Mesej dari CEO

 
 

Assalamualaikum WBT and Salam Sejahtera.

Bertemu kembali pada penerbitan CyberNEWS bagi suku pertama tahun 2021.

Umum mengetahui bahawa negara berhadapan dengan krisis apabila pandemik COVID-19 melanda pada awal tahun 2020. Penularan wabak tersebut telah mengubah pola kehidupan masyarakat dunia termasuk Malaysia, di mana amalan, gaya hidup serta pembudayaan normal baharu telah menjadi garis asas dalam urusan seharian.

Dalam tempoh tersebut, kita menyaksikan peningkatan penggunaan teknologi dan internet yang begitu ketara disebabkan oleh sekatan pergerakan serta keberadaan masyarakat di rumah . Situasi ini telah menjadikan keselamatan siber sebagai satu bidang utama yang diberi perhatian oleh pelbagai pihak. Malah, ianya juga memberi kelebihan kepada CyberSecurity Malaysia untuk melonjakkan namanya sebagai agensi pakar dan penyedia perkhidmatan bantuan teknikal selain memperkenalkan produk-produk keselamatan siber kepada masyarakat Malaysia. Situasi ini juga tidak mengugat atau menyekat usaha CyberSecurity Malaysia dalam memastikan kelangsungan perkembangan bidang keselamatan siber negara.

Meneruskan kecemerlangan pada tahun 2020, CyberSecurity Malaysia telah mara secara progresif mengalas mandat dan amanah menerusi pelaksanaan pelbagai program di peringkat nasional dan serantau. Penganjuran dan penglibatan di dalam program serta acara dilakukan bagi memastikan industri keselamatan siber negara kekal berada di tahap optimum serta mampu membantu negara menghadapi ancaman dan serangan siber yang semakin dinamik dan sofistikated.

Pada suku pertama 2021, CyberSecurity Malaysia telah bergiat secara aktif walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19. Antara program yang dilaksanakan ialah Bengkel CyberSAFE™ in School bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), menyertai Persidangan Antarabangsa Bhurban kali ke-18 secara atas talian, meneraju sambutan Hari Keselamatan Internet atau Safer Internet Day (SID) 2021 dalam suasana normal baharu dengan membawa tema ‘Etika Siber’ serta pelancaran Program SiberKASA sebagai inisiatif dalam usaha membangun dan memperkasa aspek-aspek keselamatan siber di Malaysia.

Selain itu, beberapa siri webinar seperti ‘Bicara Etika Siber’ turut diadakan secara dalam talian bagi mempromosi inisiatif kesedaran keselamatan siber. CyberSecurity Malaysia juga tampil pada beberapa program media seperti ‘Temu Minda’ di TV1 RTM yang dihoskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah sempena sambutan Hari Keselamatan Internet atau Safer Internet Day (SID) 2021 dengan membawa tajuk ‘Ancaman Siber – Adakah Malaysia Bersedia?’.

Dialog Keselamatan Siber Bersama Industri di bawah Program CyberSecurity Malaysia Collaboration Program (CCP) serta perasmian CyberSAFETM L.I.V.E Galeri yang merupakan galeri keselamatan siber pertama di Malaysia juga diadakan pada suku pertama 2021.

Beberapa jalinan kerjasama turut dimeterai CyberSecurity Malaysia dengan pelbagai pihak bagi mengukuhkan prasarana keselamatan siber di Malaysia. Antara MoU yang disempurnakan adalah bersama Agensi Kredit dan Pengurusan Kredit (AKPK), Management & Science University (MSU), Universiti Malaysia Terengganu (UMK) serta memorandum persefahaman mengenai penubuhan makmal pengujian 5G bersama Celcom Axiata Berhad dan Huawei Malaysia.

Dalam suasana pandemik COVID-19 masih melanda negara, kami ingin menggesa rakyat untuk terus mengamalkan pembudayaan dan amalan normal baharu serta mengekalkan penggunaan teknologi dan internet secara positif, beretika dan bertanggungjawab.

Tahap kebergantungan masyarakat kepada teknologi dan internet yang tinggi akan membuka peluang kepada penjenayah siber untuk melaksanakan modus operandi mereka. Lantaran itu, masyarakat perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa jenayah siber. Setiap individu bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjadi agen terpenting negara membanteras ancaman dan jenayah siber.

Semoga perkongsian CyberNEWS kali ini akan memberi ilmu dan maklumat yang bermanfaat kepada semua. Saya dan seluruh warga CyberSecurity Malaysia akan terus komited dan proaktif dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik demi memperkukuhkan prasarana keselamatan siber negara.

Kami sentiasa berharap segala ilmu berkaitan keselamatan siber yang diperoleh dapat disebarkan secara meluas kepada ahli keluarga dan rakan anda. Selamat membaca.

Terima kasih.

Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab
Ketua Pegawai Eksekutif

AKTIVITI SUKU PERTAMA

 
JAN

2021

FEB

2021

MAC

2021