LATIHAN TEKNIKAL ‘CERTIFIED PENETRATION TESTER’ MALAYSIAN TECHNICAL COOPERATION PROGRAMME (MTCP)

 

Pada 21 hingga 30 Jun 2021, CyberSecurity Malaysia telah bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) bagi melaksanakan program latihan teknikal bertajuk ‘Certified Penetration Tester’ secara dalam talian.

Program latihan ini diadakan bagi tujuan memupuk kesedaran dan memberi pendedahan dalam kalangan peserta terhadap kepentingan keselamatan siber. Di samping itu, para peserta yang menyertai latihan ini akan menduduki peperiksaan ‘Certified Penetration Tester’ dan memperolehi pensijilan professional dalam bidang tersebut.

Tahun ini merupakan kali pertama latihan ini diadakan secara dalam talian ekoran daripada penularan wabak pandemik COVID-19. Seramai 12 orang peserta daripada lima buah negara anggota ASEAN dan OIC-CERT iaitu Bangladesh, Brunei, Indonesia, Thailand dan Vietnam menyertai program yang diadakan selama 8 hari ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penolong Setiausaha, Bahagian Kerjasama Dan Pembangunan Antarabangsa, Kementerian Luar Negeri, Cik Nur’amirah Mohamad pada 21 Jun 2021.

Program ini telah dapat memperkukuhkan lagi kerjasama antarabangsa serta menjadi platform perkongsian ilmu dan maklumat berkaitan isu keselamatan siber serantau. Secara tidak lansung, ianya turut mendorong kepada peningkatan kualiti infrastruktur ICT yang diperlukan bagi menangani sebarang bentuk ancaman siber yang melangkaui batas sempadan.