Persidangan International Bhurban Conference on Applied Sciences & Technology (IBCAST) 2019, Islamabad, Pakistan

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri persidangan International Bhurban Conference on Applied Sciences & Technology (IBCAST) 2019 di Islamabad, Pakistan pada 8 hingga 12 Januari 2019.

Persidangan anjuran Centres of Excellence in Science & Applied Technologies (CESAT) bertemakan “Cyber Security & Assurance Technologies” merupakan persidangan penyelidikan teknikal bagi membincangkan isu-isu terkini bidang sains dan teknologi, termasuk keselamatan siber.

Seramai 1,200 peserta dari pelbagai negara termasuk Malaysia hadir pada persidangan ini. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ts. Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi yang membuat membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Cyber Threats Incident Response Model for CNII Organizations’. Manakala, Mohamed Fadzlee Sulaiman turut membuat pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Understanding Cyber Threat Intelligence’.

Pada persidangan ini, CyberSecurity Malaysia telah berpeluang mempromosi Malaysia sebagai sebuah negara yang aktif dan menyokong inisiatif keselamatan siber secara global. Selain itu, CyberSecurity Malaysia juga telah mengadakan perbincangan bersama Mr. Iftikhar Aamir Chaudhary, Director General (Cyber Security), CESAT bagi mengadakan kerjasama teknikal dalam bidang keselamatan siber di antara kedua-dua pihak.

Bengkel Koordinasi CSM-ACE 2019, Selangor, Malaysia

 

Pada 17 Januari 2019 telah berlangsung Bengkel Koordinasi Cyber Security Malaysia – Awards, Conference & Exhibition (CSM-ACE) 2019 di Palace of Golden Horses Hotel, Seri Kembangan.

Bengkel anjuran Jabatan Perhubungan dan Kerjasama Industri Keselamatan Siber (CIEC) adalah untuk membincangkan dan menambah nilai baru bagi pelaksanaan CSM-ACE 2019. Maklumat yang dikumpul dan dipilih akan diguna pakai untuk pemahaman yang lebih baik tentang peranan serta tanggungjawab setiap jabatan yang terlibat untuk penyelarasan penganjuran CSM-ACE 2019

Bengkel yang dihadiri oleh 23 peserta dari beberapa jabatan telah berjaya mengumpul maklumat serta membincangkan isu-isu terkini yang dapat menambah nilai untuk diguna pakai bagi hala tuju acara CSM-ACE 2019.

Bengkel Penilaian Pra-Fasa Ketiga Algoritma Kriptografi Baharu (AKBA) Bagi Senarai Algoritma Kriptografi Terpercaya Negara (MySEAL), Port Dickson, Negeri Sembilan

 

Pada 18 – 20 Jan 2019 telah berlangsung Bengkel Penilaian Pra-Fasa Ketiga Algoritma Kriptografi Baharu (AKBA) bagi Senarai Algoritma Kriptografi Terpercaya Negara (MySEAL) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bengkel anjuran Jabatan Pembangunan Kriptografi, CyberSecurity Malaysia telah dihadiri oleh seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada Pakar Penilai AKBA MySEAL dari IPTA, IPTS dan juga wakil industri.

Bengkel diadakan bertujuan untuk membuat penilaian dan membentangkan algoritma AKBA yang telah diubahsuai serta memuktamadkan algoritma yang akan disenarai pendek ke Penilaian Fasa Ketiga AKBA MySEAL.

Selain itu, ia turut menjadi platform bagi mengumumkan perlantikan Pengerusi Panel Pakar Penilai AKBA MySEAL bagi Penilaian Fasa Ketiga AKBA MySEAL.

Bengkel dan Mesyuarat Semakan Projek YAKSHA (Cybersecurity Awareness and Knowledge Systemic High-Level Application), Brussels, Belgium

 

Pada 18 hingga 21 Januari 2019, CyberSecurity Malaysia telah dijemput menghadiri Bengkel dan Mesyuarat Semakan Projek YAKSHA (Cybersecurity Awareness and Knowledge Systemic High-Level Application) di Brussels, Belgium.

Persidangan anjuran Teknologian Tutkimuskeskus VTT Oy (VTT) and Sociedade Portuguesa de Inovação (SPI). Konsortium projek YAKSHA ini dianggotai oleh 13 organisasi Eropah dan ASEAN dan CyberSecurity Malaysia merupakan rakan konsortium dari rantau ASEAN.

Objektif utama persidangan ini adalah untuk membuat semakan kemajuan projek YAKSHA, pelaksanaan pelan kerja, keberkesanan dan objektif projek selain melihat kaedah sumber-sumber telah dirancang dan digunakan bagi mencapai matlamat projek.

Jemputan terhadap CyberSecurity Malaysia merupakan satu pengiktirafan antarabangsa sebagai sebuah organisasi pakar dalam hal-ehwal keselamatan siber di rantau negara ASEAN.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara CyberSecurity Malaysia dan Kedah Industrial Skills & Management Development Centre (KISMEC), Alor Star, Kedah

 

Pada 24 Januari 2019 telah berlangsung satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di antara CyberSecurity Malaysia dan Kedah Industrial Skills & Management Development Centre (KISMEC) di Alor Star, Kedah.

Majlis disaksikan oleh YAB Menteri Besar Kedah, YB Dato’ Seri Hj. Mukhriz Tun Mahathir sempena majlis perasmian Persidangan Industri 4.0: Digitization Transformation – Opportunities and Challenges.

Memorandum Persefahaman yang dimeterai memberi fokus kepada kerjasama dalam memasarkan dan menjalankan program latihan serta perkhidmatan dalam bidang keselamatan siber juga penganjuran aktiviti kesedaran dalam isu-isu keselamatan siber kepada warga kerja KISMEC.

Persidangan ini telah dihadiri oleh 250 wakil kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institut pengajian tinggi dan industri. Penganjuran persidangan selaras dengan polisi kerajaan bagi melaksanakan 4th Industrial Revolution (IR4), dan memberi peluang kepada pekilang serta peniaga di era transformasi digital ini.

Pembentangan Kertas Kerja Penyelidikan Persidangan The Third International Conference on Smart Trends for Information Technology and Computer Communications (SmartCom 2019) Bangkok, Thailand.

 

Pada 24 hingga 25 Januari 2019, CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk membuat pembentangan kertas kerja pada Persidangan The Third International Conference on Smart Trends for Information Technology and Computer Communications (SmartCom 2019) di Bangkok, Thailand.

Persidangan SmartCom 2019 anjuran Global Knowledge Research Foundation (GR Foundation), IFIP - International Young ICT Group dan NIT Nagpur ini diadakan pada setiap tahun sebagai platfom bagi para perwakilan untuk berkongsi maklumat, komunikasi komputer dan strategi yang berkesan untuk pelaksanaan Aplikasi Kejuruteraan dan Pengurusan.

Pada persidangan tersebut, Mohamad Nizam Kassim dari Bahagian Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber telah membuat pembentangan hasil kajian mengenai algorithma pemprosesan teks bagi Bahasa Melayu (Design Consideration of Malay Text Stemmer Using Structured Approach dan Enhanced Text Stemmer with Noisy Text Normalization for Malay Texts).

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini telah menjadikan algoritma pemprosesan teks dalam Bahasa Melayu diterima di kalangan komuniti penyelidik analitik. Algoritma ini telah digunapakai di dalam projek pembangunan analitik ThreatScape (hackers profiling) dan Crimescape (Scam & Fraud Web Detection).