Mesej dari CEO

 
 

Salam Sejahtera

Sekali lagi CyberSecurity Malaysia menerbitkan CyberNEWS edisi ke-tiga 2018. e-newsletter ini menjadi medan untuk kami berkongsi maklumat mengenai aktiviti serta program yang melibatkan CyberSecurity Malaysia di sepanjang bulan Julai, Ogos dan September.

CyberSecurity Malaysia terus komited dalam memastikan perkembangan industri keselamatan siber yang mampan di Malaysia. Berlandaskan mandat yang diberi Kerajaan, kami terus beriltizam untuk memperkasa industri yang kini menjadi tulang belakang pembangunan negara untuk merealisasi wawasan menuju penarafan sebagai negara maju yang disegani.

Suku ke-tiga menyaksikan penglibatan aktif CyberSecurity Malaysia di dalam pelbagai program, antaranya pembangunan kapasiti, bengkel peningkatan kemahiran, persidangan dan seminar di peringkat tempatan, regional juga antarabangsa. Kami juga turut memperkasa pengguna Internet, khususnya generasi muda di Malaysia mengenai kaedah penggunaan teknologi dan Internet secara positif dan berhemah melalui program CyberSAFE.

Antara program tersebut ialah Critical Infrastructure Protection and Resilience Asia Conference (CIPRA) 2018 di Kuching, Sarawak di mana CyberSecurity Malaysia telah bertindak sebagai local host; berkolaborasi dengan Persatuan Penyelidikan Kriptologi Malaysia buat kali ke-enam dalam penganjuran International Cryptology and Information Security Conference (Cryptology) 2018 di Negeri Sembilan; dijemput sebagai panel pembentang di Cybersecurity Summer Bootcamp 2018, Sepanyol; International Conference On Cybersecurity Governance (ICCG 2018) di Sweden; China Internet Security Conference 2018 (ISC 2018) dan; Asian Forensic Society Network (AFSN) Annual Meeting and Symposium Forum di China; Forum ASEAN E-Financial Inclusion di Kuala Lumpur serta India Cyber Security Dialogue di India.

Pada suku ke-tiga, CyberSecurity Malaysia juga telah berjaya menganjurkan beberapa acara tahunan antaranya, Cyber Security Malaysia – Awards, Conference & Exhibition (CSM-ACE) 2018 kali ke-10; Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2018; Pertandingan Akhir Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan – Piala Cabaran CyberSAFE (NICTSeD) 2018 kali ke-enam serta Penghargaan CyberSecurity Malaysia 2017 yang diadakan sempena Wacana Pembangunan Profesional Keselamatan Siber bertajuk “Regulating Cyber Security Professionals Towards The Industrial Revolution 4.0”.

Sempena Wacana Pembangunan Profesional Keselamatan Siber juga, turut diadakan ialah Majlis Pra-Pelancaran Skim Pensijilan Profesional Keselamatan Siber Bertauliah Global atau Global Accredited Cybersecurity Education Scheme (Global ACE Scheme). Skim ini mendapat pengiktirafan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di mana pengamal keselamatan siber diberi pentauliahan ke atas kemahiran mereka.

Penglibatan aktif CyberSecurity Malaysia pada program-program berkaitan keselamatan siber telah dapat mengekalkan sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju keselamatan siber yang diiktiraf dan disegani di Malaysia dan juga di arena antarabangsa.

Untuk informasi lanjut, anda boleh merujuk kepada penerbitan CyberNEWS ini. Terima kasih atas sokongan berterusan anda. Semoga ianya memberi manafat kepada semua.

Sekian.

DATO’ Ts. DR. HAJI AMIRUDIN ABDUL WAHAB
Ketua Pegawai Eksekutif

AKTIVITI SUKU KETIGA

 
Jul

2018

Aug

2018

sep

2018