HARI KERJAYA CYBERSECURITY MALAYSIA 2021

 

Pada 2 dan 3 April 2021, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan satu pameran kerjaya bertempat di Dewan Menara Cyber Axis, Cyberjaya.

Pameran kerjaya ini dilaksanakan bagi menyediakan sebuah platform pencarian kerja kepada golongan berpotensi yang terkesan ekoran daripada penularan wabak pandemik Covid-19.

Dengan penglibatan 16 buah syarikat keselamatan siber, program ini telah berjaya menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang keselamatan siber kepada orang ramai.

Melalui penganjuran program pameran kerjaya seperti ini, ia telah berjaya membantu untuk menghubungkan syarikat dengan calon yang layak dan berpotensi dalam usaha meningkatkan kualiti bidang keselamatan siber negara. Kira-kira 1,400 permohonan telah berjaya dicatatkan sepanjang dua hari program tersebut berlangsung.

WEBINAR “EMPOWERING YOUR MINDSET WITH CYBER ETHICS” SEMPENA GIRL IN ICT (GICT) 2021

 

Pada 24 April 2021, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan sebuah Webinar Etika Siber yang bertajuk “Empowering Your Mindset with Cyber Ethics” menerusi laman media sosial YouTube Live CyberSecurity Malaysia.

Webinar Etika Siber ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengguna Internet khususnya golongan wanita dalam usaha mewujudkan persekitaran siber yang kondusif, serta membina ekosistem siber yang selamat dan harmoni.

Beberapa ahli panel yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang aktivis wanita, pendidikan, kesihatan mental, keusahawanan dan dari badan bukan kerajaan (NGO) telah menyertai sambutan International Girls in ICT Day 2021.

Penganjuran webinar ini telah dapat meningkatkan tahap kesedaran tentang kepentingan menjaga keselamatan ketika berada di alam siber serta amalan etika siber dalam kalangan warga digital khususnya golongan wanita di dalam dunia ICT.

PROGRAM CYBERSAFE BERSAMA MEDIA

 

Pada 30 April 2021, CyberSecurity Malaysia telah meraikan pihak media Malaysia melalui penganjuran sebuah program yang dikenali sebagai Program CyberSAFE Bersama Media.

Inisiatif ini merupakan salah satu aktiviti jangkauan luar di bawah Program CyberSAFE (Cyber Security Awareness For Everyone) bertujuan untuk berkongsi informasi dan maklumat mengenai bidang keselamatan siber serta program terkini yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia agar pihak media dapat menghasilkan penulisan serta pelaporan yang tepat lagi terangkum.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Bin Mohamed (Bersara) berkata pihak media merupakan salah satu agen kolaborator yang sangat penting bagi penyebaran maklumat dan informasi mengenai pelbagai tindakan, inisiatif dan usaha dalam memperkukuhkan bidang keselamatan siber di Malaysia.

Pada majlis tersebut, CyberSecurity Malaysia turut menyampaikan penghargaan kepada pelbagai media Malaysia yang sentiasa memberi kerjasama padu serta sokongan melalui hebahan isu-isu berkaitan keselamatan siber, memberi pendidikan dan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keselamatan siber.