IPQUORUM 2019, Kaliningrad, Rusia

 

Pada 5 hingga 12 April 2019 CyberSecurity Malaysia telah dijemput menyertai forum IPQUORUM 2019 bertempat di Kaliningrad, Rusia.

Forum anjuran Russian Association IPChain ini merupakan satu forum bagi membincangkan permasalahan dari aspek harta intelektual di pelbagai sektor ekonomi di Rusia.

Pakar-pakar terkemuka global dan Rusia hadir pada forum ini. CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Wan Zulhamli Wan Abdul Rahman, Ketua Jabatan Penyelidikan Startegik dan Nasihat di mana beliau turut menjadi panelis pada sesi dialog di forum berkenaan.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada forum ini telah membuka peluang untuk berkongsi pandangan, bertukar pendapat dan berbincang mengenai pendekatan strategik keselamatan siber terutama di dalam aspek keselamatan data.

Mesyuarat Common Criteria Recognition Arrangement (CCRA), Rome, Itali

 

CyberSecurity Malaysia telah menghadiri mesyuarat CC Development Board/CC Executive Subcommittee - Common Criteria Recognition Arrangement di Ministero dello Sviluppo Economico, Rome, Itali pada 8 hingga 11 April 2019.

Mesyuarat anjuran Italy Common Criteria Scheme ini telah diadakan sebanyak dua kali setahun untuk membincangkan secara lanjut mengenai ISO terbaru, pengujian dan pensijilan keselamatan Teknologi Maklumat, penambahbaikan dan tindakan serta memilih hos bagi mesyuarat akan datang.

Wan Shafiuddin Bin Zainudin, Ketua Jabatan Pensijilan Keselamatan Maklumat telah mewakili CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat yang berlangsung selama empat hari ini.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia sebagai Common Criteria Authorising Country serta wakil negara membuktikan komitmen Malaysia untuk menyumbang serta memperkukuhkan penawaran perkhidmatan pensijilan serta mengetahui pendirian negara masing-masing di dalam penentuan halatuju CCRA.

Bengkel Unjuran Keperluan Perkhidmatan Keselamatan Siber Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) 2019 – 2020, Putrajaya

 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai Bengkel Unjuran Keperluan Perkhidmatan Keselamatan Siber Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) 2019 – 2020, pada 9 April 2019 bertempat di Le Meridien IOI City Mall, Putrajaya.

Bengkel anjuran Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) merupakan satu inisiatif taklimat Perkhidmatan Keselamatan Siber kepada setiap Jabatan/Agensi di bawah KKMM.

Jabatan Pemasaran dan Jabatan Pembangunan Profesional Keselamatan Siber telah mewakili CyberSecurity Malaysia dan memberi taklimat kepada semua Jabatan/Agensi di bawah KKMM berkenaan perkhidmatan dan program latihan yang ditawarkan kepada semua.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada bengkel ini telah berjaya membantu pihak KKMM memastikan setiap Jabatan/Agensi memahami perkhidmatan dan latihan keselamatan siber yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia serta dapat memberikan input dan maklumat dalam menentukan skop perkhidmatan yang lebih tepat.

Lawatan Rasmi Dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam ke Cybersecurity Malaysia

 

Pada 12 April 2019, CyberSecurity Malaysia menerima lawatan rasmi dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei. Ketibaan delegasi disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, YABhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara) dan Ketua Pegawai Teknologi, Ts. Dr. Solahuddin Shamsuddin.

Kunjungan diadakan untuk menimba pengalaman Malaysia dalam pengendalian insiden Keselamatan siber dan langkah pengawalan keselamatan siber yang berkesan selain memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan siber di antara kedua-dua negara.

Delegasi telah diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia mengenai fungsi dan peranan CyberSecurity Malaysia disusuli dengan mesyuarat bagi membincangkan peluang memperluaskan kerjasama hubungan dua hala yang sedia ada di antara Malaysia – Brunei dari aspek ICT terutama dalam bidang keselamatan siber.

Lawatan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam ke CyberSecurity Malaysia telah dapat meningkatkan kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang keselamatan siber, meningkatkan peluang pembangunan kepakaran dan sumber, memupuk jalinan kerjasama serta hubungan dua hala Malaysia dan Brunei.

Mesyuarat Lembaga Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC-CERT) Bilangan 02/2019, Cyberjaya

 

Pada 22 hingga 24 April 2019 telah berlangsung Mesyuarat Lembaga Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC-CERT) Bilangan 02/2019 di Menara Cyber Axis, Cyberjaya.

Mesyuarat anjuran CyberSecurity Malaysia ini diadakan untuk perkongsian maklumat dan membincangkan isu-isu semasa keselamatan siber di samping mengadakan sesi teknikal serta pertukaran pengalaman supaya pentadbiran keselamatan siber menjadi lebih cekap dan berkesan.

Sebanyak enam negara menyertai mesyuarat yang membincangkan hal-hal operasi seperti keahlian, kemajuan kumpulan kerja, perancangan untuk persidangan dan rangka kerja pentadbiran serta penganjuran Persidangan Tahunan OIC-CERT ke-11 2019 yang akan dianjurkan oleh Badan Siber dan Sandi Negara, Indonesia.

Empat Ahli Lembaga OIC-CERT iaitu Engr. Bader Al-Salehi (Oman), Dr. Muhammad Salman (Indonesia), Encik Tural Mammadov (Azerbaijan) dan Encik Ahmed Mohamed Helmy (Mesir) juga telah menyertai Majlis Dialog Industri Keselamatan Siber bagi berkongsi landskap keselamatan siber di negara masing-masing.

Penganjuran Mesyuarat Lembaga Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC-CERT) oleh CyberSecurity Malaysia telah dapat mengukuh dan meningkatkan kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang keselamatan siber, meningkatkan peluang pembangunan kepakaran dan sumber, memupuk jalinan kerjasama serta hubungan antara negara ahli OIC-CERT.

Dialog Industri Keselamatan Siber 2019, Menara Cyber Axis, Cyberjaya

 

CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Dialog Industri Keselamatan Siber 2019 pada 23 April 2019 di Dewan Serbaguna, Menara Cyber Axis, Cyberjaya.

Majlis dialog tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia. Seramai 150 wakil industri serta delegasi Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC-CERT) hadir pada program ini.

Antara pengisian majlis dialog ini ialah perkongsian daripada panel OIC-CERT berkenaan lanskap pembangunan industri Keselamatan siber di negara seperti Oman, Indonesia, Azerbaijan dan Egypt. Selain itu, perbincangan berkaitan isu-isu melibatkan Program Product and People Certification bagi tujuan Pembangunan Industri Keselamatan Siber dalam industri tempatan juga turut diadakan pada dialog tersebut.

Melalui penganjuran majlis Dialog Industri Keselamatan Siber 2019, CyberSecurity Malaysia telah dapat mengetahui keadaan sebenar permasalahan berhubung isu yang dihadapi oleh industri keselamatan siber tempatan di samping mendapatkan maklum balas terus daripada pihak industri berhubung idea dan input bagi memantapkan program industri keselamatan siber tempatan.

Majlis Pelancaran Program Kolaborasi Cybersecurity Malaysia (CCP) serta Majlis Penghargaan Media Bagi Tahun 2018

 

Pada 23 April 2019 telah berlangsung Majlis Pelancaran Program Kolaborasi Cybersecurity Malaysia (CCP) serta Penghargaan CyberSecurity Malaysia.

Program Kolaborasi Keselamatan Siber atau lebih dikenali dengan Cybersecurity Malaysia Collaboration Program (CCP) merupakan satu pendekatan bagi kerjasama dengan pihak industri keselamatan siber di Malaysia. Ia mensasarkan syarikat yang menyediakan produk dan perkhidmatan keselamatan siber; dan berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Melalui CCP, rakan kerjasama akan mendapat akses beberapa faedah utama seperti rangkaian komuniti, program pembangunan kapasiti, sokongan pembangunan keupayaan dan peluang perniagaan serta fasilitasi.

Majlis Pelancaran Program Kolaborasi Cybersecurity Malaysia (CCP) ini diadakan sempena majlis Dialog Industri Keselamatan Siber 2019.

Pada majlis yang sama, CyberSecurity Malaysia turut memberi penghargaan kepada pihak media Malaysia di atas sokongan mereka dalam menyebarluaskan informasi, mendidik dan memupuk kesedaran orang ramai mengenai isu keselamatan siber, berkongsi amalan terbaik, tips serta nasihat dan penggunaan Internet secara positif.

Week Without Wall: Uncovering the Truth Beyond Digital Imagination, UiTM Kampus Jasin, Melaka

 

Pada 24 April 2019, CyberSecurity Malaysia telah menyertai program “Week Without Wall: Uncovering the Truth Beyond Digital Imagination” bertempat di UiTM Kampus Jasin, Melaka.

Program anjuran Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM Melaka ini dianjurkan bagi memupuk kesedaran keselamatan IoT dalam kalangan pelajar dan kakitangan UiTM Melaka Kampus Jasin.

Syamsul Syafiq bin Syamsul Kamal dari Jabatan Pusat Pengujian Kerentenan Malaysia (MyVAC) telah mewakili CyberSecurity Malaysia sebagai penceramah berkaitan keselamatan web aplikasi IoT.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada program ini telah berjaya memberi pandangan yang luas kepada pelajar dan kakitangan UiTM Melaka Kampus Jasin serta menyahut seruan kerajaan yang inginkan masyarakat berpengetahuan tinggi terutamanya dalam bidang Keselamatan IoT.