Mesej dari CEO

 
 

Assalamualaikum WBT and Salam Sejahtera.

Bertemu kembali di penerbitan CyberNEWS suku kedua bagi tahun 2021.

Seperti yang kita sedia maklum, negara masih lagi berdepan dengan penularan pandemik Covid-19. Dengan menyesuaikan diri terhadap norma baharu ianya bukan sahaja dapat menghindari diri dan keluarga daripada jangkitan wabak tersebut, bahkan ia dapat meningkatkan kesedaran diri kita agar lebih peka dengan amalan kebersihan diri.

Sepanjang suku kedua tahun 2021, CyberSecurity Malaysia semakin giat melaksanakan pelbagai program serta inisiatif kesedaran keselamatan siber bagi mengukuh dan mendidik pelbagai pihak untuk melengkapkan diri dengan ilmu serta cakna terhadap kemunculan ancaman dan serangan siber yang semakin sofistikated saban hari.

Pada April 2021, CyberSecurity Malaysia telah melaksanakan program Hari Kerjaya Malaysia 2021 secara fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat. Pameran kerjaya ini diadakan bagi menyediakan sebuah platform pencarian kerja kepada golongan yang terkesan ekoran daripada penularan wabak pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, pengaruh golongan wanita di dalam media sosial dan Internet kini semakin menyerlah menerusi pelbagai kejayaan yang telah dicapai. Bersempena dengan sambutan ‘International Girls in ICT Day’ pada tahun ini, satu webinar Etika Siber yang bertajuk “Empowering Your Mindset with Cyber Ethics” menerusi laman media sosial Youtube Live CyberSecurity Malaysia turut diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengguna Internet khususnya kaum wanita bagi mewujudkan persekitaran keselamatan siber yang selamat.

CyberSecurity Malaysia terus berusaha dalam membantu negara meningkatkan kualiti bidang keselamatan siber. CyberSecurity Malaysia juga telah menghadiri Mesyuarat Common Criteria Recognition Arrangement (CCRA) 2021 anjuran Common Criteria Development Board (CCDB) dan Common Criteria Executive Subcommittee (CCES) yang dilakukan secara dalam talian.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dengan negara luar sedikit sebanyak membuktikan kredibiliti negara di pentas dunia serta dapat mengambil contoh pengawalan dunia siber yang efektif daripada negara maju sebagai rujukan dalam memperkukuhkan lagi tahap keselamatan siber di negara ini.

Saya dan seluruh warga CyberSecurity Malaysia akan terus komited dalam menyediakan prasarana dan perkhidmatan yang terbaik serta mempelbagaikan lagi inisiatif bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber demi mencapai kesejahteraan rakyat di masa hadapan. Penghasilan ekosistem siber yang selamat akan memberi kelebihan kepada proses pembangunan dan pertahanan negara. Terus bersama kami dalam usaha menjaga bidang keselamatan siber negara.

Sentiasa Bijak Sentiasa Selamat. Bersama Ke Arah Kesejahteraan Siber.

Terima kasih.

Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab
Ketua Pegawai Eksekutif