Mesej dari CEO

 
 

Assalamualaikum WBT and Salam Sejahtera.

Sekali lagi kita bertemu di penerbitan CyberNEWS edisi keempat dan terakhir bagi tahun 2020.

Suku keempat menyaksikan majoriti program dan penglibatan CyberSecurity Malaysia masih dilaksanakan secara dalam talian sesuai dengan situasi norma baharu memandangkan negara kini berada di dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Oktober 2020.

Pada Oktober 2020, CyberSecurity Malaysia telah berjaya mengadakan sebuah program secara fizikal iaitu Seminar Keibubapaan Siber: Ke Arah Fasih Digital, di mana pematuhan kepada SOP yang ketat telah diikuti oleh CyberSecurity Malaysia. Program yang dilaksanakan di Institut Kemahiran MARA (IKM) Perlis ini adalah salah satu inisiatif bagi memperkasa dan memberi pendedahan kepada ibu bapa/penjaga mengenai kepentingan keselamatan siber dalam institusi keluarga.

Selain itu, antara program lain yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia pada suku keempat adalah sesi webinar “How Cybersecurity Became the Number One Threats in the New Normal”, Seminar Persijilan Global ACE dengan tema, “Certifying Cyber Security Professionals Towards the Industrial Revolution 4.0” yang merupakan salah satu Satellite Event bagi Persidangan Tahunan ke-12 OIC-CERT 2020 serta sesi penerangan dan kursus penyegaran bagi Diploma Lanjutan Pengujian & Penilaian Penembusan Keselamatan Siber yang diadakan dengan kerjasama bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Dalam suku keempat ini juga CyberSecurity Malaysia selaku Sekretariat Tetap OIC-CERT telah menganjurkan Persidangan Tahunan ke-12 Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer-Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-CERT) 2020 secara dalam talian sebagai platform untuk negara-negara anggota berbincang halatuju dan cabaran bidang keselamatan siber.

CyberSecurity Malaysia juga telah menyertai Persidangan Teknikal Tahunan Ke-15 bagi Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Komputer (CSIRT) Negara Sedunia anjuran National CSIRT (NatCSIRT) untuk berkongsi isu, peralatan dan kaedah CSIRT Nasional yang terkini dan Mesyuarat Global ACE Certification Board of Governance yang juga diadakan secara dalam talian.

Sebagai agensi pakar keselamatan siber, CyberSecurity Malaysia akan terus komited dalam menyediakam perkhidmatan yang terbaik dan mewujudkan lebih banyak inisiatif keselamatan siber dari aspek teknikal demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dengan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) yang telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020, saya menyeru rakyat Malaysia khususnya warga digital Malaysia untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan serta membudayakan kehidupan norma baharu.

Sentiasa Bijak Sentiasa Selamat. Bersama Ke Arah Kesejahteraan Siber.

Terima kasih.

Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc
Ketua Pegawai Eksekutif