PROGRAM ‘TEMU MINDA’ DI TV1 SEMPENA HARI KESELAMATAN INTERNET (SID) 2021
3 Februari 2021
Pada 3 Februari 2021, program ‘Temu Minda’ TV1, RTM telah membawa tajuk ‘Ancaman Siber – Adakah Malaysia Bersedia?’. Tajuk ini dipilih sempena sambutan Hari Keselamatan Internet atau Safer Internet Day (SID) 2021 yang disambut secara global pada 9 Februari 2021.
Program ‘Temu Minda’ yang dihoskan oleh YB Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah ini telah membawa dua tetamu jemputan iaitu Dr. Kavitha Muthy, Ketua Pegawai Strategi, Intellize Tech Services dan Philip Ling, Ketua Bahagian Kelestarian, Digi Telecommunications bagi berbincang dan mengupas isu berkaitan ancaman siber.
Selain itu, terdapat juga penampilan khas oleh Branden Carl Murray, murid tingkatan 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, Kuantan, Pahang yang juga Pembentang Terbaik Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan 2019 serta Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia.
Pada program tersebut, ahli-ahli panel telah membincangkan isu berkaitan ancaman siber seperti penggodaman media sosial dan data peribadi serta mengupas pelbagai inisiatif dan langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak berkepentingan.
Program selama 30 minit ini turut disiarkan menerusi laman Facebook live KKMM, saluran TV1 serta Bernama TV.
BICARA ETIKA SIBER: “TERLAJAK PERAHU BOLEH DIUNDUR, TERLAJAK POSTING'….. KAWALAN KENDIRI JADI PEGANGAN”
27 Februari 2021
Pada 27 Februari 2021, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan webinar Bicara Etika Siber bertajuk “Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Posting”… Kawalan Kendiri Jadi Pegangan’ menerusi platform YouTube Live CyberSecurity Malaysia.
Webinar dalam talian ini dianjurkan bagi mempromosikan mesej-mesej keselamatan siber di samping memeriahkan lagi sambutan Hari Keselamatan Siber 2021 Edisi Malaysia.
Lt Kol Mustaffa bin Ahmad (Bersara) Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach & Pembangunan Kapasiti mewakili CyberSecurity Malaysia sebagai moderator forum tersebut. Antara ahli panel yang terlibat adalah Puan Maznah binti Abu Bakar, Pengarah Bahagian Sumber Teknologi dan Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia; Prof Madya Dr. Suzaily Wahab, Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) UKM; Encik Sirajuddin Jalil, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia serta Datin PH Wong, Pengarah Projek Yayasan Childline.
Penganjuran webinar ini telah dapat meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan keselamatan siber dan juga memberi pendedahan kepada masyarakat tentang peranan CyberSecurity Malaysia serta agensi-agensi lain yang terlibat dalam mengawal selia keselamatan siber di Malaysia.