PROGRAM LATIHAN FORENSIK SIBER KEPADA MANAGEMENT AND SCIENCE UNIVERSITY (MSU)

 

Pada 1 - 7 September 2021, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Program Latihan Forensik Siber kepada Management and Science University (MSU) melalui platform ZOOM.

Program latihan ini diadakan bertujuan untuk memperkasa dan meningkatkan keupayaan forensik siber dalam kalangan 60 peserta yang terdiri dari pensyarah serta pelajar MSU.

Program latihan Forensik Siber ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu:

a. AI & Biometrics Training
b. Cryptocurrencies Forensic Training
c. Forensic Audit Training
d. Forensic Web Reconstruction Training

Program latihan ini diadakan susulan dari Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh CyberSecurity Malaysia dan Management and Science University (MSU) pada 22 Mac 2021 yang merangkumi bidang penyelidikan dan inovasi, latihan, perundingan, dan juga pensijilan. Melalui penganjuran program ini,

CyberSecurity Malaysia telah berpeluang memberi pendedahan mengenai bidang Forensik Digital serta mempromosi kepentingan bidang forensik digital kepada para pelajar dan pensyarah MSU.

LAWATAN KERJA YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA TPR ANNUAR HAJI MUSA, MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA KE CYBERSECURITY MALAYSIA

 

Pada 9 September 2021, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa telah mengadakan lawatan kerja ke CyberSecurity Malaysia.

Lawatan diadakan bagi memberi penerangan serta pendedahan yang lebih terperinci kepada YB Menteri serta delegasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengenai peranan serta fungsi CyberSecurity Malaysia dalam melaksanakan pembangunan bidang keselamatan siber di Malaysia.

Pada lawatan tersebut YB Menteri turut menyampaikan amanat dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan terlibat dalam mengaturkan taklimat serta acara lawatan ke CyberSecurity Malaysia.

YB Menteri serta delegasi telah dibawa melawat makmal-makmal keselamatan siber serta diberikan demonstrasi perkakasan forensik pada akhir lawatan berkenaan.

BENGKEL “KSA DESCRIPTOR REVIEW”

 

Pada 10 September 2021, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Bengkel “KSA Descriptor Review” secara maya melalui platform Microsoft Teams.

Bengkel ini dijalankan bagi menyemak dan mengemaskini pembangunan Cybersecurity Data Science Analyst KSA descriptor di bawah Pensijilan Global ACE.

Bengkel anjuran Jabatan Pembangunan Profesional Keselamatan Siber ini telah dihadiri oleh tenaga pakar dari sektor akademik, industri dan organisasi kerajaan.

Melalui penganjuran bengkel ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat meningkatkan kualiti pembangunan KSA Descriptor, Global ACE Certification selaras dengan keperluan industri.

PEMULIH SIBERKASA- LATIHAN CYBER SECURITY ESSENTIAL

 

Pada 20 - 23 September 2021, CyberSecurity Malaysia telah mengadakan sebuah program latihan secara maya bertajuk ‘Cyber Security Essential’ melalui aplikasi ZOOM.

Ini merupakan salah satu sesi latihan di bawah Pemulih SiberKASA: Program Latihan Kemahiran Keselamatan Siber yang dibangunkan khusus berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PEMULIH) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). Ia bertujuan untuk mengukuh, melatih semula serta meningkatkan kemahiran individu yang mempunyai latar belakang teknologi maklumat (IT) yang terkesan akibat pandemik COVID-19 seperti kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Seramai 200 orang peserta telah dipilih dan berdaftar bagi mengikuti program ini. Para peserta seterusnya akan ditempatkan ke syarikat terpilih yang bekerjasama dalam menjayakan program Pemulih-SiberKASA selama 2.5 bulan.

Melalui penganjuran program ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sejajar dengan inisiatif pembangunan semula ekonomi negara selain meningkatkan jumlah pekerja pengetahuan terlatih di Malaysia.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN 2021 BAGI PASUKAN TINDAK BALAS KECEMASAN KOMPUTER ASIA PASIFIK (APCERT)

 

Pada 29 September 2021 telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan 2021 bagi Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) di secara maya melalui platform Cisco Webex.

Mesyuarat yang dikendalikan oleh Japan Computer Emergency Response Team Coordination Center (JPCERT/CC) ini merupakan acara kemuncak bagi aktiviti APCERT setiap tahun. Tujuan APCERT mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ini adalah untuk membincangkan perkara berkaitan polisi, operasi dan halatuju strategik APCERT dengan kesemua ahlinya.

Delegasi CyberSecurity Malaysia telah diketuai oleh Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Panglima Mohd Azumi bin Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia di mana beliau telah menyampaikan ucapan pembukaan.

Pada mesyuarat ini, CyberSecurity Malaysia telah mendapat pengiktirafan ahli-ahli APCERT untuk dilantik sebagai Pengerusi APCERT bagi tempoh 2021 - 2023. Ini menunjukkan pengiktirafan dan keyakinan ahli-ahli APCERT terhadap peranan CyberSecurity Malaysia.