangunan bidang keselamatan siber di Malaysia. Selain itu, YB Menteri dan delegasi turut diberi penerangan mengenai perkhidmatan dan pencapaian CyberSecurity Malaysia selama 21 tahun penubuhan CyberSecurity Malaysia yang kini merupakan agensi di bawah KKMM.

Pada lawatan tersebut, YB Menteri serta delegasi telah dibawa melawat makmal-makmal keselamatan siber serta beramah mesra dengan warga CyberSecurity Malaysia pada akhir lawatan.

Latihan Kerja di Alliacom CERT, Paris, Perancis

 

Pada 19 dan 20 Disember 2018, CyberSecurity Malaysia telah menyertai latihan kerja bersama Alliacom CERT di Paris bagi mempelajari teknologi terkini keselamatan siber dalam usaha mempertingkatkan keupayaan melalui pemindahan kepakaran dan teknologi.

Program dua hari anjuran Alliacom CERT ini merupakan program kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dan Alliacom CERT dalam bidang operasi CERT dan Cyber Threat Intelligence (CTI). Ia merupakan satu platfom pemindahan kepakaran dan teknologi khusus dalam bidang CERT dan CTI bertujuan menambahbaik sistem operasi CERT. Pada program tersebut, CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Sharifah Roziah Mohd Kassim dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT).

Melalui porgam ini, CyberSecurity Malaysia telah didedahkan mengenai aspek teori dan praktikal CTI yang dipraktikkan di Alliacom CERT serta mempelajari panduan nasihat tentang penggunaan open source tools bagi membantu analisa bagi memperbaiki kaedah menangani insiden melalui CTI.

Pembentangan Kertas Kerja di Persidangan ICCSIT 2018, Paris, Perancis

 

Pada 21 hingga 23 Disember 2018, CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk membuat pembentangan kertas kerja pada Persidangan International Conference on Computer Science and Information Technology 2018 di Paris, Perancis.

Persidangan anjuran ICCSIT ini diadakan pada setiap tahun sebagai platfom bagi para perwakilan yang terdiri dari sektor akademik, industri, pelajar lepasan ijazah (postgraduate) membuat pembentangan kertas kerja berkaitan kajian yang dijalankan. Hasil kajian yang terpilih akan diterbitkan dalam jurnal.

Pada persidangan tersebut, Sharifah Roziah Mohd Kassim, dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) telah membuat pembentangan bertajuk “Measuring the Effectiveness of Phishing Detection Tool: Comparative Study on Pattern Matching and User Rating Technique” yang juga diterbikan di Journal of Computers.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini telah memberi peluang untuk sesi perbincangan diadakan antara CyberSecurity Malaysia dan Universiti of Rabat, Morrocco bagi penerbitan jurnal yang akan ditulis bersama oleh kedua organisasi. Selain itu, College of Technological Studies, Kuwait pula akan membuat jemputan kepada CyberSecurity Malaysia bagi pembentangan kertas kerja di Kolej tersebut pada April 2019.

<

Mesyuarat Lembaga Tadbir dan Bengkel Jawatankuasa Global ACE Scheme, Pullman Putrajaya

 

Pada 18 Disember 2018, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Mesyuarat Lembaga Tadbir dan Bengkel Jawatankuasa Global ACE Scheme di Putrajaya.

Mesyuarat ini diadakan bagi mengemaskini pelaksanaan Skim Pensijilan Professional Keselamatan Siber Bertauliah. Ia dipengerusikan oleh Ketua Pengawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab merangkap Pengerusi “Board of Governance”. Hadir pada mesyuarat tersebut ialah wakil-wakil dari Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM), agensi-agensi kerajaan, wakil akedemik serta wakil industri.

Melalui mesyuarat ini, kualiti Skim Pensijilan Profesional Keselamatan Siber Bertauliah Global atau “Global ACE Scheme” dapat dipertingkatkan selaras dengan matlamat skim untuk mewujudkan angkatan kerja kompeten bertaraf dunia dalam keselamatan siber dan mempromosikan pembangunan program keselamatan keselamatan siber di rantau ini.

Cybersecurity International Workshop, Tokyo, Jepun

 

Pada 11 hingga 14 Disember 2018, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri "Cybersecurity International Workshop" anjuran National center of Incident readiness and Strategy for Cybersecurity (NISC) di Tokyo, Jepun.

Program ini merupakan platfom untuk berkongsi maklumat mengenai ancaman rentas sektor (“cross sectoral threats”) selain mempelajari dari pengalaman negara-negara lain. CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Ruhama Mohammed Zain dari Jabatan Pembangunan Profesional Keselamatan Siber(CSPD).

Pada bengkel tersebut, CyberSecurity Malaysia telah membuat pembentangan mengenai Global ACE Scheme sebagai inisiatif pembangunan modal insan dalam bidang keselamatan siber semasa bengkel ini berlangsung.