• li> li>

Pusingan Kelayakan Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan – Piala Cabaran CyberSAFE (NICTSeD) 2018 dan Cabaran Keselamatan Siber Nasional (CAKNA) 2018

 

Pada tahun 2018, CyberSecurity Malaysia sekali lagi meneruskan penganjuran acara tahunan iaitu, Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan – Piala Cabaran CyberSAFE (NICTSeD) dan buat julung kalinya juga memperkenalkan satu pertandingan baharu iaitu Cabaran Keselamatan Siber Nasional (CAKNA) 2018.

Kedua-dua pertandingan ini merupakan program kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia. Tahun 2018 merupakan penganjuran NICTSeD edisi ke-enam manakala CAKNA merupakan penganjuran kali pertama.

Tujuan pertandingan ini diadakan adalah bagi memupuk serta menggalakkan pemikiran kreatif dan kritikal murid-murid sekolah menengah di seluruh Malaysia mengenai isu-isu semasa berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), keselamatan siber dan juga penggunaan Internet secara positif. Selain itu, ia turut menyemai keyakinan diri melalui pengucapan awam, kemahiran interpersonal dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Bagi pertandingan tahun ini, CyberSecurity Malaysia telah terlibat secara langsung di dalam proses pemilihan yang diadakan di beberapa buah negeri seluruh Malaysia, antaranya:-

    a. Johor – 6 hingga 8 Mei 2018
    b. Terengganu – 6 hingga 8 Mei 2018
    c. Kedah – 13 hingga 15 Mei 2018
    d. Pulau Pinang – 14 hingga 15 Mei 2018
    e. Kelantan – 12 hingga 14 Mei 2018

Ke semua keputusan hasil penjurian kelayakan sekolah-sekolah yang berjaya mewakili negeri diumumkan melalui laman Facebook CyberSAFE, CyberSecurity Malaysia dan juga portal BTP pada 25 Mei 2018.

Penganjuran NICTSeD dan CAKNA dilihat dapat meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan murid sekolah serta guru selain turut memperkenalkan CyberSecurity Malaysia serta Program CyberSAFE kepada murid-murid dan guru-guru di seluruh Malaysia.

Seminar Cloud Computing Forum 2018 Series 1: Setting the Public Sector Cloud Strategy in Today’s Digital Ecosystem, Putrajaya

 

Pada 15 Mei 2018 telah berlangsung seminar Cloud Computing Forum 2018 Siri Pertama bertajuk “Setting the Public Sector Cloud Strategy in Today’s Digital Ecosystem” di Putrajaya.

Seminar anjuran bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDeC) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran sektor awam mengenai penerapan teknologi pengkomputeran awan dan pelaksanaan dengan penggunaan ekosistem, operasi serta pengurusan data.

Pada seminar ini, pembentangan oleh Haji Mohd Shahar Bin Haji Salim dari Pusat Data Sektor Awam, MAMPU sebagai panel jemputan mengenai Pengkomputeran Awan berkenaan dengan penggunaan, cabaran dan strategi untuk Ekosistem Sektor Awam telah dapat meningkatkan kesedaran peserta yang hadir mengenai penggunaan pengkomputeran awan di sektor awam dengan sokongan yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Persidangan Cyber and Digital Security, Astana, Kazakhstan

 

Pada 23 hingga 26 Mei 2018, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Cyber and Digital Security Conference 2018 dan pada masa yang sama mengadakan siri lawatan kerja ke beberapa organisasi di Astana, Kazakhstan.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan yang diadakan sempena pameran V International Exhibition of Arms and Military-Technical (KADEX 2018) adalah hasil jemputan Menteri Pertahanan dan Ruang Angkasa Republik Kazakhtan, TYT B. Atamkulov.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab telah membuat pembentangan bertajuk “The Current Malaysia Cyber Security Landscape” pada persidangan selain dibawa melawat tapak pameran KADEX 2018.

Sewaktu di Kazakhtan, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan perbincangan bersama Timbalan Menteri Pertahanan dan Industri Ruang Angkasa Republik Kazakhstan, TYT Timur Shaymergenov; Pengarah Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Kazakhstan, En. Murat Aigozhiev; Pengarah Center for Analysis and Investigation of Cyber-Attacks (CAICA), En. Arman Abdrasilov; dan Pengarah Pembangunan dan Penyelidikan Kazakhstan Engineering, Puan Gulzan Auexa.

Tujuan perbincangan diadakan adalah untuk mengukuhkan kerjasama dalam pembangunan bidang keselamatan siber di kedua-dua Negara. Melalui kerjasama ini, CyberSecurity Malaysia akan dapat memperluaskan pasaran perkhidmatan di Kazakhtan, mengadakan pertukaran pengetahuan dalam bidang keselamatan siber, mendapatkan keahlian dan meningkatkan penglibatan Kazakhtan dalam Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer – Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC-CERT) serta meningkatkan kepakaran keselamatan siber serta melaksanakan projek antarabangsa bersama pihak Kazakhtan.

3rd International Conference on Information and Network Technologies (ICINT 2018) Osaka, Jepun

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan Antarabangsa Teknologi Maklumat dan Rangkaian (ICINT 2018) anjuran Journal of Advances in Computer Networks (JACN) di Osaka, Jepun.

Persidangan ini menjadi platfom kepada para saintis akademik, penyelidik dan sarjana penyelidikan berkumpul, bertukar dan berkongsi pengalaman serta hasil penyelidikan dalam aspek berkaitan maklumat rangkaian. Seramai 30 delegasi dari negara Jepun, Indonesia, Taiwan, Netherlands, Malaysia dan juga India hadir pada persidangan ini.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Farhan Arif Bin Mohamad dan Khairul Azri Bin Zainal Abidin dari Jabatan MyVAC. Satu kertas penyelidikan telah dibentangkan oleh CyberSecurity Malaysia bertajuk “Measuring Sensor to Cloud Energy Consumption”.

Penyertaan di persidangan ini telah membuka peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk menjalin rangkaian dengan komuniti penyelidikan dari pelbagai industri dan kerajaan melalui wakil negara yang hadir. Kertas penyelidikan yang dibentangkan pula akan diterbitkan pada penerbitan khas Journal of Advances in Computer Networks (JACN).

The Asian Banker - Future of Finance Summit 2018, Beijing, China

 

The Asian Banker – Future of Finance Summit 2018 telah berlangsung di Beijing, China pada 24 Mei 2018. Ia merupakan perhimpunan terbesar ketua-ketua organisasi dalam industri kewangan di Negara China dan juga Asia.

Tujuan sidang kemuncak ini diadakan adalah untuk para peserta berkongsi maklumat mengenai industri kewangan di China dan negara-negara rantau Asia di mana ianya memberi impak kepada pembangunan, keselamatan, inovasi dan teknologi selain dapat memangkin pertumbuhan ekonomi China melalui penggunaan digital platform dan sekuriti.

Lebih 300 peserta dari pelbagai institusi perbankan, agensi kewangan, organisasi sokongan industri kewangan dan pakar-pakar IT serta sumber manusia hadir ke sidang kemuncak ini. Terdapat tiga trek perbincangan utama yang menjadi fokus iaitu Leadership In Digital Economy, Global Transactions Re-Invented dan Cybersecurity In The Digital Age.

CyberSecurity Malaysia yang diwakili oleh Wan Zul Hamli Wan Abdul Rahman, Ketua Jabatan Penyelidikan Strategik dan Khidmat Nasihat telah menjadi ahli panel pada trek Cybersecurity In The Digital Age dan berkongsi maklumat, informasi serta idea berkaitan isu-isu keselamatan siber.

Penyertaan pada sidang kemuncak ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk membina kredibiliti di peringkat antarabangsa terutamanya di China yang merupakan sebuah negara berpengaruh di dunia di dalam bidang ekonomi dan teknologi.

2018 International Conference On Information Management (ICIM 2018) Oxford, United Kingdom

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri persidangan antarabangsa pengurusan maklumat, 2018 International Conference On Information Management (ICIM 2018) di Oxford, United Kingdom.

Seminar tahunan anjuran Oxford University dan Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) ini diadakan bagi memberi peluang kepada delegasi berbincang mengenai hasil kajian saintifik terkini yang meliputi bidang-bidang seperti Data Raya (Big Data), Bandar Pintar (Smart City) dan Internet Untuk Segalanya (Internet of Things).

Pada persidangan ini, wakil CyberSecurity Malaysia Abdul Fuad Abdul Rahman dari Jabatan MyVAC telah membuat pembentangan bertajuk “Denial of Service: Impact on Sensors”.

CyberSecurity Malaysia merupakan satu-satunya organisasi dari Malaysia yang tersenarai sebagai penceramah pada persidangan ini manakala kajian mengenai Keselamatan Internet of Things (IoT) yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia pula diiktiraf dan diterbitkan di laman sesawang IEEE Xplore serta disenaraikan dalam indeks SCOPUS.

Pautan ke laman sesawang: https://ieeexplore.ieee.org/document/8392848/