PRA PERTANDINGAN WACANA ICT KEBANGSAAN PIALA CABARAN CYBERSAFETM (WACANA MAYA)

 

Pada 4 Mei 2021, CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan satu sesi pra pertandingan bagi Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan Piala Cabaran CyberSAFETM atau NICTSeD.

Pelaksanaan NICTSeD pada tahun ini diadakan secara maya disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara. Pendekatan baharu ini dilaksanakan bagi memastikan keselamatan para peserta yang mengikuti pertandingan selain dapat meneruskan pertandingan walaupun negara masih berdepan dan pandemik Covid-19. Melalui pelaksanaan secara maya, pematuhan kepada SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan akan dapat diikuti sebagai usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Pada sesi pra pertandingan secara maya ini , sebanyak tiga buah sekolah yang terdiri daripada Sekolah Menegah Kebangsaan Lembah Keramat dari Selangor, Sekolah Menegah Kebangsaan Agama Al-Irshad dari Pulau Pinang dan Sekolah Menegah Sains Tuanku Aisyah Rohani dari Negeri Sembilan telah mengambil bahagian bagi membincangkan topik berkaitan bidang keselamatan siber.

Selain mendedahkan peserta dengan kaedah pertandingan yang baharu, pra pertandingan ini juga dijalankan bagi membantu jawatankuasa teknikal untuk mengenalpasti tatacara pelaksanaan yang seusai untuk digunakan bagi memastikan kelancaran perjalanan pertandingan yang akan diadakan kelak.

MESYUARAT COMMON CRITERIA RECOGNITION ARRANGEMENT (CCRA) 2021

 

Pada 10 hingga 12 Mei 2021, CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Common Criteria Recognition Arrangement (CCRA) 2021 anjuran Common Criteria Development Board (CCDB) dan Common Criteria Executive Subcommittee (CCES) secara dalam talian.

Mesyuarat dilaksanakan bagi tujuan membincangkan isu berkaitan pensijilan, standard Common Criteria, operasi ahli CCRA serta perlantikan pengerusi baharu CCES dan sukarelawan bagi tujuan penganjuran mesyuarat yang akan diadakan pada bulan September 2021.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Rob Huisman (Netherland) dan Tunga Gokhun (Turki) serta dibantu oleh Yvette Bodaar (Turki). Pada masa yang sama, ahli majlis telah sebulat suara melantik Wan Shafiuddin bin Zainudin dari Malaysia sebagai pengerusi baharu CCES untuk tempoh selama dua tahun bermula 2021.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam CCRA telah menunjukkan bahawa Malaysia amat mementingkan standard keselamatan antarabangsa untuk produk ICT selain membantu produk yang dibangunkan di dalam negara mendapat pasaran dan dikenali di luar negara.

PELANCARAN PERTANDINGAN WACANA KESELAMATAN ICT KEBANGSAAN: PIALA CABARAN CYBERSAFETM 2021 (WACANA MAYA)

 

Pada 27 Mei 2021 telah berlangsung Pelancaran Pertandingan Wacana ICT Kebangsaan Piala Cabaran CyberSAFETM 2021 atau NICTSeD 2021 (Wacana Maya).

Pada tahun ini, pertandingan NICTSeD 2021 diadakan secara maya melalui platform GoToWebinar dan dipancarkan secara meluas menerusi YouTube Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Program pelancaran ini diadakan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai penganjuran NICTSeD 2021 serta memberi pendedahan yang lebih terperinci kepada pihak yang terlibat mengenai format baharu yang akan digunapakai pada hari pertandingan kelak.

Seramai 230 peserta terdiri daripada Jurulatih Utama (JU) di setiap negeri hadir pasa program tersebut. Pelancaran ini telah dihadiri oleh Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Puan Maznah binti Abu Bakar dan turut disertai oleh Lt Kol Mustaffa Ahmad (Bersara), Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach dan Komunikasi Korporat bagi pihak CyberSecurity Malaysia.

Penganjuran pertandingan ini merupakan kesinambungan daripada pelbagai aktiviti yang telah dijalankan di bawah program CyberSAFETM bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan keselamatan diri di alam siber sejajar dengan peralihan ke arah norma baharu yang memberi kesan terhadap peningkatan kadar penggunaan teknologi dan Internet terutama sekali dalam kalangan pelajar.

SEMINAR ‘CRYPTOCURRENCIES INVESTIGATION FROM AUSTRALIA’S PERSPECTIVE’

 

Pada 31 Mei 2021, CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama National Financial Crime Center telah menganjurkan seminar penyiasatan mata wang kripto menerusi aplikasi digital Zoom.

Seminar tersebut bertujuan untuk merungkai pertanyaan dan kekeliruan dalam penyiasatan matawang kripto serta mengadakan kajian perbandingan dengan negara lain tentang penyiasatan dan pendakwaan kes matawang kripto.

Jabatan Peguam Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia turut menghadiri seminar yang telah dirasmikan oleh YBhg Dato’ Seri Mustafar Bin Ali, Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada seminar ini telah dapat mengukuhkan lagi kredibiliti serta keupayaan agensi ini sebagai pakar rujuk mengenai bidang berkaitan keselamatan siber. Secara tidak lansung, perkara ini akan dapat membangunkan keupayaan negara dalam meningkatkan kualiti pengawalan matawang kripto.