Latihan Teknikal 17th SEACEN Advanced Course on Payment and Settlement Systems (PSSP), Bali, Indonesia

 

Pada 2 hingga 6 Julai 2018, CyberSecurity Malaysia telah dijemput membuat pembentangan pada program Latihan Teknikal SEACEN Advanced Course on Payment and Settlement Systems ke-17 di Bali, Indonesia.

Program anjuran Bank Indonesia ini merupakan platfom perkongsian maklumat dan perkembangan terkini bidang keselamatan siber dalam kalangan ahli perbankan negara ASEAN bagi meningkatkan lagi kefahaman mengurus ancaman siber dan kaedah terbaik untuk membanteras jenayah siber melalui Payment and Settlement Systems (PSS).

Seramai 32 peserta dari 13 buah negara hadir ke program ini. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Mohd Zabri Adil bin Talib, Ketua Jabatan Digital Forensik, di mana beliau telah menyampaikan pembentangan bertajuk “Cyber threats, consequences and risk mitigation”.

Jemputan ini merupakan satu pengiktirafan ke atas kepakaran CyberSecurity Malaysia di peringkat antarabangsa. Di samping itu, peluang turut diambil untuk membuat jalinan kerjasama dengan negara-negara ASEAN dalam usaha melindungi ruang siber serantau selain mewujudkan persekitaran ruang siber yang lebih selamat di Malaysia.

Lawatan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer UAE (aeCERT) ke CyberSecurity Malaysia, Seri Kembangan

 

CyberSecurity Malaysia menerima kunjungan delegasi dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Emiriah Arab Bersatu (UAE) atau aeCERT pada 3 Julai 2018. Lawatan tersebut diadakan sempena persidangan tahunan Forum of Incident Response and Security Teams (FIRST) di Kuala Lumpur.

Lawatan tersebut diadakan bagi delegasi aeCERT melihat dan mengetahui dengan lebih lanjut pengalaman CyberSecurity Malaysia dalam pelaksanaan program kesedaran (awareness) mengenai keselamatan siber di peringkat nasional, berkongsi pengalaman Malaysia dalam pengendalian insiden keselamatan siber serta langkah pengawalan yang berkesan dan mengetahui perkhidmatan berkaitan keselamatan siber yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia di samping meningkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan siber di antara Malaysia dan UAE.

Delegasi telah diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab mengenai fungsi dan peranan CyberSecurity Malaysia dan disusuli dengan tayangan video korporat. Delegasi juga dibawa melawat makmal Forensik Digital dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT). Pada lawatan tersebut, satu sesi perbincangan diadakan bagi meninjau peluang kerjasama bagi memperluaskan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dengan aeCERT dalam bidang keselamatan siber.

Melalui lawatan ini, para delegasi telah menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia dalam beberapa bidang antaranya perkongsian maklumat dalam pelaksanaan program kesedaran (awareness) mengenai keselamatan siber, meningkatkan keupayaan aeCERT agar mampu memainkan peranan penuh selaku agensi yang menguruskan ancaman siber di UAE, latihan dan program yang disediakan berdasarkan kepakaran dan pengalaman Forensik Digital dan MyCERT.

Lawatan Duta Besar Itali ke CyberSecurity Malaysia, Seri Kembangan

 

Pada 4 Julai 2018, CyberSecurity Malaysia menerima kunjungan dari Kedutaan Besar Itali di Malaysia yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama Christiano Maggipinto, Duta Besar Itali ke Malaysia. Ketibaan delegasi disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, YABhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab.

Kunjungan diadakan untuk mendapatkan infomasi terkini mengenai lanskap keselamatan siber di Malaysia, berkongsi pengalaman Malaysia mengenai pengendalian insiden keselamatan siber serta langkah pengawalan, mengetahui perkhidmatan keselamatan siber yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia serta meninjau peluang bagi kerjasama dalam bidang keselamatan siber di antara kedua-dua negara.

Delegasi telah diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia mengenai fungsi dan peranan CyberSecurity Malaysia disusuli dengan tayangan video korporat. Delegasi juga dibawa meninjau prasaran makmal Forensik Digital dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT).

Lawatan Kedutaan Besar Itali ke CyberSecurity Malaysia dapat meningkatkan kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang keselamatan siber, meningkatkan peluang pembangunan kepakaran dan sumber, memupuk jalinan kerjasama serta hubungan dua hala Malaysia dan Itali.

Lawatan National Commission of Cryptology (CNG) Senegal ke CyberSecurity Malaysia, Seri Kembangan

 

Pada 5 Julai 2018, CyberSecurity Malaysia menerima lawatan dari delegasi National Commission of Cyrptology Senegal. Lawatan diketuai oleh Encik Alpha Abdoulaye Thiam, Pengarah Information System of the Regulation Agency of Telecommunications and Posts (ARTP) Senegal.

Lawatan ini diadakan untuk mempelajari kepakaran dan pengalaman CyberSecurity Malaysia dalam aspek keselamatan siber terutama bidang pembangunan kapasiti serta pembentukan polisi dan rangka kerja pengurusan keselamatan siber. Delegasi juga ingin mengetahui pengalaman CyberSecurity Malaysia dalam pelaksanaan Dasar Keselamatan Siber Nasional (NCSP), selain mengetahui perkhidmatan berkaitan keselamatan siber yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia.

Delegasi telah diberi taklimat oleh Mohd Shamir Hashim, Naib Presiden Kanan, Bahagian Perhubungan Antarabangsa dan Kerajaan mengenai fungsi dan berkaitan peranan serta perkhidmatan CyberSecurity Malaysia, disusuli dengan tayangan video korporat. Delegasi juga dibawa melawat kemudahan makmal Forensik Digital dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) serta mengadakan sesi perbincangan teknikal mengenai pembangunan kriptografi.

Lawatan ini telah memberi peluang untuk jalinan kerjasama dan mengeratkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Senegal dalam bidang keselamatan siber.

6th International Cryptology and Information Security Conference (Cryptology 2018), Port Dickson, Negeri Sembilan

 

Pada 9 hingga 11 Julai 2018 telah berlangsung persidangan dwi-tahunan International Cryptology and Information Security Conference atau Cryptology 2018 di Post Dickson, Negeri Sembilan.

Persidangan kali ke-enam ini dianjurkan oleh Persatuan Penyelidikan Kriptologi Malaysia dan CyberSecurity Malaysia merupakan penganjur bersama semenjak tahun 2008.

Cryptology2018 merupakan persidangan berkenaan dengan kriptologi serta keselamatan siber yang mengumpulkan ahli akademik, industri dan penyelidik. Ia menyediakan peluang bagi para peserta meningkatkan pengetahuan mengenai perkembangan terkini bidang kriptologi serta memperkukuhkan kerjasama antara institut pengajian tinggi, agensi kerajaan dan persatuan penyelidikan.

Seramai 55 peserta tempatan dan juga antarabangsa dari Turki, Jepun, Iraq, Nigeria dan Australia hadir pada persidangan tiga hari ini. Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini telah membuka peluang untuk bertukar maklumat serta mengukuhkan jalinan rangkaian dengan peserta dari pelbagai negara.

International Conference On Cybersecurity Governance (ICCG 2018), Stockholm, Sweden

 

CCyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk menghadiri International Conference on Cybersecurity Governance (ICCG 2018) di Stockholm, Sweden pada 12 dan 13 Julai 2018.

ICCG 2018 merupakan persidangan yang mengumpulkan para saintis, ahli akademik dan penyelidik untuk bertukar dan berkongsi pengalaman dalam aspek urus tabdir keselamatan siber. Ia menyediakan platfom interdisiplin utama untuk penyelidik, pengamal dan pendidik berbincang mengenai inovasi, cabaran dan risiko yang bakal dihadapi, trend semasa dan solusi bidang keselamatan siber.

Lebih 200 peserta dari pelbagai negara di seluruh dunia hadir pada persidangan ini. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Sarah Khadijah Taylor dan Miratun Madihah Saharuddin dari Jabatan Forensik Digital, di mana mereka telah membuat pembentangan kertas kajian bertajuk “An Analysis of Digital Forensic Laboratory Development Among Malaysia’s Law Enforcement Agencies”.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini telah memberi peluang untuk bertukar maklumat dengan peserta luar negara serta turut membuka peluang untuk jalinan rangkaian dengan peserta dari pelbagai Negara.

Critical Infrastructure Protection And Resilience Asia Conference (CIPRA) 2018, Kuching, Sarawak

 

Pada 17 hingga 19 Julai 2018 telah berlangsung persidangan Critical Infrastructure Protection And Resilience Asia Conference atau CIPRA 2018 di Kuching, Sarawak.

Persidangan anjuran Torch Marketing United Kingdom ini disokong oleh Kerajaan Negeri Sarawak, Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA), CyberSecurity Malaysia, Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) dan Biro Konvensyen Sarawak. Ia dirasmikan oleh YB Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pengangkutan dan Pembangunan Infrastruktur Sarawak.

CIPRA 2018 diadakan bagi berbincang dan mengupas isu-isu mengenai masalah infrastruktur kritikal, pengurusan, keamanan dan keselamatan siber yang serius serta cabaran yang dihadapi oleh industri. Ia dihadiri bukan sahaja oleh peserta dari Malaysia, malah pelbagai negara luar turut hadir seperti Thailand, Filipina, Jerman, Singapura, United Kingdom, Australia dan Finland.

Selain menjadi ‘local host’, CyberSecurity Malaysia turut membuat beberapa pembentangan, antaranya;

    i. YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia – “National Cyber Security Policy and Its Implementation: Contributions by CyberSecurity Malaysia”
    ii. Nur Iylia Roslan - “Causes of Failure in Fingerprint Recognition System and Its Countermeasures”
    iii. Norhamadi bin Ja’affar – “A Survey of SCADA Testbed Implementation Approaches”

CyberSecurity Malaysia juga mengendalikan satu program latihan pada 17 Julai 2018 bertajuk “Cyber Defense Strategies : Tools, Techniques, Response and Procedures” yang dilaksanakan oleh Dr. Aswami Fadillah Mohd Ariffin, Naib Presiden Kanan, Bahagian Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber dan Nur Mohammad Kamil B. Mohammad Alta dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT).

Seramai 130 peserta dari pelbagai negara di Asia manakala 69 peserta dari 13 agensi buah kerajaan, Kementerian, Universiti dan pihak Industri Malaysia hadir ke persidangan ini.

Shadow Assessment (Audit) of Singapore Common Criteria Scheme under Common Criteria Recognition Arrangement (CCRA), Singapura

 

CyberSecurity Malaysia melalui Malaysia Common Criteria Scheme telah dipilih untuk menjadi penilai dan pemerhati bagi proses pengauditan dan tinjauan di Cybersecurity of Singapore Agency (CSA) yang diketuai oleh Australia Common Criteria Scheme.

Tujuan pengauditan dijalankan adalah bagi memastikan Singapore Common Criteria Scheme (SgCC) memenuhi kriteria untuk diterima sebagai ahli berstatus ‘authorizing’ di bawah CCRA. Manakala, pengauditan ini juga merupakan salah satu aktiviti yang wajib disertai CyberSecurity Malaysia bagi terus mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara berstatus ‘authorizing’ yang aktif di dalam CCRA.

Malaysia Common Criteria Scheme telah diwakili oleh Nur Shazwani Mohd Zakaria dan Marinah Syazwani Mokhtar, selain enam pegawai dari Singapore Common Criteria Scheme (SCCS) yang mewakili negara tersebut.

Sesi pengauditan selama dua minggu ini telah memberi satu pengalaman dan pengetahuan baharu kepada Malaysia terutamanya mengenai teknologi yang digunapakai. Selain itu, ia juga merupakan satu tanda aras bagi Malaysia untuk melakukan proses penambahbaikan ke atas operasi sedia ada.

Cybersecurity Summer Bootcamp 2018, Leon, Sepanyol

 

Pada 17 hingga 28 Julai 2018, CyberSecurity Malaysia telah dijemput menghadiri Cybersecurity Summer Bootcamp 2018 di Leon, Sepanyol. Program anjuran Spanish National Cybersecurity Institute, S.A (INCIBE) ini merupakan sesi latihan dalam mengendali permasalahan berkaitan keselamatan siber yang merangkumi aspek teknikal, pengurusan dan perundangan.

Selain CyberSecurity Malaysia, organisasi lain yang terlibat adalah seperti Spanish National Cybersecurity Institute, S.A (INCIBE), Organization of American States (OAS), EUROPOL, INTERPOL, CERTs, bank, pihak berkuasa undang-undang serta pengubal polisi. Sebanyak 14 bengkel serta 16 sesi kuliah dan perkongsian pengalaman diadakan sepanjang bengkel ini.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada program ini telah dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai ancaman siber terkini di benua Eropah, selain dapat memperkenalkan Malaysia amnya dan CyberSecurity Malaysia khususnya kepada negara-negara di Eropah, Amerika Selatan serta benua Afrika.

Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan (NICTSeD) 2018 & Pertandingan Akhir Cabaran Keselamatan Siber Nasional (CAKNA) 2018, Kota Bharu, Kelantan

 

Pada 20 hingga 26 Julai 2018 telah berlangsung Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan – Piala Cabaran CyberSAFE 2018 atau National ICT Security Discourse - CyberSAFE Challenge Trophy (NICTSeD) 2018 peringkat suku akhir dan separuh akhir di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Negeri Kelantan.

Sebanyak 160 penyertaan dari 16 Zon/Negeri di seluruh Malaysia telah menghantar penyertaan pada pertandingan ini. Hasil dari pemilihan awal di peringkat Zon/Negeri, sebanyak 16 buah sekolah menengah terbaik telah dipilih untuk mewakili Zon/Negeri masing-masing. Mereka berkumpul dan bertanding di peringkat Kebangsaan selama tujuh hari di BTPN Kelantan.

Pada pertandingan tersebut, SMJK Jit Sin dari Pulau Pinang dan SMK Abd Rahman Talib dari Pahang telah berjaya mengorak langkah ke pertandingan peringkat akhir yang akan berlangsung di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 27 September 2018 sempena Cyber Security Malaysia – Awards, Conference & Exhibition (CSM-ACE) 2018.

Sementara itu, buat julung kalinya juga pada tahun ini satu pertandingan baharu secara individu iaitu Cabaran Keselamatan Siber Nasional (CAKNA) 2018 diperkenalkan. Pada pertandingan tersebut, Rafieq Rafizie Nur Sha S Roslee dari SMK Labuan telah dinobatkan juara dengan menewaskan 16 peserta lain.

Syabas diucapkan kepada semua peserta yang telah menyertai NICTSeD 2018 dan CAKNA 2018 serta setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada kedua-dua buah sekolah yang layak ke pertandingan akhir NICTSeD 2018 di Kuala Lumpur nanti.