Lawatan Kerja Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) Ke CyberSecurity Malaysia

 

Pada 9 Januari 2020, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), YBrs. Tuan Al-Ishsal Ishak serta delegasi telah mengadakan lawatan kerja ke CyberSecurity Malaysia.

Lawatan diadakan bagi mendapatkan informasi terkini mengenai peranan serta fungsi CyberSecurity Malaysia dalam pembangunan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti keselamatan digital di Malaysia. Delegasi disambut oleh YABhg. Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Mohd Azumi Bin Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia.

Pada lawatan tersebut, delegasi SKMM telah diberi taklimat oleh YBhg. Dato’ Ts Dr Haji Dr Amirudin bin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia serta dibawa melawat makmal yang terdapat di CyberSecurity Malaysia.

Lawatan Kerja Oleh Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Ke CyberSecurity Malaysia

 

Pada 9 Januari 2020, CyberSecurity Malaysia telah menerima lawatan kerja dari Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Lawatan ini merupakan salah satu inisiatif bagi mengenalpasti peranan dan halatuju yang perlu diberikan keutamaan oleh STRIDE dalam membangunkan kepakaran keselamatan siber serta mengelakkan pertindihan peranan agensi yang terlibat dengan keselamatan siber.

Encik Mohd Shamir Bin Hashim, Naib Presiden Kanan Bahagian Perhubungan Antarabangsa dan Kerajaan, telah menerima delegasi STRIDE dan mengadakan taklimat serta perbincangan sewaktu lawatan ini.

Melalui lawatan ini, CyberSecurity Malaysia telah memperkenalkan perkhidmatan kepada STRIDE di samping mengeratkan kerjasama di antara STRIDE dan CyberSecurity Malaysia.

CTO Tech Summit And Pursuing Business Meeting On The Development Of Bangladesh Center Of Excellence (COE), Dhaka, Bangladesh

 

Pada 17 hingga 21 Januari 2020, CyberSecurity Malaysia telah dijemput menghadiri Persidangan CTO Tech Summit and Pursuing Business Meeting on The Development of Bangladesh Center of Excellence (COE) yang diadakan di Dhaka, Bangladesh.

Persidangan anjuran CTO Forum Bangladesh serta Kementerian Teknologi Komunikasi Maklumat Bangladesh ini merupakan platform bagi perkongsian pengetahuan serta pengalaman dalam bidang keselamatan siber di Bangladesh.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Muhamad Izwadee Hamzah, Pengurus Jabatan Perhubungan Industri dan Kerjasama Keselamatan Siber (CIEC) di mana beliau telah membuat perbentangan bertajuk “Emerging Networks & Security Trends”.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan ini telah memberi peluang publisiti khususnya menerusi media sosial di arena antarabangsa.

Lawatan Delegasi Parlimen Malaysia Ke CyberSecurity Malaysia

 

Pada 21 Januari 2020, YB Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md. Yusof, Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta delegasi telah mengadakan lawatan kerja ke CyberSecurity Malaysia.

Lawatan ini diadakan bertujuan untuk mendapatkan informasi terkini, memahami peranan serta fungsi CyberSecurity Malaysia selain menjalin hubungan baik di antara kedua belah pihak. Delegasi telah diberi taklimat mengenai latar belakang, fungsi dan peranan CyberSecurity Malaysia serta turut diperkenalkan dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia.

YABhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Bin Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia telah menerima delegasi dan mengadakan taklimat pada sesi lawatan ini. Delegasi juga dibawa melawat Pusat Operasi kendalian Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) dan juga makmal Forensik Digital.

Melalui lawatan ini, CyberSecurity Malaysia dapat memperkenal perkhidmatan kepada delegasi Parlimen Malaysia di samping mengeratkan hubungan di antara kedua-dua pihak.