Mesej dari CEO

 
 

Assalamualaikum WBT and Salam Sejahtera.

Bertemu kembali di penerbitan pertama CyberNEWS suku pertama bagi tahun 2020.

Meneruskan kesinambungan tahun 2019, CyberSecurity Malaysia terus terlibat secara aktif dalam mendokong mandat yang digalas dengan melaksanakan pelbagai program serta inisiatif keselamatan siber sama ada di peringkat tempatan mahu di arena antarabangsa. Ke semua ini dilakukan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan agensi dalam menangani ancaman siber agar sentiasa berada di tahap yang amat baik.

Dalam suku pertama, CyberSecurity Malaysia meneruskan jalinan kerjasama dan menyokong program serta inisiatif yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada agensi serta badan–badan kerajaan atau industri dengan mengadakan perkongsian ilmu dari aspek teknologi juga amalan terbaik.

Pada bulan Februari 2020, CyberSecurity Malaysia telah sekali lagi berjaya menerajui sambutan Hari Keselamatan Internet (Safer internet Day) atau SID 2020 - Edisi Malaysia. Bertemakan ‘Fasih Digital’, sambutan ini telah mendapat sokongan YAB Timbalan Perdana Menteri seterusnya menjadi satu kempen peringkat nasional dalam usaha melestari kesedaran keselamatan siber bagi melahirkan warga digital yang beretika dan bertanggungjawab.

Di suku pertama ini juga, dunia digemparkan dengan pandemik COVID-19 yang menjadi satu ancaman yang merubah pola kehidupan lazim masyarakat. Pada waktu ini, tahap kebergantungan kepada teknologi untuk berhubung, berinteraksi dan mendapatkan maklumat menjadi amat ketara. Maka, muncul ancaman-ancaman dari penjenayah siber yang sering mengambil kesempatan ke atas sesuatu peristiwa yang berlaku. Ia menjadi cabaran baharu bidang keselamatan siber yang merupakan salah satu perkhidmatan penting negara.

Dalam hal ini, saya ingin mengesa rakyat Malaysia khususnya pengguna Internet agar sentiasa berwaspada dan mengamalkan tatacara terbaik serta mengikuti garis panduan yang disarankan dalam penggunaan teknologi. Selain penjagaan kesihatan, keselamatan di alam siber juga perlu diberikan perhatian dan keutamaan.

Saya dan seluruh warga CyberSecurity Malaysia akan terus komited dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan mempelbagaikan lagi insiatif keselamatan siber demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Teruskan bersama kami dengan mengikuti penerbitan berkala mengenai pesanan serta nasihat amalan terbaik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Sentiasa Bijak Sentiasa Selamat. Bersama Ke Arah Kesejahteraan Siber.

Terima kasih.

Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab
Ketua Pegawai Eksekutif

AKTIVITI SUKU PERTAMA

 
JAN

2020

feb

2020

mac

2020