Bengkel Pelaksanaan Program Global ACE Scheme di antara CyberSecurity Malaysia dan Universiti DRB-HICOM (DHU)

 

CyberSecurity Malaysia dan Universiti DRB-HICOM (DHU) telah mengadakan bengkel bagi membincangkan kerjasama mengenai pelaksanaan program Global ACE Scheme pada 11 February 2019.

Bengkel ini diadakan bagi menyelaraskan program Sarjana DRB-Hicom dengan program Global ACE Scheme serta melakukan aktiviti pemasaran dan promosi program latihan Global ACE Scheme.

Bengkel telah dipengerusikan oleh YBhg. Prof Dato Seri Dr Haji Omar Haji Osman, Naib Canselor Universiti DRB-Hicom (DHU) dan turut dihadiri oleh Ts Dr Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi, CyberSecurity Malaysia.

Melalui bengkel tersebut, pihak DHU telah bersetuju untuk menjadi rakan strategik program Global ACE Scheme.

ASEAN Fact-Checking Capacity Building Workshop, Singapura

 

Pada 11 hingga 12 Februari 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri bengkel ASEAN Fact-Checking Capacity Building di Pejabat Google Asia Pacific, Singapura.

Bengkel anjuran Bahagian Pengurusan Strategik Antarabangsa, Kementerian Komunikasi dan Maklumat Singapura ini merupakan program interaktif yang memberi fokus kepada aspek media sosial serta penggunaan “open source” bagi membangunkan pelan tindakan menangani ancaman berita palsu.

Selain itu, bengkel ini juga membantu peserta memahami kepentingan mengesan dan mengesahkan kandungan dalam isu maklumat palsu serta meningkatkan pengetahuan berkenaan “open source” bagi pemeriksaan fakta dan pengesahan maklumat.

Dengan menghadiri bengkel ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat membantu pembinaan pelan tindakan dalam menangani isu berita palsu di samping dapat menjalinkan hubungan kerjasama dengan negara-negara ASEAN.

Bengkel Pelaksanaan Program Global ACE Scheme di antara CyberSecurity Malaysia dan Politeknik Mersing Johor

 

CyberSecurity Malaysia dan Politeknik Mersing Johor telah mengadakan bengkel bagi membincangkan kerjasama mengenai pelaksanaan program Global ACE Scheme pada 12 dan 13 Februari 2019.

Bengkel ini diadakan bagi membincangkan kerjasama penyelidikan serta aktiviti komersial perkhidmatan serta aktiviti pemasaran dan promosi program Global ACE Scheme.

Bengkel ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Hassan Bin Siraj, Pengarah Politeknik Mersing Johor dan turut dihadiri oleh Ts Dr Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi, CyberSecurity Malaysia.

Hasil bengkel tersebut, pihak PMJ telah bersetuju untuk menjadi rakan strategik bagi mempromosi Global ACE Scheme di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Majlis Pelancaran Hari Keselamatan Internet (Safer Internet Day -SID) 2019, Putrajaya

 

CyberSecurity Malaysia telah mengadakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Keselamatan Internet (Safer Internet Day) 2019 – Edisi Malaysia bertempat di bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Putrajaya.

“Kesejahteraan Siber” merupakan tema sambutan Hari Keselamatan Internet 2019 – Edisi Malaysia. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Hari Keselamatan Internet 2019 merupakan satu platfom bagi memberi pendedahan kepada masyarakat umum khususnya kumpulan sasar berkenaan keselamatan siber dan penggunaan Internet secara berhemah dan beretika.

Pada majlis tersebut, turut dilancarkan video mesej kesejahteraan siber oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Selain itu turut berlangsung penyerahan Poster Kempen Kesejahteraan Siber kepada rakan strategik sambutan SID 2019 yang dilaksanakan oleh YB Eddin Shazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Pembentangan Berkenaan Platform E-Learning on The Cloud: Cybersecurity Challenges

 

Pada 13 February 2019 CyberSecurity Malaysia telah dijemput menghadiri Seminar Best of the Best: e-Learning Best Practice di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).

Seminar anjuran Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) ini merupakan satu inisiatif bagi menerapkan ilmu berkenaan dengan keselamatan siber secara umum dan juga keperluan keselamatan siber dalam pengunaan pengkomputeraan awan untuk menyediakan perkhidmatan pengajaran digital di platfom e-learning.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ahmad Dahari Bin Jarno dan Norahana Binti Salimin di mana mereka turut menjadi penceramah pada seminar tersebut.

Penglibatan pihak CyberSecurity Malaysia dalam seminar ini telah dapat memberikan kesedaran keselamatan siber serta keperluan mengetahui teknologi terkini seperti pengkomputeraan awan. Selain Itu CyberSecurity Malaysia turut membantu dalam menyelesaikan masalah keperluan perkakasan Teknologi Maklumat dari sudut pembelian dan juga memastikan perkakasan mampu digunakan selaras dengan arus pembangunan sektor akademik dan juga penguna di universiti.

UMT Karnival Latihan Industri dan Pita (KLIP) 2019, Kuala Terengganu

 

Pada 17 hingga 18 Februari 2019, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Karnival Latihan Industri dan Pita (KLIP) UMT 2019 bertempat di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu.

Karnival anjuran Pusat Pengajian Informatik dan Matematik Gunaan (PPIMG) Universiti Malaysia Terengganu ini diadakan bersempena Minggu Cakna PPIMG bersama pelajar tahun akhir yang bakal menjalani latihan industri 2019.

CyberSecurity Malaysia terlibat menjadi pempamer didalam carnival ini. Selain itu CyberSecurity Malaysia turut memberi ceramah kepada pelajar untuk menyalurkan maklumat berkaitan kesedaran keselamatan siber serta mempromosi perkhidmatan dan program seperti Pusat Bantuan Cyber999, Program CyberSAFE, MyCC dan lain-lain yang ditawarkan kepada warga UMT.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada karnival ini telah berjaya memberi pandangan yang luas kepada tenaga pengajar dan pelajar serta menyahut seruan kerajaan yang inginkan masyarakat berpengetahuan tinggi terutamanya dalam bidang keselamatan siber.

Defense Practice Against Cyber Security Training, Tokyo, Jepun

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri program Defence Practice Against Cyber Attacks pada 17 February hingga 2 Mac 2019 di Tokyo Jepun.

Kursus anjuran Japan International Cooperation Agency (JICA) merupakan platfom untuk menyampaikan maklumat dan memberi latihan teknikal bagi mengendalikan insiden serangan siber dengan lebih efektif. Selain itu, ia turut berkongsi maklumat mengenai isu keselamatan siber masa kini dalam usaha membantu dalam menangani serangan siber secara global.

Kursus ini telah dihadiri oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada 11 negara. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Muhammad Nasim bin Abdul Aziz dan Faiszatulnasro Binti Mohd Maksom dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT). Peserta yang terpilih merupakan tenaga pakar yang berpengalaman dalam mengurus dan mengendalikan insiden siber.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada acara ini telah menonjolkan peranan akrif Malaysia dalam bidang keselamatan siber di peringkat antarabangsa. Selain itu, wakil negara luar juga melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa peka dan sentiasa memberi kerjasama bagi memastikan keselamatan siber terjamin di peringkat antarabangsa.

Malaysia Urban Forum (MUF) 2019, Kuala Lumpur Convention Center

 

Pada 18 dan 19 Februari 2019, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Malaysia Urban Forum (MUF) 2019 bertempat Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur.

Forum Anjuran URBANICE MALAYSIA ini merupakan platfom untuk berbincang dan berkongsi maklumat mengenai penyelesaian bandar ke arah menjadi negara bandar yang mampan (Towards a Sustainable Urban Nation).

Forum ini disertai oleh tujuh agensi kerajaan, manakala CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Ts Dr Solahhudin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi yang telah membincangkan Kerangka Dasar Cities 4.0 dalam konteks pelaksanaan Industri 4.0.

Persidangan berjaya memberi pandangan yang luas kepada kakitangan kerajaan dan swasta dalam serta menyahut seruan kerajaan. Ini merupakan satu bentuk sokongan kepada industri luar dan orang ramai. Ia turut menjadi kayu ukur kepada seluruh bahagian Keselamatan Teknologi Maklumat untuk memberikan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat umum.

Asia Pacific Internet Conference on Operational Technologies (APRICOT) & FIRST Technical Colloquium Daejeon, Korea

 

Pada 18 Februari 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Asia Pacific Internet Conference on Operational Technologies (APRICOT) & FIRST Technical Colloquium bertempat di Daejeon, Korea. Acara anjuran Asia Pacific Internet Association (APIA), APNIC, serta Korea Institute of Science and Technology (KISTI) ini telah dihadiri oleh 600 delegasi dari 50 buah negara seluruh dunia.

Acara ini merupakan platfom perbincangan untuk ahli FIRST dengan para peserta dan tetamu undangan untuk berkongsi maklumat tentang isu-isu global yang mempengaruhi operasi respons kejadian dan pasukan keselamatan.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Farah Binti Ramlee dari Jabatan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT). Beliau telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Establishment of Threat Intelligence into Incident Response”.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada acara ini telah memberi kesan positif kepada agensi kerana ia menunjukkan keperluan kepada perkhidmatan CyberSecurity Malaysia sejajar dengan perkembangan industri siber masa kini.

Majlis Penyerahan Sijil ISO 22301 BCMS, Agensi Nuklear Malaysia

 

Pada 19 February 2019, CyberSecurity Malaysia telah melakasanakan sesi Penyerahan Sijil ISO 22301 BCMS sempena Perhimpunan Bulanan Agensi Nuklear Malaysia bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail (DTI), Agensi Nuklear Malaysia.

Aktiviti ini merupakan simbolik penyerahan sijil pensijilan ISO22301 Business Continuity Management Systems (BCMS) kepada Agensi Nuklear Malaysia (ANM) sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada ANM di atas kerjasama dan usaha dalam melaksanakan BCMS.

Penyerahan sijil disempurnakan oleh Wan Shafiuddin Zainudin, Ketua Jabatan Badan Pensijilan Keselamatan Maklumat yang mewakili CyberSecurity Malaysia kepada YBhg. Dr. Mohd. Abd Wahab Bin Yusof, Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia.

Rundingan Meja Bulat ICORS "The Ethics of Artificial Intelligence", Kuala Lumpur

 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian pada Rundingan Meja Bulat ICORS "The Ethics of Artificial Intelligence" pada 20 February 2019 bertempat di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

Acara anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ini diadakan bertujuan untuk memahami trend “Artificial Intelligent” (AI) dan kesannya kepada masyarakat di Malaysia. Acara ini menjadi platform bagi mengenal pasti isu-isu etika semasa berkenaan AI serta meneroka kemungkinan kerangka etika AI dari perspektif agama dan falsafah, terutamanya untuk konteks di Malaysia.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ts. Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi yang turut menjadi moderator bagi topik “Emerging AI Trends in Critical Industries”.

Persidangan berjaya memberi pandangan yang luas kepada kakitangan kerajaan dan swasta dalam serta menyahut seruan kerajaan yang inginkan masyarakat berpengetahuan tinggi terutamanya dalam bidang industri 4.0 dan “Artificial Intelligent “

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bilangan 2/2019 Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT), Deajeon Convention Center, Korea

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bilangan 2/2019 Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) pada 24 February 2019 di Deajeon Convention Center, Korea.

Mesyuarat anjuran Sekretariat APCERT dan Jawatankuasa Pemandu bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama di antara Malaysia dengan negara-negara ahli APCERT serta menonjolkan sumbangan penting dan peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam bidang keselamatan siber kepada negara-negara anggota Asia Pasifik.

CyberSecurity Malaysia selaku timbalan pengerusi APCERT telah terlibat dalam perbincangan acara Mesyuarat dan Persidangan Tahunan APCERT 2019 serta pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara APCERT dan APNIC.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam acara ini telah membantu untuk mempertingkatkan keupayaan Malaysia dalam menghadapi ancaman siber menerusi perkongsian maklumat, kepakaran, hasil penyelidikan dan amalan terbaik di antara pasukan tindak balas kecemasan komputer negara-negara anggota APCERT.

Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama dengan Onwards Security, New Taipei City, Taiwan

 

Pada 25 Februari 2019 telah berlangsung Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dan Onwards Security, bertempat di New Taipei City, Taiwan. Kerjasama yang dimeterai adalah berkaitan promosi dan pemasaran perkhidmatan Cyber Security Malaysia di rantau Asia Timur.

Perjanjian Kerjasama telah ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia dan Mr. Morgan Hung, Pengurus Besar (merangkap pemilik syarikat) Onward Security.

Melalui kerjasama ini perkhidmatan penilaian dan pensijilan CC (Common Criteria) dan CMVP (Crypto Module Validation Program) akan berpeluang untuk menembusi pasaran Asia Timur, terutamanya Taiwan, China dan Hong Kong.

MBI Synergies Forum, Hotel Saujana, Kuala Lumpur

 

Pada 26-28 Februari 2019, CyberSecurity Malaysia telah dijemput menghadiri Persidangan dan Pameran Tahunan Cyber Intelligence Asia ke-7 bertempat di Bangkok, Thailand.

Persidangan dan pameran anjuran Intelligence-Sec Limited (UK) bersama dengan Thailand's National Electronics and Computer Technology Center (NECTEC) merupakan platform untuk membincangkan isu-isu keselamatan siber di rantau Asia-Pasifik dan perkongsian pengetahuan tentang bagaimana strategi keselamatan siber dibangunkan.

CyberSecurity Malaysia yang diwakili oleh Fazlan Abdullah, Ketua Jabatan Perhubungan Kerajaan menjadi salah seorang penceramah untuk seminar dan telah membentangkan satu kertas bertajuk “CyberSecurity Malaysia’s Experience In The Implementation Of The National Cyber Security Policy (NCSP) Initiatives".

Melalui penglibatan dalam persidangan, CyberSecurity Malaysia berpeluang mempelajari kajian kes dalam implementasi keselamatan siber serta menjalin hubungan kerjasama dengan agensi-agensi yang berpotensi dari negara yang terlibat.

MBI Synergies Forum, Saujana Hotel, Kuala Lumpur

 

Pada 28 Februari 2018, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri MBI Synergies Forum yang diadakan bertempat di Hotel Saujana Kuala Lumpur. Forum anjuran IBR Asia Group dengan kerjasama Menteri Besar Incorporation (MBI) ini membawa tema “Digital Infrastructure”.

CyberSecurity Malaysia yang diwakili oleh Lt Kol Sazali Sukardi, Naib Presiden Kanan, Bahagian Penyelidikan Strategik telah berkongsi mengenai trend semasa serangan siber di Malaysia. Beliau juga turut berkongsi pandangan mengenai inisiatif yang perlu diambil oleh semua pihak di dalam memperkuatkan lagi pertahanan siber bagi mengurangkan kes jenayah siber.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia di dalam MBI Synergies Forum ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk lebih dikenali dan menambahkan lagi pengetahuan dalam bidang keselamatan siber.