Minggu Sains Negara 2108, Kuala Lumpur

 

Pada 1 hingga 7 April 2018, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian dalam program Minggu Sains Negara Peringkat Kebangsaan di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Minggu Sains Negara dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berdasarkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan menyusun semula pelaksanaan program dan aktiviti sains, teknologi dan inovasi (STI) yang sedia ada di setiap Kementerian dan Jabatan Kerajaan. Antara tujuan pelaksanaan Minggu Sains Negara adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi Pembangunan Modal Insan, mengiktiraf sumbangan saintis, ahli akademik, individu dalam mempromosi sains serta membudayakan STI dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. Antara pengisian program ialah bengkel interaktif, bengkel drone, robotik dan roket air, permainan Jom Inovasi seperti Interactive Innovation Puzzle, Crime Scene Investigation (CSI), Idola Kaji Cuaca, pencerapan matahari, tayangan percuma mini planetarium, demonstrasi Science Busking serta pelbagai aktiviti di setiap booth pameran.

Melalui program ini, CyberSecurity Malaysia dapat mempromosi perkhidmatan yang ditawarkan serta memberi kesedaran kepada para pengunjung mengenai kepentingan keselamatan siber.

Program “Sharing Our Journey” (SOJ) King Edward VII School, Taiping, Perak Darul Ridzuan

 

CyberSecurity Malaysia telah dijemput oleh Alumni Old Edward (OE) Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII bagi mengadakan program CyberSAFE Talk dan CyberSAFE Quest sempena Program “Sharing Our Journey 6 2018” (SOJ6). Program diadakan di SMK King Edward VII, Taiping, Perak pada 2 April 2018.

Program tahunan yang berkonsep “Sireh Pulang Ke Ganggang” menampilkan alumni SMK King Edward VII berkongsi pengalaman mereka bersama murid-murid di sekolah tersebut melalui platfom “Career Talk”.

Pada program ini, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan aktiviti berunsur Explorace iaitu, CyberSAFE Quest bagi memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah mengenai keselamatan siber. Manakala CyberSAFE Talk pula menyampaikan maklumat mengenai ancaman siber masa kini, panduan serta nasihat mengenai penggunaan Internet secara berhemah kepada murid sekolah tersebut. Di samping itu, murid turut didedahkan dengan peluang kerjaya dalam bidang ICT dan juga keselamatan siber.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh ialah bekas murid SMK King Edward VII iaitu, Lt Kol Mustaffa Ahmad C/CISO (Bersara), Naib Presiden Kanan Outreach dan Pembangunan Kapasiti dan Mohamed Anwer Mohamed Yusoff, Ketua Jabatan Perhubungan Industri dan Kerjasama Keselamatan Siber.

Penyertaan pada program ini telah membolehkan kesedaran Keselamatan siber diterap kepada murid-murid sekolah khususnya mengenai kepentingan menjaga keselamatan ketika berada di alam siber. Ia turut mendidik mereka menjadi celik IT serta warga digital yang bertanggungjawab selain mewujudkan golongan remaja yang peka terhadap isu dan perkembangan dunia digital.

Bengkel Semakan Semula Dasar Keselamatan Siber Negara (National Cyber Security Policy - NCSP) Dan Pembangunan Strategi Keselamatan Siber Negara (Malaysia Cyber Security Strategy - MCSS), Bangi, Selangor

 

CyberSecurity Malaysia telah terlibat pada bengkel semakan semula Dasar Keselamatan Siber Negara (NCSP) dan Pembangunan Strategi Keselamatan Siber Negara (Malaysia Cyber Security Strategy - MCSS) anjuran Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada 3 hingga 5 April 2018 di Bangi, Selangor.

Bengkel ini diadakan bagi mengukuh prasarana keselamatan siber negara dengan mendapatkan pandangan, mengumpul maklum balas serta menganalisa maklumat daripada pelbagai kementerian dan agensi-agensi berkaitan khususnya agensi yang berkepentingan (stakeholders). Ianya bertujuan mengemaskini NCSP dan menghasilkan rangka kerja pembangunan MCSS berdasarkan kepakaran serta pengalaman agensi dalam bidang masing-masing.

Perbincangan turut mengenalpasti kelompangan dasar sedia ada dan perkara-perkara yang wajar diberi perhatian untuk penambahbaikan. Selain itu, aspek-aspek ancaman keselamatan siber yang merangkumi jenayah siber, kebocoran maklumat, serangan siber kepada sistem kritikal negara, penipuan dalam talian dan kandungan Internet yang menyalahi undang-undang negara juga dibincangkan.

Bengkel tiga hari ini telah disertai oleh 198 pegawai dari 57 agensi awam dan swasta termasuk pelbagai Kementerian di Malaysia.

Dasar Keselamatan Siber Negara yang dilancarkan pada tahun 2006 kini memerlukan semakan semula bagi menyokong skop di bawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (Critical National Information Infrastructure - CNII). Satu strategi baru perlu bagi merangka dasar yang menyeluruh dan berkesan dalam bidang keselamatan siber serta memperluaskan skop yang akan dipantau.

Kursus Pengujian Penembusan Pembaca Kad Pintar, Granada, Sepanyol

 

Pada 9 hingga 13 April 2018, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri kursus Pengujian Penembusan Pembaca Kad Pintar bagi menguji tahap keselamatan sesuatu pembaca kad pintar. Kursus anjuran JTEC Beyond IT Security Sepanyol ini telah diadakan di ibu pejabat JTSEC bertempat di Granada, Sepanyol.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada program latihan ini penting untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran CyberSecurity Malaysia dalam menawarkan perkhidmatan ujian penembusan melibatkan kad pintar. Selain itu, latihan ini juga perlu bagi memenuhi permintaan projek pengujian “Common Criteria” (CC) dan “ICT Product Security Assessment” (IPSA).

Kursus ini telah dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Fasiliti Pengujian Keselamatan Malaysia (MySEF), iaitu Noraziah Anini Mohd Rashid, Nur Iylia Roslan, Nurul Izratul Imrah Zolkafle dan Norzarina Zamri. Dengan menyertai program latihan ini, kepakaran dan kemahiran dalam pengujian kad pintar dapat dihasilkan selain menjalinkan kerjasama dengan makmal JTSEC Sepanyol.

“STI Island Hopping” Minggu Sains Negara 2108 Peringkat Negeri Terengganu

 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai program STI Island Hopping sempena Minggu Sains Negara 2108 Peringkat Negeri Terengganu pada 10 hingga 12 April 2018.

Program Minggu Sains Negara 2018 peringkat negeri Terengganu dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu serta rakan strategik Yayasan Angkasawan Malaysia. Bertemakan “Sea to Space – Polar to Polar”, penjelajahan ini meliputi dua buah pulau terkemuka di Terengganu iaitu Pulau Perhentian dan Pulau Redang dan diadakan di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian dan Sekolah Kebangsaan Pulau Redang.

Antara pengisian program ialah Ceramah Keselamatan Siber, Bengkel dan Aktiviti Sains, Cerapan Langit, Mini Pameran Sains, Pop Kuiz, Tayangan Video Sains dan Perkongsian Aspirasi TN50.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada program ini telah membolehkan usaha penyebaran kesedaran mengenai keselamatan siber khususnya kepada murid-murid sekolah dan komuniti setempat dapat dilaksanakan.

Malaysia’s Bully Zero Symposium, Kuala Lumpur

 

CyberSecurity Malaysia telah menerima jemputan menjadi panelis pada Malaysia’s Bully Zero Symposium yang berlangsung pada 12 April 2018 di Kuala Lumpur.

Simposium bertemakan “Keeping The Soil Healthy In The Educational Institutions-It Starts From You-“ menjadi platform para panelis berpengalaman serta pakar bidang psikologi dan pendidikan berbincang dan berkongsi pengalaman serta maklumat dalam usaha menangani ancaman buli siber terutamanya melalui Institusi-insitusi pendidikan di Malaysia.

Seramai 150 orang peserta terdiri dari ibu bapa, pendidik, penyelidik, remaja dan juga mangsa buli siber hadir pada symposium ini. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Lt Kol Mustaffa Ahmad C/CISO (Bersara), Naib Presiden Kanan Outreach dan Pembangunan Kapasiti telah menjadi panelis pada sesi bertajuk “New Bullying Technology:The Internet and Smart Phones”, di mana beliau telah membuat pembentangan mengenai impak media sosial terhadap masalah buli siber.

Penyertaan pada simposium ini telah dapat mengukuhkan lagi kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai peneraju bidang keselamatan siber di Malaysia.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara CyberSecurity Malaysia dan Group IB, Seri Kembangan

 

Pada 13 April 2018 telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara CyberSecurity Malaysia dan Group IB. MoU ini merupakan salah satu kolaborasi CyberSecurity Malaysia dalam menjalin kerjasama strategik bersama syarikat pakar global di dalam bidang keselamatan siber.

Group IB yang berpangkalan di Russia merupakan sebuah syarikat yang berdedikasi dalam pertahanan dan penyiasatan jenayah siber berteknologi tinggi serta penipuan dalam talian (online fraud). Syarikat ini juga aktif dalam membangunkan solusi perisian dan perkakasan untuk pertahanan siber yang proaktif berdasarkan data perisikan ancaman terkini.

Dokumen MoU telah ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia serta YBhg. Dato’ Redzuan Kushairi, Penasihat, Group IB dan disaksikan oleh YABhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia.

MoU yang ditandatangani tersebut merangkumi kerjasama dan perkongsian ilmu dalam tindak balas kecemasan komputer (CERT), penyiasatan jenayah siber serta kolaborasi melalui CyberSecurity Malaysia Collaborative Program (CCP), bidang latihan keselamatan siber dan juga pembangunan modul dalam bidang CERT.

Mesyuarat Tahunan World Trustmark Alliance (WTA) 2018, Shenzhen, China

 

Pada 15 hingga 18 April 2018 telah berlangsung Mesyuarat Tahunan World Trustmark Alliance (WTA) 2018 anjuran E-Business Better Service (EBS) China di Shenzhen, China.

Mesyuarat WTA ini diadakan bagi membincangkan isu berkaitan keahlian Trustmark, perkembangan terkini serta hala tuju dan juga perlantikan Pengerusi WTA yang baharu. Mesyuarat juga turut mencalonkan anggota kehormat sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar mereka kepada pembangunan WTA. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Hasnida Zainudin dan Adlil Ammal bin Mohd Kharul Apendi dari Badan Pensijilan Keselamatan Maklumat, CyberSecurity Malaysia.

Sebagai ahli WTA, CyberSecurity Malaysia terlibat secara aktif serta komited dalam pembangunan dan perkembangan WTA. Pelbagai informasi diperolehi dari penglibatan langsung ini dan ianya memberi pendekatan baharu merangka pelan pelaksanaan pensijilan Malaysia Trustmark bagi sektor awam dan swasta di Malaysia.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini telah dapat mengeratkan lagi jalinan kerjasama di antara Malaysia amnya dengan negara-negara keahlian pertubuhan World Trustmark Alliance.

FIRST Technical Colloquia & Symposia, Amsterdam Netherland

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri FIRST Kolokium & Simposium 2018 di Amsterdam, Netherland pada 16 hingga 18 April 2018. Program anjuran Pertubuhan FIRST ini merupakan platform perbincangan di antara perwakilan untuk berkongsi maklumat berkenaan isu kerentanan, insiden dan isu-isu operasi yang membabitkan tindak balas kecemasan dan kumpulan keselamatan.

Persidangan berlangsung selama tiga hari dan dihadiri oleh peserta dari 91 buah organisasi termasuk 31 ahli FIRST. Sebanyak 14 tajuk berkaitan dengan keselamatan siber dan komputer dibentangkan, antaranya berkaitan siasatan insiden ransomware, penggunaan peralatan yang lebih efektif bagi menangani serangan siber serta kajian kes.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Faiszatulnasro Binti Mohd Maksom dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT). Beliau telah membuat pembentangan bertajuk “Addressing The Evolving Challenges Of Phone Fraud: MYCERT Case Study”.

enyertaan pada persidangan ini telah mengukuhkan kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai peneraju bidang keselamatan siber di Malaysia. Selain itu, CyberSecurity Malaysia turut diiktiraf sebagai agensi peka dan bertindak secara proaktif dalam memberi kerjasama bagi memastikan keselamatan siber terjamin di peringkat antarabangsa.

Defense Service Asia Exhibition & Conference ke-17 Kuala Lumpur

 

Pada 16 hinga 19 April 2018 telah berlangsung Pameran dan Persidangan Defense Service Asia kali ke-17 di Kuala Lumpur.

Acara anjuran bersama DSA, Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia ini menjadi platform kepada para profesionalis dalam bidang pertahanan untuk berkumpul dan berkongsi ideologi berkenaan teknologi dan isu-isu semasa dalam bidang pertahanan. Ia juga menjadi medium untuk meluaskan jaringan perniaaan serta peluang berkolaborasi terutamanya kepada pemain industri pertahanan tempatan dan luar negara.

Dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pertahanan, DSA 2018 telah disertai oleh 1500 buah syarikat dari 60 buah negara seluruh dunia.

CyberSecurity Malaysia terlibat pada sesi pameran sewaktu program berlangsung, di mana peluang tersebut telah diambil untuk memperkenalkan fungsi serta peranan CyberSecurity Malaysia, di samping mengetengahkan perkhidmatan berkaitan Keselamatan siber.

RSA Conference 2018, San Francisco, Amerika Syarikat

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan RSA 2018 di San Francisco, Amerika Syarikat pada 16 hingga 20 April 2018. Persidangan tahunan anjuran RSA ini merupakan platfom bagi pembentangan pelbagai kertas kerja, kajian kes dan penyelidikan berkaitan keselamatan ICT oleh pakar-pakar global.

Selain itu, ia juga menjadi forum perkongsian maklumat mengenai ancaman keselamatan IT, insiden dan teknologi terbaharu bagi menangani ancaman keselamatan ICT serta isu-isu yang memberi kesan kepada operasi tindak balas insiden oleh pasukan keselamatan. Persidangan ini juga menyaksikan pembentangan mekanisma dan kaedah untuk menghalang sistem rangkaian dari dicerobohi oleh pihak luar melalui pengambilan langkah keselamatan yang terbaik.

Seramai 40,000 peserta hadir pada persidangan terbesar yang terdiri dari para professional serta pakar-pakar bidang keselamatan teknologi maklumat seluruh dunia.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Sharifah Roziah Mohd Kassim dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT). Beliau telah menjadi panelis dan membuat pembentangan kertas kerja pada Forum Panel bertajuk “Building Capacity in Global Incident Response.” Forum tersebut turut disertai oleh pakar dari US CERT, Thomas Millar dan Africa CERT, Jean-Robert Hountomey.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia sebagai panelis merupakan satu penngiktirafan antarabangsa ke atas kepakaran di bidang keselmatan ICT yang dilihat setaraf dengan pakar-pakar dari negara termaju seperti Amerika, Jepun, Korea dan negara Eropah lain.

OpenGov Manila Leadership Forum 2018, Manila, Filipina

 

CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk menyertai Forum OpenGov Manila Leadership 2018 yang berlangsung di Kota Manila, Filipina pada 18 hingga 20 April 2018.

Forum ini merupakan platfom perbincangan dan perkongsian maklumat berkaitan ICT antara Kerajaan yang memberi tumpuan kepada sektor awam di rantau Asia Pasifik. Ia dihadiri oleh lebih 130 peserta terdiri dari pelbagai agensi Kerajaan dan swasta di Filipina serta 19 perwakilan luar negara seperti Malaysia, Singapura, New Zealand, Australia dan Belanda.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Wan Zulhamli Wan Abdul Rahman, Ketua Jabatan Penyelidikan Strategi dan Khidmat Nasihat. Beliau telah dipilih untuk mengetuai forum Open Gamification Table (OGT) yang terdiri dari empat sesi. Beliau telah berkongsi pandangan menerusi sesi Pertahanan Siber: Meningkatkan Keselamatan Data, Rangkaian dan Perlindungan Infrastruktur Melalui Tadbir Urus Keselamatan. Di samping itu, beliau turut dijemput sebagai panelis dan memberi input, berbincang dan berkongsi pandangan mengenai Keselamatan Siber dan Privasi Data dalam Zaman Digital.

Penyertaan pada forum ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk berkongsi pandangan, pendapat dan membincangkan pendekatan strategik keselamatan siber ke arah negara yang lebih baik terutama di rantau Asian.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara CyberSecurity Malaysia dan BAE System, Kuala Lumpur

 

Pada 19 April 2018 telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara CyberSecurity Malaysia dan BAE System. Majlis diadakan sempena pameran Defense Services Asia 2018 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

MoU tersebut ditandatangani untuk jalinan kolaborasi bagi tempoh dua tahun berikutan dari kerjasama yang sedia terjalin di antara kedua-dua organisasi. Dengan termeterai perjanjian ini, ia menyediakan peluang kepada kedua-dua organisasi untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, perkongsian maklumat serta pembangunan keupayaan dalam pertahanan siber di Malaysia.

Majlis menandatangani perjanjian disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia dan Encik Barry Johnson, Country Manager, BAE Systems Applied Intelligence’s Malaysia dengan disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Paul Rennie, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia dan YABhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi bin Mohamad (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia.

Melalui MoU ini, ia telah mengeratkan lagi kerjasama dua hala di antara Malaysia dan United Kingdom dalam hal ehwal berkaitan pertahanan negara khususnya dalam bidang Keselamatan siber.

Persidangan 21st ARTC (Asian Refining Technology Conference), Kuala Lumpur

 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai Persidangan 21st ARTC (Asian Refining Technology Conference) di Kuala Lumpur pada 23 hingga 25 April 2018.

Persidangan anjuran World Refining Association ( WRA) ini merupakan platform bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai projek–projek dari sektor minyak dan gas. Kebanyakkan pembentang terdiri dari kalangan pegawai-pegawai kanan Petronas dan pakar–pakar industri, di mana mereka berkongsi maklumat strategik mengenai teknologi digital terkini.

Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi, CyberSecurity Malaysia telah mewakili CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini dan membuat pembentangan utama bertajuk “Cyber Security Risk Overview and Preparation Advice”.

englibatan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini memberi peluang untuk mengukuhkan lagi kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi yang meneraju bidang keselamatan siber di dalam Malaysia dan luar negara.

ASEAN Regional Forum 2018, Kuala Lumpur

 

CCyberSecurity Malaysia telah terlibat di dalam Forum Serantau ASEAN 2018 atau ASEAN Regional Forum (ARF) yang diadakan di Kuala Lumpur bermula dari 23 hingga 26 April 2018.

ARF merupakan forum utama bagi dialog konstruktif dan perundingan mengenai isu-isu politik dan keselamatan yang mempunyai kepentingan dan perhatian bersama di rantau Asia Pasifik. ARF telah berjaya mengumpul pelbagai peserta dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini berdasarkan konsultasi dan consensus.

Pada siding ARF ini, dua mesyuarat penting telah diadakan iaitu 2nd ARF Open Ended Study Group On Confidence Building Measures: To Reduce The Risk Of Conflict Stemming From The Use Of Information And Communication Technologies (ICT) dan 1st ASEAN Regional Forum Inter-Sessional Meeting On Security Of And In The Use Of Information And Communication Technologies (ARF ISM On ICTs Security). Kedua-dua mesyuarat ini telah membincangkan perkara berkaitan keselamatan ICT.

ARF 2018 dianjurkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NASCA) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan telah dihadiri oleh ke semua negara peserta ARF kecuali Bangladesh, Brunei Darussalam, Democratic People’s Republic of Korea, Mongolia, Myanmar and Papua New Guinea. Selain itu, wakil Sekretariat ASEAN juga turut hadir pada forum tersebut.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada forum ini telah memberi pendedahan dan satu pengalaman baharu kepada kakitangan yang teribat terutamanya dalam mengendalikan Kumpulan kerja dan Mesyuarat ARF.

Kursus 2018 APISC Security, Seoul, Korea Selatan

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri kursus 2018 APISC Security di Seoul, Korea Selantan pada 23 hingga 27 April 2018. Kursus anjuran KrCERT/CC, Korea Internet Security Agency (KISA) ini diadakan bagi mengetengahkan perkara berkaitan pengurusan organisasi, undang-undang, insiden siber, dan sebagainya dalam operasi CSIRT.

Hadir mewakili CyberSecurity Malaysia ialah Nur Qurratu ’Aini Binti Rohizan dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT).

Selain menimba ilmu pengetahuan baharu, kursus ini juga memberi peluang kepada wakil CyberSecurity Malaysia bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman dalam mengurus insiden siber bersama peserta negara lain.

Konvensyen Setiausaha dan Pembantu Pentadbiran 2018, Kuala Lumpur

 

CyberSecurity Malaysia telah dijemput sebagai panelis pada Konvensyen Setiausaha dan Pembantu Pentadbiran 2018 anjuran IRSHAD HR pada 24 April 2018 sempena Minggu Setiausaha 2018.

Antara objektif konvensyen ini adalah memberi pendedahan kepada para peserta mengenai cabaran profesion kesetiausahaan dan pentadbiran, di mana setiausaha perlu sentiasa melakukan refleksi diri ke arah melonjakkan prestasi kerja serta memperkenalkan teknik dan amalan terbaik dalam meningkatkan kecekapan kerja sejajar dengan transformasi digital kini.

Konvensyen selama dua hari telah dihadiri oleh seramai 150 peserta terdiri dari setiausaha di pelbagai organisasi. Terdapat tiga sesi iaitu Bicara, Perkongsian dan Interaktif. CyberSecurity Malaysia yang diwakili oleh Lt Kol Mustaffa Ahmad C/CISO (Bersara), Naib Presiden Kanan Outreach dan Pembangunan Kapasiti telah menjadi panelis pada sesi Pekongsian bertemakan “Cabaran Transformasi Digital untuk Setiausaha dan Kakitangan Pentadbiran”.

Konvensyen ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk memperkenalkan peranan serta fungsi agensi selain menekankan kepentingan keselamatan siber kepada organisasi di Malaysia.

Mesyuarat CC Development Board/CC Executive Subcommittee - Common Criteria Recognition Arrangement, Trondheim, Norway

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat CC Development Board/CC Executive Subcommittee - Common Criteria Recognition Arrangement di Trondheim, Norway dari 24 hingga 26 April 2018.

Mesyuarat tahunan anjuran Norway Common Criteria Scheme ini diadakan bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan ISO terkini, pengujian dan pensijilan keselamatan IT serta penambahbaikan hala tuju CCRA. Selain itu, ia turut membincangkan promosi kumpulan kerja teknikal fokus bagi membolehkan penubuhan collaboration protection profiles(cPPs) yang berguna, realistik serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sebanyak 28 buah negara ahli kepada CCRA bertaraf authorizing termasuk Malaysia hadir pada mesyuarat ini. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh I.D Safairis Bin Amat Noor dan Wan Shafiuddin Bin Zainudin dari Badan Pensijilan Keselamatan Maklumat.

Kehadiran negara bertaraf authorising seperti Malaysia pada setiap mesyuarat merupakan satu komitmen yang perlu dilaksanakan bagi mengetahui pendirian negara masing-masing di dalam penentuan halatuju CCRA. Mengikut urutan, Malaysia dijangka menjadi Pengerusi jawatankuasa Common Criteria Management Committee pada tahun 2019.

Career Fair & Internship Day Universiti Pertahanan Nasional Malaysia 2018, Kuala Lumpur

 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian pada program Career Fair and Internship anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bertempat di kampus Universiti berkenaan pada 25 April 2018.

Program kali ke-6 UPNM ini memberi tumpuan kepada penglibatan industri dalam menawarkan peluang kerjaya dan latihan industri kepada para pelajar UPNM. Selain itu ia juga turut mewujudkan kerjasama di antara UPNM dengan industri dan agensi kerajaan yang terlibat.

Penglibatan pada program ini telah membolehkan CyberSecurity Malaysia memperkenalkan bidang keselamatan siber sebagai bidang khusus dalam industri ICT yang boleh diceburi oleh bakal-bakal graduan UPNM. Selain itu, peluang turut diambil bagi mempromosi kepentingan keselamatan siber kepada pelajar UPNM.