Ekspo Edutech Asia, Pusat Konvensyen Suntec, Singapura

 

Pada 4 hingga 6 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Ekspo Edutech Asia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Suntec, Singapura.

Ekspo anjuran Edutech Asia Expo ini merupakan satu platform bagi warga pendidik, penggubal dasar, ahli akademik, golongan professional serta rakan teknologi berbincang mengenai spektrum pedagogi terbaharu, inovasi dan teknologi dalam sektor pendidikan.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Lt Kol Mustaffa Bin Ahmad (Bersara), Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach dan Pembangunan Kapasiti dan Elina Binti Mubin dari Jabatan Outreach dan Komunikasi Korporat. Lt Kol Mustaffa telah membuat pembentangan bertajuk “Keeping Your Schools and Students Safe & Secured”.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada Ekspo ini telah berjaya memperkenalkan program CyberSAFE kepada perwakilan persidangan, di samping dapat mendalami dan mempelajari trend terkini, isu serta teknik pelaksanaan Pendidikan awal kanak-kanak dalam landskap keselamatan siber.

Seminar Cyber Offensive And Defensive Exercise (CODE 2019), Taiwan

 

Pada 4 hingga 8 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Seminar Cyber Offensive and Defensive Exercise (CODE) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa NTUH, Taiwan.

Seminar anjuran National Information and Communication Security Taskforce (NICST), Taiwan merupakan satu inisiatif Cyber Security Taiwan dalam mengembangkan kerjasama melalui pelbagai aktiviti seperti seminar, bengkel dan latihan serangan siber. Ia diadakan bertujuan memupuk kerjasama di peringkat tempatan dan antarabangsa melalui pertukaran pandangan dan pengalaman tentang kaedah menangani insiden siber, menilai dan menguji keupayaan sistem keselamatan siber negara serta mengkaji keberkesanan mekanisme komunikasi tindak balas di seluruh agensi kerajaan dalam domain yang berbeza.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh tujuh anggota dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer (MyCERT) yang menghadiri seminar CODE 2019. Seminar ini telah mendedahkan para peserta dengan pelbagai acara seperti seminar, pembentangan, perbincangan ‘round table’ dan latihan simulasi.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di seminar ini memberikan satu perspektif baharu melalui latihan Red Team dan Blue Team bagi pengukuhan persediaan menghadapi ancaman siber serta memberi ilham kepada MyCERT untuk mengisi jurang bagi menempatkan operasi jabatan setaraf dengan kebolehan dan aktiviti MyCERT yang lain.

Bengkel Jenayah Siber, Interpol IGCI, Singapura

 

Pada 4 hingga 8 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Bengkel Jenayah Siber bertempat INTERPOL IGCI, Singapura.

Bengkel anjuran Singapore-United States of America Third Country Training Programme (TCTP) ini merupakan satu insiatif untuk memperkukuhkan pembangunan sumber manusia dalam kerja penyiasatan rutin (penyiasatan jenayah siber dalam talian) untuk negara-negara ASEAN.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ikmal Halim bin Jahaya dan Mohd Adlan bin Ahmad dari Jabatan Pasukan Penyiasatan dan Tindakan Siber (CAIT). Mereka telah didedahkan dengan pengukuhan kemahiran dalam melakukan kerja perisikan selain menyertai latihan simulasi sepanjang bengkel diadakan.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada bengkel ini telah dapat mewujudkan jalinan strategik dengan pasukan risikan siber negara ASEAN dan menimba ilmu baharu.

Bengkel Asean-Australia Digital Trade Standard Initiative, Jakarta, Indonesia

 

Pada 5 hingga 6 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri bengkel ASEAN-Australia Digital Trade Standard Initiative bertempat di Jakarta, Indonesia.

Bengkel anjuran National Standards of Australia ini merupakan satu platform di antara negara-negara ASEAN dan Australia untuk bertukar maklumat mengenai piawaian berkaitan keselamatan siber serta mengemas kini maklumat mengenai aktiviti-aktiviti piawaian berkaitan keselematan siber di negara-negara ASEAN.

Ts. Dr. Maslina Daud, Naib Presiden Kanan, Perkhidmatan Proaktif Keselamatan Siber (CSPS) mewakili CyberSecurity Malaysia bersama tiga perwakilan dari Malaysia. Beliau telah membuat pembentangan mengenai piawaian keselamatan siber berikutan dari Mesyuarat ISO/IEC SC 27 yang dihadiri oleh CyberSecurity Malaysia di Perancis pada bulan Oktober 2019.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada bengkel ini telah dapat memberi pendedahan kepada para peserta tentang kepakaran pembangunan piawaian oleh CyberSecurity Malaysia di dalam bidang keselamatan siber, di mana kepakaran ini dapat dikongsi melalui perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia. Selain itu, pihak penganjur turut meminta agar CyberSecurity Malaysia menjadi wakil Malaysia dan ini membuktikan pengiktirafan ke atas kebolehan dan keupayaan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi teknikal yang diakui di peringkat antarabangsa.

Kursus Latihan Asean-Japan Cybersecurity Capacity Building Center’s Training (AJCCBC), Thailand

 

Pada 11 hingga 15 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri kursus ASEAN-Japan Cybersecurity Capacity Building Center’s Training (AJCCBC) bertempat di Thailand.

Kursus anjuran Electronic Transactions Development Agency (ETDA) merupakan satu program latihan mengenai Cyber Defense Exercise with Recurrence (CYDER) dan program Analisis Malware yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan tindak balas insiden terhadap serangan siber.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Imran bin Hasnan dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) bersama 23 peserta lain yang terdiri dari pelbagai negara dan pelbagai latar belakang antaranya, ketua jabatan operasi, penganalisa keselamatan siber, bidang polisi dan sebagainya. Ke semua peserta didedahkan melalui sesi latihan praktikal, perbincangan dan pembentangan untuk menguji serta menilai kefahaman peserta sekaligus memberi maklumat untuk diaplikasikan ke dalam proses dan prosidur menganalisa dan mengendalikan insiden serangan siber yang sebenar.

Melalui kursus ini, CyberSecurity Malaysia dapat memberi manfaat sewajarnya kepada pengurusan insiden siber di antara anggota negara-negara ASEAN serta bertukar pandangan berkenaan langkah balas keselamatan dan pembangunan polisi yang efektif di negara masing-masing bagi menangani serangan siber seperti Advance Persistence Threat (APT) dan sebagainya.

Dialog Keamanan Dan Pembangunan Di Asia Tenggara, Timur Tengah Dan Asia Tengah (SAMECA), Islamabad, Pakistan

 

Pada 11 hingga 15 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri dialog yang merangkumi bidang keamanan dan pembangunan di rantau SAMECA di Islamabad, Pakistan.

Dialog anjuran Islamabad Policy Research Institute (IPRI) ini turut melancarkan satu inisiatif baharu yang dikenali sebagai Margalla Dialogue. Ia merangkumi bidang keamanan dan pembangunan di rantau SAMECA dengan memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan Pakistan, di samping membincangkan bidang kerjasama antara negara-negara SAMECA dan komuniti antarabangsa mengenai pembangunan hak asasi manusia dan keselamatan siber.

Ts. Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi CyberSecurity Malaysia telah membuat pembentangan pada sesi Teknologi – Alam Siber pada 2025: Cabaran Keselamatan Siber di SAMECA dan Peluang Kerjasama Pelbagai Hala dengan tajuk “Role of Cross Domain Technologies in Computing and Mitigating Cybersecurity Threats”.

Penyertaan pihak CyberSecurity Malaysia di dalam Dialogue ini telah meningkatkan imej CyberSecurity Malaysia di peringkat antarabangsa sekaligus dapat menjalinkan hubungan baik dengan wakil dari pelbagai negara semasa acara berlangsung dalam mempromosikan CyberSecurity Malaysia.

Persidangan Tahunan Smart City Development Ke-9, Singapura

 

Pada 13 hingga 15 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan Tahunan Annual Smart City Development ke-9 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Suntec, Singapura.

Persidangan anjuran Marcus Evans ini merupakan platform bagi pihak penyelidik dan industri membincangkan isu-isu serta cabaran bagi pelaksanaan pembangunan bandar pintar.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Abdul Fuad bin Abdul Rahman, Ketua Jabatan Makmal Pengujian Kerentenan Malaysia (MyVAC). Beliau telah pembentangan bertajuk ”IOT Security” pada persidangan tersebut.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di persidangan ini telah dapat mempromosikan perkhidmatan jabatan MyVAC seperti VAPT, ICS, IoT dan SSDLC di peringkat antarabangsa.

6th Plenary Meeting Of ISO/TC 307: Blockchain And Distributed Ledger Technologies, Hyderabad, India

 

Pada 16 hingga 23 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri ISO/IEC TC 307 Blockchain and Distributed Ledger Technology; 6th Plenary Meeting bertempat Hyderabad, India.

Acara anjuran Organisasi Antarabangsa bagi Standardisasi (ISO) merupakan satu bagi membangunkan dokumen piawaian (standard) untuk bidang blok rantai dan Teknologi Lejar Teragih. Ia telah diselia oleh Jawatankuasa Teknikal ini dikenali sebagai ISO/IEC TC 307.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Hazlin binti Abdul Ranidan Isma Norshahila binti Mohammad Shah dari Jabatan Pembangunan Kriptografi. Mereka juga turut terlibat di dalam perbincangan Kumpulan Kerja WG2, JWG4, WG3 dan WG6.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini telah memberi sumbangan dan kerjasama dalam pembentukan dokumen-dokumen piawaian terutama yang melibatkan bidang keselamatan siber. CyberSecurity Malaysia turut menerima pendedahan mengenai teknologi, isu-isu dan perkembangan terkini mengenai blok rantai dan Teknologi Lejar Teragih.

19th Regional Asia Information Security Exchange (RAISE) Forum Meeting, Tokyo, Jepun

 

Pada 19 hingga 20 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Keselamatan Maklumat Peringkat Rantau Asia kali ke-19 bertempat di Tokyo, Jepun.

Acara anjuran Privacy Security Enhancement Forum ini merupakan platform perkongsian pengetahuan dan pertukaran idea serta dialog mengenai strategi, dasar dan amalan keselamatan maklumat. Ia turut menyediakan mekanisme yang boleh digunakan sebagai tindakan susulan kepada keperluan dasar Asia mengenai isu standard Keselamatan Maklumat.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ahmad Sirhan Abdul Ghazali dari Jabatan Jaminan dan Pengurusan Keselamatan Maklumat. Beliau telah membuat pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Integrated Assurance for Governance, Risk, and Compliance on Privacy’.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di mesyuarat ini telah memberi peluang untuk mendapat manfaat perkongsian maklumat dan perbincangan mengenai isu-isu baharu disamping mewujudkan hubungan penglibatan dan perniagaan dengan ekonomi lain di rantau Asia untuk sebarang perkembangan perkhidmatan masa depan.

Persidangan Antarabangsa Ke-4 Keselamatan Dan Perang Siber 2019, Ankara, Turki

 

Pada 20 hingga 21 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-4 Keselamatan dan Perang Siber 2019 bertempat di Ankara, Turki.

Persidangan anjuran Turkish Cyber Security Cluster ini adalah platform bagi membincangkan isu-isu keselamatan siber dan isu keselamatan dari sudut pandang sivil, pertahanan serta akademik.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ts. Dr. Solahuddin Shamsudin, Ketua Pegawai Teknologi. Beliau dijemput untuk menjadi penceramah di persidangan ini dan membuat pembentangan tajuk “Creating A Robust Cybersecurity Infrastructure: Predictive And Pre-emptive And Not Just Defensive Mechanism”.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di persidangan telah berjaya memberi pandangan yang luas untuk CyberSecurity Malaysia dengan publisiti untuk Malaysia dan negara-negara luar.

Persidangan Kedua International Research Conference And Innovation Exhibition 2019 (IRCIE 2019), Johor Bharu, Johor

 

Pada 25 hingga 27 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan Kedua International Research Conference and Innovation Exhibition 2019 (IRCIE 2019) bertempat di KSL Resort & Hotel, Johor Bharu, Johor.

Persidangan anjuran Universiti Kuala Lumpur, Institut Teknologi Industri Malaysia (UniKL-MITEC) dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur, Institut Teknologi Kejuruteraan Marin Malaysia (UniKL - MIMET) adalah satu program persidangan antarabangsa bagi membentangkan kertas kerja kajian mengenai topik tertentu yang akan membantu melalui perbincangan, bertukar pandangan, serta membuat pengesahan tentang ketepatan hasil kajian yang diperolehi.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Wira Zanoramy Ansiry bin Zakaria dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) telah membuat pembentangan berjudul, “Crypto-Ransomware Detection on Windows Operating System”.

Melalui persidangan ini, CyberSecurity Malaysia dapat memberi pendedahan serta berpeluang untuk menukar pandangan dan berkongsi kepakaran bidang keselamatan siber di samping dapat meneruskan usaha dalam penerbitan kertas kajian berkaitan keselamatan siber.

Majlis Pelancaran Pensijilan Professional Modular, Shah Alam, Selangor

 

Pada 25 November 2019 CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Majlis Pelancaran Modular Pensijilan Professional bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam.

Majlis pelancaran anjuran bersama CyberSecurity Malaysia danJabatan Pembangunan Kemahiran serta Lembaga Teknologis Malaysia ini diadakan bagi memperkenalkan dan mempromosi program Pensijilan Profesional Modular Keselamatan Siber kepada umum.

Majlis Pelancaran Pensijilan Professional Modular ini telah disertai oleh 450 peserta dari pelbagai agensi dan organisasi. Majlis Perasmian ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mahfuz Bin Haji Omar Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Melalui Pensijilan Professional Modular ini, kualiti Skim Pensijilan Profesional Keselamatan Siber Bertauliah Global, “Global ACE Certification” dapat dipertingkatkan selaras dengan matlamat skim untuk mewujudkan angkatan kerja kompeten bertaraf dunia dalam keselamatan siber dan mempromosikan pembangunan program keselamatan siber di rantau ini.

Persidangan Pengguna Pertama Cybersecurity Awareness And Knowledge Systemic High-Level Application (YAKSHA), Putrajaya

 

Pada 27 hingga 28 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan Pengguna Pertama Cybersecurity Awareness and Knowledge Systemic High-level Application (YAKSHA) bertempat di Putrajaya.

Persidangan anjuran Jabatan Pengurusan Strategi bertujuan untuk memperkenalkan projek YAKSHA kepada pengguna dan duta yang berpotensi serta membincangkan peranan dan faedah menjadi duta YAKSHA. Persidangan ini juga berupaya menjalin hubungan kerjasama di antara pengguna dan ahli projek YAKSHA.

Persidangan YAKSHA telah dihadiri oleh seramai 108 orang peserta terdiri daripada 21 organisasi syarikat dan agensi. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ismamuradi bin Abdul Kadir, Ketua Jabatan Pengurusan Strategi, ;Mohamed Anwer bin Mohamed Yusoff ; Ketua Jabatan Perhubungan Industri dan Kolaborasi Keselamatan Siber (CIEC), dan Wan Zulhamli Wan Abdullah Rahman, Ketua Strategic Research & Advisory (SRA) yang juga merupakan salah satu daripada pelatih dan penceramah YAKSHA.

Melalui anjuran persidangan ini, CyberSecurity Malaysia dapat meningkatkan tahap kerjasama di antara Malaysia bersama ahli Kesatuan Eropah (EU) dengan menjalinkan hubungan perhubungan serta rangkaian kerjasama strategi bersama pihak organisasi Eropah dan ASEAN bagi memperkukuhkan tahap kesediaan siber, membantu mencegah serangan siber dengan lebih baik, mengurangkan risiko siber dan menjamin keselamatan siber secara keseluruhan.

Bangladesh Smart City Expo, Dhaka, Bangladesh

 

Pada 27 hingga 31 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan Bangladesh Smart City Expo bertempat di International Convention City Bashundhara (ICCB), Dhaka – Bangladesh.

Persidangan anjuran Dhaka North City Cooperation & Ministry of ICT Bangladesh ini bertujuan untuk mengenalkan dan memberi pencerahan tentang pembangunan Bandar Pintar di Dhaka, Bangladesh selari dengan inisiatif Digital Bangladesh yang di mulakan pada awal tahun 2019.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif dan Roshdi bin Haji Ahmad, Naib Presiden Kanan, Bahagian Korporat Strategik & Perhubungan Industri serta Izwadee bin Hamzah dari Jabatan Perhubungan Industri dan Kerjasama Keselamatan Siber.

Penyertaan pihak CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini telah berjaya memberi pandangan yang luas untuk CyberSecurity Malaysia dengan publisiti untuk Malaysia dan negara-negara luar serta dijemput untuk mengemuka kan cadangan pembangunan serta pengukuhan eko sistem keselamatan siber negra Bangladesh.

Lawatan Kerja Dari Badan Siber Dan Sandi Negara (BSSN) Indonesia Ke Cybersecurity Malaysia, Cyberjaya

 

Pada 27 November 2019, CyberSecurity Malaysia telah menerima lawatan dari delegasi Badan Siber dan Sandi Negara (BSSN), Indonesia diketuai oleh Puan Jumiati, Head of Subdirectorate of Response and Recovery of E-Commerce Information Infrastructure, Directorate of Digital Economy Response and Recovery, Deputy III bersama dua delegasi yang lain.

Lawatan diadakan untuk memberi khidmat nasihat dan berkongsi kepakaran serta pengalaman mengenai penubuhan pusat keselamatan siber, di samping menawarkan perkhidmatan disediakan oleh CyberSecurity Malaysia di dalam usaha mewujudkan kerjasama dalam bidang keselamatan siber.

Delegasi telah diberi taklimat oleh Noraini binti Abdul Rahman, Ketua Jabatan Perhubungan Antarabangsa (IE) dan Sharifah Roziah Mohd Kassim dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) mengenai fungsi dan berkenaan peranan serta perkhidmatan CyberSecurity Malaysia, disusuli dengan tayangan video korporat. Delegasi juga dibawa melawat kemudahan makmal MyCERT.

Lawatan ini telah memberikan CyberSecurity Malaysia peluang untuk memupukkan kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang keselematan siber, meningkatkan pembangunan kepakaran dan sumber, mempromosikan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia.