Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara CyberSecurity Malaysia dan Malaysia Board of Technologist (MBOT)

 

Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara CyberSecurity Malaysia dan Malaysia Board of Technologist (MBOT) telah diadakan pada 1 Jun 2018 di Putrajaya.

MoU ini dimeterai bagi kedua-dua organisasi berkolaborasi dalam mengukuhkan lagi bidang keselamatan siber di bawah industri teknologi. Melalui MoU ini, CyberSecurity Malaysia akan meneraju bidang keselamatan siber sebagai Panel Pakar Teknikal atau Technical Expert Panel (TEP). Sementara itu, kakitangan teknikal CyberSecurity Malaysia pula akan diiktiraf sebagai professional keselamatan siber di bawah Akta 768 - Technologist and Technicians Act 2015.

Majlis menandatangani MoU disempurnakan oleh Tan Sri Ir (Dr) Ts Ahmad Zaidee Laidin, Pengerusi MBOT manakala CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Dato’ Dr. Hj Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif.

Kerjasama kedua pihak akan terus memperkasakan bidang pembangunan kapasiti khususnya dalam mewujudkan tenaga pakar keselamatan siber di Malaysia.

“Kembara Amal CyberSAFE” Bersama Anak-Anak Bait Al Amin, Parit, Perak Darul Ridzuan’’ Sempena Program Pembudayaan Keselamatan Siber Dalam Kalangan Warga Digital: CyberSAFE@Ipoh 2018, Ipoh, Perak

 

Pada 2 Jun 2018 telah berlangsung satu program Kembara Amal CyberSAFE bersama anak-anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim Bait Al Amin di Ipoh, Perak.

Program ini merupakan satu platfom bagi membolehkan CyberSecurity Malaysia berkongsi maklumat dan memberi pendedahan kepada anak-anak Bait Al-Amin, ibubapa serta penjaga mengenai etika keselamatan siber serta dalam masa yang sama memupuk kesedaran mereka mengenai kepentingan keselamatan siber dalam kehidupan seharian.

Seramai 89 anak-anak yatim bersama penjaga dan pengurusan Rumah Bait Al Amin serta para pelajar Universiti Petronas Malaysia telah menyertai program sehari ini.

Melalui program ini, CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Universiti Petronas Malaysia telah dapat menyemai ilmu keselamatan siber kepada golongan remaja.

10th International IT-Forum (IT-Forum) and the 2nd International Conference on Information Security Conference (Infoforum-Ugra), Khanty-Mansiysk Autonomous Okrug – Ugra, Russia

 

CyberSecurity Malaysia telah dijemput menghadiri 10th International IT-Forum (IT-Forum) dan 2nd International Conference on Information Security Conference (Infoforum-Ugra) di Khanty-Mansiysk Autonomous Okrug – Ugra, Russia pada 5 dan 6 Julai 2018.

IT-Forum yang dianjurkan sejak 10 tahun lepas turut meliputi Infoforum-Ugra dan dihadiri oleh para professional keselamatan ICT sama ada dari sektor awam juga swasta seluruh dunia.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamad (Bersara) telah dijemput untuk menyampaikan ucaptama bertajuk “Cyber Diplomacy And Multilateral Cooperation” manakala Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi pula menjadi ahli panel pada sesi perbincangan meja bulat bertajuk “Addressing Cyber Terrorism Threats”.

Pada persidangan ini juga, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia telah dianugerahkan dengan Professional Award for Development of Professional Relations in Information Security dari Kerajaan Rusia. Ini merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan antarabangsa ke atas CyberSecurity Malaysia dan Tan Sri Pengerusi khususnya.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada acara ini telah mengukuhkan lagi kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi teknikal dalam bidang keselamatan siber di peringkat antarabangsa.

30th FIRST 2018 Conference, Kuala Lumpur

 

Pada 24 hingga 29 Jun 2018 telah berlangsung satu persidangan antarabangsa bagi pasukan tindak balas dan keselamatan sedunia iaitu FIRST 2018 di Kuala Lumpur.

FIRST mempunyai keahlian sebanyak 360 pasukan tindak balas dan keselamatan komputer dari lebih 80 negara yang terdiri dari agensi kerajaan, akademik, perusahaan komersial serta syarikat kewangan. FIRST merupakan penaung barisan hadapan dalam komuniti tindak balas global, menyediakan akses kepada amalan terbaik, peralatan dan komunikasi yang dipercayai.

Persidangan FIRST kali ke-30 ini merupakan persidangan yang julung kali diadakan di Malaysia dan dihadiri oleh lebih 800 peserta dari seluruh dunia. Ia merupakan rekod tertinggi kehadiran peserta ke persidangan ini semenjak ianya dianjurkan.

Pada persidangan ini, CyberSecurity Malaysia telah membuat dua pembentangan bertajuk

“Practical Integration of Threat Intelligence and CSIRT Processes to Accelerate Efficiency and Timely Response of Incidents: Malaysia CERT Case Study”

oleh Sharifah Roziah Mohd Kassim dan Syazwan Hafizzudin Shuhaimi serta

“Collaborative National-level Incident Response Model to Address Large-Scale Data Breach Attack in Malaysia”

oleh Farah Ramlee, Kilausuria Abdullah dan Sharifah Roziah Mohd Kassim dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT).

Penglibatan CyberSecurity Malaysia sebagai ‘local-host’ telah memberi impak besar kerana ia merupakan satu pengiktirafan dan kepercayaan oleh satu forum antarabangsa ke atas keupayaan dan kepakaran CyberSecurity Malaysia. Selain itu, ia turut membuka peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk menjalin rangkaian dan membina kerjasama dengan pelbagai pihak yang turut hadir di persidangan ini.

3rd Digital Forensics Expert Group (Interpol) Conference, Heathrow, United Kingdom

 

CyberSecurity Malaysia telah dijemput menghadiri persidangan kali ketiga pakar forensik digital atau 3rd Digital Forensics Expert Group (INTERPOL) Conference di United Kingdom pada 27 hingga 29 Jun 2018.

Persidangan tahunan anjuran INTERPOL bersama National Police Chiefs’ Council and Digital Forensics Portfolio Board ini diadakan sebagai platfom untuk berbincang dan bertukar pandangan serta pengalaman dalam bidang forensik digital bagi membendung aktiviti jenayah siber yang semakin berleluasa di seluruh dunia. Perbincangan turut meliputi jenis-jenis analisa terhadap eksibit digital serta cara pengkhususan laporan dan standard kualiti.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Tajul Josalmin Tajul Ariffin yang telah membuat pembentangan berkaitan “Website Reconstruction” dalam kes forensik digital manakala Sarah Khadijah Taylor pula berkongsi pengalaman sebagai ahli panel pada sesi Sesi Pengakriditasi Makmal Forensics melalui pembentangan bertajuk “ISO17025 Accreditation: CyberSecurity Malaysia’s Perspective” .

Penglibatan CyberSecurity Malaysia telah persidangan ini merupakan satu pengiktirafan dunia mengenai keupayaan CyberSecurity Malaysia dalam bidang forensik digital yang peranan penting dalam memperkasa landskap bidang tersebut di Malaysia. Di samping itu, ia juga merupakan platform paling sesuai untuk CyberSecurity Malaysia berkongsi pengalaman dan kepakaran tentang Forensik Digital di arena antarabangsa.

17th European Conference on Cyber Warfare and Security (ECCWS 2018), Oslo, Norway

 

CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk menghadiri persidangan European Conference on Cyber Warfare and Security (ECCWS) 2018 kali ke-17 di Oslo, Norway.

Persidangan anjuran Academic Conferences and Publishing International Limited dan Telenor Group ini telah diadakan semenjak 17 tahun lalu dan menjadi tumpuan para sarjana akademik, anggota ketenteraan, pengamal dan individu yang terlibat dalam pelbagai aspek keselamatan siber.

Pada persidangan tersebut, Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi CyberSecurity Malaysia telah membuat pembentangan bertajuk “Cyber Force Establishment: Defence Strategy for Critical National Information Infrastructure against Cyber Threats” di mana ia merupakan kertas kerja yang ditulis bersama Lt Kol Mustaffa Ahmad (Bersara), Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach dan Pembangunan Capacity dan staf akademik dari Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM). Kertas tersebut telah diterima untuk pembentangan lisan dan turut diterbitkan menerusi prosiding persidangan dalam Indeks Citra ISIS Web Thomson Reuters (WOS) dan Elsevier SCOPUS, yang merupakan indeks tertinggi dan berkualiti. Seramai 130 peserta dari 30 negara di seluruh dunai hadir pada ECCWS 2018.

Sewaktu di Oslo, delegasi juga telah mengadakan lawatan kerja dan perbincangan strategik bersama Telenor ASA dan Norwegian National Security Authority – NorCERT. Perbincangan berkisarkan peluang untuk berkolaborasi di dalam pelbagai bidang berkaitan keselamatan siber.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini telah mengukuhkan lagi kedudukan sebagai agensi teknikal keselamatan siber di Malaysia. Peluang pembentangan yang diberi merupakan satu pengiktirafan antarabangsa untuk berkongsi kepakaran, pengetahuan dan pengalaman. Persidangan juga membuka peluang jalinan rangkaian dengan penyelidik keselamatan siber Eropah dari pelbagai organisasi selain mempelajari penyelidikan dan inovasi terkini.