Mesej dari CEO

 
 

Assalamualaikum WBT and Salam Sejahtera.

Bersua kembali di penerbitan CyberNEWS bagi suku ke-empat tahun 2021 dan selamat tahun baharu 2022.

Tahun 2021 sangat mencabar kerana kita masih lagi berada di dalam fasa pemulihan ekonomi serta pandemik COVID-19 yang masih belum berkesudahan. Dalam pada itu, negara juga dikejutkan dengan bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri di Malaysia, di mana ramai yang terjejas akibat bencana ini. Diharapkan agar semua berada dalam ketabahan dan terus sabar menghadapi cabaran ini.

Sepanjang suku ke-empat 2021, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan beberapa program bersama agensi kerajaan dan industri, Antara program tersebut ialah Persidangan Pencegahan Jenayah Kewangan Malaysia 2021 (MFCPC’21) anjuran bersama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Pelancaran Pemulih SiberKASA OJT Kick-Off Day bersama pihak industri bagi menempatkan para peserta Pemulih SiberKASA ke organisasi yang terlibat. Selain itu, CyberSecurity Malaysia juga turut menghadiri Persidangan Tahunan Ke-13 Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-CERT) yang telah diadakan secara dalam talian.

Pada tahun 2021, beberapa siri bengkel dan perbincangan turut diadakan bagi tujuan pembangunan professional keselamatan siber seperti Bengkel Kumpulan Kerja Forensik Digital serta Kolokium Forensik Siber 2021. Manakala, beberapa sesi mesyuarat seperti Mesyuarat Global ACE Certification Board of Governance (BoG) dan Mesyuarat Global ACE Certification Pembentukan Bab Negara (Country Chapter) dengan Wakil CIRT e-GOV BGD (Bangladesh) juga turut diadakan.

CyberSecurity Malaysia turut menjalin kerjasama dalam bidang keselamatan siber dengan insituti pendidikan tinggi di Malaysia, antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

CyberSecurity Malaysia juga menganjurkan Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan – Piala Cabaran CyberSAFE™ (NICTSeD) 2021 yang disertai oleh 75 buah sekolah seluruh Malaysia di mana pertandingan akhir telah diadakan secara hybrid dan menobatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, Pahang sebagai juara.

Pada tahun 2021, CyberSecurity Malaysia juga telah menganjurkan acara tahunan iaitu Cyber Security Malaysia – Awards, Conference & Exhibition (CSM-ACE) 2021 untuk kali ke-12. CSM-ACE kali ini turut memberi pengiktirafan kepada individu dan organisasi yang telah menyumbang kepada pembangunan keselamatan siber di Malaysia melalui Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2021. Selain itu, Pameran Kerjaya Keselamatan Siber 2021 serta empat sektor spesifik bersama industri turut diadakan di Menara Cyber Axis, Cyberjaya.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, ia tidak menghalang CyberSecurity Malaysia dari terus bergiat aktif sepanjang tahun 2021. Akhir kata, saya berharap agar anda terus menyokong CyberSecurity Malaysia dan mengambil peluang untuk menyebarkan ilmu keselamatan siber yang diperolehi dari pembacaan di CyberNEWS kepada ahli keluarga juga rakan anda.

Sentiasa Bijak Sentiasa Selamat. Bersama Ke Arah Kesejahteraan Siber.

Sekian, terima kasih.

Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc
Ketua Pegawai Eksekutif

AKTIVITI SUKU KEEMPAT

 
OKT

2021

NOV

2021

DIS

2021