Bengkel Pembangunan “National Occupational Skills And Standards (NOSS) In Digital Forensics For First Responder”, Putrajaya

 

Pada 8 hingga 9 Ogos 2020, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan bengkel pembangunan standard pekerjaan dalam bidang “Digital Forensics for First Responder”(DFFR) bertempat di Hotel Marriot Putrajaya.

Bengkel ini diadakan bagi tujuan menentukan skop pekerjaan yang dilakukan berkaitan DFFR serta mengenalpasti kedudukan tahap kompetensi bidang pekerjaan berkaitan DFFR berdasarkan definisi tahap yang ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Bengkel anjuran CyberSecurity Malaysia in telah disertai oleh agensi organisasi dari pihak industri dan kerajaan.

Melalui penganjuran bengkel ini CyberSecurity Malaysia telah dapat mengukuhkan hubungan dengan organisasi yang terlibat secara langsung dengan industri keselamatan siber serta mewujudkan pensijilan yang menyeluruh dalam bidang keselamatan siber.

Bengkel Semakan Peperiksaan “Global ACE Certification”, Putrajaya

 

Pada 10 hingga 14 Ogos 2020, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan bengkel semakan peperiksaan bagi program latihan Pensijilan Global ACE bertempat di Hotel Marriot Putrajaya.

Bengkel ini diadakan bagi membuat semakan soalan peperiksaan program latihan Pensijilan Global ACE di antara wakil tenaga pakar industri, akademik, kerajaan dan Jawatankuasa Professional Peperiksanaan (PEC).

Bengkel anjuran CyberSecurity Malaysia ini telah disertai oleh 22 agensi Kerajaan serta Institut Pengajian Tinggi awam dan swasta.

Melalui penganjuran bengkel ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat menambahbaik serta meningkatkan kualiti soalan-soalan peperiksaan bagi setiap program latihan Pensijilan Global ACE.

Bengkel Rintis Modul Kesedaran Keselamatan Siber Nasional (MKKSN) Kepada Jurulatih Utama (JU), Genting Highland, Putrajaya, Tawau, Melaka, Kuching, Dan Wilayah Persekutuan Labuan

 

CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menganjurkan Bengkel Rintis Modul Kesedaran Keselamatan Siber Nasional (MKKSN) pada 10 hingga 28 Ogos 2020 kepada Jurulatih Utama (JU). Jurulatih Utama ini terdiri daripada guru-guru dari negeri Pahang, Sabah, Melaka, Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan Labuan.

Bengkel ini memberi tumpuan kepada JU bagi membolehkan mereka meneliti serta menilai isi kandungan dan mengenalpasti penambahbaikan fungsi teknikal yang terdapat pada MKKSN. Pelaksanaan bengkel adalah bagi memastikan kelancaran dan kesediaan platform MKKSN untuk digunakan sewaktu pelaksanaan rintis kepada murid-murid.

Bengkel di enam lokasi berbeza ini telah melibatkan seramai 220 guru serta JU dari 215 buah sekolah seperti berikut:

  • 11 & 12 Ogos 2020 – Tawau (Sabah)
  • 11 & 12 Ogos 2020 – Putrajaya (Selangor, WP Putrajaya & N. Sembilan)
  • 18 & 19 Ogos 2020 – Kuching (Sarawak – Webinar dalam talian)
  • 18 & 19 Ogos 2020 – Genting (WP KL & Pahang)
  • 25 & 26 Ogos 2020 – Labuan (WP Labuan)
  • 26 & 27 Ogos 2020 – Melaka (Melaka & Johor)

Dengan pelaksanaan bengkel ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat memperkemaskan lagi isi kandungan modul serta memperbaiki masalah teknikal selain dapat meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan murid serta guru sekolah seluruh Malaysia.

Program Sehari Bersama Profesor Adjung Fakulti Sains Komputer Dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor

 

Pada 17 Ogos 2020, CyberSecurity Malaysia telah dijemput menghadiri Program Sehari Bersama Profesor Adjung Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat bertempat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor.

Program anjuran Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UTHM ini merupakan satu inisiatif membincangkan kerjasama di antara FSKTM dan CyberSecurity Malaysia, di samping memberi syarahan berkenaan keselamatan siber kepada warga FSKTM.

Ts. Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi, CyberSecurity Malaysia selaku Profesor Adjung FSKTM, UTHM telah dijemput memberikan syarahan bertajuk “The Reality of Cyber Threats Today”.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia sebagai penceramah pada program ini telah meningkatkan imej serta reputasi CyberSecurity Malaysia dalam sektor pendidikan, sekaligus dapat mewujudkan peluang kerjasama antara CyberSecurity Malaysia dan UTHM.

Program Latihan Dalam Talian “Android Mobile Malware Case Study During COVID19 Lockdown”

 

Pada 19 Ogos 2020, CyberSecurity Malaysia telah menyertai program latihan dalam talian bertajuk “Android Mobile Malware Case Study During COVID19 Lockdown” melalui aplikasi Zoom.

Program latihan Asia Pacific CERT (APCERT) dan Pacific Cybersecurity Operational Network (PaCSON) ini merupakan satu platform untuk membantu komuniti PaCSON dengan berkongsi ilmu pengetahuan asas berkaitan keselamatan siber menerusi beberapa sesi latihan dalam talian.

Muhammad Zuhair Bin Abd Rahman, Kamarul Baharin Bin Khalid dan Muhammad Azizi Bin Jamadi, Juruanalisa Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer (MyCERT), telah mewakili CyberSecurity Malaysia sebagai ahli panel dan telah membuat pembentangan bertajuk “Android Mobile Malware Case Study During COVID19 Lockdown".

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada program latihan dalam talian ini telah berjaya mengukuhkan hubungan serta kerjasama dengan APCERT dan PaCSON sekaligus meningkatkan pembangunan kepakaran dan sumber dalam bidang analisis malware.

Bengkel Verifikasi Dokumen Pembangunan Standard Pekerjaan “Digital Forensics For First Responder (DFFR)” Dan Pembangunan “Occupational Framework” Dalam Industri Keselamatan Siber, Putrajaya

 

Pada 22 hingga 23 Ogos 2020, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Bengkel Verifikasi Dokumen Pembangunan Standard Pekerjaan “Digital Forensics for First Responder” (DFFR) dan Pembangunan “Occupational Framework” dalam industri keselamatan siber bertempat di Hotel Marriot Putrajaya.

Bengkel ini diadakan bagi tujuan mengesahkan deraf dokumen pembangunan standard pekerjaan DFFR (NOSS DFFR) yang telah dibangunkan serta pada yang sama turut membangunkan "Occupational Framework" yang merangkumi semua jawatan yang terlibat dalam industri keselamatan siber.

Bengkel ini telah disertai oleh seramai 21 orang panel pakar terdiri dari agensi penguatkuasa, industri dan Institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Melalui penganjuran bengkel ini, CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran melaksanakan “NOSS DFFR” dan ”Occupational Framework” dalam bidang keselamatan siber.

Bengkel “Global ACE Certification: DFFR Item Construction”, Putrajaya

 

Pada 24 hingga 26 Ogos 2020, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan bengkel “Global ACE Certification: Digital Forensics for First Responder (DFFR) Item Construction” bertempat di Hotel Marriot Putrajaya.

Bengkel ini diadakan bagi tujuan untuk membangunkan kertas peperiksaan dan skema pemarkahan bagi program pentauliahan professional DFFR.

Bengkel anjuran CyberSecurity Malaysia ini telah disertai oleh organisasi dari pihak industri dan institut pengajian tinggi.

Melalui penganjuran bengkel ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat membangunkan soalan-soalan peperiksaan mengikuti standard ISO/IEC 17024 sebagai persediaan program pentauliahan professional DFFR.

Seminar Maya: Virtual Cloud Security Day

 

Pada 25 Ogos 2020, CyberSecurity Malaysia telah menyertai seminar maya bertajuk “Virtual Cloud Security Day” melalui aplikasi Microsoft Teams.

Seminar secara maya anjuran Microsoft Malaysia ini merupakan satu platform yang membincangkan isu keselamatan siber dalam membantu melindungi operasi perniagaan serta memperkasakan pelanggan dengan pengetahuan dalam bidang keselamatan maklumat.

Ts. Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi, telah mewakili CyberSecurity Malaysia dengan membuat pembentangan bertajuk “Overview of Cybersecurity Landscape in Malaysia".

Penyertaan CyberSecurity Malaysia dalam seminar maya ini telah dapat mengukuhkan kerjasama dengan Microsoft Malaysia serta industri secara amnya.