ISU 32 | SUKU 1 - 2021
Mac 2021
MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DI ANTARA CYBERSECURITY MALAYSIA DAN AGENSI KAUNSELING & PENGURUSAN KREDIT (AKPK), CYBERJAYA
2 Mac 2021
Pada 2 Mac 2021, CyberSecurity Malaysia dan Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU). Majlis diadakan secara dalam talian.
Kerjasama yang dijalinkan ini merangkumi inisiatif berkaitan membina kesedaran mengenai kepentingan keselamatan siber dan ancaman serangan siber kepada organisasi.
CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ts. Dr. Haji Amiruddin Abdul Wahab FASc manakala wakil dari Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Azaddin Ngah Tasir.
MoU yang dimeterai ini akan mewujudkan satu kerangka kerja umum dalam usaha memberikan latihan, nasihat ancaman siber, perundingan dan perkhidmatan lain untuk memperkuat kemampuan keselamatan siber AKPK.
LAWATAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MALAYSIA DIGITAL ECONOMY CORPORATION (MDEC) KE CYBERSECURITY MALAYSIA
5 Mac 2021
Pada 5 Mac 2021, CyberSecurity Malaysia telah menerima kunjungan dari Malaysia Digital Economic Corporation (MDEC) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Surina Shukri diiringi oleh Encik Raymond Siva, Ketua Pegawai Pemasaran Malaysia Digital Economic Corporation (MDEC).
Kunjungan rasmi ini bertujuan bagi menerangkan peranan yang dimainkan oleh CyberSecurity Malaysia serta memberi gambaran tentang pelaksanaan program dan aktiviti yang dijalankan oleh CyberSecurity Malaysia dalam usaha menjaga keselamatan siber di Malaysia.
Ketibaan delegasi ini telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc yang menzahirkan rasa besar hati dengan kunjungan yang telah diadakan.
Kunjungan Malaysia Digital Economic Corporation (MDEC) ke CyberSecurity Malaysia ini telah berjaya mengukuhkan lagi kerjasama dua hala yang dapat membantu dalam meningkatkan kualiti keselamatan siber di negara ini pada masa hadapan.
MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERJANJIAN DI ANTARA CYBERSECURITY MALAYSIA DAN UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMK), CYBERJAYA
21 Mac 2021
Pada 21 Mac 2021 telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian di antara CyberSecurity Malaysia dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Memorandum ini merupakan sebuah titik permulaan kepada ikatan kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berupaya memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya dalam proses pengawalan bidang keselamatan siber di kalangan pelajar universiti.
Majlis berlangsung secara maya dan disempurnakan oleh Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia dan Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu.
Memorandum perjanjian yang dimeterai merangkumi pengujian dan penyelidikan keselamatan siber dalam bidang keselamatan awan serta maritim negara.
Pada majlis tersebut, turut berlangsung ialah sesi penyerahan cek cura Projek Kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dan UMT bernilai RM250,000.00.
Dengan wujudnya jalinan kerjasama ini, model rangka kerja baharu mengenai penilaian kerentanan dan pengujian penembusan untuk perkhidmatan pengkomputeran awan baharu dapat dihasilkan untuk diguna dan dirujuk oleh mana-mana organisasi yang relevan sebagai panduan yang lebih berkesan.
Selain itu, kursus serta latihan dalam talian juga dapat diwujudkan bagi mengadaptasi augmentasi realiti dalam bidang pengkomputeran awan selain menggalakan penggunaan persekitaran awan yang selamat dalam pembangunan aplikasi telefon mudah alih dan laman web.
MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM KERJASAMA DI ANTARA CYBERSECURITY MALAYSIA (CSM) DAN MANAGEMENT & SCIENCE UNIVERSITY (MSU), CYBERJAYA
22 Mac 2021
Pada 22 Mac 2021, CyberSecurity Malaysia dan Management & Science University (MSU) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU). Majlis berlangsung di Menara Cyber Axis, Cyberjaya.
Memorandum yang ditandatangani merupakan permulaan bagi satu jalinan kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dan MSU dalam bidang keselamatan siber. Ia juga menjadi platform bagi menerangkan fungsi serta peranan CyberSecurity Malaysia dengan lebih mendalam menerusi aktiviti seperti sesi lawatan ke fasiliti dan makmal.
Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abd Wahab FASc, Ketua Pegawai Eksekutif mewakili CyberSecurity Malaysia manakala Management & Science University oleh Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Abd Yajid, Presiden MSU bersama tujuh delegasi MSU yang lain.
Pelaksanaan program ini bukan sahaja memanfaatkan kedua-dua pihak malah ianya turut membantu ke arah mempertingkatkan kemahiran dan modal insan kepada negara dari segi pengetahuan, kemahiran dan perkongsian pengalaman dalam bidang keselamatan siber.
MAJLIS PELANCARAN SIBERKASA, CYBERJAYA
23 Mac 2021
Pada 23 Mac 2021, CyberSecurity Malaysia telah melancarkan program Pemerkasaan Keselamatan Siber atau ringkasnya SiberKASA. Majlis berlangsung di Dewan Menara Cyber Axis, Cyberjaya.
SiberKASA merupakan inisiatif CyberSecurity Malaysia untuk membangun, memperkasa, melestari dan mengukuhkan prasarana serta ekosistem keselamatan siber di Malaysia. Ia menjadi satu manifestasi untuk menangani ancaman dan serangan siber yang semakin kompleks dan sofistikated.
Program ini juga diperkenalkan bagi memastikan kelangsungan perkembangan bidang keselamatan siber serta penawaran produk dan perkhidmatan CyberSecurity Malaysia kepada pengguna Internet di pelbagai sektor, industri dan juga individu. Melalui program ini, penawaran produk dan perkhidmatan keselamatan siber kepada semua pihak dapat diteruskan walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19.
SiberKASA memperkenalkan tiga komponen sebagai pendekatan holistik pengukuhan keselamatan siber. Komponen tersebut melibatkan Manusia, Proses dan Teknologi yang dijadikan asas bagi pembentukan dasar, perancangan strategik serta pembangunan kerangka sistem keselamatan siber di sesebuah organisasi.
Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Bin Abdullah Malaysia. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohammad Bin Mentek; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Bin Mohamed (Bersara) serta Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Bin Abdul Wahab FASc.Pada majlis tersebut, tujuh produk dan perkhidmatan CyberSecurity Malaysia telah dilancarkan di bawah komponen Manusia, Proses dan Teknologi antaranya, CyberSAFE L.I.V.E Galeri, Program Peningkatan Kemahiran Pensijilan Global ACE atau Global Accredited Cybersecurity Education Certification's Upskilling Programme, 7 Garis Panduan Industri Keselamatan Siber, CamMuka 2.0, xForensik yang terdiri dari PenDua dan Kloner, MASSA (Mobile Assessment Security Scanning Application) serta CMERP ADF (Coordinated Malware Eradication & Remediation Project Advanced DNS Firewall).
PROGRAM KOLABORASI KESELAMATAN SIBER (CCP) - “DIALOG KESELAMATAN SIBER BERSAMA INDUSTRI”, CYBERJAYA
23 Mac 2021
Pada 23 Mac 2021, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan “Dialog Keselamatan Siber Bersama Industri” bertempat di Dewan Menara Cyber Axis, Cyberjaya.
Sesi dialog ini merupakan salah satu inistiaf di bawah CyberSecurity Malaysia Collaboration Program (CCP) bagi membincangkan isu-isu semasa mengenai ancaman keselamatan siber terutama di era norma baharu ini.
Perasmian dialog telah disempurnakan oleh Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia. Seramai lebih 70 wakil industri hadir pada program ini.
Penganjuran program ini telah berjaya menjadi medium dalam usaha memperkukuhkan kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dan rakan-rakan industri yang mampu memberi manfaat dan kelebihan kepada pembangunan serta pertumbuhan industri keselamatan siber negara di masa hadapan.
MAJLIS PERASMIAN CYBERSAFE L.I.V.E GALERI, CYBERJAYA
23 Mac 2021
Pada 23 Mac 2021 telah berlangsung Majlis Perasmian CyberSAFETM L.I.V.E. Galeri bertempat di Menara Cyber Axis, Cyberjaya.
CyberSAFETM L.I.V.E. Galeri dibangunkan oleh CyberSecurity Malaysia di bawah Program CyberSAFETM sebagai hab pembelajaran dan pengajaran serta penyebaran maklumat mengenai keselamatan siber di Malaysia.
Maklumat yang terdapat di galeri ini akan dapat memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan siber, selain mengenali dengan lebih dekat komponen Manusia, Proses dan Teknologi yang merupakan komponen asas dalam menjaga keselamatan siber serta memahami fungsi dan peranan CyberSecurity Malaysia dalam memperkukuhkan prasarana keselamatan siber di Malaysia.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Bin Abdullah Malaysia. Turut hadir ialah Dato’ Seri Haji Mohammad Bin Mentek, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Pengerusi CyberSecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara) serta Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc.
CyberSAFETM L.I.V.E. Galeri telah mendapat pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records sebagai “The First Cyber Security Gallery in Malaysia”. Selain itu, Galeri ini juga diterima oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai pusat kegiatan dan aktiviti ko-kurikulum bagi murid-murid sekolah rendah dan menengah di bawah KPM khususnya bagi program-program berkaitan kesedaran keselamatan siber.
MAJLIS MENANDANTANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DI ANTARA CYBERSECURITY MALAYSIA, CELCOM AXIATA DAN HUAWEI MALAYSIA, CYBERJAYA
30 Mac 2021
Pada 30 Mac 2021 telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara CyberSecurity Malaysia, Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia). Majlis berlangsung di Dewan Menara Cyber Axis, Cyberjaya bagi tujuan memahami, mempelajari, mengurus, menangani dan mengurangkan ancaman siber berkaitan dengan keselamatan 5G.
Pada majlis tersebut, CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc; Celcom Axiata Berhad oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Idham Nawawi dan Huawei Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Michael Yuan.
Melalui MoU ini, Makmal Pengujian Keselamatan Siber 5G akan ditubuhkan bagi mencapai objektif kolaborasi yang ditetapkan seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia YB Dato' Saifuddin Abdullah pada forum “Connected for Shared Prosperity” anjuran Huawei sempena Mobile World Congress 2021 pada bulan Februari 2021 di Shanghai, China.
Makmal yang bakal dibangunkan di CyberSecurity Malaysia ini akan menjadi makmal keselamatan siber 5G yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara. Inisiatif pembangunan keselamatan siber 5G juga sejajar dengan pengumuman Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia atau MyDIGITAL oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana 5G dijangka akan dilancarkan pada akhir tahun ini.
Dengan termeterainya MoU ini, ketiga-tiga pihak akan memainkan peranan berdasarkan bidang kepakaran masing-masing. CyberSecurity Malaysia akan melaksanakan pengujian ke atas kes-kes berkaitan dengan Internet of Things (IoT) dan keselamatan telekomunikasi bagi meningkatkan kesediaan negara untuk bertindak balas terhadap serangan siber berkaitan dengan 5G.
KURSUS LATIHAN ‘CYBER SECURITY ESSENTIAL’
31 Mac 2021
Pada 31 Mac 2021, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan sebuah Kursus Latihan secara maya yang bertajuk ‘Cyber Security Essential’ melalui aplikasi Zoom.
Kursus ini berfungsi sebagai medium dalam memberi penerangan yang lebih jelas tentang kewujudan ancaman siber masa kini serta langkah yang boleh diambil dalam mewujudkan ruang siber yang lebih selamat.
CyberSecurity telah diwakili oleh Ts. Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi, CyberSecurity Malaysia, Lt Kol Mustaffa Bin Ahmad (Bersara) C|CISO, Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach dan Pembangunan Kapasiti, CyberSecurity Malaysia sebagai pelatih kursus yang telah disertai oleh 40 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Kedah Industrial Skills and Management Development Center (KISMEC).
Melalui penganjuran kursus ini, CyberSecurity Malaysia dapat memberi pendedahan yang lebih menyeluruh dan mendalam tentang kepentingan meningkatkan penjagaan keselamatan siber kepada masyarakat.





























