Mesyuarat Kerjasama Global ACE Scheme Antara CyberSecurity Malaysia Dan Politeknik Mersing Johor (PMJ) Mersing, Johor

 

Pada 1 hingga 2 Ogos 2019 telah berlangsung Mesyuarat Kerjasama Skim Global ACE di antara CyberSecurity Malaysia dan Politeknik Mersing Johor (PMJ) bertempat di Mersing, Johor.

Mesyuarat anjuran Politeknik Mersing Johor ini diadakan bertujuan untuk membincangkan penyelarasan program akademik (academic alignment and mapping) di antara PMJ dan CyberSecurity Malaysia mengenai “Global ACE Scheme”.

Mesyuarat telah dihadiri oleh Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Hassan bin Siraj, Pengarah Politeknik Mersing Johor dan Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia bersama delegasi dari kedua-dua organisasi. Antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat ini adalah kesesuaian modul Diploma in Infotech (Digital Tech Track Info Security) untuk dipadankan dengan persijilan peperiksaan profesional di bawah Skim Global ACE.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini telah berjaya merealisasikan satu insiatif bagi menambah bilangan tenaga profesional keselamatan siber yang bertauliah di dalam negara. Selain itu, para pelajar Politeknik Mersing Johor juga akan memperolehi “Pensijilan Profesional Skim Global ACE” serta menerima Diploma dari Politeknik Mersing Johor.

Bengkel Panduan Keselamatan MyKad EBA Ecosystem, Putrajaya

 

Pada 2 Ogos 2019 CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Bengkel Panduan Keselamatan MyKad EBA Ecosystem bertempat di Le Meridien hotel, Putrajaya.

Bengkel ini diterajui oleh Jabatan Pengujian Keselamatan Malaysia diadakan bagi membincangkan garis panduan keselamatan kad pintar yang lengkap untuk kegunaan semua jabatan dan agensi awam dan juga swasta. Bengkel telah disertai oleh seramai 28 peserta dari 13 agensi.

Penganjuran bengkel ini adalah satu sokongan CyberSecurity Malaysia terhadap Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan menjadi penanda aras kepada seluruh bahagian Keselamatan Teknologi Maklumat dalam menyediakan perkhidmatan yang cekap dan cemerlang kepada masyarakat umum.

Seminar Hari Terbuka MYCC 2019, Menara Cyber Axis, Cyberjaya

 

Pada 6 Ogos 2019 CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan “Hari Terbuka MYCC 2019: Cyber Security Evaluation And Certification Services For The Digital Economy Era” bertempat di Dewan Serbaguna, Menara Cyber Axis, Cyberjaya.

Hari Terbuka MyCC ini telah diterajui oleh Jabatan Perhubungan Kerajaan merupakan satu program bagi menyebar kesedaran berkaitan dengan ISO / IEC 15408 Common Criteria selaras dengan inisiatif Kerajaan untuk melaksanakan keperluan pematuhan standard dalam perolehan produk keselamatan Teknologi Komunikasi Maklumat kerajaan.

Seminar telah disertai oleh seramai 88 orang peserta daripada 48 organisasi termasuk wakil dari 20 agensi Infrastruktur Makluamat Kritikal Negara (CNII). Dato' Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia telah menyampaikan ucapan pembukaan bertajuk “Implementing Adaptive Cyber Security Approach” pada seminar ini.

Melalui penganjuran seminar ini, CyberSecurity Malaysia telah berjaya mendapatkan input bagi memahami kehendak organisasi dan agensi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara melalui sesi perbincangan panel.

Mesyuarat Kumpulan Kerja Kriptowang Asia Tenggara Kali Ke-2, Singapura

 

Pada 14 hingga 16 Ogos 2019 CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Kumpulan Kerja Kriptowang Asia Tenggara kali ke-2 di Singapura.

Mesyuarat anjuran United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) Bahagian Asia Tenggara dan Asia Pasifik ini merupakan satu projek bagi meningkatkan kapasiti untuk menyekat aktiviti kewangan haram menggunakan kriptowang oleh kumpulan pengganas dan penjenayah di negara anggota ASEAN.

Mesyuarat kumpulan kerja ini juga merupakan platform perkongsian maklumat mengenai peraturan dan undang-undang terkini kriptowang, pengukuhan kerjasama antarabangsa serta cabaran yang dihadapi oleh negara-negara anggota.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Sarah Khadijah Taylor, Pengurus Jabatan Forensik Digital. Beliau telah terlibat pada sesi sumbang saran pembangunan prosedur standard bagi penyiasatan kes melibatkan kriptowang.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini telah mengukuhkan hubungan dengan ahli UNODC serta pihak penguatkuasa di Malaysia. Ini merupakan pertemuan ulung pihak Penguatkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti, Unit Kriptowang dari Polis Diraja Malaysia untuk membincangkan isu dan penyelesaian bagi kes yang melibatkan kriptowang di Malaysia.

Bengkel APEC Untuk Memudahkan Perdagangan Melalui Pematuhan Standard Keselamatan Siber Yang Diiktiraf Di Peringkat Global Dan Amalan Terbaik, Puerto Varas, Chile

 

Pada 16 hingga 17 Ogos 2019 CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Bengkel APEC Untuk Memudahkan Perdagangan Melalui Pematuhan Kepada Standard Keselamatan Siber Yang Diiktiraf Di Peringkat Global Dan Amalan Terbaik. Bengkel diadakan di Puerto Varas, Chile.

Bengkel anjuran Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) ini diadakan bagi membincangkan kepentingan dan manafaat standard keselamatan siber yang diiktiraf di peringkat global dan untuk menggalakkan operasi, keselarasan, dan pertumbuhan ekonomi di samping menangani risiko yang berkaitan dengan serangan siber dan ancaman siber.

Pada bengkel ini, Robert Holleyman, Duta Besar merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Crown & Morning International telah membuat pembentangan mengenai Kepentingan Standard Keselamatan Siber di dalam APEC. Bengkel turut membincangkan isu-isu keselamatan siber yang dikelolai oleh panelis dari pelbagai anggota APEC.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada bengkel ini telah memberi manfaat dalam membandingkan dan menentukan tanda aras pencapaian misi Pusat Kecemerlangan (COE) serta membantu untuk menambah baik perkhidmatan CyberSecurity Malaysia untuk dilaksanakan di Malaysia.

Latihan Keselamatan Sistem Kawalan Industri (ICS), Lexis Suites, Pulau Pinang

 

Pada 19 hingga 21 Ogos 2019 CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan program Latihan Keselamatan Sistem Kawalan Industri (ICS), bertempat di Lexis Suites, Pulau Pinang.

Kursus kelolaan Jabatan Pusat Pengujian Kerentenan (MyVAC) ini diadakan bertujuan untuk memupuk kesedaran keselamatan Sistem Kawalan Industri di kalangan penggiat industri keseluruhannya serta mempromosi perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia.

Seramai 13 peserta dari 5 agensi menyertai latihan ini. Peserta didedahkan dengan ilmu teori tentang keselamatan sistem kawalan industri dan ilmu praktikal tentang serangan siber yang boleh menjejaskan sistem kawalan industri.

Melalui penganjuran program latihan ini, CyberSecurity Malaysia berjaya memberi pandangan yang luas kepada peserta tentang kepentingan Keselamatan Sistem Kawalan Industri serta menyahut seruan kerajaan bagi meningkatkan inisiatif masyarakat berpengetahuan tinggi terutamanya dalam bidang Keselamatan Sistem Industri.

Kursus “Information And Communication Technology (ICT) Risks, Including Cyber Risks In Banks”, Hanoi, Vietnam

 

Pada 29 hingga 30 Ogos 2019 CyberSecurity Malaysia telah menghadiri kursus “Information and Communication Technology (ICT) Risks, including Cyber Risks in Banks” bertempat di Hanoi, Vietnam.

Kursus anjuran The South East Asian Central Banks (SEACEN) Research and Training Centre merupakan satu platform yang menghimpunkan 50 peserta dari organisasi CSIRT, CERT, Bank Pusat di pelbagai negara rantau Asia. Ia bertujuan untuk memberi latihan kemahiran dalam bidang Teknologi Komunikasi Maklumat dengan penumpuan diberikan kepada Keselamatan Siber di sektor perbankan.

Sharifah Roziah Mohd Kassim, Pegurusa Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malasyia (MyCERT) telah mewakili CyberSecurity Malaysia dalam kursus ini. Beliau telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Security for Financial Sector: Malaysia Experience”

Melalui penyertaan ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat mengukuhkan reputasi sebagai agensi pakar rujukan keselamatan siber peringkat antarabangsa.

Bengkel Pemurnian Garis Panduan Keselamatan Sistem Kawalan Perindustrian (ICS) Kali Ke- 2, Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya

 

Pada 29 Ogos 2019 CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Bengkel Pemurnian Garis Panduan Keselamatan Sistem Kawalan Perindustrian (ICS) Kali Ke-2, bertempat Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya.

Bengkel anjuran Jabatan Pusat Pengujian Kerentenan (MyVAC) ini diadakan bagi menyediakan garis panduan yang boleh disosialisasikan kepada pemain industri di Malaysia.

Seramai 13 peserta dari 6 agensi telah menghadiri kursus ini. Sepanjang kursus, pihak pakar yang dilantik (SME) telah membuat pembentangan deraf garis panduan keselamatan Keselamatan Sistem Kawalan Perindu. Selain itu, turut diadakan ialah sesi perbincangan bagi mengumpul maklum balas, komen dan cadangan dari ahli panel yang dijemput.

Melalui penganjuran kursus ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat mengumpul maklum balas berkenaan pelaksanaan budaya kerja dalam kalangan pemain industri dan secara tidak langsung dapat menganalisa kepentingan Keselamatan Sistem Kawalan Perindustrian. Selain itu, ahli akademia juga dapat sama-sama membantu memperkenalkan budaya dan kesedaran tentang elemen Keselamatan Sistem Kawalan Perindustrian kepada para pelajar yang akan memasuki industri kelak.