SEMINAR KEIBUBAPAAN SIBER – KE ARAH FASIH DIGITAL, BESERI, PERLIS

 

Pada 3 Oktober 2020, CyberSecurity Malaysia dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah menganjurkan Seminar Keibubapaan Siber: Ke Arah Fasih Digital bertempat di Institut Kemahiran MARA (IKM) Perlis.

Program ini adalah salah satu inisiatif bagi mempromosi CyberSAFE serta memperkasa dan memberi pendedahan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai kepentingan keselamatan siber serta isu-isu berkaitan keselamatan siber yang berupaya mengancam institusi keluarga.

Majlis telah disempurnakan oleh oleh YB Datuk Zahidi Zainul Abidin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan dihadiri lebih 200 peserta dari komuniti setempat selain kakitangan IKM dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri.

Melalui program ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat meningkatkan tahap kesedaran tentang kepentingan menjaga keselamatan ketika berada di alam siber dalam kalangan masyarakat khususnya keluarga.

SESI WEBINAR “HOW CYBERSECURITY BECAME THE NUMBER ONE THREATS IN THE NEW NORMAL”, CYBERJAYA

 

Pada 27 Oktober 2020, CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama CTI Resources Sdn. Bhd. telah menganjurkan sesi webinar bertajuk, “How Cybersecurity Became the Number One Threats in the New Normal”.

Seminar secara maya di bawah Program Koloborasi CyberSecurity Malaysia (CCP) ini diadakan bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan industri bagi bidang berpotensi di dalam keselamatan siber.

Seramai 40 rakan industri telah menyertai webinar ini. Anwer Yusoff, Ketua Jabatan Perhubungan Industri dan Kerjasama Keselamatan Siber (CIEC) mewakili CyberSecurity Malaysia sebagai salah seorang ahli panel bersama dua wakil industri yang lain.

Melalui penganjuran seminar maya ini CyberSecurity Malaysia telah dapat mendekati rakan industry, mengetahui isu semasa, produk dan perkhidmatan baharu serta pembangunan teknologi tempatan.