|
Bertemu sekali lagi pada penerbitan CyberNEWS untuk suku kedua tahun 2017. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidil Fitri" kepada semua pembaca bulletin ini.
Kini kita berada di suku kedua dan semestinya pelbagai program serta inisiatif yang dirancang pada awalnya telah pun dilaksanakan sepanjang setengah tahun pertama 2017.
Dalam hal itu, CyberSecurity Malaysia terus mengorak langkah dalam melestari bidang keselamatan siber sama ada melalui penyertaan dan penglibatan di peringkat tempatan mahupun di arena antarabangsa. Pelbagai program berbentuk seminar dan persidangan, kursus latihan serta bengkal bagi meningkatkan kemahiran dan tenaga mahir, aktiviti memupuk kesedaran dan pembudayaan keselamatan siber telah berjaya diadakan.
Demikian juga dengan pencapaian dan kejayaan, di mana CyberSecurity Malaysia telah memenangi World Summit on the Information Society (WSIS) Prize 2017, satu pertandingan anjuran International Telecommunication Union (ITU) di bawah katergori Kerjasama Antarabangsa. Kejayaan tersebut dirangkul melalui kertas projek bertajuk "Collaborative Information Sharing Model for Malware Threat Analysis: A Case Study for the Organisation of the Islamic Cooperation – Computer Emergency Response Team". Kejayaan tersebut telah mengukuhkan nama negara di persada antarabangsa dalam bidang keselamatan siber.
Kejayaan tersebut juga sejajar dengan pengumuman ITU melalui penerbitan Indeks Keselamatan Siber Global 2017 (Global Cyber Security Index), di mana Malaysia telah disenaraikan pada kedudukan ketiga di antara 10 negara teratas sebagai peneraju bidang keselamatan siber di dunia. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi negara dan khususnya bagi CyberSecurity Malaysia. Kejayaan Malaysia adalah hasil dari kolaborasi dan kerjasama padu antara Agensi dalam bidang keselamatan siber.
Sebagai salah sebuah agensi yang turut menyumbang kepada kejayaan ini, CyberSecurity Malaysia akan meneruskan pembangunan industri keselamatan siber di Malaysia. Kami beriltizam untuk melaksanakan langkah proaktif serta responsif dalam merealisasi hasrat Kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam persekitaran digital ekonomi yang kukuh. Sudah pasti usaha akan digembeling dengan lebih strategik dalam memperkukuhkan kedudukan CyberSecurity Malaysia di dalam mahu pun luar negara.
Melalui penerbitan berkala ini, diharapkan anda akan mendapat banyak informasi yang mengenai inisiatif serta penglibatan aktif CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber. Yang pasti, pelbagai program serta inisiatif baharu akan dilaksanakan pada masa akan datang. Justeru, teruskan sokongan anda serta nantikan penerbitan CyberNEWS bagi pelaporan aktiviti dan program baharu di pernerbitan akan datang.
Terima kasih.
Dato' Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab
Ketua Pegawai Eksekutif |
|
|
|
|
|
|
|