Mesyuarat Pertama bersama Suruhanjaya Rusia - Malaysia Mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal Dan Budaya, Moscow, Rusia

 

Pada 29 September hingga 4 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat pertama bersama Suruhanjaya Rusia – Malaysia mengenai kerjasama ekonomi, saintifik, teknikal dan budaya bertempat di Moscow, Rusia.

Mesyuarat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (MEA) dan Kementerian Pembangunan Ekonomi Persekutuan Rusia ini diadakan bertujuan untuk mengadakan kerjasama di antara Malaysia dan Rusia berkaitan bidang aeroangkasa, pertahanan, teknologi maklumat dan komunikasi, inovasi dan pembangunan digital termasuk bidang keselamatan siber.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia dan turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan daripada MEA, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertahanan, Kementerian Industri Utama, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta CyberSecurity Malaysia. Ismamuradi Abdul Kadir, Ketua Jabatan Pengurusan Strategik telah mewakili CyberSecurity Malaysia untuk bidang keselamatan siber.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam mesyuarat ini telah membuka ruang untuk CyberSecurity Malaysia meningkatkan penglibatan di arena antarabangsa sekaligus menyokong pihak kementerian secara keseluruhan sebagai kayu pengukur dalam memberikan perkhidmatan cemerlang dan meningkatkan hubungan bilateral di antara dua negara.

Mesyuarat Agung Tahunan Ke-empat CyberSecurity Alliance for Mutual Progress (CAMP) dan Seminar Keselamatan Siber Global CyberSecurity Centre for Development (GCCD), Korea Selatan

 

Pada 30 September hingga 4 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-empat CyberSecurity Alliance for Mutual Progress (CAMP) dan Seminar Keselamatan Siber Global CyberSecurity Centre for Development (GCCD) bertempat di Seoul, Korea Selatan.

Seminar anjuran Ministry of Science and ICT dan Korea Internet and Security Agency, Republic of Korea merupakan platform jalinan kerjasama 59 organisasi dari 45 negara bertujuan menangani cabaran di ruang siber melalui pembangunan keupayaan dan perkongsian maklumat yang lebih efektif serta tindak balas bersama terhadap ancaman siber serta mengadakan Mesyuarat Tahunan untuk melantik Sekretariat CAMP bagi penggal 2019-2022 dan Ahli Jawatankuasa Operasi CAMP bagi tahun 2019-2020.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Ahmad Nasir Udin Mohd Zin, dari Jabatan Perhubungan Antarabangsa (IE) yang menghadiri kedua-dua mesyuarat serta Seminar CAMP. Antara pendedahan yang diperolehi ialah latihan table top bertajuk “Security Data Analysis in Network Perspective”, mengadakan sesi lawatan ke Pameran ISEC 2019 dan juga mesyuarat perniagaan bersama ahli lain.

Melalui penyertaan ini, CyberSecurity Malaysia berpeluang memperolehi maklumat mengenai situasi keselamatan siber di negara-negara ahli, di samping mendapat informasi mengenai teknologi dan perkhidmatan perlindungan keselamatan siber yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat Republik Korea selain dapat membangunkan keupayaan CyberSecurity Malaysia melalui latih amal siber.

International Common Criteria Conference (ICCC) 2019, Singapura

 

Pada 1 hingga 3 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan International Common Criteria Conference (ICCC) 2019 yang diadakan di Suntec Convention & Exhibition Centre, Singapura.

Persidangan anjuran Agensi Cyber Security Singapura (CSA) ini merupakan satu platform rangkaian, pertemuan teknikal, perkongsian pengalaman penilaian dan kolaborasi di antara negara-negara mengenai isu keselamatan dan penilaian keselamatan dan penambahbaikan dalam bidang penilaian produk IT.

Nur Lylia Roslan dan Noraziah Anini Mohd Rashid telah mewakili CyberSecurity Malaysia dan membuat pembentangan berjudul “In Search of the Golden Finger: A Malaysian Biometric Evaluation Chicken-Soup Story”.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia dalam persidangan ini memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk bekerjasama dan menawarkan perkhidmatan latihan ke makmal CC yang lain serta berpotensi untuk menjadi makmal rujukan bagi penubuhan makmal baharu dan CC skim baharu seperti negara Singapura, Indonesia, India dan UAE. Tambahan pula, CyberSecurity Malaysia melalui persidangan ini dapat membantu proses Penyelidikan Keselamatan dan Pembangunan Kompetensi Pengkomputeraan Awan serta Kad Pintar & Perkakasan dalam menghasilkan kaedah dan laporan pengujian.

Persidangan Total Security 2019, Kuala Lumpur

 

Pada 1 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Persidangan Total Security 2019 bertempat di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur.

Persidangan anjuran Questex Asia ini diadakan bertujuan untuk membangunkan pemikiran budaya minda, sumber latihan dan peningkatan kemahiran dalam memerangi ancaman siber, di samping memperkenalkan alat ujian pengujian dan penembusan serta membina prasarana keselamatan siber di masa akan datang.

Ts. Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia telah dijemput sebagai penceramah pada persidangan ini dan beliau juga telah membuat pembentangan bertajuk “Creating A Robus CyberSecurity Infrastructure: Predictive and Pre-emptive and Note Just Defensive Mechanism”.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini telah mengukuhkan kedudukan sebagai agensi pakar dalam bidang keselematan siber, selain menjalin rangkaian hubungan dengan delegasi persidangan.

Mesyuarat Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Geneva, Switzerland

 

Pada 6 hingga 12 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bertempat di Geneva, Switzerland.

Mesyuarat anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) ini merupakan satu mesyuarat untuk perkongsian maklumat berkaitan program dan hala tuju ITU serta program masa hadapan penilaian berdasarkan Global Cybersecurity Index (GCI).

Mesyuarat telah dihadiri oleh seramai 50 perwakilan yang terdiri dari pelbagai negara anggota antaranya, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jepun, Korea, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Nigeria, Kenya dan lain-lain.

Para perwakilan telah didedahkan dengan tiga agenda utama iaitu perkongsian program peringkat nasional oleh negara-negara anggota, perkongsian penilaian Global Cybersecurity Index (GCI) 2019-2020 dan program yang dikoordinasikan oleh pihak ITU berkaitan dengan keselamatan siber.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini telah memberi pendedahan khususnya mengenai penilaian GCI 2019-2020 serta memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia selaku agensi teknikal keselamatan negara untuk bersedia dengan lebih baik melalui pelbagai program keselamatan siber selari dengan piawaian serta teras GCI seterusnya membantu memperbaiki kedudukan Malaysia ke arah yang lebih baik berbanding dengan penilaian GCI 2018.

Sidang Kemuncak Pertahanan Siber Ke-10 (CDS) 2019, Washington DC, Amerika Syarikat

 

Pada 7 hingga 11 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Sidang Kemuncak Pertahanan Siber Ke-10 (CDS) 2019 bertempat di Washington DC, Amerika Syarikat.

Mesyuarat anjuran syarikat FireEye ini diadakan bertujuan untuk mewakilkan pihak CyberSecurity Malaysia bagi mengambil bahagian di dalam persidangan sekaligus melibatkan CyberSecurity Malaysia sebagai salah satu pembentang pada persidangan tersebut.

CyberSecurity Malaysia yang diwakili oleh Ts. Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi dan Ts. Dr. Asmawi Ariffin, Naib Presiden Kanan, Bahagian Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber telah membuat pembentangan mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia dan juga kemajuan projek “CyberDEF” yang memenangi anugerah inovasi dari FireEye pada tahun 2015.

Pembentangan merangkumi pengalaman CyberSecurity Malaysia dalam menjalankan aktiviti operasi berkaitan dengan keselamatan siber untuk menghadapi ancaman di dalam negara. Selain itu, turut dikongsi ialah maklumat mengenai projek R&D yang diusahakan iaitu CMERP yang bermatlamat untuk diimplementasikan di seluruh negara di organisasi CNII dalam mencegah dan menghadapi ancaman ‘malware’ yang terkini.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini memberi pelbagai manfaat antaranya CyberSecurity Malaysia berpeluang untuk mempromosikan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi pakar di dalam bidang keselamatan siber. Pihak CyberSecurity Malaysia juga dapat membina dan mengukuhkan hubungan serantau dengan negara-negara di seluruh dunia untuk bekerjasama dalam penyelesaian masalah teknikal yang dihadapi di setiap negara di samping mengeratkan kerjasama bilateral dan hubungan baik dengan pihak berkepentingan dalam inisiatif keselematan siber.

Mesyuarat Tahunan World Trustmark Alliance (WTA), Shenzhen, China

 

Pada 14 hingga 16 Oktober 2019, Mesyuarat Tahunan World Trustmark Alliance (WTA) dianjurkan oleh Shenzhen E-Business Better Service (EBS) bertempat di Shenzhen, China.

Mesyuarat WTA diadakan untuk memastikan komitmen daripada ahli operator trustmark daripada 30 buah negara di samping membincangkan isu-isu berkaitan dengan pentadbiran WTA, pengurusan laman web WTA dan pemilihan serta perlantikan untuk jawatan Pengerusi WTA bagi tahun 2020-2021.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Wan Shafiuddin Zainudin dan Hasnida Zainuddin dari Badan Persijilan Keselamatan Informasi (ICSB). Hasnida Zainuddin, selaku Ahli Pakar Kehormat telah dijemput untuk membuat pembentangan bertajuk “Cyber Security International Development and Benchmark”.

Sebagai anggota WTA, CyberSecurity Malaysia berpeluang untuk mengukuhkan hubungan antara Malaysia dengan ahli negara WTA yang lain, di samping berkongsi perkembangan teknologi terbaru dan isu-isu semasa yang berkaitan dengan perkhidmatan Malaysia Trustmark, privasi, e-dagang, dan transaksi atas talian.

Mesyuarat ISO/IEC JTC 1/SC 27, Paris, Perancis

 

OPada 14 hingga 18 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat ISO/IEC JTC 1/SC 27 bertempat di Paris, Perancis.

Mesyuarat anjuran Association Française de Normalisation (AFNOR) bertujuan untuk mengemaskini dokumen ISO berdasarkan komen yang diberi oleh pakar-pakar di dunia, mendapatkan undian atau persetujuan daripada pakar untuk sebarang isu berkaitan dengan dokumen ISO yang dihasilkan.

Seramai 11 orang delegasi daripada Malaysia telah menghadiri mesyuarat ini dan CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Ts. Dr. Maslina Daud, Naib Presiden Kanan, Perkhidmatan Proaktif Keselamatan Siber (CSPS) dan Siti Fatimah Abidin, dari Jabatan Makmal Pengujian Keselamatan Malaysia.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini telah memberi manfaat dalam membantu pihak badan pensijilan untuk membuat persediaan awal bagi menyediakan perancangan dalam melaksanakan pensijilan privasi berdasarkan ISO/IEC 27701. Tambahan pula, CyberSecurity Malaysia melalui mesyuarat ini dapat membantu proses Penyelidikan Keselamatan dan Pembangunan Kompetensi Pengkomputeraan Awan serta Kad Pintar & Perkakasan dalam menghasilkan kaedah dan laporan pengujian.

Mesyuarat Pertukaran Teknikal Nuklear Serantau Asia Tenggara 2019, Bangkok, Thailand

 

Pada 14 hingga 18 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Pertukaran Teknikal Nuklear Serantau Asia Tenggara 2019 di Bangkok, Thailand.

Mesyuarat anjuran Agensi Nuklear Malaysia bersama United States Department of Energy National Nuclear Security Administration (DOE/NNSA) dan Thailand Institute of Nuclear Technology dengan kerjasama Office of Atoms for Peace (OAP) ini merupakan mesyuarat untuk membincangkan langkah mengendali risiko berkaitan keselamatan nuklear serta mencari penyelesaian baru bagi risiko nuklear yang kian bertambah dan ketara.

Mesyuarat dihadiri oleh beberapa agensi termasuk CyberSecurity Malaysia yang diwakili oleh Noor Azwa Azreen dari Jabatan Penyelidikan Strategik dan Penasihat (SRA). Penglibatan CyberSecurity Malaysia menunjukkan sikap pro-aktif dan komitmen dalam isu-isu berkaitan keselamatan siber negara dan sektor-sektor kritikal seperti tenaga nuklear.

Melalui mesyuarat ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat berkongsi maklumat, kepakaran dan menjalinkan hubungan baik untuk bekerjasama di masa terdekat untuk menghasilkan satu tulisan Nuclear Cyber Security Plan, di samping mempromosikan perkhidmatan MyVAC serta menggunakan khidmat CyberSecurity Malaysia untuk mengadakan latihan ‘drill’ keselamatan siber dan ‘penetration testing’.

Latihan Keselamatan dan Kesedaran IT, Institut Koreksional Malaysia, Tanjung Kling, Melaka

 

Pada 15 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah dijemput sebagai penceramah pada program Latihan Keselamatan dan Kesedaran IT bertempat di Institut Koreksional Malaysia di Tanjung Kling, Melaka.

Kursus anjuran Jabatan Penjara Malaysia ini adalah untuk memupuk kesedaran keselamatan dalam bidang keselamatan IT dikalangan pengguna IT dan pegawai-pegawai yang terlibat melalui modul yang disediakan.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh dua tenaga pengajar dari Unit ICS, di bawah Jabatan Makmal Pengujian Kerentenan Malaysia iaitu Muhammad Syahmi Zulkefle dan Mohd Faizal Sulong. Modul latihan yang digunakan terdiri daripada kesedaran dan keselamatan IT, latihan praktikal di samping mendapatkan maklum balas dari segi isi kandungan dan latihan yang diberikan oleh jabatan MyVAC.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada sesi ceramah ini telah membuka peluang untuk berkongsi pendapat serta memperluaskan lagi ilmu pengetahuan tentang kesedaran dan keselamatan IT yang perlu diterapkan kepada seluruh pegawai di sektor awam dan swasta.

Selain itu, CyberSecurity Malaysia juga bertindak aktif dalam memberi sokongan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), agensi-agensi kerajaan dan Jabatan Penjara Malaysia secara keseluruhan sebagai kayu pengukur kepada seluruh bahagian Keselamatan Kawalan Industri untuk memberikan perkhidmatan cemerlang and terkini kepada masyarakat umum.

Panel di GovInsider 2019, Bangkok, Thailand

 

Pada 15 hingga 16 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk menjadi Ahli Panel pada Persidangan GovInsider Live 2019 yang diadakan di Bangkok, Thailand.

Persidangan tahunan anjuran GovInsider ini mengumpulkan para inovator dan agensi global dari pelbagai sektor, antaranya sektor kewangan, teknologi, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur untuk berkongsi pengetahuan dan maklumat tentang hal isu semasa berkaitan dengan IT antara kerajaan yang khusus kepada sektor awam di rantau Asia Pasifik.

Persidangan ini turut disertai oleh pelbagai agensi dari negara Thailand serta negara-negara di rantau Asia Pasifik dan CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Wan Zulhamli Wan Abdul Rahman, Ketua Jabatan Penyelidikan Strategik dan Nasihat (SRA). CyberSecurity Malaysia selaku pusat rujukan keselamatan siber telah dijemput sebagai pengacara majlis serta moderator serta memberi beberapa pandangan dan nasihat pendekatan keselamatan siber dalam permodenan inisiatif teknologi digital pada masa kini.

Melalui persidangan ini, CyberSecurity Malaysia berpeluang untuk berkongsi pandangan, pendapat dan pendekatan strategik keselamatan siber di dalam aspek keselamatan siber, di samping menjalinkan hubungan serantau di Asia Pasifik untuk membina rangkaian bersama perwakilan dari negara lain di seluruh pelusuk Asia Tenggara.

Inisiatif Kerjasama Dengan Syarikat Keselamatan Siber Rusia, Moscow, Rusia

 

Pada 15 hingga 20 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri mesyuarat kerjasama dengan pihak kerajaan, badan kerajaan dan syarikat keselamatan siber bertempat di Rusia, Moscow.

Mesyuarat yang dianjurkan oleh Technological Sovereignty Exports Association ini diadakan bertujuan untuk berbincang dan membuat perancangan berdasarkan jalinan kerjasama MOU yang telah ditandatangani pada 12 September 2019 di Kuala Lumpur. Mesyuarat turut diadakan bagi membincangkan halatuju di antara CyberSecurity Malaysia dan Technological Sovereignty Exports Association, serta membangunkan kerjasama di antara Malaysia dan Rusia mengenai program keselamatan siber dengan kerajaan, universiti dan syarikat Rusia.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif dan Encik Roshdi Haji Ahmad, Naib Presiden Kanan, Bahagian Korporat Strategik & Perhubungan Industri.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada mesyuarat ini telah dapat mengukuhkan lagi kerjasama dua negara sekaligus membuka ruang untuk kerjasama dalam bidang Ekonomi Saintifik Teknikal dan Kerjasama Kebudayaan.

Persidangan Antarabangsa Ke-10 Dalam Penumpuan ICT (ICTC 2019), Pulau Jeju, Korea Selatan

 

Pada 16 hingga 18 Oktober, CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk membuat pembentangan di Persidangan Antarabangsa Ke-10 Dalam Penumpuan ICT (ICTC 2019) di Pulau Jeju, Korea Selatan.

Persidangan anjuran The Korean Institute of Communications and Information Sciences (KICS) adalah satu platform bagi para penyelidik, ahli industri serta ahli akademik berkumpul untuk berbincang dan berkongsi maklumat berkaitan perkembangan terbaharu dalam konvergensi industri baru berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ts. Mohd Zabri Adil Talib dan Nur Afifah Mohd Saupi dari Jabatan Forensik Digital, di mana mereka telah membuat pembentangan kertas penyelidikan saintifik bertajuk “Endpoint Detection and Response: Why Use Machine Learning?”.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini telah memberi peluang kepada Jabatan Forensik Digital melalui penyelidikan berkaitan Machine Learning untuk membangunkan sistem Endpoint Detection and Response, yang berupaya mengenalpasti punca serangan siber pada peranti elektronik terutamanya di sistem rangkaian komputer.

Program Bengkel APEC, Hanoi, Vietnam

 

Pada 22 hingga 23 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri program bengkel APEC bertempat di Hanoi, Vietnam.

Program anjuran Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietman ini merupakan satu platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam isu ekonomi e-dagang serta perdagangan. Ia juga platform perbincangan kaedah mengatasi cabaran serta peluang untuk memahami status pembangunan digital dan mewujudkan dasar-dasar baru yang berkaitan dengan fasilitasi ekonomi digital.

Ismamuradi Abdul Kadir, Ketua Jabatan Pengurusan Strategik telah mewakili CyberSecurity Malaysia dan menjadi ahli panel jemputan dengan membuat perkongsian ilmu mengenai isu-isu penting untuk memudahkan ekonomi digital: meningkatkan kepercayaan dan privasi data.

Melalui bengkel ini, CyberSecurity Malaysia mendapat banyak manfaat antaranya pendedahan kepada kakitangan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan selain mengukuhkan kedudukan CyberSecurity Malaysia di peringkat antarabangsa. CyberSecurity Malaysia turut berpeluang membentuk rangkaian kerjasama, di samping menawarkan agenda dan perkhidmatan CyberSecurity Malaysia kepada negara lain sekaligus mempergiatkan penglibatan CyberSecurity Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ceramah Di Unversiti Pengurusan Dan Sains (MSU), Shah Alam, Selangor

 

Pada 24 Oktober 2019 CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk memberi ceramah di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Shah Alam.

Program anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Kajian Profesional MSU ini bertujuan untuk mendedahkan para pelajar tentang kepentingan teknologi maklumat dalam pengurusan sumber manusia Melalui penggunaan teknologi terkini selaras dengan konsep capaian maklumat hanya di hujung jari.

yberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Ts. Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi yang membuat pembentangan bertajuk “Importance of Information Technology in Human Resource Department”.

Melalui penglibatan CyberSecurity Malaysia ini, ia telah memberi peluang untuk mengukuhkan lagi kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi yang menerajui bidang keselamatan siber di dalam negara Malaysia.

Sidang Kemuncak Keselamatan & Pengurusan Risiko Gartner 2019, (UAE)

 

Pada 28 sehingga 30 Oktober 2019, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan dan Pengurusan Risiko Gartner 2019 bertempat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Persidangan anjuran Abyres Sdn. Bhd. ini menyediakan peluang untuk mendapatkan wawasan piawaian, kerangka dan garis panduan tentang keselamatan siber terkini.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ts. Dr. Aswami Ariffin, Naib Presiden Kanan, Perkhidmatan Responsif Cyber Security (CSRS) yang membuat pembentangan tentang aktiviti operasi CyberSecurity Malaysia berkaitan keselamatan siber untuk menghadapi sebarang ancaman dalam negara.

Melalui anjuran persidangan ini, CyberSecurity Malaysia dapat mengeratkan hubungan kerjasama bilateral dengan pihak berkepentingan dalam inisiatif keselematan siber di samping mempromosikan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi pakar dalam bidang keselamatan siber kepada peserta yang hadir.

Sidang Kemuncak keselamatan Siber Arab Serantau, Simposium Serantau FIRST & ITU-ARCC & Persidangan Tahunan OIC Cert Ke-11, Muscat, Oman

 

Pada 27 hingga 30 Oktober, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri persidangan Regional Cybersecurity Week 2019 di Muscat, Oman.

Persidangan anjuran ITU-Arab Regional Cybersecurity Center serta disokong oleh Organisation of Islamic Cooperation – Computer Emergency Response Team (OIC-CERT) dan dihoskan oleh Kementerian Teknologi & Komunikasi Oman. Regional Cybersecurity Week 2019 merangkumi Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Serantau Ke-8, Simposium FIRST & ITU-ARCC dan Persidangan Tahunan OIC-CERT Ke-11, Latihan Siber Serantau Ke-7, dan Mesyuarat Lembaga OIC-CERT.

Persidangan yang membawa tema “Cybersecurity Revolution” ini diadakan bertujuan untuk menyediakan saluran perkongsian maklumat dan membincangkan isu-isu semasa keselamatan siber di samping menyediakan platform untuk negara-negara anggota membincangkan halatuju strategik dan cabaran yang dihadapi serta meningkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan siber di kalangan negara-negara anggota.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara), Pengerusi Lembaga Ahli Pengarah dan Ts. Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi. Pada persidangan tersebut, Tan Sri Azumi telah membuat pembentangan bertajuk ”Cyber Security Challenges in the 4th Industrial Revolution” dan menjadi ahli panel di sesi pembentangan bertajuk “Regional and International Cybersecurity Cooperation” manakala Dr. Zahri telah menjadi ahli panel di sesi pembentangan bertajuk “Cybersecurity in 4IR: Reaping Benefits and Mitigating Drawbacks” di Simposium FIRST & ITU-ARCC dan Persidangan Tahunan OIC-CERT Ke-11.

Melalui persidangan ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat mengeratkan hubungan kerjasama dengan negara-negara lain di peringkat antarabangsa serta berpeluang menonjolkan sumbangan penting dan peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam bidang keselamatan siber kepada negara-negara anggota dan terbukti sewaktu dilantik menjadi Setiausaha Tetap OIC-CERT pada tahun 2013.